![]() |
Tiga beradik berjiwa seni. Dari kiri Siti Saerah, Siti Nurhaliza dan Siti Nursaida. Ketiga-tiga Siti ini juga menyimpan hasrat untuk merakamkan album keluarga satu hari nanti. |
LAMA benar Datuk Siti Nurhaliza tidak muncul di dada media. Selepas kekecohan isu perpindahannya dari sebuah kondominium ke banglo mewah di Bukit Antarabangsa, artis popular itu bagaikan membawa diri.
Ada soalan-soalan nakal yang bertanya apakah Siti merajuk dengan media?
Dan pada satu pertemuan dengan artis tersohor itu sebelum mengadakan persembahan di Laman Seni, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti tergelak menjawab soalan yang ditanyakan padanya.
“Tak adalah merajuk. Sebaliknya, Siti rindu soalan-soalan nakal daripada rakan-rakan media,” jawab Siti mengenai tanda tanya wartawan dan peminat-peminatnya mengenai kehilangannya selama ini.
Soalan-soalan nakal? Apa yang dimaksudkan oleh Siti?
“Kalau dulu sebelum Siti kahwin, kawan-kawan wartawan pantang jumpa mesti tanya bila nak kahwin.
“Kalau bukan soalan kahwin, soalan peribadi yang kadang-kadang Siti sendiri susah nak jelaskan. Selepas mendirikan rumah tangga, ada kalanya Siti akan teringat momen-momen manis yang Siti lalui ketika hidup bujang.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah, sehingga kini hubungan Siti dengan rakan-rakan wartawan masih baik dan Siti mengharapkan ia akan kekal sampai bila-bila,” tambah Siti yang juga terkenal sebagai artis yang gemar menyakat wartawan.
Isteri kepada usahawan Datuk Khalid Mohammad Jiwa itu yang semakin langsing menjelaskan, buat masa ini beliau lebih senang mendiamkan diri lantaran tiada berita menarik untuk dikongsi dengan masyarakat.
Apa lagi, dengan kedudukannya sebagai isteri yang sering dihambat oleh masa menyebabkan Siti mahu memberi tumpuan yang sepenuhnya menguruskan suami.
Tambahan pula, selepas menetap di banglo mewah yang tersedia 13 bilik tidur menyebabkan Siti perlu menyesuaikan diri.
“Semuanya berjalan lancar. Kehidupan Siti lebih tenang. Selain suami, ibu dan ayah mertua Siti juga menetap bersama kami di rumah itu. Jadi, Siti mahu meluangkan masa kualiti dengan keluarga,” jelas penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Jerat Percintaan pada tahun 1996.
Sesekali bila ada masa terluang, Siti selesa memanjakan diri dengan spa, salon dan membeli-belah.
Semua itu katanya, bagaikan terapi untuk dirinya mengisi masa lapang.
“Dahulu ketika sibuk dengan jadual seni, Siti tidak pernah memiliki peluang berbuat semua itu. Kini, masanya untuk Siti memberi tumpuan pada diri Siti pula dan ternyata ia sangat menyeronokkan,” katanya sambil memberitahu gaya hidupnya tidaklah begitu ekstrem elit seperti mana wanita mewah lain sebagai yang didakwa sesetengah pihak.
Ketika tiada anak kecil untuk dibelai dan dimanja, Siti berkata, itulah caranya mengisi masa lapang lebih-lebih lagi ketika suami sibuk memberi tumpuan pada perniagaannya.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, sudah tentu Siti juga akan menimang cahaya mata, cuma Tuhan belum kurniakan anak buat Siti. Kalau ada Siti tentu akan beritahu anda semua (wartawan),” jawab Siti seakan mengerti soalan yang mahu ditanya.
Pada masa yang sama, anak jati Pahang itu juga berkongsi kasih sayang yang dijalin dengan suami tercinta masih utuh dan Siti begitu mensyukuri dengan kurniaan Ilahi.
Bakal masuk studio rakaman
Selepas leka berbual mengenai kehidupan personal, Siti mengalih perhatian pada kerjaya seninya yang bakal memasuki fasa baru menjelang hujung tahun ini.
Seiring dengan kematangan yang dicapai dalam industri hiburan selama lebih sedekad, Siti sudah bersedia untuk melalui satu lagi transisi dalam proses pembikinan album terbarunya.
Menjelang hujung tahun ini, Siti akan muncul dengan album solo yang menyaksikan kerjasama beliau dengan komposer-komposer senior tanah air.
Kalau dahulu, komposer Adnan Abu Hassan merupakan orang paling penting mencorakkan kerjaya seninya, kali ini, Siti akan kembali bergabung dengannya.
Kekaguman Siti terhadap sifu M. Nasir juga memperlihatkan kerjasama kedua-dua mereka.
Komposer lain yang juga menyumbang lagu untuk album terbaru Siti ialah Fauzi Marzuki, Zubir Ali dan lain-lain lagi.
Kesemua komposer itu bersepakat menghasilkan lagu terbaik hadiah buat Siti pada bengkel lagu Berirama Malaysia Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 14 hingga 17 Januari lalu.
Menjangkakan album terbarunya itu bakal dipasarkan hujung tahun ini, Siti menyatakan kegembiraannya dapat merakamkan lagu-lagu ciptaan komposer-komposer hebat itu.
“Siti dah tak sabar nak masuk studio sebenarnya,” ringkas Siti menggambarkan keghairahannya untuk kembali ke studio rakaman.
Sokongan buat kakak, adik
Biarpun sibuk memberi tumpuan pada urusan rumah tangga dan kerjaya seni, Siti juga pada masa yang sama tidak terlepas memberi sokongan moral buat kakaknya, Siti Nursaida yang merupakan bintang Akademi Fantasia 6 serta adiknya, Siti Saerah.
Menurut, sebagai artis berpengalaman, beliau terpanggil untuk memberi sokongan buat kedua-dua saudaranya itu.
Dan bagi Siti Nursaida, sokongan moral adik kesayangannya membuatkan dia semakin yakin untuk melangkah ke persada seni.
“Bertuah dan bersyukur kerana saya bergelar kakak kepadanya. Walaupun ada yang berpendapat saya menumpang popularitinya, itu semua saya anggap sebagai resam dalam industri hiburan.
“Saya melihat dari dekat bagaimana Siti berusaha untuk sampai ke kedudukannya hari ini dan saya akan jadikan kejayaan Siti sebagai motivasi buat saya,” ujar Siti Nursaida.
Hal yang sama disuarakan oleh Siti Saerah yang sukar menyembunyikan rasa bangga pada kakaknya yang juga artis nombor satu negara.
“Doa dan sokongan kak Siti (Siti Nurhaliza) terhadap saya merupakan hadiah yang paling berharga buat saya,” ujar Siti Saerah yang bakal berduet dengan Siti Nursaida dalam sebuah lagu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.
sumber: utusan malaysia online