Oleh Zaidi Mohamad
PENAWAR LUKA: Faizal Tahir bersama trofi dimenangi pada majlis APM 2008 di Kuala Lumpur, malam tadi. |
Penyanyi baru bebas hukuman ‘gantung’ tiga bulan ungguli 2 kategori
KUALA LUMPUR: Faizal Tahir yang baru saja ‘dibebaskan’ daripada hukumannya (digantung daripada muncul membuat persembahan di kaca TV selama tiga bulan) pada 16 April lalu membuat kejutan apabila mengungguli kategori Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2008, malam tadi.
Bagi kategori Artis Lelaki Paling Popular, Faizal Tahir mengetepikan Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007, Mawi.
Datuk Siti Nurhaliza terus unggul mempertahankan gelaran sebagai Artis Wanita Paling Popular buat kali kelapan menerusi APM 2008 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Farah Asyikin pula terus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia hiburan apabila dia dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Terbaik. Kumpulan Gigi dari Indonesia tidak pulang dengan tangan kosong apabila menyapu bersih tiga kategori iaitu Artis/Duo Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.
APM 2008 menyaksikan 17 kategori disampaikan termasuk Anugerah Terbaik (11) dan Anugerah Paling Popular (4). Turut disampaikan, Anugerah Khas yang diberi kepada kumpulan Search dan Anugerah Cinta Planet Muzik kepada KRU.
Pelengkap kepada APM 2008 ialah acara persembahan yang membabitkan artis popular dari tiga negara serantau seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ajai, Mawi, Faizal Tahir, Ferhad, Dayang Nurfaizah, Farah Asyikin, Elyana, Mila, Sofaz dan Meet Uncle Hussain.
Tidak ketinggalan, artis Singapura seperti juara Singapore Idol, Taufik Batisah, Hady Mirza, Aliff Aziz dan Ahli Fiqir serta artis Indonesia seperti Judika, Kris Dayanti, Bunga Citra Lestari, Ihsan dan Matta.
APM 2008 dihoskan pengacara Sarah Sechan dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (Malaysia) dan Global TV Indonesia. Acara itu turut disiarkan secara langsung menerusi Radio Era dan MediaCorp Singapore Radio.
Peminat di Singapura berpeluang menyaksikan acara ini menerusi siaran tertunda. Acara itu mendapat kerjasama MediaCorp Radio Warna 94.2fm, Ria 89.7fm dan Beyond DBB Malaysia/Beyond Event.
Ini kali kedua Kuala Lumpur menjadi tuan rumah menganjurkan APM selepas 2003.
Daripada 12 kategori utama yang dipertandingkan, Malaysia mendominasi lapan kategori.
INFO: Senarai Pemenang APM 2008
- Artis Baru Lelaki Terbaik: Faizal Tahir
- Artis Baru Wanita Terbaik: Farah Asyikin
- Kumpulan/Duo Baru Terbaik: Meet Uncle Hussain
- Artis Lelaki Terbaik: Anuar Zain
- Artis Wanita Terbaik: Kris Dayanti
- Artis Duo/ Kumpulan Terbaik: Gigi
- Lagu Terbaik: Nakal (Album: Peace Love and Respect/Artis: Gigi)
- Album Terbaik: Peace, Love and Respect
- Artis Lelaki Paling Popular: Faizal Tahir
- Artis Wanita Paling Popular: Datuk Siti Nurhaliza
- Duo/ Kumpulan Paling Popular: Estranged
- Lagu Paling Popular: Itu Kamu (Estranged)
sumber: berita harian