hanizam@bharian.com.my KECOH benar bunyinya apabila Datin Seri Siti Nurhaliza hendak pergi Makkah. Orang lain pun pergi juga tetapi taklah heboh dan kecoh sangat macam kes Siti ni. Tetapi begitulah kalau nama sudah besar macam Siti. Mana mungkin jadi kecil jika tuan punya nama begitu gah dan popular walaupun ada yang berpendapat popularitinya sudah tak seberapa sejak bergelar isteri kepada usahawan glamor. Seperti juga kisah cinta dan kahwinnya dulu, begitulah juga apabila dia mengambil keputusan untuk menunaikan rukun Islam ke lima itu. Siapa boleh lupa episod terpaksa mengadakan sidang media untuk mengumumkan kisah cinta dan tarikh perkahwinannya diikuti dengan program Biarlah Rahsia setiap minggu sebagai build-up menjelang kemuncak hari bahagianya. Majlis akad nikah dan persandingannya pun dibuat siaran langsung yang dihadiri oleh who’s who dalam masyarakat. Memang tak pernah dibuat artis Melayu alaf baru! Nasib baik masa nak berangkat ke Makkah, tak ada pula siaran langsung dari TV3. Kalau tidak kacau juga kerana soal ibadat dan begitu peribadi sudah jadi macam program realiti TV. Selepas berkahwin dan belum pun setahun melayari bahtera perkahwinan, sudah timbul pula pertanyaan bila lagi Siti hendak mengandung dan bergelar ibu. Tension juga Siti apabila setiap kali jumpa press, mesti ada pertanyaan sama ada Siti sudah berbadan dua. Kebetulan badannya yang berisi sedikit membuatkan spekulasi bahawa dia sedang hamil semakin memuncak sedangkan punca kegemukan Siti adalah kerana terlalu bahagia melayari hidup sebagai isteri kepada Datuk Seri K. Yang hairannya, Siti kata tak, tak, tak tetapi orang yang berada di luar ruang lingkup peribadinya yang kononnya lebih tahu dan mengatakan ya, ya, ya! Macam mana boleh berlaku macam itu teman pun tak tahulah. Barangkali juga kerana sebelum ini Siti pernah mengatakan tidak, tidak, tidak apabila timbul cerita cintanya dengan Datuk Seri K sehingga pernah berkata dia tak kenal pun siapa si dia itu, tup-tup-tup kahwin pula dan kini sedang bahagia. Ah… cerita lama tak guna diungkit semula. Teman tahu bukan Siti tak rimas apabila orang dok sibuk-sibuk sangat pasal hal peribadinya dan terbaru mengenai pemergiannya ke Tanah Suci. Siti tak apa-apa, orang luar pula yang lebih sibuknya. Dan soalan yang kerap ditanya adalah sama ada bertudung litup ke atau sekadar mahu bertudung manja-manja, maksudnya bertudung nampak jambul atau siang tudung, malam buka? Bagi teman, kita tak payahlah nak kecoh sangat sama ada Siti pakai tudung atau tidaknya. Itu memang hak peribadinya. Biarlah Siti membuat keputusan sendiri tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak. Dah besar panjang anak Kuala Lipis ni. Lagi pun dia dah bersuami. Kalau suami dia tak kata apa-apa, apa kes kita nak sibuk pula. Tetapi teman tahu, orang dok bising pun sebab Siti juga pernah melahirkan hasratnya untuk bertudung. Mula-mula dia pernah kata akan bertudung apabila bergelar isteri, lepas itu apabila dapat title Hajah. Jadi peminat hiburan tanah air pun peganglah pada kata-kata Siti tu. Bukan tak tertekan Datin Seri Siti tetapi orang kata pengalaman mematangkannya. Siti kata dia tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak termasuk peminat dan media. Bertudung kata Siti biarlah ikhlas dan ia bukan perkara main-main. Maksud Siti, dia tak mahu jugalah hari ini beriya-iya tudung tetapi esok lusa dah buka pula. Teman teringat juga kisah seorang artis ini yang mulanya bertudung lingkup bagai nak rak, tetapi beberapa bulan kemudian tudung pun entah ke mana. Lebih parah lagi apabila sejak buka tudung, pakaiannya pula lebih teruk daripada sebelum dia memakai tudung. Sudahlah, teman tak mahulah ngomel-ngomel sangat mengenai hal tudung-tudung ni kerana tak mahu pula orang kata pulang paku serpih, kata orang diri sendiri yang lebih. Teman sendiri pun tak bertudung nak sibuk-sibuk pula hal orang tak pakai tudung. Apa kes? Hakikat sebenarnya, orang selalu mengharap yang terbaik dan sempurna daripada penyanyi ini sedangkan dia hanyalah manusia biasa. Seperkara lagi yang orang dok sibuk juga adalah mengenai popularitinya kalau dia sudah bertudung litup. Ada yang kata popularitinya akan merudum tetapi ada juga yang berpendapat sebaliknya. Tetapi soal spekulasi populariti merudum ini bukan cerita baru. Dulu masa Siti nak kahwin, dok galak juga orang kata dia orang sudah tak berapa nak suka dia. Maklumlah, dia orang kata orang Malaysia ni suka yang single dan nampak available saja. Tetapi sejak berkahwin tak ada pula teman lihat Siti tenggelam. Malah dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun lalu, Siti masih lagi menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular. Menarik juga hendak tahu keputusan undi tahun ini sama ada Siti masih kekal nombor satu bagi kategori Penyanyi Wanita Popular atau dirampas penyanyi yang lebih muda. Bercakap mengenai undi ini, teman dah kata itu memang hak dan pilihan anda. Menariknya, sejak minggu lalu pihak Berita Harian menawarkan bukan setakat 100 tiket VIP untuk menghadiri majlis anugerah yang akan diadakan di Genting Highlands pada Mac tahun depan untuk mereka yang mengundi tetapi juga 30 hadiah barangan JVC. Antara barangan yang ditawarkan adalah sistem home theater, pemain DVD dan alat camcorder. Jadi, undi jangan tak undilah. Bukan nak rugi pun, cuma beli akhbar BH, pangkah nama artis kesayangan dan terus hantar ke alamat yang tertera di borang. Eh… jangan lupa slogan kreatif itu. Jumpa lagi! sumber: berita harian online |