Apr
24
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on April-24-2008

APA sahaja kisah tentang diva tersohor dari seberang ini, pastinya akan meraih perhatian yang cukup meluas. Bukan sahaja mempunyai wajah yang cantik dan jelita, kewibawaannya sebagai seorang penghibur yang cukup lincah dalam memberikan persembahan bertenaga tidak perlu disangkal lagi dan ditambah pula dengan keramahannya menjadikan Kris Dayanti begitu disenangi ramai.

Hujung minggu lalu, penerima Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 08), itu berada di ibu negara.

Jangan salah anggap

Ramai yang memperkatakan tentang ucapan Kris apabila dia menyebut tentang keikhlasan penyanyi nombor satu negara yang juga sahabat karibnya, Datuk Siti Nurhaliza terhadap dirinya sewaktu memberikan ucapan menerima anugerah Artis Wanita Terbaik APM 08 Ahad lalu.

Tidak mahu peminat kedua-duanya salah faham, dengan pantas Kris memberitahu apa yang dimaksudkan adalah keikhlasan Siti merestui kemenangannya memandangkan Siti tewas di negara sendiri.

“Selama lapan tahun APM dianjurkan, dua kali saya memenanginya dan pernah sekali kami berkongsi trofi berkenaan.

“Mungkin sudah menjadi rezeki saya memenanginya pada malam itu memandangkan Anugerah Muzik Indonesia baru-baru ini, saya gagal membawa pulang sebarang anugerah,” luah Kris dengan jujur.

Saat ditanya dengan soalan tidakkah dirinya mempunyai sebarang perancangan untuk menerbitkan sebuah album duet bersama Siti Nurhaliza, Kris menjelaskan impian dan perancangan tersebut sudah ada dan cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.

“Kini saya sudah bernaung di bawah syarikat saya sendiri dan begitu juga dengan Siti. Jadi, hendak berkolaborasi itu tidak ada masalah kerana masing-masing tidak terikat dengan syarikat rakaman. Tunggu sahajalah perkembangan terbarunya kelak,” jelasnya menyimpul senyuman yang penuh bermakna.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: