Oleh Azman Zakaria azmanz@bharian.com.my
TINGKAT KUALITI: Abdullah berbual dengan penerima anugerah kecemerlangan Balai Iktisas Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pembangunan modal insan pelajar mesti diberi perhatian
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kumpulan profesional sebagai tenaga kerja yang penting di negara ini sentiasa menambah nilai dan meningkatkan pencapaian bagi membantu menjayakan pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, selama ini golongan berkenaan memberi sumbangan bermakna untuk Malaysia dan rakyatnya menikmati pelbagai program pembangunan berterusan.
“Kumpulan profesional penting dalam masyarakat… kumpulan yang bertanggungjawab bukan saja mengharumkan nama negara, malah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan.
“Kita perlu berusaha lebih gigih mencapai kualiti lebih tinggi supaya kemajuan dicapai berterusan dalam usaha menjadikan negara sentiasa makmur dan terus cemerlang,” katanya pada majlis ‘Professional Evening with Our Patron’, anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM), di sini malam tadi. Turut hadir isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Sehubungan itu, Abdullah yang juga penaung BIM, berkata pembangunan modal insan bermula dari peringkat sekolah mesti diberikan penekanan supaya pelajar yang akhirnya menamatkan pengajian di universiti mampu menambah nilai kepada setiap perkhidmatan atau produk, seterusnya melahirkan lebih ramai profesional.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah kecemerlangan BIM 2008 kepada Tan Sri Dr Yahya Awang bagi kategori Perubatan dan Penjagaan Kesihatan, Hijjas Kasturi (Kejuruteraan, Pembinaan dan Hartanah), Tan Sri Prof Emeritus Dr Ong Soon Hock (Sains Tulen dan Gunaan), Tan Sri Mohd Hassan Marican (Perakaunan, Perniagaan dan Perdagangan), Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (Artis Profesional Malaysia), Datuk Seri Md Isahak Md Yusuf (Anugerah khas Presiden) dan Ungku Anna Ungku Mohamed (Anugerah Penghargaan Presiden).
sumber: Berita Harian online