Kata Teman: Perihal dunia artis, telefon bimbit dan internet
ENTAH siapa yang memulakannya dan untuk apa, teman tak tahulah. Tetapi hakikatnya, tersebar luas di internet ketika ini tiga keping gambar anak seorang selebriti Melayu-Islam berpeluk mesra dengan seekor anjing. Tetapi gambar itu nampak terlalu peribadi untuk dikatakan ia diambil seorang paparazi kerana ia ternyata foto pose dan bukan gambar ditangkap curi. Maknanya, foto itu seolah-olah diambil daripada album keluarga. Tetapi bagaimana seorang ahli keluarga atau mereka yang dekat dengannya boleh melepaskan gambar itu untuk tatapan umum, teman tak tahulah.
Ia seperti juga ketika cerita Mawi didakwa ‘lalok’ di rumahnya. Bagaimana aksi Mawi diambil melalui sebuah telefon bimbit oleh temannya, boleh terlepas sehingga tersebar di internet kecualilah kalau telefon itu hilang dan singgah di tangan mereka yang tak sepatutnya. Logiknya, mestilah ia dilakukan seorang teman Mawi. Tetapi tidak ada seorang pun teman Mawi mengaku mengeposnya ke mana-mana internet atau telefon bimbit. Iyalah, siapa hendak mengaku kalau sudah berak di tengah jalan.
Mawi khabarnya bingung juga kerana mana mungkin orang sekeliling yang sudah dianggap sahabat dan diamanahkan untuk menyimpan rahsia dan tugas mereka bagaikan ‘penyimpan mohor besar raja-raja’ akan melakukan perkara seumpama itu. Habis cerita ’lalok’ di telefon bimbit, timbul pula kisah ‘lalok’ di Australia. Sekali lagi ada seseorang yang mengaku berada dalam kelompok rombongan percutian di negara itu mendakwa Mawi meminta seseorang untuk membeli dadah kerana sudah tak tahan sampai menggigil badan. Mawi kata dia menggigil kerana kesejukan. Tak payah pergi Australia kalau hendak tahu macam mana orang sudah sejuk boleh menggigil. Kat Malaysia ini pun kalau tangkap sejuk orang pun boleh menggigil juga.
Sekali lagi Mawi bingung kerana orang yang berada di kelilingnya adalah orang yang boleh dipercayai. Siasat punya siasat, seperti yang sudah diduga tak seorang pun mengaku memberi cerita itu kepada orang surat khabar. Yang nampak buruk adalah orang surat khabar juga, kononnya sengaja mahu mensensasikan cerita untuk melariskan jualan surat khabar.
Sedikit masa lalu pula, gara-gara sistem canggih teknologi maklumat juga, seorang peserta Akademi Fantasia, Zhana terpaksa menarik diri daripada program realiti paling popular itu kerana kononnya gambar beraksi tak senonoh disebarkan melalui internet. Zhana kata sekujur tubuh monggel berbogel itu bukanlah dia. Jenuh juga Zhana mahu membersihkan namanya sehingga membuat laporan polis. Tetapi apa keputusan hasil siasatan polis teman tak tahulah kerana akhirnya cerita itu sejuk bedi begitu saja. Terbaru, Zhana dilamar Engku Emran menjadi penyampai di stesen radio Suria FM.
Dalam sebulan dua ini pula, kisah penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza kembali hangat diperkatakan apabila ada mendakwa Siti dipukul suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K). Ceritanya, berita itu disebarkan melalui SMS dan ada pula seseorang yang kononnya menelefon bilik berita memberitahu Siti dipukul teruk sampai masuk hospital. Siti dan Datuk K bangkit membersihkan nama kerana cerita sebegini bisa saja menjejaskan maruah mereka.
Sehari dua ini pula, heboh juga cerita gara-gara telefon bimbit lagi. Teman diberitahu satu klip video 36 saat mengenai aksi sumbang membabitkan dua selebriti popular tanah air, Ella dan kakaknya Jojie disebarkan melalui telefon bimbit. Bagaimana aksi mereka teman tak tahulah kerana teman sendiri pun belum tengok lagi. Tetapi dalam satu temu bual dengan akhbar Malay Mail, Ella menafikan mereka terbabit dalam aksi tak senonoh itu. “Kalau itu gambar saya sudah lama saya larikan diri,” kata Ratu Rock itu yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-41, esok. Kita tunggulah perkembangan lanjut mengenai cerita aksi panas itu.
Begitulah ceritanya kalau sudah masuk kelompok selebriti. Apa saja membabitkan mereka tentu saja menjadi tumpuan dan bualan. Apabila sudah jadi bualan, ada juga elemen nasi tambah. Nasi tambah itu satu hal jugalah tetapi pada pandangan teman elok jugalah kalangan selebriti kita menjaga tingkah laku. Memanglah lemas tetapi kalau tak mahu terus tenggelam ada baiknya kita bermuhasabah diri.
Kita manusia biasa, tak pernah sempurna dan tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Barangkali segala dakwa-dakwi itu ada yang tak betul langsung, ada sipi betul dan banyak juga yang serkap jarang. Tapi ada juga yang kata kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang. Tetapi dalam kehidupan serba canggih ini, ada ketikanya pokok tetap boleh bergoyang walaupun tak ada anginnya. Tengok siapalah pula di bawah pokok itu. Jumpa lagi. – hanizam@bharian.com.my
sumber: berita harian online