Jul
28
    
Posted (admin) in Family, Kosmo on July-28-2008

Oleh MALIAH SURIP maliah.surip@kosmo.com.my

SENYUMNYA manis, mekar dan nampak segar. Sesekali memandangnya, saling tak tumpah seperti kakaknya, Siti Nurhaliza.

“Dah darah daging. Saya tak boleh lari,” begitu luah gadis yang baru menginjak usia 25 tahun dengan matang sambil tersenyum.

Dia, Siti Saerah Tarudin pagi itu duduk didandan rapi khusus untuk fotografi kami. Saerah muncul dengan single perdananya berjudul Hero Wayang.

Sebenarnya siapa yang tidak kenal Saerah. Dia juga mempunyai profil kerjaya yang tersendiri. Sejak dahulu, semua orang juga tahu Saerah memang berkeinginan menjadi seorang penyanyi.

Lantas kelibatnya pernah dilihat dalam pertandingan realiti televisyen One In A Million (OIAM) tidak lama dulu. Namun dia terkandas separuh jalan.

Sesekali dia juga menghias pentas dengan vokal dan persembahannya yang tersendiri. Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Cerita tentang kepayahan membina perisai kerjaya sendiri.

Hari ini, Saerah sudah boleh tersenyum. Impiannya menjadi seorang penyanyi yang sebenar telah terlaksana. Single perdana dengan nama Hero Wayang telah mula mencuri perhatian. Semuanya dilakukan sendiri, tanpa menumpang populariti si kakak, kecuali menjadi artis di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).

“Alhamdulillah, tiga tahun saya tunggu saat untuk mempunyai lagu sendiri. Hari ini, Hero Wayang merupakan anak pertama saya. Dan saya harap langkah baru ini tidak terhenti separuh jalan,” ujar Saerah penuh harapan.

Dihasilkan sendiri atas bantuan tenaga profesional dengan lirik tersebut dihasilkan oleh bekas penulis lirik terbaik negara, arwah Loloq, Hero Wayang kata Saerah mengisahkan tentang perjalanan penuh liku anak seni. Namun ia dihasilkan dalam jalur moderate.

“Jiwa saya lebih rock, malah jalur pop pun disadurkan dengan rock, bukan balada. Jadi saya kira orang senang untuk membezakan saya dengan Kak Siti,” katanya.

Dia menambah: “Saya kira jika buah tangan saya bagus, peminat pun tak pertikai saya ialah adik Siti. Sebaliknya saya adalah Saerah yang berdiri atas kaki sendiri.”

Banyak agenda yang telah dirangka SNP untuk Saerah. Serius dan optimis dia memberitahu bakal muncul secara duo bersama kakaknya, Siti Saida.

Mereka akan bergabung dalam sebuah album yang menyaksikan mereka menyanyi secara solo dan berduet. Satu kolaborasi adik-beradik yang mahu dijadikan label masa depan.

Seiring single yang sedang diputarkan di radio, penampilan Saerah kini juga sudah banyak berubah - lebih matang dalam berbicara dan satu hal yang paling ketara berubah ialah berat badannya.

Tak segan dia memberitahu, sudah lebih empat bulan selera makannya hilang terutama pada nasi. Sehingga kini, berat yang dahulu 77 kilogram sudah mencecah 55 kilogram.

“Makan hati,” ringkas dia menjawab dalam senyuman tawar dan mengaku pula: “Sejak putus tunang dulu, selera makan jatuh terus. Jadi sekarang macam sudah terbiasa tak makan. Saya lebih banyak minum air dan makan roti sahaja.”

Cuba menggali lebih dalam perihal sebenar dia putus tunang dengan jejaka seusianya itu, Saerah menepis dengan tenang. Enggan merobek hati sesiapa katanya.

Cukup dia menekankan, perpisahannya dengan lelaki yang kini masih menjadi temannya itu sebagai satu rahsia yang kekal dalam hidupnya.

sumber: kosmo


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: