Apr
15
    
Posted (admin) in International, berita harian online on April-15-2008

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Hadirnya membawa aura pada konsert di Stadium Merdeka

AURA yang dibawa penyanyi kelahiran Kanada ini cukup menyenangkan, membuatkan sidang media ringkas berlangsung hampir setengah jam petang sebelum dia memulakan siri konsert jelajahnya di ibu kota dicumbui suasana penuh mesra.

Sebelum bicara berbalas, awal lagi dia memohon kemaafan kerana terpaksa menangguhkan konsert sulungnya di negara ini hingga malam kelmarin disebabkan masalah kesihatan.

Memahami kesulitan yang terpaksa dihadapi lantaran terpaksa menangguhkan konsert yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu kerana masalah sakit tekak yang dialaminya, Dion merendah diri memohon pengertian peminat kerana apa yang berlaku di luar kawalannya.

Lantaran kesulitan itu, penyanyi yang menjangkau usia 40 tahun pada 30 Mac lalu juga terpaksa menangguhkan dua konsert di Sydney dan Perth selain menganjakkan tarikh persembahan sulungnya di Kuala Lumpur.

“Saya faham kesulitan yang terpaksa dihadapi kerana terpaksa menangguhkan konsert ini namun apa yang berlaku adalah di luar kawalan.

TIDAK LEPAS PELUANG: Ziana Zain kagum dengan kehebatan Celine Dion di pentas.

“Saya merentasi perjalanan yang sangat menakjubkan sepanjang menjayakan konsert ini, malah kedatangan pertama di Kuala Lumpur cukup bererti kerana diterima dengan baik,” katanya yang turut mengulangi kenyataan itu di hadapan lebih 15,000 penonton yang menyaksikan konsert tunggalnya di rantau Asia Tenggara.

Pada pertemuan singkat itu, penyanyi yang memulakan karier sebagai artis rakaman pada usia 12 tahun mengakui pernah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian selepas melahirkan anak sulung, René-Charles Dion Angélil, tujuh tahun lalu.

Keputusan itu katanya, tidak mudah apatah lagi memegang gelaran ibu adalah satu keajaiban menjangkaui kejayaan yang pernah dicipta sepanjang bergelar artis.

“Saya bimbang tidak mampu menggalas dua tanggungjawab serentak kerana tanggungjawab sebagai ibu terlalu berat. Peranan ibu sangat penting dalam tumbesaran anak.

DETIK MANIS: Impian Datin Seri Siti Nurhaliza bertemu penyanyi pujaannya termakbul, petang kelmarin.

“Saya akui tidak mudah apabila mengambil keputusan untuk kembali aktif. Justeru, saya harus meyakinkan diri mampu melakukannya kerana tidak mahu anak saya menderita dengan keputusan yang diambil.

“Ia mengambil sedikit masa untuk saya memahami proses peralihan itu, namun anak banyak membantu saya dalam proses itu. Saya gembira dapat kembali menyanyi, menghibur peminat di pentas dan pada masa sama menggalas peranan sebagai ibu,” katanya menterjemahkan ruang bahagia yang menghuni sudut hatinya ketika ini.

Meninggalkan Caesar’s Palace, Las Vegas selepas lima tahun beraksi di situ memperlihatkan anjakan baru dalam karier nyanyian Dion.

Berterima kasih kepada pengurusan terutama suaminya, Rene Angelil yang membantu melaksana banyak misi seni mengagumkan, Dion akur perjalanan di Caesar’s Palace juga memberikan pengalaman berharga kepadanya.

“Saya selalu mengingatkan diri apabila mahu melakukan sesuatu, lakukannya sepenuh jiwa. Berikan 100 peratus tumpuan kerana saya tidak gemar dengan kerja separuh hati.

“Beraksi di Caesar’s Palace memberikan tenaga baru kepada saya, malah setiap hari apabila bangun tidur saya berkata kepada diri saya akan melalui hari yang menyeronokkan kerana masih ada persembahan menanti.

“Tidak sangka saya bertahan di sana hingga lima tahun, namun apa yang lebih menyeronokkan saya juga berpeluang melihat anak kesayangan membesar di depan mata,” katanya.

Berpengalaman menyanyi lebih 25 tahun, akui Dion, dia sentiasa mendambakan karier nyanyian yang berkembang, selain berani mengambil cabaran untuk terus bertahan.

Merendah diri katanya, pengalaman panjang itu tidak bermakna dia terlepas daripada melakukan kesilapan namun itu semua membuka matanya untuk lebih matang dalam menangani kehidupan sebagai insan seni.

“Industri hiburan sedang meniti perubahan yang besar, namun saya masih bertuah kerana peminat tetap menerima dan menghargai kehadiran saya.

“Ketika memulakan karier sebagai penyanyi, saya tidak mempunyai wang. Tetapi saya bertuah kerana pengurus mempercayai bakat saya, malah sanggup mencagarkan rumahnya untuk pembikinan album sulung.

“Saya sangat bertuah kerana di kelilingi keluarga serta orang yang sentiasa memberi sokongan dan galakan, malah mereka juga membuka ruang kepada saya untuk bekerja dengan warga seni terbaik sepanjang berada dalam karier ini.

“Semua itu menuntut kerja keras, malah saya tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi yang lebih baik,” katanya.

Unggul dan tersendiri

BAGAIKAN tidak percaya, susuk yang berdiri melontarkan suara lantang penuh bertenaga ketika memulakan konsertnya menerusi lagu I Drove All Night di Stadium Merdeka adalah milik penyanyi bertubuh langsing ini.

Dion punya banyak destinasi pilihan, namun peminat Malaysia bertuah kerana Kuala Lumpur menjadi destinasi persinggahan tunggal di Asia Tenggara dalam rangka konsert jelajahnya yang akan berakhir Januari depan.

Justeru, tidak hairan jika persembahan itu turut membawa penonton luar untuk sama merasai pengalaman berharga ini, malah tenggelam dalam kehebatan alunan vokalnya yang mengalir jernih.

Umpama memutar lagu daripada cakera padat, begitulah diibaratkan persembahan Dion yang beraksi selama lebih satu setengah jam menyampaikan himpunan lagu popularnya.

Tidak tercela malah langsung tidak kedengaran hela nafas kepenatan sekali pun konsert itu menuntut tenaga yang maksimum daripadanya.

Pada usia 40 tahun, tenaga yang dimiliki penyanyi ini cukup luar biasa malah keampuhan vokalnya langsung tidak terjejas walaupun baru pulih daripada kesakitan.

Babak pertama persembahannya memperlihatkan Dion cuba menguasai pentas dengan himpunan lagu popular seperti The Power Of Love, It’s All Coming Back To Me, Because You Loved Me dan To Love You More.

Kembali selepas beberapa minit berehat, Dion menghangatkan semula pentas dengan nyanyian bertenaga membawakan lagu mencabar kekuatan vokal seperti All By Myself, I’m Alive dan I’m Your Angel.

Tidak melupakan lagu yang dipetik daripada album terbarunya, Taking Chances yang dipasarkan November lalu, Dion memilih tiga lagu termasuk Taking Chances, Shadow Of LOve dan My Love menyerlahkan dimensi barunya sebagai penghibur.

Namun, momentum yang pantas memuncak bagaimanapun mula mengendur di pertengahan perjalanan konsert. Menjelang penamat, kehangatan bahang yang dicetuskan dari awal semakin cair apabila Dion gagal menyenaraikan pilihan lagu yang mengesankan.

Kehebatannya di pentas cukup diakui, biarpun beraksi dalam pergerakan ringkas dan sederhana namun jika pengurusan Dion mengkaji pilihan lagu yang lebih menepati cita rasa peminat di rantau ini, barangkali konsert sulungnya itu berakhir dengan sebuah kesempurnaan.

Agak tidak puas kerana lagu popular seperti Where Does My Heart Beat Now, If You Asked Me To, When I Fall In Love, Falling Into You, Tell Him dan Immortality tidak dibawakan dalam konsert ini.

Sebaliknya lagu kurang mesra di pendengaran peminat It’s A Man’s World, That’s Just The Woman In Me dan Think Twice menjadi pilihannya malam itu.

Disebabkan itu sebaik lagu terakhir, My Heart Will Go On dialunkan, kedengaran riak tidak puas kerana peminat masih dahagakan sesuatu yang lebih daripada penghibur bertenaga ini.

sumber: berita harian online


Comments:
kipas-susah-mati celine dion on April 16th, 2008 at 7:44 pm #

excuse me! lagu think twice tu pun lagu hits la! ape la cik zul ni! sebagai peminat setia celine dion,aku x setuju la !

admin on April 16th, 2008 at 8:48 pm #

itu la pasal! zul ni br berjinak2 kot? hehe

Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: