Jan
16
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on January-16-2008

Oleh Faiza Zainudin

KUALA LUMPUR: Laman web Berita Harian menjadi pilihan pertama rakyat negara ini untuk mendapatkan maklumat isu semasa tempatan dan global, secara paling pantas dan berkesan.

Kedudukan itu diikuti akhbar tabloid Harian Metro dan Utusan Malaysia, mengikut analisis yang dikeluarkan Google Inc menerusi Google Malaysia, semalam.

Analisis itu mendapati pencarian laman web akhbar terbabit paling popular sepanjang 2007 selain laman web friendster, myspace, wikipedia, airasia, maybank2u dan jobstreet.

Selain pencarian laman web akhbar berkenaan, pencarian paling popular yang dikesan di laman web google.com.my, turut membabitkan kategori pencarian individu paling terkenal/selebriti; destinasi dan aktiviti hiburan dalam talian.

Selain itu, sukan bola sepak; program televisyen, radio dan wayang; permainan kartun animasi dan teknologi maklumat.

Analisis itu juga mendapati penyanyi nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza mengatasi personaliti ternama dunia, termasuk Paris Hilton dan Britney Spears apabila penyanyi terkenal itu menduduki tempat teratas pencarian paling popular kategori individu paling terkenal/selebriti.

Jutaan rakyat Malaysia mencari maklumat mengenai peribadi penyanyi itu pada sepanjang masa, termasuk aktiviti harian dan kariernya berbanding pencarian maklumat artis ternama tempatan lain serta artis antarabangsa.

Siti Nurhaliza mengatasi pencarian maklumat, blogger, Paul Tan, diikuti Paris Hilton, Britney Spears, Akon (blogger), Avril Lavigne (pelakon), Nurin Jazlin (mangsa kes bunuh), Jeff Ooi (blogger), Megan Fox (pelakon) dan Altantuya (mangsa kes bunuh).

Kategori pencarian yang mencatat bilangan pengguna yang semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya dimonopoli oleh youtube, facebook, firefly, esnips, mobik, veoh, transformers, friendster layout, heroes dan tudou.

Bagi destinasi percutian pula, pencarian maklumat mengenai Genting dan Langkawi mendahului senarai diikuti Singapura, Pulau Pinang, Bali, Cameron Highland, Melaka, Port Dickson, Bukit Tinggi dan Kuala Lumpur.

Aktiviti hiburan dalam talian yang mendapat sambutan di kalangan rakyat negara ini ialah friendster, youtube, myspace, games, naruto, metacafe, facebook, imeem, photobucket dan lowyat.

Bagi sukan bola sepak, ramai yang menaip soccernet untuk mendapat maklumat lebih pantas, berbanding English Premier League, Manchester United, Arsenal, Liverpool, Chelsea, Union of European Football Association, Fantasy Premier League, Fantasy Football dan Football Association of Malaysia.

Golden Screen Cinema mendahului senarai pencarian bagi kategori program televisyen, radio dan wayang, diikuti Tanjung Golden Village, filem Transformers, Heroes, radioblog, era, Prison Break, cineleisure, HitFM dan High School Musical.

Bagi permainan pula, miniclip mendapat perhatian utama rakyat negara ini, diikuti barbie, maplesea, pokemon, sudoku, gamespot, runescape, utopia, ghost online dan animax.

Bagi teknologi terkini komunikasi, ramai yang mencari maklumat mengenai mp3 135, iphone dan nokia 6300.

Pencarian paling popular dalam bahasa Melayu pula kebanyakannya mengenai jawatan kosong, resipi, Akademi Fantasia, mat rempit, Cuti-cuti Malaysia, kamus, lagu, lirik, portal pendidikan dan cerita.


Sumber: Berita Harian


 
Jan
10
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on January-10-2008

SESUATU yang dicari peminat setia penyanyi nombor satu negara ini adalah sebuah produksi yang dapat menyaingi album terdahulunya, Transkripsi.

Album yang diedarkan sebelum Siti mengakhiri zaman gadisnya itu meletakkan standard yang cukup tinggi dalam produksi album, apatah lagi jika ia dihasilkan menggunakan wang poketnya sendiri.

Seperti Transkripsi, Hadiah Daripada Siti juga menyaksikan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mempunyai sepenuh kuasa untuk menentukan hala tuju penerbitan album ini. Percubaan Siti untuk beralih daripada lagu balada yang selama ini menjadi identitinya apabila memilih sentuhan rancak, Ku Mahu ciptaan Audi Mok menampakkan hasil.

Lagu yang mempunyai nuasa muzik Latin yang dipetik daripada drama bersiri, Spa Q berjaya menyerlahkan sisi baru Siti. Irama yang segar pantas menangkap pendengaran meskipun hakikatnya, album ini turut menghidangkan beberapa lagu yang mampu memberi kekuatan sekali pun sukar untuk mencari sentuhan yang dapat menandingi lagu dalam Transkripsi.

Menyusuri keseluruhan album ini akan terasa kekurangannya. Biar berulang cuba diputarkan, ia masih membuat hati ini terus mencuba dan mencuba untuk mencari di mana letaknya kekuatan Hadiah Daripada Siti. Jika dalam Transkripsi, Siti mengimbangi antara rentak perlahan dan rancak, tetapi untuk album ini Siti lebih selesa dengan irama balada.

Tetapi maaf jika dikatakan andai Siti memperuntukkan masa yang lebih panjang, barangkali Hadiah Daripada Siti akan tampil lebih kemas dan meyakini. Malah, kekuatan vokal yang selama ini memberi kelebihan padanya kurang ditonjolkan dalam penerbitan album ini. Mungkin Siti mahu mencuba sentuhan yang lebih relaks, bersesuaian dengan peralihan usianya yang semakin menuju kedewasaan.

Melawan Kesepian adalah antara sentuhan menarik dalam album ini. Sentuhan sepenuhnya Pongky Barata mampu menjadi hits, begitu juga dengan sebuah lagi balada ciptaan Cynthia Lamusu iaitu Kerana Dirimu. Susunan muzik yang ringkas, namun tetap berjaya menyerlahkan kekuatan yang ada pada diri isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini.

Memuatkan 11 lagu baru, Siti turut merakamkan semula lagu yang dinyanyikannya dalam teater muzikal, P Ramlee… The Life, The Loves & The Inspiration yang menyaksikan kemunculan pertamanya di pentas lakonan. Tidak dilupakan lagu Hati yang menjadi lagu tema kepada filem patriotik, 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba.

KATA HIP:

BARANGKALI Siti cuba membawa peminat untuk berlari bersamanya ke arah sisi baru selepas lebih sedekad melayari dunia nyanyian. Disebabkan itu, Siti memilih judul Hadiah Daripada Siti untuk mewakili apa yang ingin disampaikan kepada peminat setianya. Suara hati Siti yang ingin dikongsi bersama semua.

sumber : berita harian online


 
Jan
08
    
Posted (admin) in Datuk K, covergirl, berita harian online, Personal Siti on January-8-2008

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

KEMUNCULANNYA di khalayak ramai memang ditunggu-tunggu. Peminat, terutamanya, ingin sekali melihat gaya baru Datin Seri Nurhaliza apabila artis tersohor ini pulang daripada mengerjakan ibadat haji, 27 Disember lalu. Maklum saja, perdebatan mengenai bagaimana Siti akan mengenakan tudung apabila bergelar Hajah agak hangat juga sebelum wanita berusia 28 tahun ini bertolak ke Makkah.

Lalu, kehadirannya pada majlis meraikan hari lahir Chef Wan di Starhill Gallery, Ahad lalu tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan ramai sebaik saja dia melangkah masuk ke restoran Tarbush bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Lensa kamera jurugambar yang membuat liputan majlis keraian itu juga beralih arah seketika, tatkala artis jelita itu tiba.

Tidak hairanlah, apabila majlis terbabit menjadi kemunculan pertama Siti bersama imej baru selepas pulang dari Tanah Suci. Ulasan spontan yang kedengaran, selain ucapan tahniah dan kesyukuran kerana dia dan suami sudah pun selamat kembali ialah betapa penyanyi ini kelihatan manis dan sopan dengan penampilan barunya.

“Insya-Allah, inilah imej baru Siti setelah agak lama mencari-cari penampilan yang sesuai selepas mengerjakan haji. Tudung yang Siti kenakan ini ialah hasil perbincangan Siti bersama pereka, Datuk Bernard Chandran. Siti memilih gaya begini kerana ia bersifat sederhana dan mudah untuk digayakan,” katanya.

Siti juga tidak memilih untuk mengenakan tudung penuh yang melitupi keseluruhan rambut kerana berasakan perubahan secara perlahan-lahan itu bersesuaian dengan hakikat dia masih lagi aktif menyanyi.

“Jika diizinkan Tuhan Siti akan kekal bertudung. Namun, biarlah perubahan ini Siti lakukan secara perlahan-lahan. Biarlah Siti selesa dengan tudung ini dulu sebelum memikirkan gaya tudung lain pula selepas ini,” katanya yang memberitahu, dia juga mungkin akan meminta beberapa pereka tempatan lain menyediakan rekaan tudung sesuai untuknya.

Mengenai kemungkinan wujud kalangan peminat yang tidak menyenangi gaya bertudung ketika ini, penyanyi itu berkata, dia memang tidak dapat lari daripada komen orang ramai. Begitupun dia tidak mahu terkesan dengan ulasan yang bersifat negatif.

Yang nyata, selepas penampilan sulungnya ini, tentu ada kalangan peminat yang ingin menjadikan gaya terbaru Siti sebagai ikutan. Siti sendiri bagai mengalu-alukan peminat yang ingin ‘meniru’ penampilannya kerana bertudung adalah imej yang sopan dan selari dengan ajaran agama.

Pada masa ini, Siti mengaku, koleksi tudungnya masih sedikit kerana dia sendiri baru saja pulang dari Makkah. Kebanyakan tudung yang dimiliki dan bakal dikumpul adalah berasaskan warna hitam kerana ia mudah dipadankan dengan mana-mana pakaian.

Ditanya reaksi suami apabila dia memilih untuk tampil bertudung, Siti berkata, Khalid menyerahkan keputusan untuk berbuat demikian kepadanya. Jelas Siti lagi, suaminya gembira dengan mana-mana pilihan yang dilakukan penyanyi yang baru saja tampil dengan album Hadiah Daripada Hati ini.

Pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-22, 27 Januari ini, Siti berkata dia akan tampil dengan imej tudung lebih kurang serupa. Ia pastinya cuba disesuaikan dengan pakaian yang akan dikenakan pada malam itu, ketika menyampaikan lagu Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zen dan Rozi Abd Razak dalam kategori Pop Rock.

Untuk pertandingan itu juga, Siti memberikan kepercayaan kepada Pat Ibrahim untuk mereka gaya tari dan persembahannya apabila dia bersaing di Stadium Putra Bukit Jalil nanti. Latihan bersama penari akan dimulakan Siti pada minggu ini.

Sementara itu, pemilik suara gemersik ini mengaku dia berdoa ke hadrat Ilahi agar ibadat haji yang ditunaikan bersama suami, ibu serta abangnya pada Disember lalu bukanlah haji terakhir untuk dirinya.

Walaupun jutaan manusia memenuhi setiap ruang tempat ibadat terbabit, namun Siti cukup bersyukur dan gembira apabila dapat menunaikan setiap rukun haji dengan sebaiknya. Katanya, seperti yang dihajatkan, semuanya berjalan dengan lancar sepanjang dia dan suami mengerjakan ibadat berkenaan.

“Siti juga terserempak dengan penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul, ketika kami sama-sama menginap di Hotel Intercontinental, Makkah,” katanya bercerita sebahagian daripada pengalaman sepanjang dua minggu berada di Makkah dan Madinah.

sumber: berita harian online


 
Jan
03
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Personal Siti, Career on January-3-2008
 
 

hanizam@bharian.com.my

KECOH benar bunyinya apabila Datin Seri Siti Nurhaliza hendak pergi Makkah. Orang lain pun pergi juga tetapi taklah heboh dan kecoh sangat macam kes Siti ni. Tetapi begitulah kalau nama sudah besar macam Siti. Mana mungkin jadi kecil jika tuan punya nama begitu gah dan popular walaupun ada yang berpendapat popularitinya sudah tak seberapa sejak bergelar isteri kepada usahawan glamor.

Seperti juga kisah cinta dan kahwinnya dulu, begitulah juga apabila dia mengambil keputusan untuk menunaikan rukun Islam ke lima itu. Siapa boleh lupa episod terpaksa mengadakan sidang media untuk mengumumkan kisah cinta dan tarikh perkahwinannya diikuti dengan program Biarlah Rahsia setiap minggu sebagai build-up menjelang kemuncak hari bahagianya. Majlis akad nikah dan persandingannya pun dibuat siaran langsung yang dihadiri oleh who’s who dalam masyarakat. Memang tak pernah dibuat artis Melayu alaf baru! Nasib baik masa nak berangkat ke Makkah, tak ada pula siaran langsung dari TV3. Kalau tidak kacau juga kerana soal ibadat dan begitu peribadi sudah jadi macam program realiti TV.

Selepas berkahwin dan belum pun setahun melayari bahtera perkahwinan, sudah timbul pula pertanyaan bila lagi Siti hendak mengandung dan bergelar ibu. Tension juga Siti apabila setiap kali jumpa press, mesti ada pertanyaan sama ada Siti sudah berbadan dua. Kebetulan badannya yang berisi sedikit membuatkan spekulasi bahawa dia sedang hamil semakin memuncak sedangkan punca kegemukan Siti adalah kerana terlalu bahagia melayari hidup sebagai isteri kepada Datuk Seri K.

Yang hairannya, Siti kata tak, tak, tak tetapi orang yang berada di luar ruang lingkup peribadinya yang kononnya lebih tahu dan mengatakan ya, ya, ya! Macam mana boleh berlaku macam itu teman pun tak tahulah. Barangkali juga kerana sebelum ini Siti pernah mengatakan tidak, tidak, tidak apabila timbul cerita cintanya dengan Datuk Seri K sehingga pernah berkata dia tak kenal pun siapa si dia itu, tup-tup-tup kahwin pula dan kini sedang bahagia. Ah… cerita lama tak guna diungkit semula.

Teman tahu bukan Siti tak rimas apabila orang dok sibuk-sibuk sangat pasal hal peribadinya dan terbaru mengenai pemergiannya ke Tanah Suci. Siti tak apa-apa, orang luar pula yang lebih sibuknya. Dan soalan yang kerap ditanya adalah sama ada bertudung litup ke atau sekadar mahu bertudung manja-manja, maksudnya bertudung nampak jambul atau siang tudung, malam buka?

Bagi teman, kita tak payahlah nak kecoh sangat sama ada Siti pakai tudung atau tidaknya. Itu memang hak peribadinya. Biarlah Siti membuat keputusan sendiri tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak. Dah besar panjang anak Kuala Lipis ni. Lagi pun dia dah bersuami. Kalau suami dia tak kata apa-apa, apa kes kita nak sibuk pula. Tetapi teman tahu, orang dok bising pun sebab Siti juga pernah melahirkan hasratnya untuk bertudung. Mula-mula dia pernah kata akan bertudung apabila bergelar isteri, lepas itu apabila dapat title Hajah. Jadi peminat hiburan tanah air pun peganglah pada kata-kata Siti tu.

Bukan tak tertekan Datin Seri Siti tetapi orang kata pengalaman mematangkannya. Siti kata dia tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak termasuk peminat dan media. Bertudung kata Siti biarlah ikhlas dan ia bukan perkara main-main. Maksud Siti, dia tak mahu jugalah hari ini beriya-iya tudung tetapi esok lusa dah buka pula.

Teman teringat juga kisah seorang artis ini yang mulanya bertudung lingkup bagai nak rak, tetapi beberapa bulan kemudian tudung pun entah ke mana. Lebih parah lagi apabila sejak buka tudung, pakaiannya pula lebih teruk daripada sebelum dia memakai tudung. Sudahlah, teman tak mahulah ngomel-ngomel sangat mengenai hal tudung-tudung ni kerana tak mahu pula orang kata pulang paku serpih, kata orang diri sendiri yang lebih. Teman sendiri pun tak bertudung nak sibuk-sibuk pula hal orang tak pakai tudung. Apa kes?

Hakikat sebenarnya, orang selalu mengharap yang terbaik dan sempurna daripada penyanyi ini sedangkan dia hanyalah manusia biasa. Seperkara lagi yang orang dok sibuk juga adalah mengenai popularitinya kalau dia sudah bertudung litup. Ada yang kata popularitinya akan merudum tetapi ada juga yang berpendapat sebaliknya. Tetapi soal spekulasi populariti merudum ini bukan cerita baru. Dulu masa Siti nak kahwin, dok galak juga orang kata dia orang sudah tak berapa nak suka dia. Maklumlah, dia orang kata orang Malaysia ni suka yang single dan nampak available saja.

Tetapi sejak berkahwin tak ada pula teman lihat Siti tenggelam. Malah dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun lalu, Siti masih lagi menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular. Menarik juga hendak tahu keputusan undi tahun ini sama ada Siti masih kekal nombor satu bagi kategori Penyanyi Wanita Popular atau dirampas penyanyi yang lebih muda.

Bercakap mengenai undi ini, teman dah kata itu memang hak dan pilihan anda. Menariknya, sejak minggu lalu pihak Berita Harian menawarkan bukan setakat 100 tiket VIP untuk menghadiri majlis anugerah yang akan diadakan di Genting Highlands pada Mac tahun depan untuk mereka yang mengundi tetapi juga 30 hadiah barangan JVC. Antara barangan yang ditawarkan adalah sistem home theater, pemain DVD dan alat camcorder. Jadi, undi jangan tak undilah. Bukan nak rugi pun, cuma beli akhbar BH, pangkah nama artis kesayangan dan terus hantar ke alamat yang tertera di borang. Eh… jangan lupa slogan kreatif itu. Jumpa lagi!

sumber: berita harian online


 
Nov
20
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on November-20-2007

Oleh Farihad Shalla Mahmud


BERJAYA: Lima finalis kategori Balada yang berjaya ke peringkat akhir. Dari kiri: Sahri, Lah, Jaclyn Victor, Faizal Tahir dan Fazli Zainal.

KEPUTUSAN pertandingan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik yang berlangsung malam kelmarin barangkali mengejutkan sebilangan besar peminat Datin Seri Siti Nurhaliza apabila penyanyi kesayangan mereka itu gagal mara ke Anugerah Juara Lagu ke-22.

Bisakah, yang menjadi pertaruhan Siti untuk kategori Balada menjadi ‘tidak bisa’ apabila lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Tessh RS itu gagal memenangi hati juri untuk turut menyenaraikan lagu itu sebagai finalis AJL22.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah peminat penyanyi nombor satu negara itu apabila nama Siti yang mereka laungkan sebagai peserta terakhir yang bakal bergelar finalis tidak menjadi kenyataan. Apa sudah berlaku? Apakah persembahan Siti malam itu tidak cukup mantap ataupun lagu itu sendiri mempunyai kelemahan.

Bukan cuba mempertikaikan kredibiliti juri ataupun bersikap bias dengan mempersoalkan keputusan yang sudah pun dibuat namun kegagalan Siti menerusi kategori Balada menimbulkan tanda tanya kerana apa yang diketahui kategori itu adalah kubu kebalnya. Sejarah pernah membuktikan bahawa selama lapan tahun bertanding ke peringkat akhir, tujuh tahun berturut-turut lagu balada nyanyiannya berjaya meloloskan diri sebagai finalis AJL.

Mungkin pihak juri mempunyai jawapan mengapa ini boleh berlaku. Ketika diajukan pertanyaan ini kepada Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan yang juga Ketua Juri, jawapan yang diterima cukup ringkas iaitu juri bersepakat mengatakan lagu Bisakah kurang memberi kesan kepada mereka.

“Rumusan yang kami buat adalah lagu itu kurang impak. Kami pernah dengar lagu nyanyian Siti ketika AJL sebelum ini dan kami dapati Bisakah tidak sehebat lagu itu. Malah, ketika kami menilai untuk peringkat saringan, lagu ini sebenarnya bukan berada di dalam kumpulan yang kami rasakan layak ke peringkat akhir. Jadi, itulah sebabnya mengapa Bisakah gagal ke peringkat akhir,” jelas Azhar sejurus selepas pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik itu berakhir.

Azhar juga meminta supaya media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai ketiadaan Siti sewaktu pengumuman keputusan dilakukan kerana menurutnya, Siti perlu menghadiri persembahan yang sudah pun dipersetujui awal.

“Sewaktu acara cabut undi kedudukan persembahan tempoh hari, Siti mendapat tempat kedua dari bawah. Memandangkan dia terbabit dalam persembahan lain pada malam ini, jadi kami menukarkan tempatnya dengan Faizal Tahir. Dan selepas menyanyi, Siti terpaksa meninggalkan acara lebih awal untuk komitmen itu,” ujar Azhar sekali gus menafikan ketiadaan Siti disebabkan penyanyi itu kecewa kerana gagal ke peringkat akhir AJL22.

Ditanya penilaiannya terhadap lagu yang tersenarai ke peringkat akhir, Azhar berpuas hati kerana ada di antara lagu yang tersenarai berada dalam kumpulan yang mereka sifatkan layak.

“Kami dapati, kumpulan yang tersenarai sama dengan susunan yang kami buat pada peringkat saringan awal. Cuma yang di bawah itu kami kurang pasti. Apa yang penting persembahan malam ini menentukan sama ada mereka tersenarai sebagai finalis atau sebaliknya kerana ia juga memberi kesan,” katanya.

Mengulas dakwaan ramai produk Media Prima tersenarai sebagai finalis untuk kategori ini, jawab Azhar, apa yang berlaku adalah secara kebetulan.

“Lagipun mereka yang terpilih ini bukan calang-calang. Sebagai bukti, persembahan mereka malam ini cukup hebat. Itu yang penting,” Azhar memberikan jawapan selamat sebelum terjerat dalam kancah kontroversi.

Mengenai apakah pendirian TV3 jika ada penyanyi asal lagu yang berjaya ke peringkat akhir ingin menyanyikan lagu itu kembali, Azhar berkata TV3 menyerahkan perkara itu kepada budi bicara komposer.

“Terserah pada komposer untuk memilih siapakah yang mereka inginkan menyanyi lagu itu di peringkat akhir nanti. Bagi pihak kami, tiada halangan apa-apa,” ujarnya.

Angin perubahan kategori Balada

BAGAIKAN berjanji, kategori Etnik Kreatif yang berlangsung minggu lalu dikuasai penyanyi senior manakala kategori balada pula didominasi penyanyi junior. Sebagai contoh nama seperti Faizal Tahir, Sahri, Fazli Zainal adalah muka baru yang pertama kali menjejakkan kaki di pentas berprestij AJL.

Barangkali inilah angin baru yang dikehendaki peminat yang menjalankan tugasnya setiap minggu memilih lagu bagaimana yang mereka ingin lihat bertanding di peringkat akhir AJL. Berkongsi pendapat mengenai situasi itu, Faizal berkata apa yang dilakukan TV3 itu adalah adil dan praktikal.

“Sistem undi yang diperkenalkan membuatkan peminat bebas memilih senarai pencalonan yang mereka inginkan. TV3 memberi kebebasan untuk mereka mengundi lagu mengikut cita rasa mereka sendiri. Itu memang bagus,” kata naib juara program realiti One In A Million ini.

sumber: berita harian


 
Nov
14
    
Posted (admin) in berita harian online, Personal Siti on November-14-2007


TERHARU: Siti Nurhaliza menyampaikan cenderamata kepada Yee di IJN, Kuala Lumpur, semalam sambil disaksikan Chan (dua dari kanan), ibu bapa Tee dan kakitangan hospital.

KUALA LUMPUR: Hajat penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, yang sedang menjalani terapi fisiologi, untuk menemui penyanyi pujaannya Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin termakbul semalam apabila penyanyi nombor satu negara itu mengunjunginya di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pertemuan yang diatur Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy itu, Siti yang tiba di IJN jam 9.30 pagi meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama Hui Yee yang meminatinya sejak kecil.

“Ketika kali pertama bersua, dia kata dia peminat saya sejak kecil lagi. Saya lihat Hui Yee yang ditemani ibu bapanya begitu gembira sekali dapat bercakap dengan saya dan kelihatan semakin pulih.

“Saya akan terus mendoakan kesejahteraan Hui Yee yang turut mendoakan semoga saya terus berjaya dalam kerjaya nyanyian. Saya rasa begitu terharu dan hadiahkan dia dengan dua cakera padat (CD) terbaru saya,” katanya ketika ditemui di lobi IJN selepas pertemuan itu.

Siti berkata, dalam pertemuan itu beliau memberi kata-kata semangat kepada Hui Yee dan beliau melihat ada kekuatan semangat dalam dirinya, iaitu elemen terpenting untuk kembali pulih ketika mengharungi kesakitan.

“Sebelum beredar, saya lihat sendiri walaupun demam, Hui Yee mampu berjalan sendiri perlahan-lahan. Sama-samalah kita berdoa semoga dia cepat sembuh dan organ yang baru diterima serasi dengannya,” katanya sebak sehingga menitiskan air mata dalam pertemuan itu.

Siti yang ditemani pengurusnya, Rozi Abdul Razak, menjelaskan walaupun pertemuan itu singkat, ia penuh bermakna.

Selain CD, Siti menghadiahkan Hui Yee sejambak bunga dan sebuah buku Qi Gong.

Siti berkata, beliau sudah merancang melawat Hui Yee sebelum ini selepas terbaca mengenai impian remaja itu menerusi akhbar, tetapi tidak dapat dilakukan apabila Hui Yee tiba-tiba dimasukkan dalam wad rawatan rapi (ICU).

“Masa yang kami nanti-nantikan ini muncul semula apabila Datuk Seri Chan (Kong Choy) menghubungi suami saya malam tadi (kelmarin) untuk mengaturkan pertemuan ini,” katanya.

sumber: berita harian online


 
Nov
05
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Career on November-5-2007

Oleh Sariha Mohd Ali


SEGAK: Khalid bersama Siti kelihatan segak dalam pakaian sedondon pada majlis penerimaan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-77 yang membawa gelaran Datuk Seri.

PENYANYI terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang kini bergelar Datin Seri, menganggap pengurniaan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, tidak akan mengubah personaliti mereka berdua.

Siti Nurhaliza, 28, berkata kurniaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kepada suaminya yang lebih dikenali sebagai Datuk K itu, bukan tiket untuk mereka berdua bermegah diri.

“Bagi Siti, ini satu kurniaan yang sangat besar kepada suami, daripada Sultan Pahang yang begitu prihatin terhadap sesiapa saja.

“Sudah tentu Siti bangga dengan pencapaian suami kerana anugerah ini (SSAP) adalah darjah tertinggi di Pahang dan ini adalah hari yang bersejarah bagi kami berdua.

“Bagi menghormati majlis protokol, bolehlah panggil saya dengan gelaran baru itu, tetapi di majlis biasa, Siti tidak kisah jika mahu memanggil Siti dengan gelaran biasa mengikut keselesaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Balairong Seri, Istana Abu Bakar selepas selesai istiadat pengurniaan darjah kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-77, di Pekan, Pahang kelmarin.

Siti Nurhaliza yang berbaju kebaya moden berwarna oren gelap, hadir berpakaian sedondon bersama Datuk K, yang turut ditemani anak tirinya, Mohd Asyraf. Sesekali, Siti dilihat mesra dengan anak tirinya itu sambil mengelapkan peluh di wajah Mohd Asyraf.

Tahun lalu, Siti Nurhaliza mencatat sejarah sebagai artis termuda di negara ini dianugerahkan pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk, apabila Sultan Pahang mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepadanya, sempena ulang tahun baginda yang ke-76.

Siti Nurhaliza berkata, dia dan suami akan terus berbakti kepada masyarakat menerusi cara masing-masing dan terus berdoa supaya diberikan segala yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, Siti berkata, dia masih belum diberi rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Siti masih belum mengandung dan sangat berharap dikurniakan anak tetapi belum ada rezeki. Memang Siti nak hidup bertiga (bersama anak baru) tetapi hari ini (semalam) pun, Siti hadir bertiga juga (sambil menunjuk kepada Mohd Ashraf),” katanya.

sumber : berita harian online


 
Oct
18
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on October-18-2007

Datuk Siti Nurhaliza yang akan muncul dalam teater P Ramlee…The Musical akan menyanyikan lagu Mulanya Cinta ciptaan Adlin Aman Ramlie.

sumber: Berita Harian


 
Oct
03
    
Posted (admin) in berita harian online, Personal Siti on October-3-2007

Tak percaya Siti berada di depan mata

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Penyanyi popular luangkan masa kunjungi anak yatim di Gombak bersama krew Singgah Sahur

BAYANGKAN penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza masuk ke bilik dan mengejutkan anda untuk bersahur. Pasti rasa macam tidak percaya tetapi itulah perasaan yang dialami kanak-kanak di Rumah Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Gombak, Sabtu lalu apabila sebaik mengesat mata, wajah Siti berada di depan mata.

Rumah yang menempatkan kanak-kanak berusia antara 2 hingga 15 tahun itu masih gelap ketika krew Singgah Sahur tiba di kediaman mereka kira-kira jam 4 pagi. Ramai yang sukar membuka mata ketika dikejutkan, apa lagi sebaik bangun tidur tiba-tiba terlihat Siti Nurhaliza duduk di birai katil bagaikan mimpi.

Sebaik melihat kelibat penyanyi jelita itu, mereka bingkas bangun. Namun, seorang penghuni kecil berusia 3 tahun bernama Eton pula begitu sukar membuka mata hingga terpaksa didukung oleh Siti Nurhaliza untuk menikmati juadah sahur yang disediakan oleh pihak TV3.

Riuh rendah seketika rumah yang dihuni 31 orang anak malang itu apabila krew Singgah Sahur membuat kunjungan mengejut ke rumah mereka. Siti yang hanya ditemani abangnya Ayie dan kakak iparnya Rozie turut meluangkan masa menikmati sahur bersama anak-anak yang kurang bernasib baik itu.

Suaminya Datuk Khalid Mohamad Jiwa pula tidak dapat turut serta kerana ada urusan lain namun, Khalid tidak lupa menyampaikan salam kepada mereka. Siti pula meskipun baru saja selesai dengan majlis di Dataran Mereka terus saja bergegas ke Gombak menunjukkan sikap prihatinnya.

Selesai bersahur bersama, Siti Nurhaliza mengambil kesempatan menyampaikan duit raya kepada penghuni Baitu Saidati dan memberikan sumbangan peribadi serta hamper kepada rumah berkenaan. Sementara itu, pihak TV3 yang diwakili Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Mutalib Datuk Seri Mohammed Razak dan isteri Datin Radziah Mohd Daud turut menyampaikan duit raya dan hamper.

Bagaimanapun sebelum ke Gombak, penjelajahan yang bermula kira-kira jam 10.30 malam itu memulakan destinasi pertamanya di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang meninjau mereka yang terpaksa bekerja syif malam menguruskan kontena yang tiba dari seluruh dunia. Suasana di situ meskipun jam sudah menunjukkan 12 tengah malam masih lagi aktif dan riuh rendah.

Pada waktu itulah kapal dari seluruh pelusuk dunia tiba. Kehadiran krew Singgah Sahur walaupun seketika membawakan sedikit keceriaan kepada pekerja di Pelabuhan Barat apa lagi dengan kehadiran dua personaliti TV3, Zakiah Anas dan Hairuddin Mohd Noh, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI).

Hampir setengah jam meluangkan masa di Pelabuhan Barat, Singgah Sahur menuju ke lokasi kedua iaitu Sekolah Menengah Seri Puteri yang terletak di Cyberjaya. Pihak TV3 menyumbangkan duit raya dan hamper kepada 121 orang pelajar projek dari golongan miskin tetapi cemerlang dalam pelajaran.

Apabila diberitahu Siti Nurhaliza menunggu krew Singgah Sahur di Gombak dan tidak dapat melawat mereka, terdengar keluhan hampa daripada pelajar cemerlang itu.

Penerbit Eksekutif Singgah Sahur, Noraini Tahir berkata, tidak banyak perbezaan di antara Singgah Sahur tahun ini berbanding dua musim yang lalu. Bezanya tahun ini program Singgah Sahur mengundang sama selebriti.

Selain itu tahun ini sedikit berbeza apabila Singgah Sahur berada di perantauan iaitu di Stockholm dan London. Program sebanyak lapan episod itu dijangka berakhir pada 6 Oktober nanti.

“Singgah Sahur kini sudah pun memasuki tahun ketiga. Tidak banyak perbezaannya kerana konsepnya masih lagi sama seperti dulu cuma bezanya tahun ini ia ada membabitkan artis.

“Selain itu, Singgah Sahur kali ini juga membawakan satu episod dari luar negara di mana Ally Iskandar dan Datuk Farid Ridzuan ke sana untuk bersahur dengan masyarakat kita di sana,” katanya.

Singgah Sahur menemui penonton pada Jumaat malam Sabtu jam 12.30 tengah malam dan Sabtu malam Ahad pada waktu yang sama di TV3.

sumber: berita harian


 
Oct
02
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Brand on October-2-2007

Timur: Tudung guna nama personaliti makin laris

Oleh Nazura Ngah dan Suhana Roslan

Peniaga di bazar Hentian MPKT sedia pelbagai fesyen terkini untuk sambut lebaran

KUALA TERENGGANU: Siti Nurhaliza, Datuk K, Manjalara, KLCC dan mata ikan - antara nama tudung bawal yang semakin popular dan mendapat sambutan menggalakkan, terutama kepada penggemar fesyen terkini untuk menyambut lebaran.

Trend menamakan tudung dengan nama personaliti terkenal sudah lama wujud kerana sebelum ini tudung Mawi, Ina Naim, Waheeda dan Wardina juga gah di pasaran ibarat pisang goreng panas.

Dengan harga serendah RM25 hingga setinggi RM400, kualiti tudung ditentukan melalui kualiti kain, batu permata dan sulaman.

Sama ada kain Jepun atau Korea, batu permata kelas pertama atau kedua atau sulaman tebal atau sebaliknya ,semuanya menentukan gred tudung yang dibawa masuk dari selatan Thailand.

Agak mengejutkan apabila tudung berharga antara RM100 hingga RM400 yang dijual di bazar Hentian Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), di sini, mampu dibeli orang kebanyakan yang mahu kelihatan cantik.

Bagaimanapun, berikutan ketegangan di wilayah selatan negara jiran, peniaga berdepan dengan masalah bekalan khususnya warna tudung yang sering dipadankan dengan warna baju, sekali gus mengehadkan pilihan pembeli.

Seorang peniaga, Jariah Nawi, 40, yang berniaga tudung sejak 17 tahun lalu berkata, nama tudung diperkenalkan pembeli yang datang ke kedai yang bertanyakan tudung berkenaan.

Katanya, kemungkinan nama itu diperkenalkan peniaga di negeri lain khususnya di Kuala Lumpur tetapi mengenakan harga lebih mahal sehingga pembeli datang mencarinya di sini.

Tidak dinafikan, nama personaliti yang digunakan kepada tudung bawal itu mampu menarik minat pembeli untuk menambahkan koleksi tudung malah pemilihan nama diberikan berdasarkan identiti personaliti dalam menghasilkan sulaman atau jahitan manik dan batu permata.

“Contohnya, misai Datuk K yang agak lebat dijadikan simbol kepada tukang sulam untuk menebalkan batu permata (hybrid), manakala sulaman berbentuk S di sepanjang tepian tudung amat sinonim dengan penyanyi Siti Nurhaliza.

“Siri Manjalara yang disiarkan di TV3 baru-baru ini, juga diabadikan kepada tudung bawal ini dalam usaha untuk menambah pilihan pembeli,” katanya.

Tudung KLCC pula diberi gelaran kerana susunan batu permatanya seperti struktur bangunan itu dan menunjukkan gah kepada pemakai setanding bangunan prestij itu.

Seorang lagi peniaga tudung di Hentian MPKT, Ahmad Shukri Zakaria, 38, pula berkata, beliau mendapat bekalan tudung dari Yala, di Selatan Thailand tetapi disebabkan kekacauan di negara jiran itu kebelakangan ini, bekalan tudung sedikit terganggu.

Malah katanya, sepanjang lima tahun menjalankan perniagaan, tahun ini beliau gagal memenuhi selera pembeli kerana warna tudung yang ingin dipadankan dengan baju tidak menepati cita rasa mereka.

“Walaupun banyak tudung yang tergantung di kedai dan masih mempunyai stok, saya tetap risau bekalan akan habis menjelang Aidilfitri.

“Bekalan dari Yala akan sampai setiap minggu membabitkan pelbagai jenis tudung bernilai RM12,000 tapi disebabkan pergolakan di negara mereka menyebabkan bekalan menurun dan warna tudung juga kurang,” katanya.

Bagi pembeli, Emmyliana Jusoh, 21, penggunaan nama personaliti terkenal diberikan untuk membezakan identiti tudung yang sememangnya berlainan jenis bukan kerana mencari populariti murahan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan penggunaan nama personaliti itu membantu mempromosikan tudung selain penjual mampu menjana pendapatan mereka.

“Sebagai pembeli, saya mementingkan kualiti tudung bukan nama tudung itu malah saya juga tidak tahu nama tudung yang dijual dan jenis tudungnya melainkan tertarik dengan sulaman atau jahitan manik sebelum membeli tudung,” katanya.

Rakannya, Junaidah Abdullah, 20, tidak menafikan Terengganu memang dikenali sebagai syurga tudung kerana selain mempunyai koleksi tudung yang menarik, negeri itu juga menjual tudung dengan harga murah.

“Ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, penjual di sana menjual tudung yang sama dengan harga yang sangat tinggi dan ini menyebabkan ramai pembeli akan datang ke Terengganu untuk membeli penutup kepala itu,” katanya.

FAKTA NOMBOR:
Tudung bawal bazar Hentian MPKT

  • RM25 - Harga terendah
  • RM400 - Harga tertinggi.
  • sumber : berita harian