Aug
05
    
Posted (admin) in Family, berita harian online, Career on August-5-2008

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

UBAT RINDU: Program Teratak Siti Nurhaliza ubati kerinduan peminat yang inginkan Siti menyampaikan lagu berirama tradisional.

Suasana di studio Sri Pentas 2 bertukar wajah bagaikan majlis rumah terbuka untuk peminat setia

KERINDUAN peminat untuk mendengar Datuk Siti Nurhaliza melantunkan irama Melayu tradisional bagaikan terubat malam Khamis lalu apabila penyanyi berdagu lekuk ini merakamkan program raya yang diberi nama Teratak Siti Nurhaliza.

Sesuai dengan nama yang diberi, suasana studio Sri Pentas 2 yang terletak di tingkat 5, Plaza Alam Sentra,

Shah Alam turut bertukar wajah seolah-olah Siti sedang mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat setianya.

Pelita, juadah hari raya yang menyelerakan serta kehadiran penonton lelaki yang lengkap berbaju Melayu, bersampin dan bersongkok serta si wanita pula ayu berkebaya dan baju kurung menjadikan suasana lebaran semakin terasa walaupun hari kebesaran umat Islam itu hanya akan tiba-tiba kira dua bulan saja lagi.

Bagi penggemar Siti, inilah masanya untuk mereka bersama-sama menghayati keindahan irama tradisional nyanyian penyanyi ini yang hanya akan dapat disaksikan sekali setiap tahun. Tahun lalu, Siti mengadakan program yang sama iaitu Ole Ole Siti Nurhaliza yang turut mengetengahkan irama yang sama sebagai hiburan penonton di hari lebaran yang mulia.


DARI (kiri): Saida, Siti dan Saerah.

Tidak dinafikan, selain irama pop, kekuatan Siti terletak kepada kebolehannya menyampaikan lagu tradisional. Malah, sehingga kini album tradisional daripada Siti masih lagi dinanti-nantikan peminatnya selepas kelahiran Sanggar Mustika enam tahun lalu.

Masih menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke studio untuk buah tangan terbarunya itu, Siti mengakui bukan saja peminat, malah dia sendiri begitu teruja menantikan kehadiran album ini.

“Saya tahu ramai yang menantikan album tradisional daripada Siti. Buat masa ini Siti sudah pun mendapat material yang diperlukan dan Siti sedang menunggu masa untuk masuk studio. Kalau boleh Siti memang mahu merakamkan secepat mungkin dan keluarkan album itu dalam tahun ini juga.

“Selain lagu yang Siti terima sewaktu program anjuran MACP dulu, Siti ada juga minta lagu daripada komposer lain seperti Pak Ngah.

“Jadi, kata orang, sebelum saya merakamkan lagu untuk album ini, saya gunakan peluang mengadakan program Hari Raya ini untuk mengasah kembali kebolehan saya menyanyikan lagu tradisional.

“Maklumlah, Siti memang sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti ini. Risau juga kalau lenggok serta patah lagu nanti berubah sebab sudah lama tidak berlatih. Terus-terang, Siti memang teruja dan rindu untuk menyanyikan lagu tradisional. Harap rindu peminat juga akan terubat ketika menonton konsert ini,” ujar Siti pada sidang media yang diadakan sebelum rakaman bermula.

Dalam program itu, Siti tidak tampil berseorangan. Sebaliknya penyanyi berdagu lekuk ini turut ditemani dua ahli keluarganya yang turut berkecimpung dalam bidang seni iaitu, bintang AF6, Siti Nursaida atau Saida dan juga adiknya, Saerah.

Bersama Saida, Siti menyampaikan lagu Empat Dara manakala dengan Saerah, lagu Lenggang Lenggok menjadi pilihan.

“Pada permulaannya, penerbit program ini akan menyatukan Siti, Saida, Saerah dan abang Siti, Ayie. Tapi Ayie terpaksa menolak dan tinggallah kami bertiga menjayakan program ini. Memang seronok kerana inilah kali pertama kami bertiga tampil dalam sebuah program bersama. Dan inilah juga pertama kali saya berduet dengan Saida untuk lagu tradisional,” kata Siti yang mempunyai dua program Hari Raya untuk tahun ini.

Sambil menyifatkan program Teratak Siti Nurhaliza sebagai mempunyai keistimewaan tersendiri, Siti berkata walaupun program ini berkonsepkan Hari Raya namun dia tetap menyelitkan beberapa buah lagu tradisional popularnya secara medley termasuk lagu klasik yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Antara lagu yang menjadi pilihan termasuklah Joget Pahang, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah, antara rangkaian lagu yang pernah didendangkannya sewaktu mengadakan konsert di Albert Hall, London tiga tahun lalu.

“Siti juga menyanyikan kembali lagu Ku Mahu yang Siti ubah suai muziknya menjadi pop tradisional. Konsert ini Siti sifatkan sebagai lain dari yang lain kerana ia bukan saja memberi variasi dalam genre tradisional tetapi susunan muziknya juga ada sedikit perubahan kerana Siti menggunakan khidmat pemuzik pengiring yang masih muda dan segar,” kata Siti lagi. Untuk persembahan malam itu, Siti diiringi 10 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Faizal Uzir.

Ternyata, walaupun terpaksa bersengkang mata menunggu program terbitan Mohamad Ismadi Ismail ini tamat, namun penonton masih setia dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing gara-gara penangan vokal lunak merdu Siti.

Malam itu juga Siti dan peminat menari sakan dengan tarian joget lambak apabila dia menutup tirai persembahannya itu dengan lagu Cindai yang pernah diangkat sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu 1998.

Buat Siti, buang saja perasaan risau itu kerana selepas hampir tiga jam menyaksikan rakaman itu berlangsung, aura Siti dan lagu tradisional, masih lagi ampuh serta belum hilang lagi taringnya.

Belum rancang sambutan ulang tahun perkahwinan

OGOS bertandang lagi dan tahun ini genaplah usia perkahwinan Siti dan suami tercinta mencecah angka dua tahun. Selama detik itu, Siti akui status bergelar isteri memberikan banyak pengalaman yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata buat dirinya.

Namun dari riak wajah Siti, dapat ditebak bahawa si pelantun Biarlah Rahsia ini sedang enak mengulit bahagia. Jika tahun lalu Siti meraikan hari bersejarah itu dengan sambutan besar-besaran, namun kali ini Siti dan suami masih belum merancang apa-apa.

“Siti masih belum tetapkan apa-apa untuk mengadakan sambutan ulang tahun kedua perkahwinan Siti. Cuma apa yang Siti harapkan agar rumah tangga yang dibina ini berkekalan, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa bersabar atas segala dugaan yang mendatang.

“Mungkin kami akan mengadakan kenduri. Mengenai hadiah apa yang ingin diberikan, itupun Siti tak fikir lagi,” ujar Siti sambil mengukir senyuman manis.

Sempena kedatangan Ramadan September depan, Siti sudah pun merancang untuk mengerjakan umrah bersama suami dan ibu mentuanya.

“Siti akan sambut puasa di sana dan akan bertolak awal Ramadan. Kami akan berada di sana selama seminggu lebih,” tutur Siti yang kelihatan anggun mengenakan busana kurung moden rekaan Rizman Ruzaimi.

sumber: berita harian online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: