Apr
30
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on April-30-2008

Siti Nurhaliza



MESKIPUN persembahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pada malam Anugerah Planet Muzik 2008 (APM2008) minggu lalu dicacatkan dengan kesilapan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku, namun, Papa puji dengan sikap Siti yang begitu profesional kerana tidak mudah melatah dengan gangguan teknikal begitu.

Lagipun, Siti sudah buktikan walaupun dengan gangguan teknikal seperti itu, dia tetap mampu memberikan persembahan yang cukup hebat, mantap serta membuai jiwa menerusi lagu Fantasia Bulan Madu khusus buat kumpulan Search yang menerima Anugerah Khas pada malam itu.

Kalau penonton dapat lihat pada skrin, Amy dan rakan-rakan Search yang lain bagaikan turut sama dibuai dengan alunan vokal Siti yang meremang bulu roma itu.

Apa yang Papa dapat tahu, rupa-rupanya, persembahan Siti itu telah mendapat pujian melangit daripada kumpulan Search sebaik sahaja diva itu membuat persembahannya dan ternyata kumpulan legenda itu menyukai dan mengagumi kehebatan Siti membawakan lagu klasik itu.

Itulah dia insan seni bernama Siti Nurhaliza. Berikan apa sahaja lagu kepadanya baik lama mahupun yang baru, akan dibawakannya dengan gaya dan cara tersendiri tanpa merosakkan keaslian lagu tersebut.

Khabarnya, untuk persembahan pada malam AIM nanti, Siti juga akan menyampaikan sebuah lagu lama dalam satu segmen khas bersama Dayang Nurfaizah dan Atilia. Kalau nak tahu, lagu apa yang akan Siti bawakan, sama-sama kita tunggu malam AIM nanti.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
25
    
Posted (admin) in Family, utusan malaysia online on April-25-2008

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

MEMILIKI wajah yang cantik, Saida ingin mencuba nasib sebagai pelakon seandainya mendapat tunjuk ajar.

UMUMNYA masyarakat di negara ini tahu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, sememangnya merupakan penyanyi nombor satu negara.

Kedudukan yang dikecapi anak jati Kuala Lipis, Pahang itu bagaikan sukar digugat biarpun ramai artis baru muncul menghangatkan industri hiburan tanah air.

Dengan kejayaan demi kejayaan termasuk anugerah yang diterima Siti Nurhaliza, ia sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja ‘makan hati’ atau berasa cemburu.

Tidak terkecuali, empunya diri bernama Siti Norsaida Tarudin, 32, pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) turut dikatakan menyimpan perasaan tersebut terhadap penyanyi tersohor berkenaan.

Lantaran itu, Siti Norsaida atau lebih mesra dengan panggilan Saida bertindak menyertai AF6 bagi mengecap populariti yang mampu menandingi kehebatan Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun, Saida yang baru sahaja tersingkir daripada meneruskan perjuangan di AF6 Sabtu lalu, bertegas menafikan segala dakwaan itu.

Menurut Saida, perasaan cemburu atau niat untuk menyaingi Siti Nurhaliza tidak pernah ‘bersarang’ dalam hatinya.

Sebaliknya, dia sangat berbangga dengan pencapaian adik kandungnya itu.

“Memang tidak ada niat langsung. Siti Nurhaliza adalah seorang penyanyi yang berpengalaman. Kalau ada orang kata saya memasuki AF6 semata-mata untuk bersaing dengannya, itu tidak benar.

“Lagipun, pada awalnya memang saya tidak mempunyai perancangan untuk menyertai program realiti televisyen berkenaan walaupun saya suka menyanyi,” katanya ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Ujar Saida, penyertaannya dalam AF6 berlaku secara tidak sengaja bermula apabila dia hanya menemani seorang lagi adiknya, Siti Saerah menjalani uji bakat.

“Ketika menemani Saerah, peserta yang ingin mencuba nasib pada waktu itu terlalu ramai sehingga kami terpaksa menunggu lama.

“Ekoran itu, dia menyuruh saya mengikutinya sekali menjalani sesi tersebut dan entah bagaimana, tanpa disangka saya diterima memasuki AF6 dan Saerah tidak dipilih.

“Siti ketika itu tidak tahu saya masuk uji bakat. Sampailah ke peringkat keempat, baru saya beritahu dia,” ujar Saida sambil menambah Siti Nurhaliza merupakan orang yang paling gembira saat mengetahui dia diterima memasuki AF6.

Sementara itu, ketika menjawab persoalan mengenai cakap-cakap orang yang membeza-bezakan kemampuan vokalnya dengan Siti Nurhaliza, Saida memberitahu bahawa ada ketikanya, dia berkecil hati kerana perbandingan sedemikian dibuat.

“Saya dan Siti memang jauh beza. Biarlah apa orang hendak kata. Apa yang penting, saya tidak sedikit pun tertekan,” jelas ibu kepada empat orang anak iaitu Siti Nurunnyssa (11), Anas (9), Khalid (5), dan Siti Nurul Mashitah (2).

Penyingkiran Saida

Menyentuh mengenai penyingkirannya dalam meneruskan perjuangan di AF6, Saida juga dikatakan sengaja menyanyi teruk dengan harapan disingkirkan awal bagi membolehkannya dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Menjawab mengenai hal tersebut, Saida yang sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk gosip sebaik bergelar penyanyi nanti mengakui, dia gembira dapat berjumpa dengan keluarganya.

“Tetapi, dalam masa yang sama, saya sedih meninggalkan semua yang berada di AF. Sedih juga tidak dapat habiskan pembelajaran di sana. Kalau orang kata saya sengaja menyanyi dengan teruk, mereka tidak faham apa yang saya lalui sepanjang berentap dalam AF6.

“Saya akui yang saya adalah seorang pemalu. Ditambah dengan perasaan gementar dan takut, itu semua membuatkan saya susah untuk menyanyi dengan baik,” katanya.

Sungguhpun begitu, Saida mengakui, kini dia semakin berani dan mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih baik jika dibandingkan sebelum menyertai program realiti TV tersebut.

Suami bagi ‘lampu hijau’

Sebaik tersingkir daripada meneruskan perjuangan di konsert AF6 minggu kelima, Saida sudah pun berbincang sesuatu dengan suami tercinta, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 39, berhubung kelangsungan kariernya sebagai penyanyi.

Dengan syarat tidak melupakan tanggungjawab menjaga keluarga, Saida diberi ‘lampu hijau’ jika mahu meneruskan hasrat menceburkan diri dalam dunia seni.

Saida berkata, selain menyanyi, dia turut berminat untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan andai diberi peluang dan tunjuk ajar.

Bernaung di bawah SNP?

Bertugas sebagai Pengurus Kewangan di syarikat milik adiknya, Siti Nurhaliza Production (SNP), Saida berkemungkinan diberikan laluan mudah untuk menjadi artis dan bernaung di bawah syarikat terbabit.

Namun, Saida memberitahu dia akan terikat dengan Maestro Talents terlebih dahulu dan belum mengadakan sebarang perbincangan bersama SNP.

Ditanya mengenai perancangannya untuk berduet dengan Siti Nurhaliza, Saida yang meminati genre balada dan pop rock berkata: “Mungkin. Itu pun jika diberikan peluang”.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
24
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on April-24-2008

APA sahaja kisah tentang diva tersohor dari seberang ini, pastinya akan meraih perhatian yang cukup meluas. Bukan sahaja mempunyai wajah yang cantik dan jelita, kewibawaannya sebagai seorang penghibur yang cukup lincah dalam memberikan persembahan bertenaga tidak perlu disangkal lagi dan ditambah pula dengan keramahannya menjadikan Kris Dayanti begitu disenangi ramai.

Hujung minggu lalu, penerima Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 08), itu berada di ibu negara.

Jangan salah anggap

Ramai yang memperkatakan tentang ucapan Kris apabila dia menyebut tentang keikhlasan penyanyi nombor satu negara yang juga sahabat karibnya, Datuk Siti Nurhaliza terhadap dirinya sewaktu memberikan ucapan menerima anugerah Artis Wanita Terbaik APM 08 Ahad lalu.

Tidak mahu peminat kedua-duanya salah faham, dengan pantas Kris memberitahu apa yang dimaksudkan adalah keikhlasan Siti merestui kemenangannya memandangkan Siti tewas di negara sendiri.

“Selama lapan tahun APM dianjurkan, dua kali saya memenanginya dan pernah sekali kami berkongsi trofi berkenaan.

“Mungkin sudah menjadi rezeki saya memenanginya pada malam itu memandangkan Anugerah Muzik Indonesia baru-baru ini, saya gagal membawa pulang sebarang anugerah,” luah Kris dengan jujur.

Saat ditanya dengan soalan tidakkah dirinya mempunyai sebarang perancangan untuk menerbitkan sebuah album duet bersama Siti Nurhaliza, Kris menjelaskan impian dan perancangan tersebut sudah ada dan cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.

“Kini saya sudah bernaung di bawah syarikat saya sendiri dan begitu juga dengan Siti. Jadi, hendak berkolaborasi itu tidak ada masalah kerana masing-masing tidak terikat dengan syarikat rakaman. Tunggu sahajalah perkembangan terbarunya kelak,” jelasnya menyimpul senyuman yang penuh bermakna.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
22
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on April-22-2008

DALAM banyak-banyak persembahan yang dipertontonkan pada Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 08) malam kelmarin, berada dalam senarai persembahan paling menawan ialah Datuk Siti Nurhaliza.Bukan saja menawan, bahkan, Siti menjadikan lagu Fantasia Bulan Madu yang didedikasikan khas buat legenda Search yang meraih Anugerah Khas APM 08 sebagai sebuah lagu yang sangat elegan.

Biar persembahan itu dicacatkan dengan masalah teknikal, namun momentum penonton sarat dibuai dengan alunan vokal yang cukup mendayu.

Fantasia Bulan Madu di tangan Siti seperti sebuah gubahan baru dan kerana itu (tidak pasti sama ada ya atau tidak) barangkali, Amy (vokalis utama Search) seperti turut dibawa sama oleh Siti untuk meneroka versi baru lagu yang pernah memasyhurkan kumpulan rock legenda tanah air itu.

Ya, berilah lagu apa sekalipun pada Siti, dia akan menyempurnakan misi itu dengan berjaya.

Berada di tangga kedua senarai persembahan paling menawan APM 08 ialah gabungan tiga artis dari tiga negara serantau, Dayang Nurfaizah (Malaysia), Judika (Indonesia) dan Hady Mirza (Singapura) yang menyampaikan secara medley lima calon kategori Lagu Terbaik.

Inilah kelebihan APM. Ia berpeluang menggabungkan tiga penyanyi terbaik dari tiga buah negara dan setiap seorang daripada mereka sudah tentu akan bekerja keras untuk mempamerkan yang terbaik.

Oh ya sebelum terlupa, jawatankuasa penganjur APM 08 juga seharusnya merakamkan jutaan terima kasih buat Sarah Sechan kerana berjaya menghidupkan majlis anugerah serantau itu.

Meskipun diberi tugas secara perseorangan namun kepetahan dan kelincahan si kecil molek ini tidak perlu dipertikaikan lagi.

Setiap lawak jenaka yang terpacul dari mulutnya mengundang ketawa yang sekali gus menghiburkan audiens.

Paling penting tiada lawak sinis, lawak bodoh dan murahan atau lawak membakar hati yang sering kali ditampilkan oleh pengacara-pengacara yang sudah kekeringan idea semata-mata mahu menarik perhatian penonton.

Di dalam kebanyakan persembahan yang dipentaskan tempoh hari juga, suatu hal yang harus diberi tumpuan serius ialah APM 08 sebetulnya terlalu sarat dengan persembahan yang panjang dan memenatkan.

Bukan mahu prejudis atau menghentam namun realitinya dapat dilihat jelas situasi tersebut.

Bayangkan persembahan pembukaan mengambil masa lebih setengah jam sebelum anugerah pertama disampaikan.

Tidak dinafikan persembahan bertenaga oleh Meet Uncle Hussain, Ahli Fiqir, Ihsan, Bunga Cinta Lestari, Faizal Tahir dan diva dari seberang, Kris Dayanti sudah menghangatkan suasana malam APM 08 namun persembahan yang mengambil masa terlalu lama membuatkan khalayak yang menonton resah gelisah menantikan segmen seterusnya.

Sementara itu segmen nyanyian beramai-ramai dan segmen nyanyian memperkenalkan lagu-lagu yang tersenarai dalam beberapa kategori rasanya merupakan satu situasi biasa.

Bukan jelak tetapi sudah terlalu biasa dengan persembahan sedemikian membuatkan khalayak sudah boleh membaca apa yang ada selepas ini.

Hinggakan rasanya momentum menyaksikan APM 08 menurun dan membuatkan penonton memikirkan bilakah persembahan berpanjangan itu akan berakhir.

Antara artis lain yang membuat persembahan ialah Aliff Aziz, Elyana, Matta, Sofaz, Ferhad, Farah Asyikin, Anuar Zain, Taufik Batisah, Mawi dan Ajai.

Biar apa pun yang telah disajikan di APM 08, sekurang-kurangnya penganjuran acara itu memberi sumbangan yang cukup besar pada industri muzik serantau.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
21
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on April-21-2008



KUALA LUMPUR 20 April – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, mengharumkan nama negara sekali lagi selepas berjaya memenangi anugerah Artis Wanita Paling Popular untuk lapan tahun berturut-turut dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2008.

Sejak APM kali pertama dianjurkan pada 2001, penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam kategori itu yang dipilih menerusi undian peminat muzik dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Syukur kepada Allah yang memberi saya peluang kemenangan ini. Kemenangan ini juga sebenarnya daripada tangan para peminat saya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan di mana sahaja.

“Saya akan kenang kesetiaan anda semua,” kata Siti semasa berucap menerima anugerah tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Beliau menewaskan empat calon lain iaitu Bunga Citra Lestari, Dayang Nurfaizah, Elyana dan Kris Dayanti.

Selain Siti, pendatang baru berbakat besar, Faizal Tahir juga mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai Artis Baru Lelaki Terbaik. Apa yang lebih membanggakan ialah albumnya, Aku. Muzik. Kamu, diangkat sebagai Album Terbaik menewaskan album Anuar Zain, Kerispatih, Gigi dan Padi.

Dengan kemenangan itu, Faizal menjadi artis Malaysia pertama memenangi Album Terbaik selepas kategori tersebut didominasi artis-artis Indonesia selama tujuh tahun berturut-turut.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
15
    
Posted (admin) in International, Datuk K, utusan malaysia online, Personal Siti, Career on April-15-2008

KELUARGA BAHAGIA… Celine Dion (tengah) diapit oleh Siti Nurhaliza (dua dari kiri), Khalid (kanan), Aazief (dua dari kanan) serta suami Celine Dion, Rene Angelil (kiri) pada pertemuan singkat di Kuala Lumpur, kelmarin.



SUDAH lama artis ternama tanah air, Datin Seri Siti Nurhaliza berhajat untuk menemui penyanyi tersohor dunia, Celine Dion. Dalam pelbagai temu bual dengan media sebelum ini, itulah keinginan yang sering disuarakan penyanyi nombor satu negara itu.

Kata Siti, andai peluang itu diperoleh, dia mahu berbual, berkongsi pengalaman selain menghadiahkan penyanyi kesayangannya itu albumnya.

Dan semua itu, bukan lagi mimpi buat Siti. Keinginan dan hasrat Siti akhirnya termakbul juga.

Kunjungan singkat penghibur yang cukup popular dengan lagu My Heart Will Go On itu memberi peluang keemasan buat Siti bertemu dan berbual mesra seperti mereka sudah lama berkenalan.

Pada satu pertemuan eksklusif yang diatur oleh kenalan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur kelmarin, Siti bagaikan tidak percaya, dia berpeluang bertentang mata dengan Celine.

Selain Siti dan suaminya, Khalid, turut serta dalam pertemuan itu ialah anak tiri Siti, Aazief.

Seperti peminat lain yang sentiasa mendambakan peluang bertemu penyanyi kesayangan mereka, sikap dan telatah Siti saling tidak ubah seperti itu.

Apa lagi, bintang yang ingin ditemui Siti tempoh hari ialah ikon yang juga inspirasinya dalam dunia seni suara.

“Sebaik ternampak kelibat dia (Celine), hati Siti berdebar. macam tak percaya yang Siti berada di hadapannya,” kata Siti menggambarkan perasaannya sebaik Celine melangkah ke bilik persendirian hotel berkenaan iaitu tempat dia bertemu penyanyi itu.

Sapaan Celine menarik perhatian Siti. Tanpa dibayangi imej superstar antarabangsa, Celine menyapa Siti bagaikan mereka sudah lama berkenalan.

Barangkali juga, awal-awal lagi pengurusan Celine sudah memaklumkan kepada penyanyi itu bahawa artis Malaysia yang bakal ditemuinya itu bukan calang-calang artis.

“Celine begitu ramah. Menjawab satu persatu soalan yang diajukan padanya. Bahkan, dia juga sangat mesra melayan Siti.

Diplomasi

“Apa yang turut mengagumkan Siti mengenai Celine ialah sikap diplomasi yang ditunjukkannya. Kesediaannya bertemu Siti merupakan satu penghormatan kerana siapalah Siti untuk dibandingkan dengan kedudukannya di persada seni dunia,” kata Siti menyatakan rasa kagumnya terhadap idolanya itu.

Biarpun kemesraan yang terjalin antara Siti dan Celine hanya sesingkat 15 minit, namun pertemuan eksklusif berkenaan seperti melengkapkan keinginan lebih sedekad Siti untuk bertentang mata dengan penghibur kelahiran Kanada itu sekurang-kurangnya.

Dan sudah tentu, peluang keemasan itu direbut oleh Siti untuk menghadiahkan Celine album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang ditandatanganinya.

“Kata Celine, dia akan pastikan untuk mendengar album yang Siti hadiahkan pada dia. Moga-moga dia akan berbuat demikian,” ujar Siti mengenai harapannya itu.

Selebihnya, masa 15 minit yang diperuntukkan tempoh hari diambil oleh Siti untuk merakamkan kenangan menerusi kamera sebagai tanda kenangan paling berharga buatnya sepanjang bergelar anak seni.

Lebih manis lagi, Celine mencadangkan agar kedua-dua mereka turut mengajak suami mereka bersama merakamkan foto.

“Ini akan menjadi kenangan paling manis buat Siti selain kata-kata perangsang yang dibekalkan oleh Celine buat Siti,” katanya menyambung perbualan.

Dan bagaimana pula reaksi suami Siti?

“Sudah tentu dia juga gembira bagi pihak Siti kerana suami sangat memahami keinginan Siti untuk bertemu idola Siti,” jelasnya.

Dan jangan dilupa, Aazief yang turut serta dalam pertemuan itu sama seperti Mak Itinya (panggilan manja buat Siti) berdebar-debar sementara menanti Celine hadir di depan mereka.

“Aazief sempat berbisik pada Siti, dia pun berdebar sangat. Macam tak percaya Celine ada depan mata,” kata Siti menceritakan perihal Aazief iaitu anak bongsu Khalid hasil perkahwinan pertamanya.

Sebagai peminat nombor satu Celine juga, pada malam yang sama, Siti bersama keluarga tidak ketinggalan menonton persembahan penghibur itu.

“Vokalnya cukup mengagumkan. Berdasarkan aspek persembahan pentas, Celine sudah berada di kelasnya yang tersendiri.

“Seperti orang lain, Siti merasa puas menonton persembahannya tempoh hari,” kata Siti lagi.

Selepas ini, Siti tidak perlu lagi bermimpikan Celine Dion. Bahkan, Siti juga sudah tentu tidak perlu lagi terbang jauh sehingga ke Amerika Syarikat kerana semuanya sudah pun menjadi kenyataan buatnya.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
11
    
Posted (admin) in Family, Datuk K, utusan malaysia online, Personal Siti, Career on April-11-2008

MEMANJAT DOA KEPADA ALLAH MEMOHON KEKUATAN DARIPADANYA.



KEINGINAN memiliki autobiografi sendiri sudah lama terpendam. Malah Datuk Siti Nurhaliza pernah terfikir mahu merealisasikan impian tersebut ketika majlis perkahwinannya dilangsungkan pada Ogos 2006.Bagaimanapun, hajat di hati terpaksa dilupakan lantaran kesibukan masa dan waktu yang terhad.

Menurut penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, seboleh-bolehnya dia tetap mahu cita-citanya untuk menerbitkan autobiografinya sendiri terlaksana.

“Insya-Allah saya memang ada keinginan untuk menerbitkan autobiografi sendiri. Sebelum ini saya sangka dapat terbitkannya semasa majlis perkahwinan saya tapi kerana tak cukup masa.

“Bila difikirkan semula rasa lebih elok saya hasilkan dan keluarkan sempena ulang tahun pembabitan saya dalam bidang seni ke-15,” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

Menyambung perbualan penyanyi yang kini popular dengan lagu Ku Mahu berkata, buat masa sekarang, usaha ke arah perancangan itu sedang dilakukannya.

“Kakak ipar saya banyak membantu memandangkan dia juga penulis sebelum ini. Kami dalam proses mengumpulkan data dan saya amat berharap semuanya akan menjadi kenyataan,” jelas Siti yang banyak mendapat sokongan kakak iparnya, Rozi Abd. Razak yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia.

Album baruSelain memberi tumpuan pada penerbitan autobiografinya, seniwati muda ini juga bakal muncul dengan album baru berkonsepkan Melayu kontemporari.

Penghibur berusia 29 tahun ini dijangka kembali ke studio rakaman sekitar bulan Jun atau Julai.

“Saya masih lagi dalam proses memilih lagu-lagu yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam album baru itu.

“Ada ramai komposer yang mencipta lagu untuk album ini, jadi saya mahu pilih mana yang bersesuaian.

“Saya mahu berterima kasih kerana semua yang terlibat adalah daripada komposer yang mencipta lagu untuk saya sewaktu Bengkel Cipta Ekspres yang dianjurkan Badan Perlindungan Hakcipta Malaysia (MACP) tempoh hari.

“Mungkin album tersebut akan memuatkan lebih 10 buah lagu,” jelas isteri kepada usahawan ternama, Datuk Khalid Mohammed Jiwa ini lagi.

Tidak tertekanSatu persoalan yang akan diajukan ketika berjumpa dengan penyanyi ini tentunya tentang cahaya mata.

Yang menariknya bicara Siti jika dulu persoalan tersebut umpama satu tekanan buatnya, namun kini tidak lagi.

Sambil tersenyum manis luah Siti, dia kini sudah semakin lali dan boleh menerima pertanyaan banyak pihak terhadap isu keluarga.

“Saya sudah lali dan boleh menerima semua itu. Lagipun ahli keluarga awal-awal dulu saja excited bertanya tentang anak tapi sekarang dah semakin kurang.

“Saya pun tidak begitu tertekan dengan pertanyaan-pertanyaan itu. Kalau saya berisi kelak, sudah tentu saya akan beritahu semua khabar gembira itu,” janji Siti lagi.

Puji SaidaSementara itu, Siti secara peribadi menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian kakaknya Siti Norsaida (Saida) yang dilihatnya semakin mempamerkan persembahan yang menarik dalam konsert mingguan Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

“Saya terkejut kerana dia selama ini cukup pemalu. Tapi sekarang saya makin bangga dengan apa yang dah dia pamerkan. Dia bukan penyanyi profesional tapi apa yang ditunjukkan satu peningkatan yang sangat-sangat ketara.

“Lagipun dia tak pernah masuk pertandingan nyanyian pun. Gugup dan takut itu saya rasa perkara biasa. Tapi dari pemerhatian saya dia semakin memperbaiki dirinya,” jelas Siti penuh optimis terhadap kakaknya itu.

Namun Siti amat-amat berharap agar nasib kakaknya tidak akan di prejudis oleh pengundi.

“Memang dia kakak saya tapi dia masuk AF6 bersebab. Janganlah sebab dia kakak saya, dia dipandang dari sudut lain. Kadang-kadang saya kesian tengok dia kena macam-macam dalam akademi,” kata Siti.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
09
    
Posted (admin) in Datuk K, utusan malaysia online, Career on April-9-2008
Siti Nurhaliza

WALAPUN Anugerah Bintang Popular 2007 sudah lebih seminggu melabuhkan tirainya, tapi orang masih lagi bercakap tentangnya.

Biasalah, setiap kali sesebuah acara hiburan tamat, orang pasti akan tetap membicarakannya, baik yang buruk mahupun yang baik.

Tapi Papa bukan nak cakap pasal pemenangnya sebab itu semua adalahpilihan peminat. Jadi, kalau nak bising lebih-lebih pun, tak guna pun.Apa yang Papa nak cakap di sini pasal persembahan pada malam itu.

Memang Papa tak nafikan Papa cukup terhibur dengan persembahan olehartis-artis yang terpilih terutama sekali Bob yang cukup memukau denganvokal lunaknya mendendangkan lagu Jangan Bersedih Lagi.

Meremang bulu roma mendengarkan Bob mengalunkan lagu tersebut.Begitu juga dengan persembahan lima ‘otai’ rock yang menyampaikan laguKepadamu Kekasih. Memang mantap!

Apa yang menarik perhatian Papa adalah persembahan pembukaan olehpenyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu KuMahu.

Papa dapat lihat Siti sekarang makin matang dan berani dalampersembahannya. Vokalnya tak perlu cakap, tetap merdu dan ampuh sepertibiasa.

Walaupun tampil sopan dengan imejnya itu, dia tetap kelihatan seksisewaktu mempersembahkan lagu Ku Mahu. Ditambah pula dengan gaun merahcilinya yang menyerlahkan lagi keseksian Siti. Kata orang seksi manjagitu!
Dengar cerita, Siti juga berbelah bagi untuk membuat persembahanpada malam itu kerana pada masa yang sama, dia juga mahu mengikutsuaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ke Dubai menghadiri sebuahfestival fesyen antarabangsa pada hari yang sama.

Tetapi, disebabkan janjinya dan tidak mahu mengecewakan harapanpenganjur serta peminat setia yang mendambakan persembahannya, Sititeruskan juga dengan persembahannya dan ternyata dia membuktikan diamasih lagi penghibur yang belum padam auranya.

Cuma satu sahaja, ramai yang mengatakan kepada Papa agar menasihatiSiti suruh mengawal berat badannya yang kelihatan sedikit berisi.

Jawapan Papa pada mereka, apa masalahnya kalau Siti berisisekalipun. Itu tandanya dia dan suami masih dalam fasa merai cinta yangakan genap usianya dua tahun Ogos depan.

sumber: utusan malaysia online


 
Apr
01
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on April-1-2008

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)

ANUGERAH Bintang Popular 2007 (ABP07) yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands sudah pun melabuhkan tirainya malam Ahad lalu.

Pastinya, ramai yang berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan kerana memperlihatkan beberapa muka baru yang berpeluang menggenggam anugerah idaman ramai itu setelah sekian lama berpihak kepada muka lama sebelum ini.

Kemenangan Siti Nurhaliza sebagai Penyanyi Wanita Popular selama 11 tahun berturut-turut sejak tahun 1996 merupakan satu pencapaian yang cukup luar biasa dan belum pernah mana-mana artis yang mampu mempertahankan rekod secemerlang Siti.Mungkin ramai yang beranggapan setelah mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan ditambah pula tampil dengan penampilan terbaru, populariti wanita jelita itu akan pudar dan tidak mampu lagi memikat para peminatnya.

Namun telahan itu semua silap dan 11 tahun menggenggam trofi itu sudah cukup membuktikan keunggulan Siti. Malah, penyanyi lagu Ku Mahu itu juga masih lagi berada di dalam senarai Top 5 dalam merebut gelaran Bintang Paling Popular yang pernah menjadi miliknya sebanyak enam kali.

sumber: utusan malaysia


 
Mar
27
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on March-27-2008

KONSERT Diari Hati Siti Nurhaliza merupakan konsert solo pertama Siti selepas mendirikan rumah tangga dengan Datuk K pada Ogos 2006.



DALAM banyak-banyak konsert atau persembahan yang pernah dijayakan oleh penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, persembahan di Esplanade Theatre Singapura minggu lalu barangkali paling menyentuh hatinya.

Masakan tidak, di celah-celah hampir 1,800 penonton yang menyaksikan Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza, terselit seorang peminat yang cukup istimewa buat penghibur itu.

Sifatnya tidak sesempurna jutaan peminat Siti yang lain. Matanya buta, namun dek kerana cinta dan kasihnya pada penghibur kesayangan ramai itu, Zarina tidak mempedulikan kekurangan dirinya untuk hadir memberi sokongan pada Siti.

“Mulanya Siti tidak sedar kehadirannya, hanya selepas menyampaikan tiga buah lagu, Siti nampak kelibatnya yang sedang leka menghayati lagu yang Siti nyanyikan.

“Menyedari itu Zarina, Siti lantas mengundangnya ke pentas,” kata Siti berkongsi cerita dengan Hits mengenai kehadiran tetamu istimewanya pada malam Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza.

Hati penyanyi mana yang tidak akan tersentuh melihat peminat yang kurang sempurna sifatnya menggagahkan diri hadir sendirian ke konsert itu walaupun tanpa pernah melihat wajah manis artis yang diminatinya.

Sebaik dia dipimpin ke pentas untuk berdiri di sisi Siti, seluruh pandangan audiens tertumpu pada si manis yang begitu girang kerana menjadi peminat bertuah yang mendapat perhatian biduanita muda itu.

Biar penglihatan tidak mengizinkannya menatap wajah artis yang sudah menghiburkan peminat-peminatnya lebih sedekad, namun kepuasan tergambar pada wajah Zarina.

Kegembiraan juga barangkali perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan Zarina yang selama ini hanya mengenali suara merdu Siti.

Dan ketika Zarina di pentas menemani Siti juga, suasana berubah daripada kegembiraan yang sedang dinikmati sebelum ini menjadi hening seketika.

Bahkan, Siti sendiri ketika merakamkan penghargaan dan rasa kasihnya pada Zarina menjadi terlalu emosional.

Selepas berborak dengan Zarina, Siti menyampaikan lagu Bisikan Hati (nyanyian asal Allahyarham Datin Rafeah Buang) suasana ketika itu menjadi cukup syahdu.

Gejolak rasa

Audiens yang ada pada malam itu bersama-sama Siti tidak mampu membendung gejolak rasa menyebabkan ada yang menitiskan air mata.

“Sudah lama Siti mengenali Zarina. Dia sentiasa tidak melepaskan peluang menonton persembahan Siti setiap kali Siti berkunjung ke Singapura.

“Siti sangat terharu dan menghargai sokongannya selama ini. Katanya dia datang seorang diri malam itu. Bahkan ketika membeli tiket juga, dia bersendirian tanpa sesiapa menemaninya.

“Zarina juga sempat berbisik kepada Siti mendoakan Siti cepat menimang cahaya mata. Semoga Allah sentiasa melindunginya,” jelas penyanyi yang juga isteri kepada usahawan ternama, Datuk Khalid Mohammed Jiwa atau Datuk K dalam nada terharu.

Selain ingatan terhadap Zarina yang masih melekat di ruang fikirannya, Siti juga menyatakan rasa terima kasih kepada peminat-peminatnya di Kota Singa kerana masih setia menyokongnya.

Masakan tidak, Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza tempoh hari merupakan konsert solo pertamanya selepas mendirikan rumah tangga dengan Datuk K pada Ogos 2006.

Bahkan, persembahan itu merupakan yang pertama selepas dia melakar kejayaan industri hiburan tanah air apabila mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005.

Berlangsung selama 90 minit, Siti merumuskan konsert berkenaan berjaya mencapai hasratnya untuk menghiburkan peminat-peminat dalam suasana santai.

“Siti sangat menggemari konsert yang berlangsung tempoh hari. Ia sangat santai dan Siti dapat merasakan yang Siti begitu dekat dengan peminat-peminat,” ujarnya lagi.

Tema pemilihan konsert akustik itu dicadangkan oleh pengurusan penganjur dan dipersetujui oleh penyanyi lagu Cindai itu kerana berpendapat, ia begitu jarang dilakukannya.

Pada masa yang sama, Siti berpendapat, sebelum ini, dia sudah puas menjayakan pelbagai konsert yang bertaraf mega.

“Sesekali untuk mengelakkan kebosanan peminat, Siti bersetuju untuk menjayakan konsert akustik dan Alhamdulillah, ia sangat memuaskan hati Siti,” katanya mengenai konsert yang diketuai oleh Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.

Rasional Siti bersetuju untuk menjayakan konsert sederhana itu juga adalah kerana, persetujuan yang dicapai oleh pihaknya dan pengurusan Esplanade serta penganjur berlaku dalam waktu yang singkat.

Lantaran kesuntukan masa ditambah dengan komitmen Siti, maka ketiga-tiga pihak mencapai kata sepakat konsert itu dianjurkan dalam konsep akustik dan diadakan semalam saja.

“Cukuplah semalam saja. Lepas ini, Siti dan pihak pengurusan akan rancang konsert yang lain pula terutamanya untuk peminat-peminat Siti di Malaysia pula,” janji Siti memberi harapan buat peminat-peminatnya di tanah air.

Kesempatan beraksi di Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza juga memberi peluang kepada anak seni kelahiran Pahang itu berkongsi pelbagai kisah hidup dengan peminat-peminatnya.

Kata Siti, sebahagian daripada cerita pada malam konsert itu berkisar mengenai kehidupan peribadinya terutamanya selepas bergelar isteri.

“Tidak ketinggalan, Siti turut membawa ingatan peminat terhadap saat-saat manis yang pernah Siti lalui di Singapura,” jelas Siti lagi mengenai konsert solo sulungnya di Esplanade Theatre itu lagi.

Gambaran kehidupan Siti bermula sebagai juara Bintang HMI 1996 sehingga dilamar sebagai artis rakaman Suria Records dan kemudian masyhur menerusi single Jerat Percintaan sehinggalah mencapai kedudukan artis nombor satu negara diterjemahkan menerusi seleksi lagu yang dinyanyikannya tempoh hari.

Rangkaian lagu Ku Mahu, Cindai, Biarlah Rahsia, Siti Situ Sana Sini serta medley lagu-lagu seniman kelahiran Singapura, M. Nasir seperti Suatu Masa dan Ada merupakan antara lagu yang menjadi pilihannya pada malam Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza.

Tidak ketinggalan di hadapan peminat tiga negara jiran Singapura, Malaysia dan Indonesia itu juga Siti turut mendapat sokongan daripada penyanyi-penyanyi latar Swara.

Sementara bagi memberikan impak yang berkesan pada persembahan tempoh hari juga, barisan pemuzik hebat seperti Nan dan Aji pada posisi gitar, Andy Peterson (bass), John Asley Thomas (dram) dan Steve Thornton (perkusi) serta Aubrey Suwito (keyboard) menjadi tulang belakang kejayaan Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza. - DEAN

sumber: utusan malaysia