Apr
22
    
Posted (admin) in Family, harian metro online on April-22-2008

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
MINGGU kedua Diari Akademi Fantasia musim keenam (AF6), penonton dapat melihat betapa sebaknya Siti Norsaida Tarudin, 32 atau Saida apabila terpaksa berpisah dengan suami dan keempat-empat anaknya.

Sebaik tersingkir Sabtu lalu, penonton setia program realiti itu beranggapan ia satu rahmat buat kakak penyanyi tersohor, Datin Seri Siti Nurhaliza kerana dapat kembali ke pangkuan keluarganya.

Ketika ditemu bual selepas tersingkir di Astro kelmarin, Saida mengakui terdetik di hatinya perasaan gembira kerana dapat bertemu kembali suami, Ghazali Yahya Zikri, 39, serta anak-anaknya.

“Sebenarnya perasaan saya bercampur-baur waktu itu ketika diumumkan terkeluar daripada saingan AF6. Gembira ada dan sedih pun ada. Gembira dapat kembali ke pangkuan suami dan anak.

“Sedih kerana terpaksa meninggalkan akademi. Pelbagai perkara baru yang saya pelajari sepanjang lima minggu ini antaranya teknik nyanyian,” katanya.

Penyingkiran Saida Sabtu lalu juga bukanlah satu kejutan kerana ia sudah dijangka penonton memandangkan persembahannya sepanjang lima minggu konsert berlangsung tidak konsisten.

Tidak kurang ada pihak mempersoalkan kegagalan Saida memberikan persembahan terbaik kerana Siti sendiri sebelum ini pernah memberitahu kakaknya itu boleh menyanyi.

“Memang benar saya boleh menyanyi tetapi sebaik mendirikan rumah tangga, saya berhenti. Kalau menyanyi pun sekadar suka-suka untuk menghiburkan diri sendiri mahupun keluarga. Bidang ini sudah lama saya lupakan sehinggakan datang peluang untuk menyertai Akademi Fantasia.

“Saya sedar pada waktu sama ada pihak turut membandingkan kemampuan saya dengan Siti. Ingin saya tegaskan walaupun kami satu keluarga tidak bermakna bakat dimiliki juga serupa.

“Apabila menjayakan konsert AF6, saya bagaikan terkena ‘badi pentas’. Apa yang cuba saya persembahkan seperti serba tidak kena. Sedangkan sewaktu sesi latihan dan raptai, nyanyian saya lancar dan langsung tidak terganggu.

“Perasaan takut dan gementar turut menjadi faktor penyumbang. Sudahlah pada waktu sama saya ini sangat pemalu dan kalut orangnya. Ia menambahkan lagi rasa tidak selesa apabila setiap kali mengadakan persembahan di dalam dewan konsert,” katanya.

Saida turut menjelaskan walaupun perasaan seperti itu masih ada dalam dirinya tetapi selepas menyertai AF6 ia semakin berkurangan.

Menjawab komen pedas diberikan orang luar membabitkan Saida dalam AF6 sehingga sanggup meninggalkan suami dan anak-anak, katanya dia melakukannya atas kebenaran suami.

“Saya tahu ramai orang memandang negatif pembabitan saya dalam AF6. Saya terfikir juga mungkin apa yang dikatakan mereka itu ada benarnya tetapi saya melakukannya atas restu suami. Dia memberikan keizinan. Kalau saya tidak dapat izin tentu saya tidak akan melakukannya.

“Sebenarnya 2008 boleh dianggap rezeki buat saya. Entah mengapa jalan saya untuk serius menyertai bidang seni seperti dipermudahkan Allah.

“Hendak diikutkan perancangan awal saya hanya menemani Saerah untuk menghadiri uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur. Entah mengapa dia beria-ia menyuruh saya mencuba sama dan kerana tidak mahu mengecewakan adik, saya buat juga. Alih-alih apabila keluar senarai nama, saya yang berjaya. Waktu itu saya sedih apabila Saerah tidak dapat masuk.

“Walaupun ujian peringkat pertama sudah berjaya saya simpan perkara itu sehingga ke peringkat ujian akhir. Waktu itu barulah saya minta izin suami dan dia langsung tidak membantah.

“Katanya kalau ini yang saya mahukan dia benarkan tetapi saya kena bersungguh-sungguh dan pada waktu sama tidak lupa tanggungjawab terhadap keluarga.

“Pada waktu sama saya turut beritahu Siti dan sebagai adik, dia menunjukkan sokongan dengan memberikan dorongan,” katanya.

Jelas Saida, selepas ini dia memilih untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian dan akan mengikut perancangan yang ditetapkan Meastro Talent and Management.

sumber: harian metro online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: