‘Mall Adventure’ fokus JJCM musim baru
30-08-2007 02:06:02 PM
oleh WAHIDA ASRANIProgram destinasi masakan popular, Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) kini telah pun memasuki musim yang ke-10. Satu pencapaian yang sungguh membanggakan bagi program berkonsepkan santai seperti itu yang sebenarnya menjadi antara pelopor program makanan di negara ini.
Bakal disiarkan di TV3 bermula 9 September ini, setiap Ahad pada jam 12 tengahari, JJCM akan kembali membawa penonton meninjau masakan di restoran-restoran, tetapi menampilkan format yang berbeza di mana kali ini destinasi selera JJCM adalah di pusat-pusat membeli-belah di sekitar Lembah Klang.
“Kali ini JJCM lebih kepada konsep ‘Mall Adventure’ kerana kita beri tumpuan kepada masakan di restoran-restoran di dalam pusat beli-belah. Inilah kelainan yang kita cuba tonjolkan untuk musim terbaru JJCM.
“Bukan setakat kita tinjau makanan, tetapi kita juga akan bawa penonton lihat apa lagi aktiviti yang boleh dibuat di dalam pusat beli-belah tersebut.
“Kali ini juga kita masih menjemput artis-artis tanahair untuk memeriahkan setiap episod program ini dan boleh dikatakan, JJCM musim ke-10 kita tampilkan lebih ramai big names seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Jac, Anuar Zain, Hans Isaac dan Amy Mastura.

Maria masih kekal sebagai pengacara JJCM
(Foto The Star oleh Abdul Rahman Senin)
“Artis-artis ini bukan setakat kita jemput untuk cuba rasa masakan bersama pengacara, tetapi ada juga artis yang akan memasak sendiri dan kita akan bawa mereka buat aktiviti lain juga di dalam pusat beli-belah itu nanti,” ujar Penerbit JJCM, Nurhul Huda Khalid yang ditemui pada sidang media program tersebut di Saloma Bistro, semalam.
Masih mengekalkan pengacara asalnya, Maria Tunku Sabri, antara pusat membeli-belah yang terpilih untuk program JJCM musim ke-10 ini adalah One Utama, Midvalley Megamall, Starhill Gallery, Suria KLCC, SACC Mall, Metropoint Kajang dan Sunway Pyramid.
Selain itu, episod terakhir JJCM musim ini pula akan dirakamkan di Vietnam di mana mereka akan menjelajah restoran-restoran halal di kota Ho Chi Minh.
“Setakat ini, kita sudah selesai rakamkan empat daripada 14 episod dan kita berharap agar dapat siapkan semua rakaman sebelum Hari Raya nanti.
“Selain itu, kita juga akan adakan satu episod khas bersama anak-anak yatim bersempena dengan Hari Raya nanti,” kata Nurhul Huda lagi.
Seperti mana musim-musim yang sebelumnya, JJCM kali ini juga akan turut memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan keselamatan ketika di dapur menerusi segmen ‘Tip Keselamatan Bersama Gas Petronas’.
JJCM ‘jantung hati’ Maria
Sepuluh musim mengendalikan program popular ini sejak tahun 1998 lagi membuatkan nama Maria Tunku Sabri sudah sinonim dengan program ini.
Mengakui semakin selesa dengan JJCM, Maria berkata, program tersebut berjaya memberi kepuasan kepada dirinya sejak ia mula ditayangkan sembilan tahun dulu sehingga ke hari ini.
“Mula-mula kami buat program ini, kami sendiri tidak jangka ia boleh pergi sejauh ini. Respon yang saya sendiri terima pada setiap musim memang begitu memberangsangkan.
“Secara peribadi, saya dapat rasakan JJCM mempunyai masa depan yang cerah dan disebabkan itu saya memang selesa untuk terus kendalikan program ini.
“Memang sudah sinonim pun nama saya dengan JJCM, jadi saya tidak rasa ingin cuba buat program lain pula. Lagipun, saya memang kaki makan,” ujar Maria dalam nada ceria.
Bagi musim terbaru ini, pengacara berusia 37 tahun ini berkata, ianya lebih istimewa kerana dirinya sendiri akan turut melakukan pelbagai aktiviti lasak selain mencuba masakan di restoran tertentu.
“Macam-macam aktiviti lain saya akan lakukan seperti rock climbing dan sebagainya. Saya sendiri pun tidak menyangka dengan badan yang semakin ‘naik’ ini, saya masih mampu buat aktiviti seperti itu.
“Tetapi, ia memang pengalaman yang menyeronokkan. Artis-artis yang kita jemput juga akan memberi tips-tips tertentu dan ini membuatkan JJCM musim ini saya anggap agak istimewa,” kata Maria lagi.
sumber: mStar online