|
|
|
|
|
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

UBAT RINDU: Program Teratak Siti Nurhaliza ubati kerinduan peminat yang inginkan Siti menyampaikan lagu berirama tradisional.
Suasana di studio Sri Pentas 2 bertukar wajah bagaikan majlis rumah terbuka untuk peminat setia
KERINDUAN peminat untuk mendengar Datuk Siti Nurhaliza melantunkan irama Melayu tradisional bagaikan terubat malam Khamis lalu apabila penyanyi berdagu lekuk ini merakamkan program raya yang diberi nama Teratak Siti Nurhaliza.
Sesuai dengan nama yang diberi, suasana studio Sri Pentas 2 yang terletak di tingkat 5, Plaza Alam Sentra,
Shah Alam turut bertukar wajah seolah-olah Siti sedang mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat setianya.
Pelita, juadah hari raya yang menyelerakan serta kehadiran penonton lelaki yang lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bersongkok serta si wanita pula ayu berkebaya dan baju kurung menjadikan suasana lebaran semakin terasa walaupun hari kebesaran umat Islam itu hanya akan tiba-tiba kira dua bulan saja lagi.
Bagi penggemar Siti, inilah masanya untuk mereka bersama-sama menghayati keindahan irama tradisional nyanyian penyanyi ini yang hanya akan dapat disaksikan sekali setiap tahun. Tahun lalu, Siti mengadakan program yang sama iaitu Ole Ole Siti Nurhaliza yang turut mengetengahkan irama yang sama sebagai hiburan penonton di hari lebaran yang mulia.

DARI (kiri): Saida, Siti dan Saerah.
Tidak dinafikan, selain irama pop, kekuatan Siti terletak kepada kebolehannya menyampaikan lagu tradisional. Malah, sehingga kini album tradisional daripada Siti masih lagi dinanti-nantikan peminatnya selepas kelahiran Sanggar Mustika enam tahun lalu.
Masih menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke studio untuk buah tangan terbarunya itu, Siti mengakui bukan saja peminat, malah dia sendiri begitu teruja menantikan kehadiran album ini.
“Saya tahu ramai yang menantikan album tradisional daripada Siti. Buat masa ini Siti sudah pun mendapat material yang diperlukan dan Siti sedang menunggu masa untuk masuk studio. Kalau boleh Siti memang mahu merakamkan secepat mungkin dan keluarkan album itu dalam tahun ini juga.
“Selain lagu yang Siti terima sewaktu program anjuran MACP dulu, Siti ada juga minta lagu daripada komposer lain seperti Pak Ngah.
“Jadi, kata orang, sebelum saya merakamkan lagu untuk album ini, saya gunakan peluang mengadakan program Hari Raya ini untuk mengasah kembali kebolehan saya menyanyikan lagu tradisional.
“Maklumlah, Siti memang sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti ini. Risau juga kalau lenggok serta patah lagu nanti berubah sebab sudah lama tidak berlatih. Terus-terang, Siti memang teruja dan rindu untuk menyanyikan lagu tradisional. Harap rindu peminat juga akan terubat ketika menonton konsert ini,” ujar Siti pada sidang media yang diadakan sebelum rakaman bermula.
Dalam program itu, Siti tidak tampil berseorangan. Sebaliknya penyanyi berdagu lekuk ini turut ditemani dua ahli keluarganya yang turut berkecimpung dalam bidang seni iaitu, bintang AF6, Siti Nursaida atau Saida dan juga adiknya, Saerah.
Bersama Saida, Siti menyampaikan lagu Empat Dara manakala dengan Saerah, lagu Lenggang Lenggok menjadi pilihan.
“Pada permulaannya, penerbit program ini akan menyatukan Siti, Saida, Saerah dan abang Siti, Ayie. Tapi Ayie terpaksa menolak dan tinggallah kami bertiga menjayakan program ini. Memang seronok kerana inilah kali pertama kami bertiga tampil dalam sebuah program bersama. Dan inilah juga pertama kali saya berduet dengan Saida untuk lagu tradisional,” kata Siti yang mempunyai dua program Hari Raya untuk tahun ini.
Sambil menyifatkan program Teratak Siti Nurhaliza sebagai mempunyai keistimewaan tersendiri, Siti berkata walaupun program ini berkonsepkan Hari Raya namun dia tetap menyelitkan beberapa buah lagu tradisional popularnya secara medley termasuk lagu klasik yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Antara lagu yang menjadi pilihan termasuklah Joget Pahang, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah, antara rangkaian lagu yang pernah didendangkannya sewaktu mengadakan konsert di Albert Hall, London tiga tahun lalu.
“Siti juga menyanyikan kembali lagu Ku Mahu yang Siti ubah suai muziknya menjadi pop tradisional. Konsert ini Siti sifatkan sebagai lain dari yang lain kerana ia bukan saja memberi variasi dalam genre tradisional tetapi susunan muziknya juga ada sedikit perubahan kerana Siti menggunakan khidmat pemuzik pengiring yang masih muda dan segar,” kata Siti lagi. Untuk persembahan malam itu, Siti diiringi 10 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Faizal Uzir.
Ternyata, walaupun terpaksa bersengkang mata menunggu program terbitan Mohamad Ismadi Ismail ini tamat, namun penonton masih setia dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing gara-gara penangan vokal lunak merdu Siti.
Malam itu juga Siti dan peminat menari sakan dengan tarian joget lambak apabila dia menutup tirai persembahannya itu dengan lagu Cindai yang pernah diangkat sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu 1998.
Buat Siti, buang saja perasaan risau itu kerana selepas hampir tiga jam menyaksikan rakaman itu berlangsung, aura Siti dan lagu tradisional, masih lagi ampuh serta belum hilang lagi taringnya.
Belum rancang sambutan ulang tahun perkahwinan
OGOS bertandang lagi dan tahun ini genaplah usia perkahwinan Siti dan suami tercinta mencecah angka dua tahun. Selama detik itu, Siti akui status bergelar isteri memberikan banyak pengalaman yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata buat dirinya.
Namun dari riak wajah Siti, dapat ditebak bahawa si pelantun Biarlah Rahsia ini sedang enak mengulit bahagia. Jika tahun lalu Siti meraikan hari bersejarah itu dengan sambutan besar-besaran, namun kali ini Siti dan suami masih belum merancang apa-apa.
“Siti masih belum tetapkan apa-apa untuk mengadakan sambutan ulang tahun kedua perkahwinan Siti. Cuma apa yang Siti harapkan agar rumah tangga yang dibina ini berkekalan, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa bersabar atas segala dugaan yang mendatang.
“Mungkin kami akan mengadakan kenduri. Mengenai hadiah apa yang ingin diberikan, itupun Siti tak fikir lagi,” ujar Siti sambil mengukir senyuman manis.
Sempena kedatangan Ramadan September depan, Siti sudah pun merancang untuk mengerjakan umrah bersama suami dan ibu mentuanya.
“Siti akan sambut puasa di sana dan akan bertolak awal Ramadan. Kami akan berada di sana selama seminggu lebih,” tutur Siti yang kelihatan anggun mengenakan busana kurung moden rekaan Rizman Ruzaimi.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Hartati Hassan Basri

Dengan rekod artis paling banyak mengumpul anugerah iaitu lebih 120 selama 12 tahun, kini tiada apa lagi yang dikejar Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, selain meneruskan kelangsungan kerjaya seninya dengan menghasilkan album baru.
Malah penyanyi yang popular dengan lagu Ku Mahu daripada album Hadiah Daripada Hati yang dipasarkan akhir tahun lalu, mahu membantu mengembangkan bakat seni adik- beradiknya yang berbakat dan berminat menceburi nyanyian.
Kakaknya Siti Saida menyertai Akademi Fantasia musim keenam (AF6) baru-baru ini begitu juga adiknya, Siti Sairah pernah menyertai program realiti One In A Million musim pertama tahun lalu.
“Saida dan Sairah kini menjadi artis Siti Nurhaliza Pro duction (M) Sdn Bhd (SNP). Sebagai permulaan, SNP menerbitkan album mereka berdua secara bersama, me muatkan tiga lagu solo masing-masing serta dua lagu duet.
“Single Sairah, Hero Wayang sudah siap dan kini diedarkan kepada stesen radio manakala single Saida, Sedalamnya Cinta akan menyusul tidak lama lagi.
“Konsep muzik yang mereka tampilkan juga berbeza kerana Sairah lebih menjurus kepada pop moden manakala Saida konsep pop. Saya juga memberi kebebasan kepada mereka memilih konsep muzik yang ingin diketengahkan asalkan ia sesuai dengan suara mereka dan keadaan semasa.
“Saya juga sedar dalam keadaan ekonomi sekarang, ke utamaan masyarakat bukan lagi membeli album sebaliknya perkara lain yang disifatkan lebih penting. Apa yang saya tekankan, pemilihan lagu yang sedap didengar.
“Bagi saya penyanyi perlu tampil dengan album kerana daripada itu akan datang peluang untuk menjayakan per sembahan pentas dan juga program televisyen,” kata Siti.
Dia juga tidak menafikan cuba membantu mereka mendapat publisiti dan peluang menyanyi secara pakej bersamanya. Antaranya menjayakan persembahan Laman Santai di Istana Budaya pada 21 Jun lalu serta menjayakan program khas hari raya untuk TV3, Teratak Siti Nurhaliza atau fotografi bersama mereka.
Katanya, program raya yang disiarkan selama satu setengah jam itu berkonsep tradisional dan turut mengundang Saida dan Sairah sebagai artis undangan. Rakaman program itu diadakan di Shah Alam, semalam, jam 9 malam.
“Saya rasa ia bukan satu isu malah tidak salah saya menolong Saida dan Sairah dengan mengundang mereka menjayakan program yang saya jayakan. Bila lagi nak tolong mereka. Lagi pun kalau bukan saya yang menolong mereka, siapa lagi.
“Saya ada peluang, apa salahnya bantu mereka dengan mencadangkannya kepada penganjur atau penerbit tele visyen. Tapi saya sekadar mencadangkan, jika mereka terima, Alhamdulillah.
“Kalau mereka menolak, saya tidak pula memaksa. Tapi nampaknya mereka bersetuju apabila dicadangkan nama mereka berdua ketika persembahan Laman Santai begitu juga program raya itu,” katanya.
Mengenai album baru, Siti yang baru menerima anugerah Artis Profesional Malaysia di Anugerah Kecemerlangan Balai Ikhtisas Malaysia 2008 anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) pada 23 Julai lalu, kini dalam proses rakaman album baru berkonsep tradisional dan dijangka masuk studio rakaman pada bulan puasa nanti.
Ia dijangka dipasarkan akhir tahun ini atau awal tahun depan, sebagai kelangsungan album pop, Hadiah Daripada Hati yang dipasarkan akhir tahun lalu.
Katanya, kehadiran album baru begitu penting supaya dia tidak dilupakan peminat. Ini ditambah pula dengan kehadiran ramai artis baru, sudah tentu kehadiran album baru mem buktikan dia masih terus menyanyi.
“Selagi mampu, saya akan terus menghasilkan album baru. Maklumlah, buat album keluar duit sendiri ditambah pula keadaan ekonomi sekarang yang tidak begitu menggalak kan.
“Saya juga sedar tumpuan masyarakat kini bukan pada album sebaliknya mengamalkan jimat cermat dengan ber belanja sesuatu yang dirasakan lebih penting.
“Pada waktu sama penyanyi perlu muncul dengan album baru supaya kehadiran mereka tidak dilupakan. Insya- Allah album baru berkonsep tradisional akan berada di pasaran akhir tahun ini,” katanya.
Siti yang akan meraikan ulang tahun perkahwinan kedua pada 21 Ogos ini, mengakui tiada apa yang perlu dirungutkan kerana kehidupannya kini cukup bahagia dan gembira ber sama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan anak.
Katanya, masanya kini banyak terluang berbanding sebelum kahwin apabila sibuk dengan tuntutan kerja sekali gus mampu melakukan perkara yang sebelum ini tidak berpeluang di lakukan.
“Saya kini ada masa menonton wayang bersama suami dan anak-anak pada hujung minggu atau bercuti bersama ke luarga. Baru-baru ini saya juga berpeluang bercuti di Pulau Pinang dan mencuba parasailing. Ia aktiviti yang sudah lama ingin saya lakukan tetapi tiada peluang,” katanya.
>Profil
Nama sebenar: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin
Tarikh lahir: 11 Januari 1979
Tempat lahir: Kampung Awah, Temerloh, Pahang.
Bintang: Capricorn
Keluarga: Anak kelima daripada lapan beradik
Status: Berkahwin
Suami: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa
Warna kegemaran: Hijau dan pastel
Muzik kegemaran: Pop, alternatif, R&B, ttradisional
Anugerah: Johan Setia Mahkota (JSM), Paduka Mahkota Perak (PMP), Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), Setia Ahmad Shah (SAP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP yang membawa gelaran Datuk)
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh MALIAH SURIP maliah.surip@kosmo.com.my

SENYUMNYA manis, mekar dan nampak segar. Sesekali memandangnya, saling tak tumpah seperti kakaknya, Siti Nurhaliza.
“Dah darah daging. Saya tak boleh lari,” begitu luah gadis yang baru menginjak usia 25 tahun dengan matang sambil tersenyum.
Dia, Siti Saerah Tarudin pagi itu duduk didandan rapi khusus untuk fotografi kami. Saerah muncul dengan single perdananya berjudul Hero Wayang.
Sebenarnya siapa yang tidak kenal Saerah. Dia juga mempunyai profil kerjaya yang tersendiri. Sejak dahulu, semua orang juga tahu Saerah memang berkeinginan menjadi seorang penyanyi.
Lantas kelibatnya pernah dilihat dalam pertandingan realiti televisyen One In A Million (OIAM) tidak lama dulu. Namun dia terkandas separuh jalan.
Sesekali dia juga menghias pentas dengan vokal dan persembahannya yang tersendiri. Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Cerita tentang kepayahan membina perisai kerjaya sendiri.
Hari ini, Saerah sudah boleh tersenyum. Impiannya menjadi seorang penyanyi yang sebenar telah terlaksana. Single perdana dengan nama Hero Wayang telah mula mencuri perhatian. Semuanya dilakukan sendiri, tanpa menumpang populariti si kakak, kecuali menjadi artis di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).
“Alhamdulillah, tiga tahun saya tunggu saat untuk mempunyai lagu sendiri. Hari ini, Hero Wayang merupakan anak pertama saya. Dan saya harap langkah baru ini tidak terhenti separuh jalan,” ujar Saerah penuh harapan.
Dihasilkan sendiri atas bantuan tenaga profesional dengan lirik tersebut dihasilkan oleh bekas penulis lirik terbaik negara, arwah Loloq, Hero Wayang kata Saerah mengisahkan tentang perjalanan penuh liku anak seni. Namun ia dihasilkan dalam jalur moderate.
“Jiwa saya lebih rock, malah jalur pop pun disadurkan dengan rock, bukan balada. Jadi saya kira orang senang untuk membezakan saya dengan Kak Siti,” katanya.
Dia menambah: “Saya kira jika buah tangan saya bagus, peminat pun tak pertikai saya ialah adik Siti. Sebaliknya saya adalah Saerah yang berdiri atas kaki sendiri.”
Banyak agenda yang telah dirangka SNP untuk Saerah. Serius dan optimis dia memberitahu bakal muncul secara duo bersama kakaknya, Siti Saida.
Mereka akan bergabung dalam sebuah album yang menyaksikan mereka menyanyi secara solo dan berduet. Satu kolaborasi adik-beradik yang mahu dijadikan label masa depan.
Seiring single yang sedang diputarkan di radio, penampilan Saerah kini juga sudah banyak berubah - lebih matang dalam berbicara dan satu hal yang paling ketara berubah ialah berat badannya.
Tak segan dia memberitahu, sudah lebih empat bulan selera makannya hilang terutama pada nasi. Sehingga kini, berat yang dahulu 77 kilogram sudah mencecah 55 kilogram.
“Makan hati,” ringkas dia menjawab dalam senyuman tawar dan mengaku pula: “Sejak putus tunang dulu, selera makan jatuh terus. Jadi sekarang macam sudah terbiasa tak makan. Saya lebih banyak minum air dan makan roti sahaja.”
Cuba menggali lebih dalam perihal sebenar dia putus tunang dengan jejaka seusianya itu, Saerah menepis dengan tenang. Enggan merobek hati sesiapa katanya.
Cukup dia menekankan, perpisahannya dengan lelaki yang kini masih menjadi temannya itu sebagai satu rahsia yang kekal dalam hidupnya.
sumber: kosmo
|
|
|
|
|
|
|
|
Written by Siti Nurhaliza |
Tuesday, 15 July 2008 |
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Harapan Siti agar semuanya sihat seperti biasa dan berada dalam keadaan yang baik-baik belaka.
Nampaknya agak lama juga Siti tak menulis di sini tetapi tidak mengapalah kerana Siti sentiasa mengikuti perkembangan anda di sini termasuklah permintaan anda untuk tidak memaparkan message board kepada bukan ahli di sini buat sementara waktu.
Apa pun yang anda rancangkan, yang anda fikirkan dan anda lakukan, Siti di sini sentiasa menyokong kerana laman ini adalah tempat kita dan semestinya Siti akan selalu mendengar apa jua permintaan anda kerana di sinilah kita dipertemukan dan persaudaraan itu terjalin.
Mungkin karier Siti senyap seketika tetapi bukan bermakna goyang kaki kerana banyak perkara sedang bergerak. Siti juga gembira kerana SNP sudah mengeluarkan single Sairah berjudul Hero Wayang yang sudahpun dimainkan di radio, bakal menyusul nanti single Saida dan seterusnya album Coda. Segalanya akan berlaku tidak lama lagi dan harapan Siti agar anda semua menyokong artis2 SNP yang lain kerana ini adalah usaha Siti untuk memberikan sesuatu kepada industri muzik kita.
Siti juga sudah tidak sabar melaksanakan pelbagai rancangan yang terdapat dalam agenda SNP, bagi Siti semua ini berkaitan dengan sokongan anda selama ini. Semangat anda membuatkan SIti tidak mudah mengalah untuk meneruskan sesuatu yang boleh dikongsi bersama anda. Doakan agar apa jua yang kami akan jayakan akan mendapat keberkatanNya dan juga sokongan and serta pihak-pihak lain juga.
Setakat ini buat masa ini.Nantikan kahabar Siti lagi.
Salam mesra buat semua, Siti Nurhaliza. |
|
sumber:sitizone.com
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap |
 |
KEMUNCULANNYA dinanti, suaranya dirindui. Tidak hairanlah kemunculannya di majlis program Laman Santai di Istana Budaya, Sabtu lalu, menjadi tumpuan peminat. |
Sebaik saja pengacara majlis, Raja Azura dan Sharifah Shahira mengumumkan namanya, hadirin terus bangun lalu berlari untuk mendapatkan posisi selesa di bahagian hadapan dengan harapan dapat melihat raut wajahnya secara dekat selain merakamkan fotonya untuk dijadikan kenangan.
Begitulah penangan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 29, yang berasal dari pekan kecil, Kuala Lipis, Pahang.
Sumbangan dan kehebatan kerjaya nyanyian yang dibinanya sejak 12 tahun lalu menyaksikan wanita cekal ini layak dikurniakan gelaran Datuk.
Sekalipun, ada yang meramalkan populariti Siti terjejas apabila berumah tangga, dakwaan itu sama sekali tidak benar.
Buktinya, Siti masih punya pesona dan membuatkan pe minat sentiasa teruja untuk mengikuti perkembangannya. Begitu juga wartawan yang hadir tidak melepaskan peluang mendapatkan cerita terbaru daripadanya.
Siti berkata, meskipun rumahtangga menjadi keutamaannya kini itu tidak bermakna kerjaya nyanyian dilupakan.
“Kehidupan sekarang ini lebih seimbang. Kalau dulu asyik bekerja, sekarang keluarga adalah keutamaan saya. Sedikit pun tidak menyesal kerana itu memang keputusan yang saya lakukan sendiri. Bagaimanapun, nyanyian tidak pernah di lupakan.
“Misalnya sekarang, saya sedang menghasilkan album fu sion. Semua sepuluh lagu yang dimuatkan dalam album ini saya ambil daripada komposer yang terbabit dalam Kem Cipta Ekspres anjuran MACP (Music Authors Copyright Pro tection) di Port Dickson, Januari lalu.
“Antaranya Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, S Atan dan Zubir Ali. Sewaktu acara itu berlangsung, saya diundang untuk mendengar semua lagu yang dihasilkan khusus untuk saya yang mana kesemuanya lagu baru berkonsep Irama Malaysia.
“Ternyata lagu yang dihasilkan bagus dan menepati selera saya justeru saya memutuskan untuk menggunakan 10 lagu yang terbaik memandangkan saya memang punya peran cangan untuk menghasilkan album tradisional.
“Kemungkinan besar lagu yang dimuatkan lebih daripada 10. Insya-Allah, ia akan berada di pasaran penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Siti juga optimis lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu mampu memenuhi selera pendengar walaupun membariskan komposer lama.
“Walaupun ramai komposernya orang lama, lagu yang mereka hasilkan untuk Siti sesuatu yang segar bersesuaian dengan kehendak pasaran.
“Malah saya akan kembali menggunakan kepakaran Adnan selepas 10 tahun tidak bekerjasama. Abang Adnan seorang komposer yang hebat dan masih saya hormati sehingga hari ini.
“Sekian lama tidak menggunakan lagunya bukan kerana ada sengketa sebaliknya perubahan yang cuba dilakukan dalam setiap album mendesak saya menimba pengalaman dengan komposer berlainan.
“Untuk album tradisional ini, kebetulan lagu abang Adnan sangat bersesuaian dengan konsep yang cuba saya kete ngahkan dan saya begitu teruja untuk bekerja sekali lagi dengannya,” katanya.
Kehadiran Siti dalam program Gema Suara Seniman yang diadakan di perkarangan Istana Budaya, Sabtu lalu, secara tidak langsung membuktikan keprihatinannya terhadap usa ha persatuan itu.
Apatah lagi sebelum ini ketiadaan Siti di majlis pelancaran Hari Seniman menimbulkan tanda tanya sehingga timbul dakwaan kononnya artis muda sepertinya kurang prihatin.
“Mengenai Hari Seniman, saya sendiri bertanya kepada Kak Rozie (pengurus Siti) apakah Seniman tidak mengundangnya ke majlis itu kerana tiada sebarang jemputan diterima.
“Justeru tidak adil jika saya diumpamakan seperti itu (tidak prihatin). Malam ini misalnya, selain kelapangan dan pem babitan saya sebagai salah satu cara menghargai usaha persatuan itu,” katanya.
Dalam ramah melayan pertanyaan wartawan, Siti rimas diajukan soalan berhubung anak. Ternyata sejak berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006, Siti belum diberikan rezeki menimang cahaya mata.
Menyorot kehidupan peribadinya, waktu senggang Siti dipenuhi dengan aktiviti memanjakan diri ke spa dan ada kalanya memasak di rumah.
Ditanya, apakah perkara paling dirinduinya saat ini, tanpa berselindung Siti teringin mengadakan konsert selepas kali terakhir ia diadakan di Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005.
“SNP Production dan Yayasan Nurjiwa ada merancang untuk mengadakan sebuah persembahan amal ekslusif se belum bulan puasa namun sehingga kini ia masih dalam proses perbincangan.
“Kalau ikutkan hati, saya teringin mengadakan konsert sebagai tanpa penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya biar dalam keadaan apa sekalipun.
“Namun, faham sajalah buat konsert bukan senang, banyak perkara perlu diambil kiri lebih-lebih lagi soal tajaan. Insya Allah, jika menemui penaja sesuai saya berhasrat mengadakan konsert secepat mungkin,” katanya.
Pada persembahan malam itu Siti menyampaikan empat lagu antaranya Ku Mahu dan Biarlah Rahsia. Siti tidak keseorangan kerana turut ditemani kakak dan adiknya yang turut diundang menjayakan majlis itu.
Kakaknya, Saidah yang menyertai Akademi Fantasia musim keenam (AF6), menyampaikan lagu Nuri dipopularkan oleh Ella sementara Sairah memilih Aku Bukan Untukmu (Ros sa).
Selain Siti, Saidah dan Sairah, kumpulan Coda yang ber naung dibawah SNP Production (Siti Nurhaliza Production) antara artis yang membuat persembahan.
Artis lain, Jaclyn Victor yang membawakan lagu Hindustan, Piya Tu & Dum Maro Dum serta Satu Harapan manakala rocker terkenal, Amy Search menghangatkan suasana dengan lagu Tiada Lagi, Kerja Gila dan Isabella.
Dua artis veteran dari Singapura, R Ismail dan Rokiah diterbangkan khas untuk memeriahkan majlis dengan lagu Gurindam Jiwa dan Hati Ke Hati.
Pelakon veteran Datuk Aziz Satar pula menggeletek pe nonton dengan persembahan sketsa sambil menyanyi. Sua sana malam itu turut diserikan dengan terian Makyung oleh Kumpulan Makyung Sri Nilam Istana Budaya.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
 |
Tiga beradik berjiwa seni. Dari kiri Siti Saerah, Siti Nurhaliza dan Siti Nursaida. Ketiga-tiga Siti ini juga menyimpan hasrat untuk merakamkan album keluarga satu hari nanti.
|
LAMA benar Datuk Siti Nurhaliza tidak muncul di dada media. Selepas kekecohan isu perpindahannya dari sebuah kondominium ke banglo mewah di Bukit Antarabangsa, artis popular itu bagaikan membawa diri.
Ada soalan-soalan nakal yang bertanya apakah Siti merajuk dengan media?
Dan pada satu pertemuan dengan artis tersohor itu sebelum mengadakan persembahan di Laman Seni, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti tergelak menjawab soalan yang ditanyakan padanya.
“Tak adalah merajuk. Sebaliknya, Siti rindu soalan-soalan nakal daripada rakan-rakan media,” jawab Siti mengenai tanda tanya wartawan dan peminat-peminatnya mengenai kehilangannya selama ini.
Soalan-soalan nakal? Apa yang dimaksudkan oleh Siti?
“Kalau dulu sebelum Siti kahwin, kawan-kawan wartawan pantang jumpa mesti tanya bila nak kahwin.
“Kalau bukan soalan kahwin, soalan peribadi yang kadang-kadang Siti sendiri susah nak jelaskan. Selepas mendirikan rumah tangga, ada kalanya Siti akan teringat momen-momen manis yang Siti lalui ketika hidup bujang.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah, sehingga kini hubungan Siti dengan rakan-rakan wartawan masih baik dan Siti mengharapkan ia akan kekal sampai bila-bila,” tambah Siti yang juga terkenal sebagai artis yang gemar menyakat wartawan.
Isteri kepada usahawan Datuk Khalid Mohammad Jiwa itu yang semakin langsing menjelaskan, buat masa ini beliau lebih senang mendiamkan diri lantaran tiada berita menarik untuk dikongsi dengan masyarakat.
Apa lagi, dengan kedudukannya sebagai isteri yang sering dihambat oleh masa menyebabkan Siti mahu memberi tumpuan yang sepenuhnya menguruskan suami.
Tambahan pula, selepas menetap di banglo mewah yang tersedia 13 bilik tidur menyebabkan Siti perlu menyesuaikan diri.
“Semuanya berjalan lancar. Kehidupan Siti lebih tenang. Selain suami, ibu dan ayah mertua Siti juga menetap bersama kami di rumah itu. Jadi, Siti mahu meluangkan masa kualiti dengan keluarga,” jelas penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Jerat Percintaan pada tahun 1996.
Sesekali bila ada masa terluang, Siti selesa memanjakan diri dengan spa, salon dan membeli-belah.
Semua itu katanya, bagaikan terapi untuk dirinya mengisi masa lapang.
“Dahulu ketika sibuk dengan jadual seni, Siti tidak pernah memiliki peluang berbuat semua itu. Kini, masanya untuk Siti memberi tumpuan pada diri Siti pula dan ternyata ia sangat menyeronokkan,” katanya sambil memberitahu gaya hidupnya tidaklah begitu ekstrem elit seperti mana wanita mewah lain sebagai yang didakwa sesetengah pihak.
Ketika tiada anak kecil untuk dibelai dan dimanja, Siti berkata, itulah caranya mengisi masa lapang lebih-lebih lagi ketika suami sibuk memberi tumpuan pada perniagaannya.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, sudah tentu Siti juga akan menimang cahaya mata, cuma Tuhan belum kurniakan anak buat Siti. Kalau ada Siti tentu akan beritahu anda semua (wartawan),” jawab Siti seakan mengerti soalan yang mahu ditanya.
Pada masa yang sama, anak jati Pahang itu juga berkongsi kasih sayang yang dijalin dengan suami tercinta masih utuh dan Siti begitu mensyukuri dengan kurniaan Ilahi.
Bakal masuk studio rakaman
Selepas leka berbual mengenai kehidupan personal, Siti mengalih perhatian pada kerjaya seninya yang bakal memasuki fasa baru menjelang hujung tahun ini.
Seiring dengan kematangan yang dicapai dalam industri hiburan selama lebih sedekad, Siti sudah bersedia untuk melalui satu lagi transisi dalam proses pembikinan album terbarunya.
Menjelang hujung tahun ini, Siti akan muncul dengan album solo yang menyaksikan kerjasama beliau dengan komposer-komposer senior tanah air.
Kalau dahulu, komposer Adnan Abu Hassan merupakan orang paling penting mencorakkan kerjaya seninya, kali ini, Siti akan kembali bergabung dengannya.
Kekaguman Siti terhadap sifu M. Nasir juga memperlihatkan kerjasama kedua-dua mereka.
Komposer lain yang juga menyumbang lagu untuk album terbaru Siti ialah Fauzi Marzuki, Zubir Ali dan lain-lain lagi.
Kesemua komposer itu bersepakat menghasilkan lagu terbaik hadiah buat Siti pada bengkel lagu Berirama Malaysia Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 14 hingga 17 Januari lalu.
Menjangkakan album terbarunya itu bakal dipasarkan hujung tahun ini, Siti menyatakan kegembiraannya dapat merakamkan lagu-lagu ciptaan komposer-komposer hebat itu.
“Siti dah tak sabar nak masuk studio sebenarnya,” ringkas Siti menggambarkan keghairahannya untuk kembali ke studio rakaman.
Sokongan buat kakak, adik
Biarpun sibuk memberi tumpuan pada urusan rumah tangga dan kerjaya seni, Siti juga pada masa yang sama tidak terlepas memberi sokongan moral buat kakaknya, Siti Nursaida yang merupakan bintang Akademi Fantasia 6 serta adiknya, Siti Saerah.
Menurut, sebagai artis berpengalaman, beliau terpanggil untuk memberi sokongan buat kedua-dua saudaranya itu.
Dan bagi Siti Nursaida, sokongan moral adik kesayangannya membuatkan dia semakin yakin untuk melangkah ke persada seni.
“Bertuah dan bersyukur kerana saya bergelar kakak kepadanya. Walaupun ada yang berpendapat saya menumpang popularitinya, itu semua saya anggap sebagai resam dalam industri hiburan.
“Saya melihat dari dekat bagaimana Siti berusaha untuk sampai ke kedudukannya hari ini dan saya akan jadikan kejayaan Siti sebagai motivasi buat saya,” ujar Siti Nursaida.
Hal yang sama disuarakan oleh Siti Saerah yang sukar menyembunyikan rasa bangga pada kakaknya yang juga artis nombor satu negara.
“Doa dan sokongan kak Siti (Siti Nurhaliza) terhadap saya merupakan hadiah yang paling berharga buat saya,” ujar Siti Saerah yang bakal berduet dengan Siti Nursaida dalam sebuah lagu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.
sumber: utusan malaysia online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap |
DUA wanita ini, Siti Nursaida Tarudin, 32 dan Hairina Abd Halim, 44 pernah mendapat perhatian ramai kerana menjadi peserta paling berusia menyertai Akademi Fantasia musim Keenam (AF6). |
Kehadiran Saida yang juga kakak penyanyi popular, Datin Seri Siti Nurhaliza ini mendapat reaksi positif apabila men dapat sokongan dan undian tinggi daripada penonton. Begitu juga dengan Hairina yang lebih dikenali sebagai Mama Rina.
Kini sudah hampir sebulan AF6 berlalu, tiba masanya untuk mereka menyertai dunia sebenar industri hiburan dengan pelbagai persaingan.
Bagi bintang masih muda, mungkin sokongan peminat akan berterusan, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang bergelar ibu dan nenek?
Adakah pembabitan Saida dan Mama Rina masih dianggap relevan? Berdasarkan usia yang sudah meningkat tidakkah ia dianggap terlambat untuk mereka mengejar cita-cita untuk bergelar penghibur.
Saida berkata, dia akan meneruskan segala perancangan yang sudah dirancang sebelum ini. Malah, Saida akan muncul dengan single diikuti album sulung di bawah syarikat adiknya, Siti Nurhaliza Production (SNP).
“Kontrak saya bersama Maestro Talent And Management selama tiga tahun. Bagaimanapun, mengikut perbincangan yang dibuat, Maestro membenarkan saya bernaung dibawah SNP selama setahun.
“Buat masa sekarang, saya akan menghasilkan single terlebih dulu dan lagunya dicipta Helen Yap. Mengenai aktiviti, sekarang ini saya mengikuti segala jadual diaturkan Maestro,” katanya ketika ditemui pada majlis Bintang AF6 Meraikan Media, baru-baru ini.
Saida turut menjelaskan kontroversi mengatakan dia enggan mengikut persembahan promosi yang ditetapkan penguru sannya.
Katanya, dia masih lagi berkerja dengan SNP sebagai pegawai kewangan. Waktu sama Saida harus menumpukan perhatian kepada keluarga menyebabkan jadual hariannya agak ketat.
“Begitupun jika ada kelapangan, saya tetap mengikuti persembahan dianjurkan Astro seperti baru-baru ini saya menyertai Gempak Selebriti yang diadakan di Kuantan, Pahang.
“Cuma saya tidak boleh pergi semua lokasi. Ia bergantung kepada kelapangan dan perkara itu sudah pun dibincangkan dengan Maestro dan mereka sendiri bersetuju,” katanya.
Mama Rina pula menjelaskan, dia turut mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Maestro dan buat permulaan peserta yang mempunyai seorang cucu ini menyerahkan segala perancangan kerjayanya kepada pihak pengurusan.
“Saya tidak bimbang dengan penerimaan peminat kerana sebelum menyertai AF6 saya sudah pun aktif menyanyi. Apabila dapat memasuki AF6 bermakna kerjaya saya dapat dikembangkan.
“Buat permulaan, memang tidak banyak aktiviti atau ta waran mengadakan persembahan diterima memandangkan saya masih baru. Bagaimanapun, saya percaya pihak Maestro ada perancangan untuk mengetengahkan bakat saya.
“Saya juga bakal muncul dengan single terbaru dan lagu itu diperoleh sewaktu masih berada dalam Akademi. Satu ha rapan saya, apabila lagu itu sudah siap sepenuhnya dan dipasarkan ia akan diterima baik peminat sekali gus membolehkan hayat saya dalam industri ini berpanjangan,” katanya.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Siti Nurhaliza |
Penyanyi nombor satu ada prinsip hidup buat perubahan penampilan, bukan secara paksaan
SESEKALI berpeluang duduk bersembang dengan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, pastinya banyak banyak perkara yang ingin dicungkil darinya. Maklumlah, bukan mudah untuk bertemu dengan Siti. Sejak mendirikan rumah tangga, jadual hariannya tidak lagi seperti dulu.
Malah, dalam mana-mana majlis hiburan Siti jarang menunggu sehingga tamat atur cara. Dan tentunya peluang untuk menemu bual penyanyi jelita ini semakin terbatas.
Justeru, apabila Siti mengadakan sidang media sempena mempromosikan lagu Menanti Pasti nyanyiannya yang turut mendapat pencalonan dalam kategori Lagu Terbaik untuk pertandingan Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) di PNB Darby Park, baru-baru ini, peluang itu diibaratkan bulan jatuh ke riba bagi kebanyakan media.Selama hampir sejam temu bual itu diadakan, banyak perkara yang diajukan pada Siti. Dari kisah pencalonannya di dalam AIM hinggalah kepada reaksinya apabila kakak kesayangan, Siti Nursaida Tarudin atau Saida tersingkir dari Akademi Fantasia sewaktu konsert mingguan kelima tempoh hari.
Tidak ketinggalan, perihal perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap penampilannya sejak kebelakangan ini. Biarpun agak sensitif, itu semua dijawab Siti tanpa sebarang reaksi negatif.
 |
RANCAK: Saida pada Konsert Akademi Fantasia minggu kedua musim ke-6 di Dewan Sivik Petaling Jaya. |
Sebagai seorang selebriti, Siti akui dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Namun dia juga tidak mahu bersikap hipokrit. Justeru katanya, biarlah perubahan yang dilakukannya itu berlangsung secara perlahan-lahan tanpa memerlukan sebarang paksaan.
“Apa yang boleh Siti katakan, Siti lebih selesa dengan penampilan seperti ini (berselendang). Dalam hal ini, orang boleh kata apa saja tetapi yang melaluinya adalah Siti. Dulu Siti pernah juga berkata pada diri sendiri, lepas Siti pergi Makkah, Siti nak pakai tudung, berhenti menyanyi dan duduk rumah.
“Tapi apabila kita melalui situasi itu, ia sebenarnya tak semudah yang disangka. Iyalah, Siti ini seorang penyanyi. Lagu nyanyian Siti ada yang berentak rancak dan memerlukan Siti menari. Keadaan ini ada kalanya meletakkan diri dalam keadaan sukar.
“Jadi, kalau boleh Siti tidak mahu memikirkan sangat perkara ini kerana tidak mahu ia menjadi bebanan buat Siti. Apa pun, semua itu terletak pada hati dan Siti akan lakukan apa yang Siti rasakan selesa,” ujar si pelantun Biarlah Rahsia ini.
Bukan saja penampilan, malahan ramai juga yang mula mempertikaikan keupayaan Siti sewaktu dia membuat persembahan. Terbaru, Siti dikatakan mula kehilangan tenaga dalam menyampaikan lagu bernada tinggi.
“Itulah, Siti pun ada dengar juga. Mungkin disebabkan badan Siti dah naik itu yang semput sikit tu. Lagi pun Siti akui Siti jarang berlatih sejak kebelakangan ini. Bagi Siti dunia nyanyian bukan lagi menjadi keutamaan Siti.
“Jadi apabila kurang latihan dan membuat persembahan, enjin memang lambat panas, itu yang kadang-kadang semput jugak tu,” jelas Siti disulami tawa kecil.
Tak terkejut Saida tersingkir
LUCU juga apabila Siti mengatakan yang dia tidak terkejut dengan penyingkiran kakaknya itu dari Akademi Fantasia. Kata Siti, sejak melihat kakaknya muncul dalam program realiti popular terbitan Astro Ria itu, dia dapat merasakan betapa tertekannya Saida untuk terus berada di situ.
“Siti memang tidak terkejut. Malah Siti sokong keputusan pengundi menyingkirkan Saida kerana Siti kasihan melihat dia dalam program itu.
“Kak Saida macam berat nak hadapi keadaan. Siti faham perasaannya kerana Siti pernah lalui dulu. Penat, tertekan dan seperti yang dia pernah maklumkan mengenai badi pentas sebab itu dia tidak boleh buat persembahan dengan baik,” jelas Siti sewaktu mengulas prestasi kakaknya ketika masih berada di dalam banglo larangan itu.
Ditanya apakah Siti mengizinkan Saida untuk menceburkan diri dalam bidang seni, Siti berkata, dia mengalu-alukan kehadiran kakaknya itu sementelah Saida sendiri pun sudah mendapat restu suami tercinta.
“Siti tak akan sekat kalau dia betul-betul minat. Siti akan beri sokongan setakat mana yang boleh. Tapi buat masa ini dia di bawah pengurusan Maestro dan Siti tak mahu kacau.
“Mengenai penghasilan album untuknya, bagi Siti kalau kena gaya perbincangannya, Insya-Allah tidak ada masalah.
“Bagaimanapun, Siti ada juga nasihatkan dia kalau hendak jadi artis, kena hadapi apa saja dugaan. Sebagai contoh, dekat @15 sendiri macam-macam orang cakap pasal dia. Tapi Siti percaya dia mampu menghadapinya bersandarkan pengalaman yang pernah saya lalui sebelum ini,” ujar Siti yang tidak kisah untuk berduet dengan Saida dalam album pop etniknya nanti.
Hadiah Daripada Hati bukan album tangkap muat
DUA lagunya tersenarai sebagai finalis kategori Lagu Terbaik untuk AIM ke-15. Menanti Pasti yang dipetik dari album runut bunyi Kayangan manakala sebuah lagi diambil dari album terbarunya Hadiah Daripada Hati yang berjudul, Sekian Lama.
“Kedua-dua lagu itu mempunyai kekuatan sendiri. Untuk lagu Menanti Pasti, Siti sebenarnya seronok menyanyikan ciptaan Ajai itu kerana Siti tak pernah menyanyikan lagu berentak seperti itu.
“Lagu ini dia punya feel memang lain. Cukup istimewa kerana Siti perlu menyampaikannya dalam nada lembut kerana temponya membuai-buai, manakala korusnya pula Siti tak perlu jerit.
“Begitu juga dengan lagu Sekian Lama. Siti ada juga hantar lagu lain tetapi nampaknya lagu ini juga yang dipilih. Lagu ini memang romantik dan Siti cuba sampaikan dengan seindah mungkin,” kata penyanyi berdagu lekuk ini.
Menerusi album Hadiah Daripada Hati, selain Lagu Terbaik, Siti juga menerima pencalonan dalam kategori lain iaitu Vokal Terbaik Wanita, Susunan Lagu Terbaik dan Album Pop Terbaik.
“Apabila Hadiah Daripada Hati dapat banyak pencalonan, ini membuktikan album ini bukan album cincai. Ia dibuat dengan penuh komitmen dan kualitinya dijaga.
“Jadi kalau ada yang menganggap album ini tidak berkualiti tidak seperti Transkripsi, andaian itu sebenarnya silap. Ini adalah antara album terbaik yang pernah Siti hasilkan,” tutur Siti dalam nada tegas.
Dijolok pertanyaan apakah dia bakal menyapu bersih semua kategori yang disertainya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini, Siti meletakkan perkara itu kepada rezeki.
“Apa yang penting bagi Siti adalah Siti masih lagi dicalonkan. Namun dicalonkan tak bererti menang. Semuanya bergantung pada rezeki dan diletakkan sebagai lima yang terbaik saja sudah cukup menggembirakan Siti,” ujarnya yang bakal mengadakan konsert dengan kerjasama badan kebajikan Yayasan Nur Jiwa tidak lama lagi.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

MEMILIKI wajah yang cantik, Saida ingin mencuba nasib sebagai pelakon seandainya mendapat tunjuk ajar.
UMUMNYA masyarakat di negara ini tahu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, sememangnya merupakan penyanyi nombor satu negara.
Kedudukan yang dikecapi anak jati Kuala Lipis, Pahang itu bagaikan sukar digugat biarpun ramai artis baru muncul menghangatkan industri hiburan tanah air.
Dengan kejayaan demi kejayaan termasuk anugerah yang diterima Siti Nurhaliza, ia sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja ‘makan hati’ atau berasa cemburu.
Tidak terkecuali, empunya diri bernama Siti Norsaida Tarudin, 32, pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) turut dikatakan menyimpan perasaan tersebut terhadap penyanyi tersohor berkenaan.
Lantaran itu, Siti Norsaida atau lebih mesra dengan panggilan Saida bertindak menyertai AF6 bagi mengecap populariti yang mampu menandingi kehebatan Siti Nurhaliza.
Bagaimanapun, Saida yang baru sahaja tersingkir daripada meneruskan perjuangan di AF6 Sabtu lalu, bertegas menafikan segala dakwaan itu.
Menurut Saida, perasaan cemburu atau niat untuk menyaingi Siti Nurhaliza tidak pernah ‘bersarang’ dalam hatinya.
Sebaliknya, dia sangat berbangga dengan pencapaian adik kandungnya itu.
“Memang tidak ada niat langsung. Siti Nurhaliza adalah seorang penyanyi yang berpengalaman. Kalau ada orang kata saya memasuki AF6 semata-mata untuk bersaing dengannya, itu tidak benar.
“Lagipun, pada awalnya memang saya tidak mempunyai perancangan untuk menyertai program realiti televisyen berkenaan walaupun saya suka menyanyi,” katanya ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Ujar Saida, penyertaannya dalam AF6 berlaku secara tidak sengaja bermula apabila dia hanya menemani seorang lagi adiknya, Siti Saerah menjalani uji bakat.
“Ketika menemani Saerah, peserta yang ingin mencuba nasib pada waktu itu terlalu ramai sehingga kami terpaksa menunggu lama.
“Ekoran itu, dia menyuruh saya mengikutinya sekali menjalani sesi tersebut dan entah bagaimana, tanpa disangka saya diterima memasuki AF6 dan Saerah tidak dipilih.
“Siti ketika itu tidak tahu saya masuk uji bakat. Sampailah ke peringkat keempat, baru saya beritahu dia,” ujar Saida sambil menambah Siti Nurhaliza merupakan orang yang paling gembira saat mengetahui dia diterima memasuki AF6.
Sementara itu, ketika menjawab persoalan mengenai cakap-cakap orang yang membeza-bezakan kemampuan vokalnya dengan Siti Nurhaliza, Saida memberitahu bahawa ada ketikanya, dia berkecil hati kerana perbandingan sedemikian dibuat.
“Saya dan Siti memang jauh beza. Biarlah apa orang hendak kata. Apa yang penting, saya tidak sedikit pun tertekan,” jelas ibu kepada empat orang anak iaitu Siti Nurunnyssa (11), Anas (9), Khalid (5), dan Siti Nurul Mashitah (2).
Penyingkiran Saida
Menyentuh mengenai penyingkirannya dalam meneruskan perjuangan di AF6, Saida juga dikatakan sengaja menyanyi teruk dengan harapan disingkirkan awal bagi membolehkannya dapat kembali ke pangkuan keluarga.
Menjawab mengenai hal tersebut, Saida yang sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk gosip sebaik bergelar penyanyi nanti mengakui, dia gembira dapat berjumpa dengan keluarganya.
“Tetapi, dalam masa yang sama, saya sedih meninggalkan semua yang berada di AF. Sedih juga tidak dapat habiskan pembelajaran di sana. Kalau orang kata saya sengaja menyanyi dengan teruk, mereka tidak faham apa yang saya lalui sepanjang berentap dalam AF6.
“Saya akui yang saya adalah seorang pemalu. Ditambah dengan perasaan gementar dan takut, itu semua membuatkan saya susah untuk menyanyi dengan baik,” katanya.
Sungguhpun begitu, Saida mengakui, kini dia semakin berani dan mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih baik jika dibandingkan sebelum menyertai program realiti TV tersebut.
Suami bagi ‘lampu hijau’
Sebaik tersingkir daripada meneruskan perjuangan di konsert AF6 minggu kelima, Saida sudah pun berbincang sesuatu dengan suami tercinta, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 39, berhubung kelangsungan kariernya sebagai penyanyi.
Dengan syarat tidak melupakan tanggungjawab menjaga keluarga, Saida diberi ‘lampu hijau’ jika mahu meneruskan hasrat menceburkan diri dalam dunia seni.
Saida berkata, selain menyanyi, dia turut berminat untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan andai diberi peluang dan tunjuk ajar.
Bernaung di bawah SNP?
Bertugas sebagai Pengurus Kewangan di syarikat milik adiknya, Siti Nurhaliza Production (SNP), Saida berkemungkinan diberikan laluan mudah untuk menjadi artis dan bernaung di bawah syarikat terbabit.
Namun, Saida memberitahu dia akan terikat dengan Maestro Talents terlebih dahulu dan belum mengadakan sebarang perbincangan bersama SNP.
Ditanya mengenai perancangannya untuk berduet dengan Siti Nurhaliza, Saida yang meminati genre balada dan pop rock berkata: “Mungkin. Itu pun jika diberikan peluang”.
sumber: utusan malaysia online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap |
 |
MINGGU kedua Diari Akademi Fantasia musim keenam (AF6), penonton dapat melihat betapa sebaknya Siti Norsaida Tarudin, 32 atau Saida apabila terpaksa berpisah dengan suami dan keempat-empat anaknya. |
Sebaik tersingkir Sabtu lalu, penonton setia program realiti itu beranggapan ia satu rahmat buat kakak penyanyi tersohor, Datin Seri Siti Nurhaliza kerana dapat kembali ke pangkuan keluarganya.
Ketika ditemu bual selepas tersingkir di Astro kelmarin, Saida mengakui terdetik di hatinya perasaan gembira kerana dapat bertemu kembali suami, Ghazali Yahya Zikri, 39, serta anak-anaknya.
“Sebenarnya perasaan saya bercampur-baur waktu itu ketika diumumkan terkeluar daripada saingan AF6. Gembira ada dan sedih pun ada. Gembira dapat kembali ke pangkuan suami dan anak.
“Sedih kerana terpaksa meninggalkan akademi. Pelbagai perkara baru yang saya pelajari sepanjang lima minggu ini antaranya teknik nyanyian,” katanya.
Penyingkiran Saida Sabtu lalu juga bukanlah satu kejutan kerana ia sudah dijangka penonton memandangkan persembahannya sepanjang lima minggu konsert berlangsung tidak konsisten.
Tidak kurang ada pihak mempersoalkan kegagalan Saida memberikan persembahan terbaik kerana Siti sendiri sebelum ini pernah memberitahu kakaknya itu boleh menyanyi.
“Memang benar saya boleh menyanyi tetapi sebaik mendirikan rumah tangga, saya berhenti. Kalau menyanyi pun sekadar suka-suka untuk menghiburkan diri sendiri mahupun keluarga. Bidang ini sudah lama saya lupakan sehinggakan datang peluang untuk menyertai Akademi Fantasia.
“Saya sedar pada waktu sama ada pihak turut membandingkan kemampuan saya dengan Siti. Ingin saya tegaskan walaupun kami satu keluarga tidak bermakna bakat dimiliki juga serupa.
“Apabila menjayakan konsert AF6, saya bagaikan terkena ‘badi pentas’. Apa yang cuba saya persembahkan seperti serba tidak kena. Sedangkan sewaktu sesi latihan dan raptai, nyanyian saya lancar dan langsung tidak terganggu.
“Perasaan takut dan gementar turut menjadi faktor penyumbang. Sudahlah pada waktu sama saya ini sangat pemalu dan kalut orangnya. Ia menambahkan lagi rasa tidak selesa apabila setiap kali mengadakan persembahan di dalam dewan konsert,” katanya.
Saida turut menjelaskan walaupun perasaan seperti itu masih ada dalam dirinya tetapi selepas menyertai AF6 ia semakin berkurangan.
Menjawab komen pedas diberikan orang luar membabitkan Saida dalam AF6 sehingga sanggup meninggalkan suami dan anak-anak, katanya dia melakukannya atas kebenaran suami.
“Saya tahu ramai orang memandang negatif pembabitan saya dalam AF6. Saya terfikir juga mungkin apa yang dikatakan mereka itu ada benarnya tetapi saya melakukannya atas restu suami. Dia memberikan keizinan. Kalau saya tidak dapat izin tentu saya tidak akan melakukannya.
“Sebenarnya 2008 boleh dianggap rezeki buat saya. Entah mengapa jalan saya untuk serius menyertai bidang seni seperti dipermudahkan Allah.
“Hendak diikutkan perancangan awal saya hanya menemani Saerah untuk menghadiri uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur. Entah mengapa dia beria-ia menyuruh saya mencuba sama dan kerana tidak mahu mengecewakan adik, saya buat juga. Alih-alih apabila keluar senarai nama, saya yang berjaya. Waktu itu saya sedih apabila Saerah tidak dapat masuk.
“Walaupun ujian peringkat pertama sudah berjaya saya simpan perkara itu sehingga ke peringkat ujian akhir. Waktu itu barulah saya minta izin suami dan dia langsung tidak membantah.
“Katanya kalau ini yang saya mahukan dia benarkan tetapi saya kena bersungguh-sungguh dan pada waktu sama tidak lupa tanggungjawab terhadap keluarga.
“Pada waktu sama saya turut beritahu Siti dan sebagai adik, dia menunjukkan sokongan dengan memberikan dorongan,” katanya.
Jelas Saida, selepas ini dia memilih untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian dan akan mengikut perancangan yang ditetapkan Meastro Talent and Management.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|