|
|
|
|
|
‘Kami semakin bahagia’
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Majlis ulang tahun pertama perkahwinan Siti, Khalid imbau nostalgia detik bersejarah 21 Ogos 2006
BEGITU pantas masa berlalu dan tanpa disedari usia perkahwinan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Khalid Mohamad Jiwa mencecah angka setahun tanggal 21 Ogos lalu. Rasanya, bagai semalam menyaksikan Khalid atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk K menggenggam tangan Tok Kadi, melafazkan ijab kabul, menerima Siti sebagai permaisuri dalam hidupnya.
Namun, putaran masa meninggalkan jauh nostalgia itu. Dan Jumaat lalu, pasangan romantis ini meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama dalam suasana yang cukup meriah dengan diraikan ramai tetamu kehormat, kenalan serta rakan artis. Dewan hotel One World, yang menjadi saksi acara bersejarah itu dihias indah mengikut tema yang dipilih iaitu Retro.
Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam dewan, kelihatan wajah pasangan popular ini diabadikan dalam pelbagai gaya sebagai hiasan pentas yang dilatari rona warni-warni sekali gus menggambarkan kehidupan alam berumahtangga Siti yang penuh warna-warni.
Seperti majlis perkahwinan mereka terdahulu, orang yang bertanggungjawab mereka dan menghias dewan itu adalah orang yang sama menjadi perunding perkahwinan mereka iaitu Datuk Shah Rezza dari Nusantara Gems.
Melewati angka 9 malam, barulah acara bermula di mana pasangan sama cantik sama padan ini masuk ke dalam dewan dengan diiringi tetamu kehormat yang lain serta ahli keluarga masing-masing. Kehadiran mereka terus menjadi tumpuan apabila kedua-duanya mengenakan pakaian sedondon berwarna biru hasil sentuhan Datuk Bernard Chandran.
Melihat kepada raut wajah Siti malam itu, nyata kebahagiaan yang dicari-cari selama ini sudah pun ditemui dalam diri suami kesayangannya itu. Malah, wajah jelitanya yang tidak henti-henti mengukir senyuman itu sudah cukup menghantar syarat bahawa dirinya memang bahagia sekali gus melenyapkan pelbagai fitnah yang pernah singgah dalam hidup mereka sebelum ini.
“Setiap insan dalam hidup ini dijadikan Tuhan berpasang-pasangan dan Siti bersyukur kerana lelaki yang berdiri di sebelah Siti malam ini adalah pasangan Siti. Siti akui perjalanan kami masih jauh dan Siti harap pada anda semua, doakan yang terbaik buat kami berdua semoga dimurahkan rezeki dan dapat bertemu lagi dalam majlis seperti ini pada masa akan datang,” luahnya ketika memberi ucapan ringkas dalam majlis itu.
Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia ini berkata, sambutan itu sengaja dibuat pada hari Jumaat semata-mata kerana ingin mengambil keberkatan penghulu segala hari itu.
“Sebenarnya saya hendak buat majlis ini secara sederhana saja tetapi tak sangka pula boleh jadi sehebat ini. Apapun saya ucapkan terima kasih pada kakitangan SNP Production dan ACE Group kerana tanpa usaha mereka majlis ini tidak mungkin akan menjadi sehebat ini.
“Walaupun Siti bernikah pada 21 Ogos dan majlis di KLCC pada 28 Ogos, namun Siti sengaja memilih hari Jumaat kerana ingin mendapat berkat daripadaNya dan Siti juga terharu kerana walaupun terpaksa meredah kesesakan jalan raya, anda semua sanggup datang untuk meraikan kami,”ujar Siti sambil memberitahu ulang tahun pertama perkahwinan memang wajar diraikan buat semua pasangan suami isteri.
Bagi mengimbau kenangan setahun lalu, tetamu yang hadir secara eksklusif turut disajikan dengan tayangan klip video serta foto majlis perkahwinan Siti dan Khalid serta aksi romantis mereka sewaktu bercuti di luar negara. Bukan itu saja, Siti dan Khalid turut menerima kejutan apabila keluarga dari kedua-dua belah pihak serta kenalan turut memberi ucapan selamat kepada mereka.
Tidak lengkap rasanya majlis itu andai suara gemersik Siti tidak berkumandang malam itu dan jika di hari persandingannya Siti memilih lagu Cahaya Cinta tetapi untuk acara ini, Siti mengalunkan lagu romantis yang pernah dipopularkan oleh Whitney Houston berjudul, I Wiill Always Love You.
Sememangnya, itulah juga perasaan Siti terhadap suami tercinta dan tidak hairanlah andai penghayatan Siti ketika menyampaikan lagu itu sedikit luar biasa. Pada majlis itu, Siti turut mengundang sepupunya yang pernah menyanyi bersama-samanya sewaktu kecil dulu, menerusi lagu Mencintaimu.
Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan rakan artis yang lain seperti Ning Baizura, Fazli Zainal, Lan Pet Pet dan juga peserta My Starz LG serta bacaan puisi oleh pengacara Malaysia hari Ini, Ahmad Fedtri Yahya.
sumber : berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Hari ini genap setahun Siti Nurhaliza melayari bahtera rumah tangga
BAHAGIA yang dicari ditemuinya di sisi suami tercinta, Datuk Mohd Khalid Mohd Jiwa yang dinikahinya sejak 21 Ogos tahun lalu. Meskipun dugaan sentiasa datang merentang, kasih yang bertaut dengan lafaz ijab kabul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sentiasa hangat disimbah cahaya kasih sayang.
Masih basah lagi di ingatan detik kemeriahan hari bahagia penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang mendapat liputan meluas media, dalam dan luar negara.
Betapa pantas masa berlalu dan tanggal 21 Ogos ini, pasangan suami isteri itu akan menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
“Terasa baru sangat Siti mendirikan rumah tangga, sekejap saja sudah menjangkau setahun,” katanya memulakan bicara ketika ditemui selesai menjayakan persembahan sempena majlis makan malam anjuran Yayasan Jusco Malaysia di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Senyuman yang sentiasa menemani sepanjang temu bual singkat ini berlangsung jelas menterjemahkan warna bahagia yang sedang dilaluinya. Biar di luar sana ada saja mata yang ingin melihat kehancuran istana cintanya, namun penyanyi bersuara lunak ini utuh mempertahankan kebahagiaan yang dikecapi bersama lelaki pilihannya itu.
“Siti gembira kerana perjalanan rumah tangga berjalan sebaik mungkin. Siti bersyukur kerana perkahwinan ini mendapat keberkatan dan berharap, kasih sayang kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Setahun usia perkahwinan itu terlalu singkat, masih jauh lagi perjalanan yang belum Siti dan suami tempuhi,” katanya.
Ditanya bagaimana mahu meraikan detik ulang tahun perkahwinan mereka, Siti berkata, dia menyimpan keinginan untuk mengadakan majlis doa selamat.
Namun katanya, perancangan itu masih lagi difikirkan dan ia bergantung kepada jadual kerja mereka suami isteri.
“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar Siti dan suami tidak akan melupakan pihak media untuk sama meraikan detik kesyukuran itu,” katanya yang masih menanti saat yang akan melengkapkan kehidupannya sebagai seorang isteri dan wanita iaitu hamil.
Persefahaman yang mereka meterai itu juga membenarkan Siti untuk meneruskan karier seninya. Meskipun tidak serancak dulu, alunan suara lunak penyanyi berusia 28 tahun itu masih segar menerjah pendengaran peminat.
Malah Oktober depan, Siti akan mencipta sejarah baru dalam karier seni yang sudah lebih sedekad dilaluinya apabila dia melebarkan bakatnya di pentas lakonan.
Pementasan muzikal, Remy… Kisah P Ramlee menyaksikan kemunculan pertama Siti di pentas lakonan apabila membawakan watak Azizah, wanita misteri yang menjadi inspirasi dalam hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Alhamdulillah kerana suami memberi sokongan padu untuk Siti mencuba dunia lakonan. Malah, ketika singgah di bengkel latihan yang dianjurkan Enfiniti Productions Sdn Bhd, suami juga turut serta. Apatah lagi, pementasan ini diusahakan oleh produksi terbaik, justeru suami tidak keberatan untuk membenarkan Siti mencuba.
“Wataknya pun tidak besar, jika watak utama itu mungkin sukar sikit untuk Siti menerimanya,” kata Siti yang sudah pun memulakan sesi latihan untuk produksi itu.
Ditanya mengenai pengalaman awalnya, Siti berkata, dia sedar akan kekalutan yang bakal dilaluinya kerana nyanyian dan lakonan pentas adalah dua perkara berebza.
Kata Siti, dia tidak menghadapi kesukaran untuk memasukkan seluruh emosinya dalam lagu yang dinyanyikan namun situasi itu tidak sama apabila di pentas lakonan.
“Daripada cara berdialog yang penuh emosi serta gerak badan, Siti akui ada sedikit kesukaran namun Siti bernasib baik kerana pergerakan diawasi oleh mereka yang berpengalaman seperti Zahim Albakri dan Sean Ghazi.
“Buat sementara ini, tumpuan diberikan kepada pengucapan dialog supaya lontarannya lebih jelas nanti. Malah, Siti juga memulakan latihan dengan lagu supaya dapat memberikan sepenuh penghayatan apabila tiba tarikh pementasan nanti,” katanya.
Pada acara Makan Malam Gala 2007 yang berjaya mengumpul dana kira-kira RM750,000 untuk membina Rumah Tunas Harapan kedua di Bukit Beruntung, Hulu Selangor di bawah Yayasan Jusco Malaysia, Siti yang juga duta yayasan itu menghiburkan peminat dengan pelbagai rangkaian lagu popular.
Siti yang sudah empat tahun menjadi duta yayasan itu bersyukur kerana AEON Co (M) Berhad terus menunjukkan keprihatinan mereka kepada pihak yang memerlukan sumbangan dalam membela generasi yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara.
“Moga usaha tahunan itu akan dirahmati Allah dan Siti sangat bersyukur kerana masih dapat berpeluang untuk bekerjasama dalam aktiviti amal seperti ini,” katanya.
Selain Siti, turut membuat persembahan ialah bintang utama siri komedi Pua Chu Kang, Gurmit Singh yang menghiburkan tetamu dengan persembahan jenakanya.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Siti Nurhaliza attended the Tilawah Al-Quran event and some questions her pregnancy story.
Pic courtesy of Ammar.
|
|
|
|
|
|
|
|
Jaga hati Siti
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

DITEMUI: Tiara (tengah) bersama barisan pelakon utama
dan tenaga produksi muzikal Remy… Kisah P Ramlee.
Produksi Remy… Kisah P Ramlee terpaksa akur permintaan penyanyi popular ituBEBERAPA kali cuba berteka-teki, malah pernah menafikan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza akan terbabit dalam pementasan teater muzikal, Remy… Kisah P Ramlee, semua keraguan itu berakhir malam Rabu lalu.
Penerbit Eksekutif Enfiniti Productions Sdn Bhd, Datin Seri Tiara Jacquelina mengesahkan penyanyi wanita terkenal itu bakal memainkan peranan wanita pujaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Azizah, satu daripada lima watak utama yang bakal menunjangi pementasan itu.
Menurut Tiara, kata persetujuan diberikan isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa itu beberapa jam sebelum pengumuman senarai pelakon utama dibuat. Malah, rakaman penghargaan Siti yang tidak dapat hadir pada sidang media itu kerana terikat dengan persembahan lain di sebuah hotel turut dilakukan pada saat akhir.
“Pilihan untuk menentukan senarai barisan utama pementasan ini cukup sukar kerana kami terpaksa memilih yang terbaik antara yang terbaik. Semua ada di depan mata, namun kami mengutamakan bakat.
“Siti tidak pernah berlakon dan pementasan ini adalah titik permulaan untuk dia melangkah lebih maju sebagai anak seni. Kami yakin dia mampu melakukannya dengan bimbingan semua pihak,” kata Tiara pada sidang media yang diadakan di Borneo Rainforest Cafe, Petaling Jaya.
Seperti barisan pelakon lain, pemilihan Siti dalam senarai utama juga dibuat berdasarkan sesi uji bakat yang dihadirinya. Justeru, kata Tiara, pemilihan Siti tidak harus dilihat daripada sudut komersial semata-mata kerana dia memenuhi kriteria yang diinginkan untuk menzahirkan watak Azizah.
Tiara juga tidak menafikan membawa Siti ke dunia lakonan bermakna mereka harus mematuhi beberapa prinsip yang pernah digariskan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.
Bagaimanapun, Adlin Aman Ramlie yang bertindak sebagai pengarah pementasan itu cuba mencapai kesepakatan supaya tidak menimbulkan perasaan kurang selesa di hati Siti, keluarga mahupun peminatnya.
“Kami menghormati permintaannya dan pada masa sama, ada juga perkara tertentu yang perlu Siti penuhi. Tetapi, watak Azizah memang bersesuaian dengan karakternya malah ia selari penampilan Siti.
“Kami menjadikan watak Azizah lebih organik dan membentuknya supaya bersesuaian dengan penampilan Siti. Syarat Siti sendiri tidak terlalu tegas. Cuma katanya, dia tidak pernah berlakon dan kalau berlakon, dia ada syarat tertentu. Alhamdulillah, kami mampu mengatasi semua halangan itu.
“Interpretasi kami mengenai watak Azizah ada dalam diri Siti dan percayalah, Siti tidak akan menghampakan semua,” kata Adlin yakin.

PERANAN BERAT: Sean Ghazi dan Liza Hanim bakal
memainkan peranan utama sebagai P Ramlee dan Saloma.
Katanya, dalam pementasan besar seperti Remy… Kisah P Ramlee mereka sebolehnya cuba mengelak daripada terlalu bergantung kepada populariti artis kerana enggan terjerat masalah dibayangi individu tertentu.Remy… Kisah P Ramlee diadaptasikan daripada perjalanan hidup Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengupas persoalan mengenai kehidupan, cinta dan inspirasi ikon hiburan negara itu akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 19 Oktober hingga 3 November depan.
Pementasan 17 persembahan itu menampilkan Sean Ghazi memegang watak utama sebagai P Ramlee, manakala watak Saloma pula dijayakan penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.
Turut terbabit dalam pementasan yang menelan belanja hampir RM2 juta itu ialah Melissa Saila sebagai Junaidah, dibantu Chedd Yusuf (sebagai teman P Ramlee, Sukardi), Alam serta Andy, Alvin dan Rafik dari Infinatez (paparazzi).
Pemilihan pelakon yang akan memegang watak Norizan belum ditentukan.
“Kami mempunyai beberapa nama yang bersesuaian untuk membawa peranan itu. Kesemuanya mempunyai nama besar dalam industri dan ada kekuatan yang tersendiri. Apa yang penting ketika ini ialah komitmen dan kami masih berbincang mengenainya,” kata Tiara.
Akui Tiara, pencarian pelakon bersesuaian untuk memegang watak P Ramlee turut membawa mereka mengembara hingga luar negara. Mendambakan seseorang yang mempunyai tarikan serta pesona selain biasa dengan pementasan pentas, kriteria itu ada dalam diri Sean Ghazi.
“Dia mempunyai kelebihan kerana pengalamannya menjayakan pementasan West End akan membantu sepanjang proses latihan muzikal ini nanti. Tanggung jawab yang digalasnya juga besar kerana P Ramlee ialah ikon hiburan negara,” katanya.
Bakal menggunakan khidmat pasukan yang menaikkan nama pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang seperti Dick Lee (komposer), Pat Ibrahim (koroegrafer), Raja Malek (pereka produksi) dan Boudeng Edruce (penerbit), Remy… Kisah P Ramlee akan membawa penonton menelusuri sisi yang tidak pernah dipaparkan mengenai perjalanan hidup insan seni bernama P Ramlee.
Segala kesedihan, kepayahan serta insan yang pernah menjadi inspirasi sepanjang hayat P Ramlee akan dikupas dalam teater istimewa yang dihasilkan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50.
“Apa yang akan dilihat dalam pementasan ini bukan rekaan semata-mata. Sebaliknya kami cuba mengungkap segala fakta, desas-desus dan kisah di sebalik hidup P Ramlee untuk diluahkan serta diperjelaskan dalam usaha mencari kebenaran,” kata Adlin.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Siti pegang watak Azizah dalam teater kisah P. Ramlee
August 3rd, 2007
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, yang selama ini menolak tawaran berlakon, kelmarin menyatakan persetujuannya untuk membintangi teater Remy… Kisah P Ramlee.
Siti, 28 tahun, akan memegang watak Azizah, satu daripada lima watak utama dalam pementasan terbitan Enfiti Productions itu.
Pementasan 17 persembahan itu akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dari 19 Oktober hingga 3 November.
Pengumuman mengenai pembabitan Siti dibuat oleh penerbit eksekutif teater itu, Datin Seri Tiara Jacquelina Abdullah, dalam sidang media di Borneo Rainforest Cafe di sini.
Siti, bagaimanapun, tidak hadir di sidang media itu kerana terbabit dengan persembahan lain di sebuah hotel di sini.
Dalam rakaman ucapan yang ditayangkan kepada media, Siti menjanjikan persembahan terbaik dengan tunjuk ajar tenaga produksi.
‘Ini percubaan pertama Siti dalam pementasan teater. Siti akan mencuba sebaiknya dan berharap diberi kesihatan terbaik sepanjang latihan serta ketika pementasan berlangsung,’ katanya.
Teater itu turut dijayakan Sean Ghazi, yang akan memegang watak utama sebagai P. Ramlee, dan penyanyi Liza Hanim, sebagai Saloma.
Turut membintangi teater yang diadaptasi berdasarkan kisah hidup, cinta dan inspirasi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu ialah Melissa Saila, Chedd Yusuf, Alam dan kumpulan Infinatez.
Tiara berkata seperti pelakon lain, Siti melalui sesi uji bakat sebelum diserapkan dalam senarai pelakon utama. - BHM.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Siti Nurhaliza tak minat jadi SalomaAugust 1st, 2007
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Tiara akui ramai penyanyi popular tawar diri terbabit dalam My Name Is Remy
PENERBIT Eksekutif Enfiniti Production Sdn Bhd (EPSB), Datin Seri Tiara Jacquelina pening kepala memilih barisan calon watak utama dalam teater muzikal terbarunya, My Name Is Remy yang mengupas perjalanan hidup, kecintaan serta inspirasi Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sepanjang hayatnya berkarya.
Ini berikutan terlalu ramai penyanyi popular tanah air yang menawarkan diri untuk menyertai teater yang bakal dipentaskan
di Istana Budaya dari 19 Oktober hingga 3 November depan.
Namun Tiara menafikan khabar angin mengatakan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza turut berminat untuk terbabit teater arahan dan skripnya ditulis oleh Adlin Aman Ramli itu.
Bagaimanapun Tiara mengakui Siti hadir di hari terakhir sewaktu mereka mengadakan bengkel pementasan teater muzikal berkenaan, bagaimanapun bukanlah tujuan untuk uji bakat, sebaliknya hanya singgah untuk menemuinya.
“Saya dan Siti memang rapat. Beliau ada datang menemui saya tapi tujuannya bukanlah untuk uji bakat seperti yang diuar-uarkan. Sebenarnya saya masih mempertimbangkan beberapa nama artis terkenal untuk watak utama dan saya masih belum membuat sebarang keputusan.
“Seperti yang diketahui, pementasan teater muzikal bukanlah sesuatu yang mudah seperti berlakon drama atau filem. Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk sesi latihan yang diadakan setiap hari. Ia bukannya mudah menuntut komitmen penyanyi popular seperti Siti memandangkan beliau juga terikat dengan undangan nyanyian dan promosi sebagai duta beberapa produk antarabangsa.
“Saya akui ramai penyanyi popular tanah air menemui saya untuk menyertai pementasan karya agung ini. Saya sendiri pening kepala untuk memilih watak utamanya. Insya-Allah saya akan umumkan dalam sidang akhbar yang akan diadakan pada Rabu depan (hari ini),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian restorannya, Borneo Rainforest Cafe di Sunway, baru-baru ini.
Kata Tiara, selain Adlin, beliau masih mengekalkan tenaga kerja yang pernah menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang seperti Pat Ibrahim (pereka tari), Dick Lee (komposer) dan Raja Malik (pereka set).
Menjanjikan sesuatu menarik, Tiara berkata My Name Is Remy tidak lagi memperkatakan hasil karya yang terlalu kerap dipaparkan, sebaliknya ia cuba membawa penonton mengetahui perjalanan hidup, kecintaan serta siapakah wanita bernama Azizah yang sering dipuja P Ramlee sehingga dijadikan lagu.
100 hidangan di Borneo Rainforest Cafe
MENYENTUH restoran barunya itu, Tiara berkata lapan gerai menyediakan lebih 100 resipi kegemarannya termasuklah mi rebus, nasi dagang, laksa Sarawak, nasi kerabu, laksam, nasi lemak dan macam-macam lagi.
Katanya, paling penting, restorannya itu menyediakan kesemua makanan tempatan termasuklah kuih tradisional seperti akok dan cek mek molek yang hanya boleh ditemui di gerai pada bulan Ramadan saja.
“Borneo Rainforest Cafe yang terletak berhadapan dengan Hotel Sunway & Spa mula operasi Sabtu lalu. Sejak dulu lagi saya menyimpan impian untuk memiliki sebuah restoran yang berkonsep santai. Bagaimanapun kesibukan dan sukar mencari lokasi yang strategik membuatkannya sering tertangguh.
“Ibu dan suami adalah orang yang menjadi pendorong untuk saya membuka perniagaan makanan. Selepas kakitangan saya menjumpai lokasi sesuai dan santai untuk dijadikan restoran, saya semakin tidak sabar, akhirnya impian saya tercapai.
“Saya memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk membina sebuah restoran berkonsep dalam hutan. Saya mahukan sebuah restoran yang menjadi tempat santai dan rehat, selain boleh diadakan pelbagai aktiviti atau majlis ringkas,” katanya.
Kata Tiara, restorannya itu boleh menampung kira-kira 400 pelanggan dan kemungkinan beliau mempertimbangkan untuk menyediakan band untuk menghiburkan pelanggannya pada setiap hujung minggu.
“Apa yang menarik, walaupun restoran saya berkonsep gerai tetapi pelanggan tidak perlu mengambil makanan sendiri seperti kebanyakan restoran. Ia akan dibuka jam 6 petang dan ditutup pada jam 1 pagi setiap hari,” katanya. Turut hadir, Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Mohd Khalid Jiwa, Juliza Adlizan, Sofea Jane, Diana Daniel dan Radhi Khalid.
sumber: Berita Harian Online
|
|
|
|
|
|
|
|
Kata Teman: Perihal dunia artis, telefon bimbit dan internet
Oleh Hanizam Abdullah
ENTAH siapa yang memulakannya dan untuk apa, teman tak tahulah. Tetapi hakikatnya, tersebar luas di internet ketika ini tiga keping gambar anak seorang selebriti Melayu-Islam berpeluk mesra dengan seekor anjing. Tetapi gambar itu nampak terlalu peribadi untuk dikatakan ia diambil seorang paparazi kerana ia ternyata foto pose dan bukan gambar ditangkap curi. Maknanya, foto itu seolah-olah diambil daripada album keluarga. Tetapi bagaimana seorang ahli keluarga atau mereka yang dekat dengannya boleh melepaskan gambar itu untuk tatapan umum, teman tak tahulah.
Ia seperti juga ketika cerita Mawi didakwa ‘lalok’ di rumahnya. Bagaimana aksi Mawi diambil melalui sebuah telefon bimbit oleh temannya, boleh terlepas sehingga tersebar di internet kecualilah kalau telefon itu hilang dan singgah di tangan mereka yang tak sepatutnya. Logiknya, mestilah ia dilakukan seorang teman Mawi. Tetapi tidak ada seorang pun teman Mawi mengaku mengeposnya ke mana-mana internet atau telefon bimbit. Iyalah, siapa hendak mengaku kalau sudah berak di tengah jalan.
Mawi khabarnya bingung juga kerana mana mungkin orang sekeliling yang sudah dianggap sahabat dan diamanahkan untuk menyimpan rahsia dan tugas mereka bagaikan ‘penyimpan mohor besar raja-raja’ akan melakukan perkara seumpama itu. Habis cerita ’lalok’ di telefon bimbit, timbul pula kisah ‘lalok’ di Australia. Sekali lagi ada seseorang yang mengaku berada dalam kelompok rombongan percutian di negara itu mendakwa Mawi meminta seseorang untuk membeli dadah kerana sudah tak tahan sampai menggigil badan. Mawi kata dia menggigil kerana kesejukan. Tak payah pergi Australia kalau hendak tahu macam mana orang sudah sejuk boleh menggigil. Kat Malaysia ini pun kalau tangkap sejuk orang pun boleh menggigil juga.
Sekali lagi Mawi bingung kerana orang yang berada di kelilingnya adalah orang yang boleh dipercayai. Siasat punya siasat, seperti yang sudah diduga tak seorang pun mengaku memberi cerita itu kepada orang surat khabar. Yang nampak buruk adalah orang surat khabar juga, kononnya sengaja mahu mensensasikan cerita untuk melariskan jualan surat khabar.
Sedikit masa lalu pula, gara-gara sistem canggih teknologi maklumat juga, seorang peserta Akademi Fantasia, Zhana terpaksa menarik diri daripada program realiti paling popular itu kerana kononnya gambar beraksi tak senonoh disebarkan melalui internet. Zhana kata sekujur tubuh monggel berbogel itu bukanlah dia. Jenuh juga Zhana mahu membersihkan namanya sehingga membuat laporan polis. Tetapi apa keputusan hasil siasatan polis teman tak tahulah kerana akhirnya cerita itu sejuk bedi begitu saja. Terbaru, Zhana dilamar Engku Emran menjadi penyampai di stesen radio Suria FM.
Dalam sebulan dua ini pula, kisah penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza kembali hangat diperkatakan apabila ada mendakwa Siti dipukul suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K). Ceritanya, berita itu disebarkan melalui SMS dan ada pula seseorang yang kononnya menelefon bilik berita memberitahu Siti dipukul teruk sampai masuk hospital. Siti dan Datuk K bangkit membersihkan nama kerana cerita sebegini bisa saja menjejaskan maruah mereka.
Sehari dua ini pula, heboh juga cerita gara-gara telefon bimbit lagi. Teman diberitahu satu klip video 36 saat mengenai aksi sumbang membabitkan dua selebriti popular tanah air, Ella dan kakaknya Jojie disebarkan melalui telefon bimbit. Bagaimana aksi mereka teman tak tahulah kerana teman sendiri pun belum tengok lagi. Tetapi dalam satu temu bual dengan akhbar Malay Mail, Ella menafikan mereka terbabit dalam aksi tak senonoh itu. “Kalau itu gambar saya sudah lama saya larikan diri,” kata Ratu Rock itu yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-41, esok. Kita tunggulah perkembangan lanjut mengenai cerita aksi panas itu.
Begitulah ceritanya kalau sudah masuk kelompok selebriti. Apa saja membabitkan mereka tentu saja menjadi tumpuan dan bualan. Apabila sudah jadi bualan, ada juga elemen nasi tambah. Nasi tambah itu satu hal jugalah tetapi pada pandangan teman elok jugalah kalangan selebriti kita menjaga tingkah laku. Memanglah lemas tetapi kalau tak mahu terus tenggelam ada baiknya kita bermuhasabah diri.
Kita manusia biasa, tak pernah sempurna dan tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Barangkali segala dakwa-dakwi itu ada yang tak betul langsung, ada sipi betul dan banyak juga yang serkap jarang. Tapi ada juga yang kata kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang. Tetapi dalam kehidupan serba canggih ini, ada ketikanya pokok tetap boleh bergoyang walaupun tak ada anginnya. Tengok siapalah pula di bawah pokok itu. Jumpa lagi. – hanizam@bharian.com.my
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
‘Semakin diam kian galak fitnah ditabur’
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Datuk K terkilan dakwaan pukul Siti Nurhaliza
SEPANJANG melayari kehidupan berumah tangga, inilah dugaan paling hebat yang pernah menimpa mereka berdua. Terkilan, kecewa, sedih, malu, marah bercampur baur dan menggelodak di dalam jiwa. Tertanya-tanya juga pasangan suami isteri Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohammad Jiwa, apakah dosa mereka sehingga orang sewenang-wenang menabur fitnah?
Tuduhan melampau yang mendakwa Khalid atau lebih akrab dengan panggilan Datuk K memukul isterinya sehingga cedera parah dan terlantar di hospital cukup menghiris tangkai hati pasangan popular ini. Mana tidaknya, ketika diri dalam keadaan tenang dan bahagia menjalani kehidupan seharian sebagai suami isteri, tiba-tiba fitnah menerjah.
Malah, hati insan mana yang tidak kecewa andai rumah tangga yang pada dasarnya aman damai dan sentosa tiba-tiba dikatakan bergelora. Bukti betapa bahagianya mereka bukan sekadar di mulut tetapi sehari selepas SMS tersebar, merpati dua sejoli ini terus terbang ke Bali untuk menghabiskan masa berdua di sana.
Ketika penulis bertentang mata dengan pasangan ini petang Selasa lalu, puas juga mata ini mencari di mana kesan cedera seperti yang diuar-uarkan itu. Yang jelas di depan mata bukanlah kesan luka. Sebaliknya kemesraan dan sifat romantis yang penuh tulus ditunjukkan pasangan ini melenyapkan terus dakwaan palsu yang sengaja diada-adakan itu.
Jelas Khalid, kesan fitnah itu bukan setakat mereka berdua yang merasa malah membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak. Paling terasa dan tidak boleh menerima berita sebegitu ialah bapa Siti sendiri.
“”Bapa mentua saya paling marah mendengar cerita itu dan dia meminta saya menyiasat segera siapa dalang di sebalik penyebaran fitnah itu. Saya akan berusaha mencari siapa yang terbabit tapi sebelum mengambil sebarang tindakan, saya akan melihat dulu latar belakangnya sama ada dia kurang waras atau terencat akal,” tegas usahawan itu..
Mengakui mendapat perkhabaran mengenai perkara itu selepas dimaklumkan kakak ipar Siti, Rozie Razak, Khalid berkata ketika dihubungi Rozie, dia dan isteri baru saja pulang menghadiri kenduri.
“Pada malam tersebarnya SMS itu (13 Julai lalu), saya dan Siti menghadiri majlis perkahwinan setiausaha politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Hadir sama, Pak Lah, Datuk Seri Najib Razak dan ramai kenamaan lain.
“Kami terkejut apabila Rozie beritahu mengenai SMS kononnya saya memukul Siti hingga cedera parah,” katanya ketika ditemui di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya kerana menemani isterinya menjalani rakaman klip video kempen Gegar U.
Bagi Khalid, jika terus berdiam diri atau menafikannya, mungkin ada yang akan menganggap kejadian itu benar berlaku dan dia juga cuba melindungi sesuatu.
“Semakin kami diamkan, semakin menjadi-jadi orang menabur fitnah. Ini bukan pertama kali orang cuba menabur fitnah terhadap rumah tangga kami tapi sudah banyak kali pihak tidak bertanggungjawab berusaha menjatuhkan maruah saya. Termasuklah pelbagai cerita yang disebarkan menerusi Internet.
“Justeru, jalan terbaik adalah dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang bertanggungjawab menulis dan menyebar fitnah itu supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya yang turut kesal dengan cerita sampingan yang tersebar di Internet gara-gara fitnah itu.
Biarpun hatinya terluka dengan fitnah itu, namun pengalaman yang dilaluinya sebelum ini menyebabkan Siti tetap tenang dan tidak cepat melatah bila berdepan dengannya.
“Kalau hendak diikutkan, Siti memang sudah lali dengan cerita seperti ini tetapi mengenangkan Siti sudah berkahwin dan ia membabitkan maruah suami dan keluarga kami berdua. Saya perlu tampil menjelaskan perkara sebenar supaya masyarakat tidak memandang negatif terhadap suami saya,” jelas Siti sambil memandang wajah suami tercinta.
sumber: berita harian
|
|
|
|
|
|
|
|
SKMM minta Datuk K, Siti buat laporan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahu Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, yang juga suami kepada Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melaporkan dakwaan fitnah terhadap mereka yang disebarkan menerusi SMS kepada badan berkenaan atau Polis.
Ketua Komunikasi Korporat SKMM, Adelina Iskandar, berkata pihaknya hanya boleh menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik nombor telefon bimbit pengirim SMS terbabit selepas menerima aduan daripada mangsa.
“Bagaimanapun, setakat ini (semalam), SKMM masih belum menerima sebarang aduan daripada Datuk Khalid atau Siti berhubung SMS yang diterima. Selagi tiada laporan dibuat mangsa atau polis, SKMM tidak dapat bertindak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, suami penyanyi terkenal itu dilaporkan amat kecewa dan terkilan dengan penyebaran fitnah menuduh beliau memukul isterinya sehingga cedera parah yang disebar meluas menerusi SMS, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Datuk K mahu mencari punca dan siapa yang menjadi dalang terhadap penyebaran SMS berkenaan malah mereka mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu
Adelina berkata, sejak pendaftaran talian prabayar dibuat, SKMM boleh mengenal pasti pemilik talian telefon bimbit menerusi data maklumat peribadi pengguna.
“Walaupun kerajaan mewajibkan pengguna telefon bimbit prabayar mendaftarkan maklumat peribadi termasuk alamat mereka, kadangkala individu terbabit licik memalsukan maklumat mereka,” katanya.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|
|
|
|
Datuk K mahu buru dalang sebar fitnah
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Bapa mentua arah siasat ke akar umbi dakwaan pukul Siti
PETALING JAYA: Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, ahli perniagaan dan suami kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mahu mencari punca dan siapa yang menjadi dalang menyebarkan fitnah dengan menuduh beliau memukul isterinya sehingga cedera parah seperti tersebar menerusi SMS, baru-baru ini.
Khalid berkata, beliau dan isterinya mungkin mengambil tindakan undang-undang kerana mereka tidak mahu terus menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab serta dengki dengan kerukunan rumah tangga mereka.
“Cukuplah, semakin kami diamkan semakin menjadi-jadi pula orang menabur fitnah terhadap kami berdua. Kami sendiri terkejut apabila dimaklumkan pengurus peribadi Siti, Rozi mengenai kejadian itu, sedangkan ketika itu kami baru saja pulang daripada menghadiri satu majlis kenduri kahwin.
“Lagipun, orang yang paling kecewa, sedih dan kesal dengan cerita yang disebarkan itu ialah bapa Siti sendiri. Sebaik saja dia membaca berita itu di akhbar keesokan harinya, dia marah sangat dengan apa yang berlaku. Dia juga menyarankan kami supaya menyiasat perkara itu hingga ke akar umbi supaya kebenaran dapat didedahkan,” kata Khalid ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.
Khalid berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana perkara seperti itu boleh timbul, sedangkan pada hakikatnya beliau cukup bahagia dengan kehidupan ketika ini.
“Sepanjang berkahwin, kami tidak pernah ada masalah, tak pernah gaduh, kami memahami antara satu sama lain. Saya faham tugas Siti sebagai artis dan saya menerima Siti seadanya. Jadi apabila perkara ini timbul, saya sangat kecewa dan terkilan,” kata Khalid dalam nada kesal.
Sementara itu, Siti yang turut bersama Khalid selepas sesi rakaman klip video lagu tema kempen Gegar U berjudul Warna-Warna Kehidupan di Wisma Ali Bawal, di sini, turut melahirkan rasa kecewa apabila fitnah itu diperbesar-besarkan sehingga mengundang persepsi negatif terhadap mereka sekeluarga.
“Pada mulanya memang Siti ingin diamkan perkara ini tetapi mengenangkan Siti sekarang sudah berkahwin dan banyak hati perlu Siti jaga, maka kami harus mengambil tindakan supaya pisang tidak berbuah dua kali. Bagi Siti, maruah suami lebih penting. Siti tidak mahu gosip seperti ini akan mengundang cerita sampingan yang boleh melukakan hati kami sekeluarga.
“Bagaimanapun, kami tidak akan terus mengambil tindakan, sebaliknya akan melihat terlebih dulu latar belakang si penyebar fitnah. Jika dia tidak waras, terencat akal atau kanak-kanak, kami tidak akan berbuat apa-apa,” katanya.
Siti berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana orang boleh menyebar cerita sedemikian sedangkan pada keadaan sebenarnya beliau cukup bahagia dengan kehidupan sekarang.
Sambil menyifatkan fitnah itu sebagai dugaan paling berat sepanjang bergelar isteri, Siti berkata, semoga siasatan itu nanti akan dapat membersihkan imej suaminya yang sudah tercemar gara-gara fitnah itu.
sumber: berita harian online
|
|
|
|
|