Nov
20
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on November-20-2007

Oleh Farihad Shalla Mahmud


BERJAYA: Lima finalis kategori Balada yang berjaya ke peringkat akhir. Dari kiri: Sahri, Lah, Jaclyn Victor, Faizal Tahir dan Fazli Zainal.

KEPUTUSAN pertandingan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik yang berlangsung malam kelmarin barangkali mengejutkan sebilangan besar peminat Datin Seri Siti Nurhaliza apabila penyanyi kesayangan mereka itu gagal mara ke Anugerah Juara Lagu ke-22.

Bisakah, yang menjadi pertaruhan Siti untuk kategori Balada menjadi ‘tidak bisa’ apabila lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Tessh RS itu gagal memenangi hati juri untuk turut menyenaraikan lagu itu sebagai finalis AJL22.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah peminat penyanyi nombor satu negara itu apabila nama Siti yang mereka laungkan sebagai peserta terakhir yang bakal bergelar finalis tidak menjadi kenyataan. Apa sudah berlaku? Apakah persembahan Siti malam itu tidak cukup mantap ataupun lagu itu sendiri mempunyai kelemahan.

Bukan cuba mempertikaikan kredibiliti juri ataupun bersikap bias dengan mempersoalkan keputusan yang sudah pun dibuat namun kegagalan Siti menerusi kategori Balada menimbulkan tanda tanya kerana apa yang diketahui kategori itu adalah kubu kebalnya. Sejarah pernah membuktikan bahawa selama lapan tahun bertanding ke peringkat akhir, tujuh tahun berturut-turut lagu balada nyanyiannya berjaya meloloskan diri sebagai finalis AJL.

Mungkin pihak juri mempunyai jawapan mengapa ini boleh berlaku. Ketika diajukan pertanyaan ini kepada Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan yang juga Ketua Juri, jawapan yang diterima cukup ringkas iaitu juri bersepakat mengatakan lagu Bisakah kurang memberi kesan kepada mereka.

“Rumusan yang kami buat adalah lagu itu kurang impak. Kami pernah dengar lagu nyanyian Siti ketika AJL sebelum ini dan kami dapati Bisakah tidak sehebat lagu itu. Malah, ketika kami menilai untuk peringkat saringan, lagu ini sebenarnya bukan berada di dalam kumpulan yang kami rasakan layak ke peringkat akhir. Jadi, itulah sebabnya mengapa Bisakah gagal ke peringkat akhir,” jelas Azhar sejurus selepas pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik itu berakhir.

Azhar juga meminta supaya media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai ketiadaan Siti sewaktu pengumuman keputusan dilakukan kerana menurutnya, Siti perlu menghadiri persembahan yang sudah pun dipersetujui awal.

“Sewaktu acara cabut undi kedudukan persembahan tempoh hari, Siti mendapat tempat kedua dari bawah. Memandangkan dia terbabit dalam persembahan lain pada malam ini, jadi kami menukarkan tempatnya dengan Faizal Tahir. Dan selepas menyanyi, Siti terpaksa meninggalkan acara lebih awal untuk komitmen itu,” ujar Azhar sekali gus menafikan ketiadaan Siti disebabkan penyanyi itu kecewa kerana gagal ke peringkat akhir AJL22.

Ditanya penilaiannya terhadap lagu yang tersenarai ke peringkat akhir, Azhar berpuas hati kerana ada di antara lagu yang tersenarai berada dalam kumpulan yang mereka sifatkan layak.

“Kami dapati, kumpulan yang tersenarai sama dengan susunan yang kami buat pada peringkat saringan awal. Cuma yang di bawah itu kami kurang pasti. Apa yang penting persembahan malam ini menentukan sama ada mereka tersenarai sebagai finalis atau sebaliknya kerana ia juga memberi kesan,” katanya.

Mengulas dakwaan ramai produk Media Prima tersenarai sebagai finalis untuk kategori ini, jawab Azhar, apa yang berlaku adalah secara kebetulan.

“Lagipun mereka yang terpilih ini bukan calang-calang. Sebagai bukti, persembahan mereka malam ini cukup hebat. Itu yang penting,” Azhar memberikan jawapan selamat sebelum terjerat dalam kancah kontroversi.

Mengenai apakah pendirian TV3 jika ada penyanyi asal lagu yang berjaya ke peringkat akhir ingin menyanyikan lagu itu kembali, Azhar berkata TV3 menyerahkan perkara itu kepada budi bicara komposer.

“Terserah pada komposer untuk memilih siapakah yang mereka inginkan menyanyi lagu itu di peringkat akhir nanti. Bagi pihak kami, tiada halangan apa-apa,” ujarnya.

Angin perubahan kategori Balada

BAGAIKAN berjanji, kategori Etnik Kreatif yang berlangsung minggu lalu dikuasai penyanyi senior manakala kategori balada pula didominasi penyanyi junior. Sebagai contoh nama seperti Faizal Tahir, Sahri, Fazli Zainal adalah muka baru yang pertama kali menjejakkan kaki di pentas berprestij AJL.

Barangkali inilah angin baru yang dikehendaki peminat yang menjalankan tugasnya setiap minggu memilih lagu bagaimana yang mereka ingin lihat bertanding di peringkat akhir AJL. Berkongsi pendapat mengenai situasi itu, Faizal berkata apa yang dilakukan TV3 itu adalah adil dan praktikal.

“Sistem undi yang diperkenalkan membuatkan peminat bebas memilih senarai pencalonan yang mereka inginkan. TV3 memberi kebebasan untuk mereka mengundi lagu mengikut cita rasa mereka sendiri. Itu memang bagus,” kata naib juara program realiti One In A Million ini.

sumber: berita harian


Comments:
SItut on November 20th, 2007 at 9:09 am #

aduh malunya penyanyi nombor 1 negara kalah dari penyanyi2 baru… huhuhuhu, bukan lagu yg harusnya disalahkan, lagu tu enak didengar krn penyanyinya bisa menyanyikannya dgn baik… tak pantas ct dpt gelaran penyanyi nombor 1 aaaaa…. malu oiiiii

Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: