SKMM minta Datuk K, Siti buat laporan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahu Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, yang juga suami kepada Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melaporkan dakwaan fitnah terhadap mereka yang disebarkan menerusi SMS kepada badan berkenaan atau Polis.
Ketua Komunikasi Korporat SKMM, Adelina Iskandar, berkata pihaknya hanya boleh menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik nombor telefon bimbit pengirim SMS terbabit selepas menerima aduan daripada mangsa.
“Bagaimanapun, setakat ini (semalam), SKMM masih belum menerima sebarang aduan daripada Datuk Khalid atau Siti berhubung SMS yang diterima. Selagi tiada laporan dibuat mangsa atau polis, SKMM tidak dapat bertindak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, suami penyanyi terkenal itu dilaporkan amat kecewa dan terkilan dengan penyebaran fitnah menuduh beliau memukul isterinya sehingga cedera parah yang disebar meluas menerusi SMS, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Datuk K mahu mencari punca dan siapa yang menjadi dalang terhadap penyebaran SMS berkenaan malah mereka mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu
Adelina berkata, sejak pendaftaran talian prabayar dibuat, SKMM boleh mengenal pasti pemilik talian telefon bimbit menerusi data maklumat peribadi pengguna.
“Walaupun kerajaan mewajibkan pengguna telefon bimbit prabayar mendaftarkan maklumat peribadi termasuk alamat mereka, kadangkala individu terbabit licik memalsukan maklumat mereka,” katanya.
sumber: berita harian online