Aug
05
    
Posted (admin) in Family, berita harian online, Career on August-5-2008

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

UBAT RINDU: Program Teratak Siti Nurhaliza ubati kerinduan peminat yang inginkan Siti menyampaikan lagu berirama tradisional.

Suasana di studio Sri Pentas 2 bertukar wajah bagaikan majlis rumah terbuka untuk peminat setia

KERINDUAN peminat untuk mendengar Datuk Siti Nurhaliza melantunkan irama Melayu tradisional bagaikan terubat malam Khamis lalu apabila penyanyi berdagu lekuk ini merakamkan program raya yang diberi nama Teratak Siti Nurhaliza.

Sesuai dengan nama yang diberi, suasana studio Sri Pentas 2 yang terletak di tingkat 5, Plaza Alam Sentra,

Shah Alam turut bertukar wajah seolah-olah Siti sedang mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat setianya.

Pelita, juadah hari raya yang menyelerakan serta kehadiran penonton lelaki yang lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bersongkok serta si wanita pula ayu berkebaya dan baju kurung menjadikan suasana lebaran semakin terasa walaupun hari kebesaran umat Islam itu hanya akan tiba-tiba kira dua bulan saja lagi.

Bagi penggemar Siti, inilah masanya untuk mereka bersama-sama menghayati keindahan irama tradisional nyanyian penyanyi ini yang hanya akan dapat disaksikan sekali setiap tahun. Tahun lalu, Siti mengadakan program yang sama iaitu Ole Ole Siti Nurhaliza yang turut mengetengahkan irama yang sama sebagai hiburan penonton di hari lebaran yang mulia.


DARI (kiri): Saida, Siti dan Saerah.

Tidak dinafikan, selain irama pop, kekuatan Siti terletak kepada kebolehannya menyampaikan lagu tradisional. Malah, sehingga kini album tradisional daripada Siti masih lagi dinanti-nantikan peminatnya selepas kelahiran Sanggar Mustika enam tahun lalu.

Masih menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke studio untuk buah tangan terbarunya itu, Siti mengakui bukan saja peminat, malah dia sendiri begitu teruja menantikan kehadiran album ini.

“Saya tahu ramai yang menantikan album tradisional daripada Siti. Buat masa ini Siti sudah pun mendapat material yang diperlukan dan Siti sedang menunggu masa untuk masuk studio. Kalau boleh Siti memang mahu merakamkan secepat mungkin dan keluarkan album itu dalam tahun ini juga.

“Selain lagu yang Siti terima sewaktu program anjuran MACP dulu, Siti ada juga minta lagu daripada komposer lain seperti Pak Ngah.

“Jadi, kata orang, sebelum saya merakamkan lagu untuk album ini, saya gunakan peluang mengadakan program Hari Raya ini untuk mengasah kembali kebolehan saya menyanyikan lagu tradisional.

“Maklumlah, Siti memang sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti ini. Risau juga kalau lenggok serta patah lagu nanti berubah sebab sudah lama tidak berlatih. Terus-terang, Siti memang teruja dan rindu untuk menyanyikan lagu tradisional. Harap rindu peminat juga akan terubat ketika menonton konsert ini,” ujar Siti pada sidang media yang diadakan sebelum rakaman bermula.

Dalam program itu, Siti tidak tampil berseorangan. Sebaliknya penyanyi berdagu lekuk ini turut ditemani dua ahli keluarganya yang turut berkecimpung dalam bidang seni iaitu, bintang AF6, Siti Nursaida atau Saida dan juga adiknya, Saerah.

Bersama Saida, Siti menyampaikan lagu Empat Dara manakala dengan Saerah, lagu Lenggang Lenggok menjadi pilihan.

“Pada permulaannya, penerbit program ini akan menyatukan Siti, Saida, Saerah dan abang Siti, Ayie. Tapi Ayie terpaksa menolak dan tinggallah kami bertiga menjayakan program ini. Memang seronok kerana inilah kali pertama kami bertiga tampil dalam sebuah program bersama. Dan inilah juga pertama kali saya berduet dengan Saida untuk lagu tradisional,” kata Siti yang mempunyai dua program Hari Raya untuk tahun ini.

Sambil menyifatkan program Teratak Siti Nurhaliza sebagai mempunyai keistimewaan tersendiri, Siti berkata walaupun program ini berkonsepkan Hari Raya namun dia tetap menyelitkan beberapa buah lagu tradisional popularnya secara medley termasuk lagu klasik yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Antara lagu yang menjadi pilihan termasuklah Joget Pahang, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah, antara rangkaian lagu yang pernah didendangkannya sewaktu mengadakan konsert di Albert Hall, London tiga tahun lalu.

“Siti juga menyanyikan kembali lagu Ku Mahu yang Siti ubah suai muziknya menjadi pop tradisional. Konsert ini Siti sifatkan sebagai lain dari yang lain kerana ia bukan saja memberi variasi dalam genre tradisional tetapi susunan muziknya juga ada sedikit perubahan kerana Siti menggunakan khidmat pemuzik pengiring yang masih muda dan segar,” kata Siti lagi. Untuk persembahan malam itu, Siti diiringi 10 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Faizal Uzir.

Ternyata, walaupun terpaksa bersengkang mata menunggu program terbitan Mohamad Ismadi Ismail ini tamat, namun penonton masih setia dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing gara-gara penangan vokal lunak merdu Siti.

Malam itu juga Siti dan peminat menari sakan dengan tarian joget lambak apabila dia menutup tirai persembahannya itu dengan lagu Cindai yang pernah diangkat sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu 1998.

Buat Siti, buang saja perasaan risau itu kerana selepas hampir tiga jam menyaksikan rakaman itu berlangsung, aura Siti dan lagu tradisional, masih lagi ampuh serta belum hilang lagi taringnya.

Belum rancang sambutan ulang tahun perkahwinan

OGOS bertandang lagi dan tahun ini genaplah usia perkahwinan Siti dan suami tercinta mencecah angka dua tahun. Selama detik itu, Siti akui status bergelar isteri memberikan banyak pengalaman yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata buat dirinya.

Namun dari riak wajah Siti, dapat ditebak bahawa si pelantun Biarlah Rahsia ini sedang enak mengulit bahagia. Jika tahun lalu Siti meraikan hari bersejarah itu dengan sambutan besar-besaran, namun kali ini Siti dan suami masih belum merancang apa-apa.

“Siti masih belum tetapkan apa-apa untuk mengadakan sambutan ulang tahun kedua perkahwinan Siti. Cuma apa yang Siti harapkan agar rumah tangga yang dibina ini berkekalan, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa bersabar atas segala dugaan yang mendatang.

“Mungkin kami akan mengadakan kenduri. Mengenai hadiah apa yang ingin diberikan, itupun Siti tak fikir lagi,” ujar Siti sambil mengukir senyuman manis.

Sempena kedatangan Ramadan September depan, Siti sudah pun merancang untuk mengerjakan umrah bersama suami dan ibu mentuanya.

“Siti akan sambut puasa di sana dan akan bertolak awal Ramadan. Kami akan berada di sana selama seminggu lebih,” tutur Siti yang kelihatan anggun mengenakan busana kurung moden rekaan Rizman Ruzaimi.

sumber: berita harian online


 
Jul
30
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Career on July-30-2008

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Datuk Siti Nurhaliza

Mahu lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat

ANUGERAH yang baru diterima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuntik semangat baru buat penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29.

Anugerah Kecemerlangan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 itu diberikan kepada golongan profesional tidak kira dalam apa jua bidang.

Siti Nurhaliza menerima anugerah berkenaan bagi kategori Artis Profesional Malaysia sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan profesional lain seperti Datuk Mohd Hassan Marican, Tan Sri Dr Yahya Awang serta ramai lagi.

Ketika dihubungi, Siti melafazkan kesyukuran kerana golongan seni turut mendapat pengiktirafan setanding golongan profesional lain. Pengiktirafan itu amat berbeza daripada anugerah yang pernah dikecapi sebelum ini.

“Siti bersyukur apabila profesion sebagai artis, karyawan dan seniman juga boleh mendapat pengiktirafan seperti ini dan dianggap sebagai golongan profesional. Siti dipilih sebagai mewakili golongan artis dan bagi Siti pengiktirafan ini amat berbeza daripada anugerah yang pernah Siti dapat yang mana kebanyakannya datang daripada anugerah berkaitan dengan seni juga.

“Anugerah ini sememangnya satu penghargaan yang amat bernilai untuk Siti. Selain itu, ia menyuntik semangat Siti untuk terus menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Siti tidak mahu menjadi artis yang sekadar menyanyi saja tetapi Siti mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat contohnya menerusi Yayasan Nurjiwa,” katanya yang bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos depan.

Perjalanan dua tahun melayari bahtera rumah tangga berlalu dengan cukup pantas. Sedar tidak sedar, sudah dua tahun penyanyi kesayangan ramai itu bergelar isteri kepada usahawan tersohor dari utara tanah air.

Dua tahun menyulam kasih, tiada apa yang diharapkan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Aku Cinta Padamu itu melainkan rumah tangga yang terus aman dan harmoni.

“Walaupun perjalanan Siti dalam melayari alam rumah tangga masih lagi jauh, namun Siti bersyukur tahun pertama dan kedua perkahwinan berjalan dengan baik. Insya-Allah, selagi suami isteri menerapkan rasa sabar serta sama-sama berkomunikasi dengan baik, rumah tangga akan aman bahagia.

“Siti juga perlu tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suami juga tahu tanggungjawabnya sebagai suami. Selain itu juga, suami isteri perlu belajar untuk memperbaiki diri masing-masing. Siti juga sentiasa memanjatkan doa kepada Allah semoga terus memberkati perkahwinan kami,” katanya yang masih belum mempunyai sebarang perancangan mengenai sambutan ulang tahun keduanya nanti.

Kemungkinan kata penyanyi itu, ia akan diraikan secara kecil-kecilan bersama keluarga terdekat. Sekiranya diadakan secara meriah, dia tidak lupa untuk mengundang rakan-rakan untuk sama-sama meraikan hari bahagianya.

Tidak dapat hadir majlis MTV

SEMENTARA itu, ditanya mengenai desas-desus bahawa dia tidak akan hadir ke Anugerah MTV Asia yang akan diadakan di Genting Highlands, 2 Ogos depan. Penyanyi itu tidak menafikannya kerana katanya dia mempunyai urusan peribadi yang perlu dibereskan.

“Siti tidak dapat pergi kerana ada komitmen lain yang perlu dilunaskan. Kalau boleh memang Siti teringin untuk menyertai tetapi tarikhnya jatuh pada hari yang sama dengan hal peribadi Siti, jadi Siti terpaksa pilih salah satu daripadanya.

“Bukan Siti sengaja tidak mahu pergi. Lagipun sebelum ini Siti tidak pernah ketinggalan untuk bersama-sama dengan MTV Asia, hanya kali ini saja. Hal Siti nanti lebih kepada perkara peribadi, Siti tidak ke mana-mana cuma hal dalam negara saja,” katanya.

INFO: Siti Nurhaliza

  • Menerima Anugerah Artis Profesional Malaysia anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 pada Rabu lalu. Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
  • Bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya pada 21 Ogos ini. Perkahwinan Siti dan Khalid sebelum ini menjadi ‘ Wedding of The Year’.
  • Siti menerima hantaran RM30,000 dan mas kahwin RM22,222.22.
  • Pernah menerima Anugerah Artis Pilihan Malaysia untuk Anugerah MTV Asia dari 2002 hingga 2005.
  • Enam kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

sumber: berita harian online


 
Jul
25
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on July-25-2008

Oleh Azman Zakaria azmanz@bharian.com.my

TINGKAT KUALITI: Abdullah berbual dengan penerima anugerah kecemerlangan Balai Iktisas Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pembangunan modal insan pelajar mesti diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kumpulan profesional sebagai tenaga kerja yang penting di negara ini sentiasa menambah nilai dan meningkatkan pencapaian bagi membantu menjayakan pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, selama ini golongan berkenaan memberi sumbangan bermakna untuk Malaysia dan rakyatnya menikmati pelbagai program pembangunan berterusan.

“Kumpulan profesional penting dalam masyarakat… kumpulan yang bertanggungjawab bukan saja mengharumkan nama negara, malah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan.

“Kita perlu berusaha lebih gigih mencapai kualiti lebih tinggi supaya kemajuan dicapai berterusan dalam usaha menjadikan negara sentiasa makmur dan terus cemerlang,” katanya pada majlis ‘Professional Evening with Our Patron’, anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM), di sini malam tadi. Turut hadir isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Sehubungan itu, Abdullah yang juga penaung BIM, berkata pembangunan modal insan bermula dari peringkat sekolah mesti diberikan penekanan supaya pelajar yang akhirnya menamatkan pengajian di universiti mampu menambah nilai kepada setiap perkhidmatan atau produk, seterusnya melahirkan lebih ramai profesional.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah kecemerlangan BIM 2008 kepada Tan Sri Dr Yahya Awang bagi kategori Perubatan dan Penjagaan Kesihatan, Hijjas Kasturi (Kejuruteraan, Pembinaan dan Hartanah), Tan Sri Prof Emeritus Dr Ong Soon Hock (Sains Tulen dan Gunaan), Tan Sri Mohd Hassan Marican (Perakaunan, Perniagaan dan Perdagangan), Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (Artis Profesional Malaysia), Datuk Seri Md Isahak Md Yusuf (Anugerah khas Presiden) dan Ungku Anna Ungku Mohamed (Anugerah Penghargaan Presiden).

sumber: Berita Harian online


 
Jul
09
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Career on July-9-2008

 Oleh Zubir Mohd Yunus
Photobucket

Keluarga bahagia menikmati minum petang berhampiran kolam ikan.
BUKANNYA mudah untuk memujuk Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, suami penyanyi kesayangan ramai, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebelum dia memberikan lampu hijau kepada penulis bersama jurugambar, Hasriyashah Sabudin merakam kehidupan santai mereka di banglo mewah yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur kerana bimbang pendedahan itu bakal mengundang perspektif negatif orang ramai.

Namun, selepas beberapa kali dipujuk, Khalid yang sinonim dengan gelaran Datuk K, akhirnya akur selepas diberitahu, fotografi di banglo bernilai lebih RM6 juta itu adalah untuk paparan eksklusif edisi pertama wajah baru Bintang Popular yang bermula minggu ini. Pastinya peminat yang mengetahui portfolio Khalid sebagai tokoh korporat terkenal dan kesenangan yang diraih Siti sepanjang lebih 10 tahun bergelar anak seni, gaya hidup mewah dinikmati mereka hari ini, tentunya berbaloi.

Ketika kunjungan Bintang Popular ke banglo yang masih di peringkat pengubahsuaian pada bahagian laman dan belakang kediaman itu, hanya anak bongsu Khalid, Mohamed Aazief, 10, berada bersamanya, manakala tiga anaknya yang lain - Mohamed Anas, 21, Mohamed Adib, 18 dan Mohamed Asyraf, 16 tidak menetap di situ kerana masih menuntut di universiti luar negara dan kolej tempatan.

Pada 21 Ogos ini, genaplah dua tahun usia perkahwinan Siti bersama Khalid.
Photobucket

Siti Aazief dan Khalid di hadapan banglo mereka.
Sebaik bergelar suami isteri, pasangan bahagia itu menetap di sebuah penthouse di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan hanya kira-kira tiga bulan lalu Khalid membawa Siti berpindah ke banglo yang mempunyai 11 bilik tidur, perpustakaan, gimnasium dan surau yang boleh menempatkan kira-kira 50 jemaah pada satu masa itu.

Selepas saya mendirikan rumah tangga bersama Siti, hanya bekas isteri (Tengku Zawyah Tengku Izham), tinggal di sini (banglo) bersama anak-anak.

Apabila mereka melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej, dia (bekas isteri) menyatakan hasratnya untuk berpindah ke rumah lain. Kini, hanya anak yang bongsu, Aazief tinggal berselang seli bersama saya dan bekas isteri. “Daripada banglo ini dibiarkan kosong, saya membawa ayah dan ibu yang sebelum ini menetap di kampung untuk tinggal bersama, lagipun ayah tidak begitu sihat. Pastinya saya yang membawa Siti tinggal di banglo ini. Tambahan pula jadual Siti tidak lagi padat seperti dulu, justeru dia mempunyai banyak masa di rumah, bolehlah dia bersama ibu menjaga ayah.
Photobucket Tiga beranak selesa merehatkan diri di ruang tamu. “
Pun begitu, saya dan Siti bukannya sepenuh masa tinggal di banglo ini kerana jika ada kelapangan, terutama pada hujung minggu, kami tetap menjenguk penthouse di Ampang itu,” kata Datuk K sambil menikmati minum petang di tepi kolam ikannya ditemani isteri tersayang dan Aazief. Dalam masa sama, terdengar cakap-cakap nakal apabila Siti berpindah ke banglo berkenaan, apa komen Siti? “Siti hanya mengikut kehendak suami. Lagipun Siti selesa tinggal bersama mentua. Namun, Siti tidak berasa kecil hati apabila orang cakap yang bukan-bukan. Mereka tidak tahu keadaan sebenar. Sekalipun Siti dan suami tinggal sebumbung bersama mentua, reka bentuk banglo ini dibina dengan ruang tersendiri.

Sebelah kiri banglo didiami mentua, manakala bahagian yang satu lagi untuk Siti, suami dan anak-anak. Pun begitu, Siti dan ibu mentua masih berkongsi dapur, sekali gus berkongsi cerita, Siti tak pernah rasa sunyi,” kata Siti yang dilihat begitu manja bersama Aazief ketika mereka bermain piano. Sudah dua tahun melayari alam berumah tangga, tidakkah Siti berasa sunyi tanpa tangisan si kecil? “Siti dan suami sudah berusaha, tapi nampaknya belum ada rezeki.

Sementara masih berdua ni, bolehlah honeymoon lagi,” kata Siti berseloroh. Dia akan bercuti bersama Khalid dan anak-anak di Bali, Indonesia pertengahan Julai ini. Mengenai perkembangan karier nyanyian, tambah Siti, dia akan muncul bersama album tradisional sebelum penghujung tahun ini dan pada masa sama masih mempromosi album terbarunya, Hadiah Daripada Hati. Siti dan Khalid juga merancang mengerjakan umrah pada awal Ramadan akan datang.

sumber: berita harian


 
Jun
25
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Personal Siti, Career on June-25-2008

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Tiba masa Siti Nurhaliza manjakan diri, tidak lagi jadi hamba kerja

TANGGAL 21 Ogos nanti, genap dua tahun Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 49, melayari bahtera rumah tangga.

Meskipun rumah tangga bersama Khalid masih belum dikurniakan kehadiran si kecil, Siti tetap kelihatan gembira dengan statusnya sebagai isteri. Namun, gejolak hati penyanyi nombor satu negara itu tiada siapa yang tahu.

Mendiami banglo besar 13 bilik yang tersergam indah di atas Bukit Antarabangsa, barangkali membuatkan Siti kesunyian tanpa si comel yang menceriakan istana indah miliknya dan Khalid.

Kata Siti, dia tidak pernah berasa kesunyian kerana mahligai indah itu tidak pernah sunyi. Selain mereka berdua, banglo berkenaan turut didiami ibu bapa mentuanya. Sesekali di hujung minggu, anak-anak tiri Khalid terutama yang bongsu, Mohd Azif datang bertandang. Adik-beradik dia dan suami juga saban minggu berkunjung tiba menyebabkan hidup Siti tidak pernah sunyi.

Jika tidak sibuk dengan undangan nyanyian pula, Siti akan ke spa dan salun untuk memanjakan diri. Katanya, dia tidak dapat berbuat demikian ketika zaman anak dara lantaran hidupnya dulu dihambakan pada kerja. Namun, sejak bergelar isteri dia dapat melakukan semua perkara itu kerana hanya menerima undangan di atas keizinan suami.

ANAK SENI: Siti Nurhaliza bersama Saerah dan Saidah pada Program Laman Santai di Istana Budaya, baru-baru ini.

Nampaknya, Siti kini menjalani gaya hidup seperti mak datin lain yang gemar berkunjung ke spa dan salun. Kala diusik dengan perkara itu, Siti malu-malu.

“Bagi Siti bukan mak datin saja yang boleh ke spa atau salun. Semua orang boleh melakukan perkara itu. Sebelum ini Siti teringin nak buat tetapi tidak ada waktu kerana terlalu sibuk dengan kerja. Lagipun sekarang Siti tidak terlalu terikat dengan kerja jadi bolehlah Siti luangkan waktu untuk memanjakan diri,” katanya ketika ditemui di Laman Santai, Istana Budaya, Sabtu lalu.

Dalam acara yang bertemakan Suara Seniman, Siti yang mengenakan sepasang kurung moden berwarna biru mendendangkan beberapa buah lagu antaranya Ku Mahu dan Biarlah Rahsia.

Selain berkunjung ke spa dan salun, di waktu senggang penyanyi itu juga digunakan untuk berkaraoke. Sejak jarang menyanyi, kata Siti dia perlu berlatih sendiri di rumah untuk memantapkan lagi vokalnya. Semuanya kerana dia mendapati sukar untuk menyanyi jika agak lama tidak berbuat demikian.

Tak undur diri, album ketiga hujung tahun

AGAK lama cerita Siti tidak menghiasi dada akhbar, tapi itu tidak bermakna Siti bakal berundur dari arena seni suara. Jelas penyanyi itu, dia lebih senang berdiam diri jika tiada perkara yang ingin dikongsikan. Tetapi bagi peminat yang rindukan suara lunak penyanyi itu, Siti bakal muncul dengan album berkonsepkan fusion selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Siti akan mula sibuk di studio Julai nanti dan bakal merakamkan lagu daripada komposer tempatan antaranya Zubir Ali, S Atan, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan dan ramai lagi.

Ditanya tidakkah dia bimbang lagu yang dihasilkan tidak sesuai dengan cita rasa pendengar masa kini, penyanyi itu berkata, dia percaya dengan kemampuan komposer berkenaan. Malah, Siti mengagumi kemampuan mereka mencipta lagu dalam masa tiga hari ketika Kem Cipta Ekspres anjuran MACP.

“Siti perlu menghargai mereka. Memang selepas mendengar lagu mereka malam itu, tidak dinafikan mereka bagus. Bayangkan dalam tempoh tiga hari mereka berjaya menghasilkan lagu yang baik. Siti ambil ke semua lagu yang dicipta dalam Kem Cipta Ekspres, cuma susunan muzik saja masih belum dibuat lagi.

“Siti juga kembali merakamkan lagu daripada Abang D (Adnan Abu Hassan). Siti mengakui dia seorang komposer yang hebat dan Siti masih menghormati dia serta tidak pernah mengenepikannya. Kadang kala Siti perlukan perubahan dari segi konsep album tetapi itu tidak bermaksud Siti mengenepikan dia,” kata penyanyi itu yang merindui zaman diajukan soalan laser daripada wartawan.

Akui penyanyi itu, dia perlu menerima hakikat masa sudah berubah dan dia sendiri memerlukan perubahan dan kehidupan seimbang.

Selain album, Siti juga merancang untuk mengadakan sebuah persembahan eksklusif bagi mengisi tabung Yayasan Nurjiwa. Siti merancang untuk mengadakan konsert berkenaan sebelum Ramadan nanti. Manakala Ramadan nanti, penyanyi itu sekali lagi akan ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah.

sumber: berita harian online


 
May
30
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on May-30-2008

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Pengalaman sebagai Azizah memberi kenangan manis kepada penyanyi nombor satu negara

KEJAYAAN pementasan muzikal, P Ramlee The Musical… The Life, The Loves & The Inspiration (PRTM) menyeberang Singapura, selain kembali dipentaskan untuk musim kedua di Istana Budaya memberi impak membanggakan kepada penggiat teater tempatan.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pernah berkongsi detik bersejarah itu apabila turut membintangi pementasan pertama arahan Adlin Aman Ramlie ketika dipentaskan di Istana Budaya, Oktober tahun lalu.

Malangnya, apabila teater yang dijayakan nama popular serta meraih enam trofi pada malam Anugerah Boh Cameronian 2007, pada 11 Mei lalu kembali dipentaskan, Siti yang memainkan peranan Azizah tidak dapat bersama.

Ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, ada beberapa sebab menyebabkan dia tidak dapat serta pada pementasan musim kedua yang akan bermula 28 Mei.

“Satu daripadanya adalah komitmen waktu. Masa terlalu suntuk menyebabkan Siti mengambil keputusan untuk tidak bersama pada pementasan kedua. Pada masa sama Siti sendiri sedang dalam persiapan untuk menyiapkan rakaman album tradisional. Itu saja sudah menuntut masa yang banyak selain memerlukan fokus yang lebih.

“Cukuplah sekali dulu mencuba kerana pada masa ini, Siti juga ingin memberikan tumpuan kepada rumah tangga,” katanya.

Isteri kepada usahawan terkemuka, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini berkata, langsung tidak terlintas perasaan terkilan apabila watak yang pernah dijayakannya itu diserahkan kepada orang lain.

Bagi Siti, tidak salah watak itu dibawakan pelakon lain kerana kemunculan penggantinya itu akan turut memberi kepelbagaian kepada pementasan PRTM. Tidak menafikan seronok kerana berpeluang terbabit dalam produksi hebat itu, namun kata Siti, dia perlu akur dengan kemampuan diri.

“Fokus Siti ketika ini terlalu banyak, jadi apabila difikirkan semula adalah lebih baik Siti menarik diri. Apa yang penting hasrat Siti untuk mencuba dunia lakonan sudah tercapai. Biarpun tidak berlakon kembali, Siti tetap akan memberikan sokongan. Siti mahu pergi menonton PRTM musim kedua,” katanya.

Pohon Siti, jangan membandingkan Azizah yang dilakonkannya dengan persembahan Emelda Rosmila yang dipilih menggantikannya untuk peranan itu.

Baginya, setiap mereka mempunyai kemampuan berbeza dan Siti percaya dengan pengalaman besar Emelda sebagai pelakon drama, dia mampu memberikan kejutan dalam pementasan itu.

“Siti percaya walaupun Emelda nama baru dalam dunia lakonan pentas tetapi dia juga mempunyai kelebihannya tersendiri. Jangan bandingkan dia dengan Siti kerana antara kami berdua tiada persamaan. Cuma kebetulan Siti dan Emelda memainkan peranan yang sama sebagai Azizah, wanita yang menjadi inspirasi dalam hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Di luar bidang kuasa

KEMUNCULAN album kompilasi 2 Diva yang menyatukan Siti dengan penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti turut menarik perhatian peminat seni, khususnya media.

Malangnya seakan terselit sedikit kekecewaan apabila album yang diterbitkan bersama Warner Music dan SRC itu tidak menyelitkan lagu baru paduan suara mereka berdua sebagai bonus kepada pendengar.

Ditanya mengenainya, penyanyi Biarlah Rahsia ini berkata, apa yang berlaku adalah di luar bidang kuasanya.

Malah kata Siti, dia tidak tahu apa-apa mengenai penerbitan kompilasi itu dan hanya menyedari apabila membacanya di akhbar.

“Mungkin disebabkan sudah terlalu banyak album kompilasi nyanyian Siti diterbitkan membuatkan peminat mahukan sesuatu yang baru dan berbeza. Tetapi, maaf kerana Siti tidak terbabit langsung dalam penerbitan ini. Ia adalah hasil persefahaman antara syarikat rakaman.

“Siti sendiri mempunyai banyak lagi popular terutama dalam album Transkripsi tetapi tidak dimuatkan dalam kompilasi itu,” katanya.

Meskipun tertanam niat di hati untuk merakamkan sebuah lagu kenangan bersama diva Indonesia itu, namun kata Siti, impian suci itu belum terlaksana lantaran kesibukan mereka bersama.

sumber: berita harian online


 
May
02
    
Posted (admin) in Family, berita harian online, Personal Siti, Career on May-2-2008

Oleh Farihad Shalla Mahmud


Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu ada prinsip hidup buat perubahan penampilan, bukan secara paksaan

SESEKALI berpeluang duduk bersembang dengan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, pastinya banyak banyak perkara yang ingin dicungkil darinya. Maklumlah, bukan mudah untuk bertemu dengan Siti. Sejak mendirikan rumah tangga, jadual hariannya tidak lagi seperti dulu.

Malah, dalam mana-mana majlis hiburan Siti jarang menunggu sehingga tamat atur cara. Dan tentunya peluang untuk menemu bual penyanyi jelita ini semakin terbatas.

Justeru, apabila Siti mengadakan sidang media sempena mempromosikan lagu Menanti Pasti nyanyiannya yang turut mendapat pencalonan dalam kategori Lagu Terbaik untuk pertandingan Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) di PNB Darby Park, baru-baru ini, peluang itu diibaratkan bulan jatuh ke riba bagi kebanyakan media.Selama hampir sejam temu bual itu diadakan, banyak perkara yang diajukan pada Siti. Dari kisah pencalonannya di dalam AIM hinggalah kepada reaksinya apabila kakak kesayangan, Siti Nursaida Tarudin atau Saida tersingkir dari Akademi Fantasia sewaktu konsert mingguan kelima tempoh hari.

Tidak ketinggalan, perihal perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap penampilannya sejak kebelakangan ini. Biarpun agak sensitif, itu semua dijawab Siti tanpa sebarang reaksi negatif.

RANCAK: Saida pada Konsert Akademi Fantasia minggu kedua musim ke-6 di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Sebagai seorang selebriti, Siti akui dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Namun dia juga tidak mahu bersikap hipokrit. Justeru katanya, biarlah perubahan yang dilakukannya itu berlangsung secara perlahan-lahan tanpa memerlukan sebarang paksaan.

“Apa yang boleh Siti katakan, Siti lebih selesa dengan penampilan seperti ini (berselendang). Dalam hal ini, orang boleh kata apa saja tetapi yang melaluinya adalah Siti. Dulu Siti pernah juga berkata pada diri sendiri, lepas Siti pergi Makkah, Siti nak pakai tudung, berhenti menyanyi dan duduk rumah.

“Tapi apabila kita melalui situasi itu, ia sebenarnya tak semudah yang disangka. Iyalah, Siti ini seorang penyanyi. Lagu nyanyian Siti ada yang berentak rancak dan memerlukan Siti menari. Keadaan ini ada kalanya meletakkan diri dalam keadaan sukar.

“Jadi, kalau boleh Siti tidak mahu memikirkan sangat perkara ini kerana tidak mahu ia menjadi bebanan buat Siti. Apa pun, semua itu terletak pada hati dan Siti akan lakukan apa yang Siti rasakan selesa,” ujar si pelantun Biarlah Rahsia ini.

Bukan saja penampilan, malahan ramai juga yang mula mempertikaikan keupayaan Siti sewaktu dia membuat persembahan. Terbaru, Siti dikatakan mula kehilangan tenaga dalam menyampaikan lagu bernada tinggi.

“Itulah, Siti pun ada dengar juga. Mungkin disebabkan badan Siti dah naik itu yang semput sikit tu. Lagi pun Siti akui Siti jarang berlatih sejak kebelakangan ini. Bagi Siti dunia nyanyian bukan lagi menjadi keutamaan Siti.

“Jadi apabila kurang latihan dan membuat persembahan, enjin memang lambat panas, itu yang kadang-kadang semput jugak tu,” jelas Siti disulami tawa kecil.

Tak terkejut Saida tersingkir

LUCU juga apabila Siti mengatakan yang dia tidak terkejut dengan penyingkiran kakaknya itu dari Akademi Fantasia. Kata Siti, sejak melihat kakaknya muncul dalam program realiti popular terbitan Astro Ria itu, dia dapat merasakan betapa tertekannya Saida untuk terus berada di situ.

“Siti memang tidak terkejut. Malah Siti sokong keputusan pengundi menyingkirkan Saida kerana Siti kasihan melihat dia dalam program itu.

“Kak Saida macam berat nak hadapi keadaan. Siti faham perasaannya kerana Siti pernah lalui dulu. Penat, tertekan dan seperti yang dia pernah maklumkan mengenai badi pentas sebab itu dia tidak boleh buat persembahan dengan baik,” jelas Siti sewaktu mengulas prestasi kakaknya ketika masih berada di dalam banglo larangan itu.

Ditanya apakah Siti mengizinkan Saida untuk menceburkan diri dalam bidang seni, Siti berkata, dia mengalu-alukan kehadiran kakaknya itu sementelah Saida sendiri pun sudah mendapat restu suami tercinta.

“Siti tak akan sekat kalau dia betul-betul minat. Siti akan beri sokongan setakat mana yang boleh. Tapi buat masa ini dia di bawah pengurusan Maestro dan Siti tak mahu kacau.

“Mengenai penghasilan album untuknya, bagi Siti kalau kena gaya perbincangannya, Insya-Allah tidak ada masalah.

“Bagaimanapun, Siti ada juga nasihatkan dia kalau hendak jadi artis, kena hadapi apa saja dugaan. Sebagai contoh, dekat @15 sendiri macam-macam orang cakap pasal dia. Tapi Siti percaya dia mampu menghadapinya bersandarkan pengalaman yang pernah saya lalui sebelum ini,” ujar Siti yang tidak kisah untuk berduet dengan Saida dalam album pop etniknya nanti.

Hadiah Daripada Hati bukan album tangkap muat

DUA lagunya tersenarai sebagai finalis kategori Lagu Terbaik untuk AIM ke-15. Menanti Pasti yang dipetik dari album runut bunyi Kayangan manakala sebuah lagi diambil dari album terbarunya Hadiah Daripada Hati yang berjudul, Sekian Lama.

“Kedua-dua lagu itu mempunyai kekuatan sendiri. Untuk lagu Menanti Pasti, Siti sebenarnya seronok menyanyikan ciptaan Ajai itu kerana Siti tak pernah menyanyikan lagu berentak seperti itu.

“Lagu ini dia punya feel memang lain. Cukup istimewa kerana Siti perlu menyampaikannya dalam nada lembut kerana temponya membuai-buai, manakala korusnya pula Siti tak perlu jerit.

“Begitu juga dengan lagu Sekian Lama. Siti ada juga hantar lagu lain tetapi nampaknya lagu ini juga yang dipilih. Lagu ini memang romantik dan Siti cuba sampaikan dengan seindah mungkin,” kata penyanyi berdagu lekuk ini.

Menerusi album Hadiah Daripada Hati, selain Lagu Terbaik, Siti juga menerima pencalonan dalam kategori lain iaitu Vokal Terbaik Wanita, Susunan Lagu Terbaik dan Album Pop Terbaik.

“Apabila Hadiah Daripada Hati dapat banyak pencalonan, ini membuktikan album ini bukan album cincai. Ia dibuat dengan penuh komitmen dan kualitinya dijaga.

“Jadi kalau ada yang menganggap album ini tidak berkualiti tidak seperti Transkripsi, andaian itu sebenarnya silap. Ini adalah antara album terbaik yang pernah Siti hasilkan,” tutur Siti dalam nada tegas.

Dijolok pertanyaan apakah dia bakal menyapu bersih semua kategori yang disertainya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini, Siti meletakkan perkara itu kepada rezeki.

“Apa yang penting bagi Siti adalah Siti masih lagi dicalonkan. Namun dicalonkan tak bererti menang. Semuanya bergantung pada rezeki dan diletakkan sebagai lima yang terbaik saja sudah cukup menggembirakan Siti,” ujarnya yang bakal mengadakan konsert dengan kerjasama badan kebajikan Yayasan Nur Jiwa tidak lama lagi.

sumber: berita harian online


 
Apr
25
    
Posted (admin) in berita harian online, Gossip, Career on April-25-2008

Oleh Zaidi Mohamad


Datuk Siti Nurhaliza

Siti masih ungguli gelaran Penyanyi Wanita Popular

DATUK Siti Nurhaliza kian utuh di liganya sendiri. Alasan dirinya sudah melayari bahtera perkahwinan mahupun mengambil keputusan mengenakan imej bertudung, tidak menjadi noktah untuk dirinya terus berkarya dan setia diminati peminat.

Buktinya, Siti terus unggul diangkat sebagai Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-11 menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang lalu. Kemampuannya melontarkan vokal lunak merdu tidak perlu disangkal lagi seiring dengan kematangannya berdepan dengan pancaroba dunia hiburan. Menyedari sama ada dirinya menang atau tidak, pasti akan ada cakap-cakap belakang yang mengekorinya. Itu sudah lumrah yang bukan asing lagi dan Siti akur dengan situasi itu.

“Kemenangan Siti pada ABPBH 2007 lalu menjadi hadiah buat peminat tersayang yang setia menyokong Siti selama ini. Siti tujukan hadiah kemenangan itu buat mereka kerana kejayaan Siti berdasarkan seratus peratus undian peminat. Macam pilihan rayalah juga. Alhamdulillah peminat masih meletakkan kepercayaan kepada Siti.

“Ia ibarat satu tanggungjawab besar untuk Siti terus melakukan yang terbaik. Ia juga menjadi satu ruang penilaian sama ada Siti mampu mempertahankan gelaran itu. Semuanya soal rezeki. Kalau peminat merasakan Siti masih layak menerima sebarang anugerah, silakan untuk terus menyokong. Sebaliknya, kalau peminat ada pilihan yang lain, terpulanglah. Siti akur. Siti sudah pernah berdepan dengan pelbagai isu dan kontroversi sebelum ini, tak kiralah menang atau kalah, pasti akan ada isu yang dibangkitkan. Semuanya lebih menguatkan Siti,” katanya.

Jika anda masih ingat sebelum ini Siti pernah menyatakan hasrat untuk menghasilkan autobiografi dirinya sendiri. Cerita itu bukan sekadar omongan kosong, sebaliknya bakal direalisasikan Siti melalui bantuan kakak iparnya, Rozie. Namun katanya, biarlah autobiografi itu diterbitkan setelah cukup 15 tahun kewujudan Siti menongkah arus seni.

“Mengenai projek autobiografi itu, Insya-Allah ia pasti akan direalisasikan. Malah, Kak Rozie sekarang ini yang bertindak sebagai penulis autobiografi itu dalam proses mengumpul maklumat dan material berkaitan Siti. Kak Rozie pernah cakap nak keluarkannya lebih awal, tapi Siti merasakan mungkin lebih afdal kalau autobiografi itu diterbitkan seiring dengan usia 15 tahun Siti berada dalam industri.

Ia boleh jadi bonus dan koleksi istimewa buat peminat tersayang,” ungkap Siti yang akan mula memasuki studio sekitar Jun atau Julai ini untuk pembikinan album Melayu kontemporari. Album itu ialah satu projek khas yang membabitkan beberapa komposer pilihannya. Album itu diinspirasikan melalui Kem Cipta Ekspres anjuran MACP.

Tidak sah untuk tidak menanyakan Siti berkenaan soal bilakah rumah tangganya bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Siti tidak mengelak dan tenang menjawabnya biarpun sudah acap kali soalan itu ditujukan kepadanya. Pada permulaan episod perkahwinannya bermula, Siti mengakui sedikit tertekan apabila ramai yang menanyakan soalan itu. Namun, kini Siti berserah kepada Yang Maha Esa. Siti sudah bersedia untuk memegang status ibu andai ada rezeki singgah ke dalam hidupnya, pada bila-bila masa.

“Soal anak itu, Siti tidak merancang. Semuanya bergantung kepada rezeki, cepat atau lambat saja. Siti hanya mampu berserah, berusaha, berdoa dan bertawakal. Siti sudah bersedia menjadi ibu, pada bila-bila masa. Dulu di awal perkahwinan Siti dengan Datuk Khalid, memang Siti akui sedikit tertekan apabila soal anak sering diajukan. Sekarang Siti dah okey dan tenang menjawabnya sebaik mungkin,’’ kata Siti yang selesa menggayakan busana dan tudung rekaan Datuk Bernard Chandran, Michael Ong dan Radzuan Radziwill .

INFO: Pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-15

  • Bagi Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM 15), Siti dicalonkan untuk lima kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Kulit Album Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Terbaik. AIM 15 juga melihat Datuk Siti mendominasi lebih daripada satu lagu dalam dua kategori iaitu Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu. AIM 15 akan berlangsung pada 3 Mei ini.

sumber: berita harian online


 
Apr
21
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on April-21-2008

Oleh Zaidi Mohamad


PENAWAR LUKA: Faizal Tahir bersama trofi dimenangi pada majlis APM 2008 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Penyanyi baru bebas hukuman ‘gantung’ tiga bulan ungguli 2 kategori

KUALA LUMPUR: Faizal Tahir yang baru saja ‘dibebaskan’ daripada hukumannya (digantung daripada muncul membuat persembahan di kaca TV selama tiga bulan) pada 16 April lalu membuat kejutan apabila mengungguli kategori Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2008, malam tadi.

Bagi kategori Artis Lelaki Paling Popular, Faizal Tahir mengetepikan Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007, Mawi.

Mawi gagal mengekalkan kejuaraannya dalam kategori tunggal yang mencalonkan namanya. Faizal Tahir menewaskan saingannya Aliff Aziz, Diddy, Ihsan dan Syed Azmir bagi kategori Artis Baru Lelaki Terbaik

Datuk Siti Nurhaliza terus unggul mempertahankan gelaran sebagai Artis Wanita Paling Popular buat kali kelapan menerusi APM 2008 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Farah Asyikin pula terus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia hiburan apabila dia dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Terbaik. Kumpulan Gigi dari Indonesia tidak pulang dengan tangan kosong apabila menyapu bersih tiga kategori iaitu Artis/Duo Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

APM 2008 menyaksikan 17 kategori disampaikan termasuk Anugerah Terbaik (11) dan Anugerah Paling Popular (4). Turut disampaikan, Anugerah Khas yang diberi kepada kumpulan Search dan Anugerah Cinta Planet Muzik kepada KRU.

Pelengkap kepada APM 2008 ialah acara persembahan yang membabitkan artis popular dari tiga negara serantau seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ajai, Mawi, Faizal Tahir, Ferhad, Dayang Nurfaizah, Farah Asyikin, Elyana, Mila, Sofaz dan Meet Uncle Hussain.

Tidak ketinggalan, artis Singapura seperti juara Singapore Idol, Taufik Batisah, Hady Mirza, Aliff Aziz dan Ahli Fiqir serta artis Indonesia seperti Judika, Kris Dayanti, Bunga Citra Lestari, Ihsan dan Matta.

APM 2008 dihoskan pengacara Sarah Sechan dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (Malaysia) dan Global TV Indonesia. Acara itu turut disiarkan secara langsung menerusi Radio Era dan MediaCorp Singapore Radio.

Peminat di Singapura berpeluang menyaksikan acara ini menerusi siaran tertunda. Acara itu mendapat kerjasama MediaCorp Radio Warna 94.2fm, Ria 89.7fm dan Beyond DBB Malaysia/Beyond Event.

Ini kali kedua Kuala Lumpur menjadi tuan rumah menganjurkan APM selepas 2003.

Daripada 12 kategori utama yang dipertandingkan, Malaysia mendominasi lapan kategori.

INFO: Senarai Pemenang APM 2008

  • Artis Baru Lelaki Terbaik: Faizal Tahir
  • Artis Baru Wanita Terbaik: Farah Asyikin
  • Kumpulan/Duo Baru Terbaik: Meet Uncle Hussain
  • Artis Lelaki Terbaik: Anuar Zain
  • Artis Wanita Terbaik: Kris Dayanti
  • Artis Duo/ Kumpulan Terbaik: Gigi
  • Lagu Terbaik: Nakal (Album: Peace Love and Respect/Artis: Gigi)
  • Album Terbaik: Peace, Love and Respect
  • Artis Lelaki Paling Popular: Faizal Tahir
  • Artis Wanita Paling Popular: Datuk Siti Nurhaliza
  • Duo/ Kumpulan Paling Popular: Estranged
  • Lagu Paling Popular: Itu Kamu (Estranged)

sumber: berita harian


 
Apr
15
    
Posted (admin) in International, berita harian online on April-15-2008

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Hadirnya membawa aura pada konsert di Stadium Merdeka

AURA yang dibawa penyanyi kelahiran Kanada ini cukup menyenangkan, membuatkan sidang media ringkas berlangsung hampir setengah jam petang sebelum dia memulakan siri konsert jelajahnya di ibu kota dicumbui suasana penuh mesra.

Sebelum bicara berbalas, awal lagi dia memohon kemaafan kerana terpaksa menangguhkan konsert sulungnya di negara ini hingga malam kelmarin disebabkan masalah kesihatan.

Memahami kesulitan yang terpaksa dihadapi lantaran terpaksa menangguhkan konsert yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu kerana masalah sakit tekak yang dialaminya, Dion merendah diri memohon pengertian peminat kerana apa yang berlaku di luar kawalannya.

Lantaran kesulitan itu, penyanyi yang menjangkau usia 40 tahun pada 30 Mac lalu juga terpaksa menangguhkan dua konsert di Sydney dan Perth selain menganjakkan tarikh persembahan sulungnya di Kuala Lumpur.

“Saya faham kesulitan yang terpaksa dihadapi kerana terpaksa menangguhkan konsert ini namun apa yang berlaku adalah di luar kawalan.

TIDAK LEPAS PELUANG: Ziana Zain kagum dengan kehebatan Celine Dion di pentas.

“Saya merentasi perjalanan yang sangat menakjubkan sepanjang menjayakan konsert ini, malah kedatangan pertama di Kuala Lumpur cukup bererti kerana diterima dengan baik,” katanya yang turut mengulangi kenyataan itu di hadapan lebih 15,000 penonton yang menyaksikan konsert tunggalnya di rantau Asia Tenggara.

Pada pertemuan singkat itu, penyanyi yang memulakan karier sebagai artis rakaman pada usia 12 tahun mengakui pernah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian selepas melahirkan anak sulung, René-Charles Dion Angélil, tujuh tahun lalu.

Keputusan itu katanya, tidak mudah apatah lagi memegang gelaran ibu adalah satu keajaiban menjangkaui kejayaan yang pernah dicipta sepanjang bergelar artis.

“Saya bimbang tidak mampu menggalas dua tanggungjawab serentak kerana tanggungjawab sebagai ibu terlalu berat. Peranan ibu sangat penting dalam tumbesaran anak.

DETIK MANIS: Impian Datin Seri Siti Nurhaliza bertemu penyanyi pujaannya termakbul, petang kelmarin.

“Saya akui tidak mudah apabila mengambil keputusan untuk kembali aktif. Justeru, saya harus meyakinkan diri mampu melakukannya kerana tidak mahu anak saya menderita dengan keputusan yang diambil.

“Ia mengambil sedikit masa untuk saya memahami proses peralihan itu, namun anak banyak membantu saya dalam proses itu. Saya gembira dapat kembali menyanyi, menghibur peminat di pentas dan pada masa sama menggalas peranan sebagai ibu,” katanya menterjemahkan ruang bahagia yang menghuni sudut hatinya ketika ini.

Meninggalkan Caesar’s Palace, Las Vegas selepas lima tahun beraksi di situ memperlihatkan anjakan baru dalam karier nyanyian Dion.

Berterima kasih kepada pengurusan terutama suaminya, Rene Angelil yang membantu melaksana banyak misi seni mengagumkan, Dion akur perjalanan di Caesar’s Palace juga memberikan pengalaman berharga kepadanya.

“Saya selalu mengingatkan diri apabila mahu melakukan sesuatu, lakukannya sepenuh jiwa. Berikan 100 peratus tumpuan kerana saya tidak gemar dengan kerja separuh hati.

“Beraksi di Caesar’s Palace memberikan tenaga baru kepada saya, malah setiap hari apabila bangun tidur saya berkata kepada diri saya akan melalui hari yang menyeronokkan kerana masih ada persembahan menanti.

“Tidak sangka saya bertahan di sana hingga lima tahun, namun apa yang lebih menyeronokkan saya juga berpeluang melihat anak kesayangan membesar di depan mata,” katanya.

Berpengalaman menyanyi lebih 25 tahun, akui Dion, dia sentiasa mendambakan karier nyanyian yang berkembang, selain berani mengambil cabaran untuk terus bertahan.

Merendah diri katanya, pengalaman panjang itu tidak bermakna dia terlepas daripada melakukan kesilapan namun itu semua membuka matanya untuk lebih matang dalam menangani kehidupan sebagai insan seni.

“Industri hiburan sedang meniti perubahan yang besar, namun saya masih bertuah kerana peminat tetap menerima dan menghargai kehadiran saya.

“Ketika memulakan karier sebagai penyanyi, saya tidak mempunyai wang. Tetapi saya bertuah kerana pengurus mempercayai bakat saya, malah sanggup mencagarkan rumahnya untuk pembikinan album sulung.

“Saya sangat bertuah kerana di kelilingi keluarga serta orang yang sentiasa memberi sokongan dan galakan, malah mereka juga membuka ruang kepada saya untuk bekerja dengan warga seni terbaik sepanjang berada dalam karier ini.

“Semua itu menuntut kerja keras, malah saya tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi yang lebih baik,” katanya.

Unggul dan tersendiri

BAGAIKAN tidak percaya, susuk yang berdiri melontarkan suara lantang penuh bertenaga ketika memulakan konsertnya menerusi lagu I Drove All Night di Stadium Merdeka adalah milik penyanyi bertubuh langsing ini.

Dion punya banyak destinasi pilihan, namun peminat Malaysia bertuah kerana Kuala Lumpur menjadi destinasi persinggahan tunggal di Asia Tenggara dalam rangka konsert jelajahnya yang akan berakhir Januari depan.

Justeru, tidak hairan jika persembahan itu turut membawa penonton luar untuk sama merasai pengalaman berharga ini, malah tenggelam dalam kehebatan alunan vokalnya yang mengalir jernih.

Umpama memutar lagu daripada cakera padat, begitulah diibaratkan persembahan Dion yang beraksi selama lebih satu setengah jam menyampaikan himpunan lagu popularnya.

Tidak tercela malah langsung tidak kedengaran hela nafas kepenatan sekali pun konsert itu menuntut tenaga yang maksimum daripadanya.

Pada usia 40 tahun, tenaga yang dimiliki penyanyi ini cukup luar biasa malah keampuhan vokalnya langsung tidak terjejas walaupun baru pulih daripada kesakitan.

Babak pertama persembahannya memperlihatkan Dion cuba menguasai pentas dengan himpunan lagu popular seperti The Power Of Love, It’s All Coming Back To Me, Because You Loved Me dan To Love You More.

Kembali selepas beberapa minit berehat, Dion menghangatkan semula pentas dengan nyanyian bertenaga membawakan lagu mencabar kekuatan vokal seperti All By Myself, I’m Alive dan I’m Your Angel.

Tidak melupakan lagu yang dipetik daripada album terbarunya, Taking Chances yang dipasarkan November lalu, Dion memilih tiga lagu termasuk Taking Chances, Shadow Of LOve dan My Love menyerlahkan dimensi barunya sebagai penghibur.

Namun, momentum yang pantas memuncak bagaimanapun mula mengendur di pertengahan perjalanan konsert. Menjelang penamat, kehangatan bahang yang dicetuskan dari awal semakin cair apabila Dion gagal menyenaraikan pilihan lagu yang mengesankan.

Kehebatannya di pentas cukup diakui, biarpun beraksi dalam pergerakan ringkas dan sederhana namun jika pengurusan Dion mengkaji pilihan lagu yang lebih menepati cita rasa peminat di rantau ini, barangkali konsert sulungnya itu berakhir dengan sebuah kesempurnaan.

Agak tidak puas kerana lagu popular seperti Where Does My Heart Beat Now, If You Asked Me To, When I Fall In Love, Falling Into You, Tell Him dan Immortality tidak dibawakan dalam konsert ini.

Sebaliknya lagu kurang mesra di pendengaran peminat It’s A Man’s World, That’s Just The Woman In Me dan Think Twice menjadi pilihannya malam itu.

Disebabkan itu sebaik lagu terakhir, My Heart Will Go On dialunkan, kedengaran riak tidak puas kerana peminat masih dahagakan sesuatu yang lebih daripada penghibur bertenaga ini.

sumber: berita harian online