Jan
16
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on January-16-2008

Oleh Faiza Zainudin

KUALA LUMPUR: Laman web Berita Harian menjadi pilihan pertama rakyat negara ini untuk mendapatkan maklumat isu semasa tempatan dan global, secara paling pantas dan berkesan.

Kedudukan itu diikuti akhbar tabloid Harian Metro dan Utusan Malaysia, mengikut analisis yang dikeluarkan Google Inc menerusi Google Malaysia, semalam.

Analisis itu mendapati pencarian laman web akhbar terbabit paling popular sepanjang 2007 selain laman web friendster, myspace, wikipedia, airasia, maybank2u dan jobstreet.

Selain pencarian laman web akhbar berkenaan, pencarian paling popular yang dikesan di laman web google.com.my, turut membabitkan kategori pencarian individu paling terkenal/selebriti; destinasi dan aktiviti hiburan dalam talian.

Selain itu, sukan bola sepak; program televisyen, radio dan wayang; permainan kartun animasi dan teknologi maklumat.

Analisis itu juga mendapati penyanyi nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza mengatasi personaliti ternama dunia, termasuk Paris Hilton dan Britney Spears apabila penyanyi terkenal itu menduduki tempat teratas pencarian paling popular kategori individu paling terkenal/selebriti.

Jutaan rakyat Malaysia mencari maklumat mengenai peribadi penyanyi itu pada sepanjang masa, termasuk aktiviti harian dan kariernya berbanding pencarian maklumat artis ternama tempatan lain serta artis antarabangsa.

Siti Nurhaliza mengatasi pencarian maklumat, blogger, Paul Tan, diikuti Paris Hilton, Britney Spears, Akon (blogger), Avril Lavigne (pelakon), Nurin Jazlin (mangsa kes bunuh), Jeff Ooi (blogger), Megan Fox (pelakon) dan Altantuya (mangsa kes bunuh).

Kategori pencarian yang mencatat bilangan pengguna yang semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya dimonopoli oleh youtube, facebook, firefly, esnips, mobik, veoh, transformers, friendster layout, heroes dan tudou.

Bagi destinasi percutian pula, pencarian maklumat mengenai Genting dan Langkawi mendahului senarai diikuti Singapura, Pulau Pinang, Bali, Cameron Highland, Melaka, Port Dickson, Bukit Tinggi dan Kuala Lumpur.

Aktiviti hiburan dalam talian yang mendapat sambutan di kalangan rakyat negara ini ialah friendster, youtube, myspace, games, naruto, metacafe, facebook, imeem, photobucket dan lowyat.

Bagi sukan bola sepak, ramai yang menaip soccernet untuk mendapat maklumat lebih pantas, berbanding English Premier League, Manchester United, Arsenal, Liverpool, Chelsea, Union of European Football Association, Fantasy Premier League, Fantasy Football dan Football Association of Malaysia.

Golden Screen Cinema mendahului senarai pencarian bagi kategori program televisyen, radio dan wayang, diikuti Tanjung Golden Village, filem Transformers, Heroes, radioblog, era, Prison Break, cineleisure, HitFM dan High School Musical.

Bagi permainan pula, miniclip mendapat perhatian utama rakyat negara ini, diikuti barbie, maplesea, pokemon, sudoku, gamespot, runescape, utopia, ghost online dan animax.

Bagi teknologi terkini komunikasi, ramai yang mencari maklumat mengenai mp3 135, iphone dan nokia 6300.

Pencarian paling popular dalam bahasa Melayu pula kebanyakannya mengenai jawatan kosong, resipi, Akademi Fantasia, mat rempit, Cuti-cuti Malaysia, kamus, lagu, lirik, portal pendidikan dan cerita.


Sumber: Berita Harian


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: