Biar persembahan itu dicacatkan dengan masalah teknikal, namun momentum penonton sarat dibuai dengan alunan vokal yang cukup mendayu.
Fantasia Bulan Madu di tangan Siti seperti sebuah gubahan baru dan kerana itu (tidak pasti sama ada ya atau tidak) barangkali, Amy (vokalis utama Search) seperti turut dibawa sama oleh Siti untuk meneroka versi baru lagu yang pernah memasyhurkan kumpulan rock legenda tanah air itu.
Ya, berilah lagu apa sekalipun pada Siti, dia akan menyempurnakan misi itu dengan berjaya.
Berada di tangga kedua senarai persembahan paling menawan APM 08 ialah gabungan tiga artis dari tiga negara serantau, Dayang Nurfaizah (Malaysia), Judika (Indonesia) dan Hady Mirza (Singapura) yang menyampaikan secara medley lima calon kategori Lagu Terbaik.
Inilah kelebihan APM. Ia berpeluang menggabungkan tiga penyanyi terbaik dari tiga buah negara dan setiap seorang daripada mereka sudah tentu akan bekerja keras untuk mempamerkan yang terbaik.
Oh ya sebelum terlupa, jawatankuasa penganjur APM 08 juga seharusnya merakamkan jutaan terima kasih buat Sarah Sechan kerana berjaya menghidupkan majlis anugerah serantau itu.
Meskipun diberi tugas secara perseorangan namun kepetahan dan kelincahan si kecil molek ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Setiap lawak jenaka yang terpacul dari mulutnya mengundang ketawa yang sekali gus menghiburkan audiens.
Paling penting tiada lawak sinis, lawak bodoh dan murahan atau lawak membakar hati yang sering kali ditampilkan oleh pengacara-pengacara yang sudah kekeringan idea semata-mata mahu menarik perhatian penonton.
Di dalam kebanyakan persembahan yang dipentaskan tempoh hari juga, suatu hal yang harus diberi tumpuan serius ialah APM 08 sebetulnya terlalu sarat dengan persembahan yang panjang dan memenatkan.
Bukan mahu prejudis atau menghentam namun realitinya dapat dilihat jelas situasi tersebut.
Bayangkan persembahan pembukaan mengambil masa lebih setengah jam sebelum anugerah pertama disampaikan.
Tidak dinafikan persembahan bertenaga oleh Meet Uncle Hussain, Ahli Fiqir, Ihsan, Bunga Cinta Lestari, Faizal Tahir dan diva dari seberang, Kris Dayanti sudah menghangatkan suasana malam APM 08 namun persembahan yang mengambil masa terlalu lama membuatkan khalayak yang menonton resah gelisah menantikan segmen seterusnya.
Sementara itu segmen nyanyian beramai-ramai dan segmen nyanyian memperkenalkan lagu-lagu yang tersenarai dalam beberapa kategori rasanya merupakan satu situasi biasa.
Bukan jelak tetapi sudah terlalu biasa dengan persembahan sedemikian membuatkan khalayak sudah boleh membaca apa yang ada selepas ini.
Hinggakan rasanya momentum menyaksikan APM 08 menurun dan membuatkan penonton memikirkan bilakah persembahan berpanjangan itu akan berakhir.
Antara artis lain yang membuat persembahan ialah Aliff Aziz, Elyana, Matta, Sofaz, Ferhad, Farah Asyikin, Anuar Zain, Taufik Batisah, Mawi dan Ajai.
Biar apa pun yang telah disajikan di APM 08, sekurang-kurangnya penganjuran acara itu memberi sumbangan yang cukup besar pada industri muzik serantau.
sumber: utusan malaysia online