Apr
01
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on April-1-2008

Oleh Farihad Shalla Mahmud

BIARPUN keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands malam kelmarin tidaklah begitu mengejutkan seperti mana keputusan pilihan raya umum ke-12 yang baru berlalu, namun ia tetap menyaksikan gelombang perubahan apabila beberapa nama baru bangkit untuk menggenggam trofi berprestij yang menjadi idaman ramai itu.

Masih utuh serta belum mampu dapat digugat sesiapa adalah Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Rabbani.

Siti Nurhaliza terus membuktikan beliau masih penyanyi wanita yang masih sukar digugat apabila memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular untuk kali ke-11 berturut-turut. Ini menjadikan beliau antara penyanyi yang beruntung kerana walau apapun yang berlaku sama ada dilanda kontroversi liar serta berubah imej dan mengenakan tudung, sayang peminat terhadapnya tidak pernah pudar.

sumber: berita harian online


 
Mar
15
    
Posted (admin) in Family, berita harian online on March-15-2008

NAMPAKNYA satu demi satu anak Pakcik Tarudin Ismail menceburkan diri dalam bidang seni. Bermula dengan Saiful Bahari atau Ayie, diikuti Datuk Siti Nurhaliza kemudian dituruti jejaknya oleh Siti Nursaerah, kini giliran Siti Nursaida pula mencuba nasib menjadi penyanyi.

Percubaan kakak kepada penyanyi tersohor itu menyertai sesi uji bakat AF6 Januari lalu nyata tidak sia-sia apabila dia tersenarai sebagai 25 calon awal yang bakal menyertai akademi larangan itu.

Biarpun ramai yang terkejut kerana tidak pernah melihat kelibat Siti Nursaida atau Saida menyanyi di mana-mana acara sebelum ini, namun bagi Siti, berita itu bukanlah sesuatu yang asing baginya. Jelas Siti, apabila mendapat tahu yang Saida berjaya melayakkan diri sebagai calon finalis, dia adalah antara insan yang cukup gembira mendengar perkhabaran itu.

“Mungkin ramai yang tak tahu Kak Ida ini sebenarnya memang boleh menyanyi cuma dia pemalu sedikit. Tapi Siti tahu dia boleh buat. Apabila dia beritahu terpilih sebagai calon pelajar AF6, Siti awal-awal lagi ucap tahniah kepadanya,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin.

Menceritakan kembali bagaimana kakaknya boleh terjebak dengan program realiti popular itu, Siti berkata, penyertaan kakaknya itu berlaku secara kebetulan dan tidak terancang.

“Tujuan dia sebenarnya adalah untuk menemani Saerah yang hendak menyertai uji bakat. Tapi apabila mendapati angka giliran Saerah agak lewat dan mungkin membawa ke malam, hendak tak hendak dia pun mencuba sekali. Iyalah, takkan hendak tunggu seorang diri di luar. Tak sangka pula dia yang terpilih dan bukannya Saerah.

“Apa pun, Siti mengharapkan agar dia berjaya melepasi ujian penilaian sekali gus menjadi calon pelajar AF6. Siti tetap akan memberikan sokongan moral buatnya,” ujar si pelantun Ku Mahu ini sambil tertawa.

Biarpun mungkin ada yang beranggapan kejayaan Saida itu sebenarnya adalah kerana dia kakak kepada penyanyi terkenal tanah air, Siti menafikan perkara itu.

“Saya tak rasa itu adalah alasannya. Saya tahu dia juga berbakat besar dalam bidang nyanyian. Malah, sewaktu di sekolah dulu dia yang terlebih dulu menyertai pertandingan nyanyian kemudian barulah saya menyusul.

“Malah, dia juga sering menyumbangkan suaranya untuk acara-acara besar di kampung seperti persembahan Hari Kemerdekaan dan sebagainya. Dan dia jugalah yang akan menggantikan tempat Siti untuk menyanyi sekiranya Siti tidak dapat memenuhi sesuatu undangan itu,” imbas Siti lagi.

Sementara Saida dikurung bagi menjalani sesi orientasi seperti yang ditetapkan Astro, Siti menjalankan tanggungjawab menjadi ibu kepada empat anak saudaranya itu.

“Sekarang ni kan cuti sekolah. Jadi Siti ambillah anak Kak Ida yang empat orang itu untuk tinggal dengan Siti. Mereka tak kisah sebab sudah biasa. Dan mereka juga tahu emak mereka di mana.

“Contohnya, kalau kita tanya mak mereka pergi mana, dia orang akan jawab, Mak kita pergi menyanyi,” cerita Siti dengan hilai tawa.

Ditanya apakah kakaknya itu sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cerita negatif apabila memilih untuk menyertai AF, Siti berkata, pengalaman yang dilaluinya barangkali menjadi pedoman buat Saida mengharungi bidang ini.

“Pengalaman Siti sepanjang bergelar artis barangkali mungkin boleh membantunya berdepan dengan situasi itu. Walaupun tidak mengalaminya sendiri tapi daripada apa yang dilihat, didengar, saya yakin dia boleh mengatasinya. Lagi pun suaminya memberi sokongan terhadap keputusannya itu,” kata Siti sambil membetulkan tudungnya.

Diusik pertanyaan apakah dia akan menubuhkan kelab peminat untuk kakaknya, sambil tersenyum Siti berkata, dia difahamkan kelab peminat itu sudah pun ditubuhkan tetapi atas usaha orang lain.

Mengenai pendiriannya jika dia diberi peluang menjadi pengkritik undangan, Siti berkata, dia tetap profesional dalam menjalankan tugas.

“Nak buat macam mana lagi, kritik ajelah,” ujarnya sambil disambut dengan gelak ketawa media di sekeliling.

sumber: berita harian


 
Mar
13
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on March-13-2008


KUALA LUMPUR: Pemenang enam kali Anugerah Bintang Paling Popular, Datin Seri Siti Nurhaliza dan penyandang anugerah sama untuk 2005 dan 2006, Asmawi Ani (Mawi) bakal menggegarkan pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07).

Kedua-dua penyanyi popular itu antara 17 artis yang diumumkan penyelaras ABPBH07, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) untuk menghiburkan peminat di acara berprestij itu yang bakal berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 30 Mac ini.

Menarik apabila di majlis pengumuman pengacara, penyampai trofi dan persembahan artis ABPBH07 diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses di sini, semalam, Datuk Jalaluddin Hassan turut disenaraikan untuk menyanyi.

Turut serta mengadakan persembahan penyanyi utama kumpulan Search, Amy, Anuar Zain, Atilia, Awie, Bob, Dynas, Ella, Fasha Sandha, Fousiah Gous, Hattan, Heliza, Liza Hanim Meet Uncle Hussain dan Ramli Sarip.

Sementara itu 26 artis popular terbabit sebagai penyampai trofi untuk 16 kategori dipertandingkan iaitu AC Mizal, Afdlin Shauki, AG, Anne Ngasri, Awie, Datuk Yusni Hamid, Diana Danielle, Erra Fazira, kumpulan Estranged, Fauziah Latiff dan Hans Isaac.

Turut diumumkan pelakon muda Iqram Dinzly, Isma Halil Hamzah, Leya, Nabil, Ning Baizura, Noorkhiriah, Nora Danish, Noryn Aziz, Nurul, Rashidi Ishak, Rozita Che Wan, Sharifah Shahira, Syamsul Yusof, Zainal Din Zainal dan Zul Zahya.

Seperti tahun lalu, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Raja Azura masih dikekalkan sebagai pengacara majlis.

Di majlis sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) Datuk Manja Ismail dan Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Sadik Habib, menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Gemilang Bersama Bintang bagi siri satu, dua dan tiga.

Bagi siri satu pemenangnya, Farah Wahida Mohd Zain diikuti tempat kedua, Md Amin Mohamad dan Nora Hamid tempat ketiga. Siri kedua dimenangi Nor Khalilah Mohamad, Ahmad Farid Mustamir Neguib dan Wirna Ilyana Mohd Arshad sementara siri ketiga pemenangnya Nor Razmi Che Hat, Mohd Ferdaus Sari dan Annis Fadzreen Mohd Razzib.

Pememang utama menerima hadiah berupa berjalan di permaidani merah dan menyaksikan ABPBH07 bersama artis popular. Mereka turut menerima barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM5,000 dan pakej percutian ke Bali untuk dua orang.

Pememang tempat kedua menerima hadiah berupa perakam video cakera keras tajaan JVC Sales & Services dan tiket menyaksikan ABPBH07 dan tempat ketiga menerima produk L’Oreal bernilai RM300 dan tiket VIP ke ABPBH07.

sumber: harian metro


 
Mar
13
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on March-13-2008


SERI KEMBANGAN: Penerima anugerah Bintang Paling Popular, Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dua tahun berturut-turut Mawi dan penghibur terkenal, Datuk Siti Nurhaliza adalah antara barisan artis yang bakal membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 07 di Arena Of Stars, Genting Highlands, 30 Mac ini.

Turut menyertai dua selebriti tersohor ini ialah Amy Search, Anuar Zain, Ramli Sarip, Hattan, Ella, Awie, Liza Hanim, Bob, Meet Uncle Hussein dan Atilia.

Majlis anugerah penuh berprestij itu turut menyaksikan penampilan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan diiringi tiga pelakon terkenal, Fasha Sandha, Dynas dan Fouziah Gous.

Pengumuman mengenai artis yang bakal membuat persembahan dilakukan Penerbit Eksekutif ABPBH, Jennifer Thompson dalam majlis khas di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, di sini semalam.

“Mereka dipilih membuat persembahan kerana status popular mereka dan bersesuaian dengan objektif penganjuran acara ini yang mengangkat populariti sebagai perkara utama.

“Paling menarik apabila buat pertama kalinya penonton dapat menyaksikan Datuk Jalaluddin menyanyi atas pentas,” katanya.

Jennifer turut mengumumkan senarai artis yang bakal menyampaikan trofi kepada pemenang. Antara mereka yang terpilih adalah AC Mizal, Erra Fazira, Ning Baizura, Datuk Yusni Hamid, Hans Isaac, Afdlin Shauki, Estranged, Diana Daniel, Syamsul Yusof, Anne Ngasri, Fauziah Latiff dan Noorkhiriyah. Turut diumumkan, pengacara malam kemuncak ABPBH iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Raja Azura.

Turut hadir pada majlis itu Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail; Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, Datuk Meer Sadik Habib; Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 2007, Hanizam Abdullah; Penolong Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Habib Jewels, Yasheeda Yashaiya serta Pengurus Program Hot FM, Anida Mohd Taharim.

Pada majlis itu, penganjur mengumumkan pemenang Peraduan Gemilang bersama Bintang (GBB) untuk tiga siri berturut-turut yang diperkenalkan ABPBH dua tahun lalu. Empat pemenang utama untuk siri peraduan GBB ini akan berjalan di permaidani merah dan menyaksikan malam anugerah bersama sama selebriti popular tanah air di samping barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM5,000, pakej percutian lima malam empat hari di Bali.

Peraduan yang terbahagi kepada empat siri berlangsung empat minggu mulai 11 Februari lalu hingga 9 Mac depan. ABPBH07 akan dipancarkan secara langsung menerusi stesen televisyen rasmi TV3 dan stesen radio rasmi, Hot FM pada jam 9 malam.

sumber: berita harian online


 
Mar
06
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Career on March-6-2008

Oleh Farihad Shalla Mahmud


KENA SERBU: Peminat bersalam dengan Siti pada Karnival Keluarga Bahagia di Dataran Senawang, Seremban.

Turun padang bantu teman suami berkempen pilihan raya

TERPAMPANG di setiap akhbar arus perdana menyiarkan berita dirinya yang turut membantu calon bertanding berkempen untuk pilihan raya yang bakal menjelang Sabtu ini. Dengan berbaju kurung serta berselendang, Datuk Siti Nurhaliza kelihatan tidak kekok untuk bersama-sama menjayakan kempen serta bertemu orang ramai yang nyata teruja melihat kehadirannya.

Senyuman manis yang sentiasa terukir di wajahnya kala bertemu pengundi serta keramahannya membuatkan kehadiran Siti disenangi. Malah, jika ada yang tidak tahu perkara sebenar pasti menyangkakan yang si pelantun Biarlah Rahsia ini persis calon yang bertanding.

Tetapi bagi Siti kehadirannya dalam acara sebegini adalah sekadar membantu teman-teman suaminya yang dicalonkan, bukannya kerana dia ingin bergiat serius dalam bidang politik.

“Tidak, Siti tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang politik. Sebaliknya Siti hanya membantu menjayakan kempen terbabit. Maklumlah, kebanyakan kawasan yang Siti pergi itu semuanya adalah kawasan sahabat suami Siti.

“Jadi apalah salahnya jika Siti turut turun padang menemani suami. Bukan Siti yang berkempen sebenarnya tetapi sekadar membantu dan menyatakan sokongan moral. Itu saja,” ujar Siti ketika dihubungi Hip kelmarin.

MESRA: Siti bersalam dengan anak Orang Asli di Paloh Hinai, Pekan, Pahang.

Sambil menyifatkan apa yang dilaluinya itu sebagai pengalaman baru, Siti juga mengakui dirinya cukup teruja dengan apa yang dilakukannya ketika ini.

“Memang seronok kerana Siti dapat bertemu dengan ramai orang dari seluruh pelusuk kawasan. Setakat ini Siti sudah pun pergi ke kawasan Tampin, Rembau, Gemas dan sekarang ini Siti berada di Pulau Pinang. Boleh dikatakan ini pengalaman baru buat Siti kerana biasanya Siti jumpa peminat kerana menyanyi, tapi yang ini lain.

“Masa jumpa mereka ini ada juga yang meminta Siti menyanyi tapi Siti minta maaf kerana majlis tidak sesuai. Bagaimanapun, untuk tidak menghampakan mereka, Siti tampil juga walaupun sekadar memberi ucapan.

“Namun jika ada acara yang memerlukan Siti menyanyi, Siti tidak keberatan. Contohnya, Siti baru saja selesai mengadakan persembahan anjuran Yayasan Budi Penyayang di Negeri Sembilan, baru-baru ini,” cerita Siti panjang lebar.

 

Dijolok pertanyaan apakah dia tidak risau tindakannya membantu menjayakan kempen itu boleh disalahertikan sesetengah pihak, Siti berkata perkara itu ibarat alah bisa, tegal biasa buatnya.

“Dalam hidup ini, apa jua yang kita lakukan ada pro dan kontranya. Buat baik pun dikata, buat buruk pun dikata juga. Jadi Siti tidak kisah itu semua dan sememangnya sudah bersedia untuk berdepan dengan semua ini,” tutur Siti positif.

Mengulas mengenai album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang didakwa agak ’senyap’ berbanding album Transkripsi, Siti menafikan kebenaran perkara itu. Walaupun mengakui masih belum berkesempatan untuk mengadakan promosi secara meluas, namun Siti berpuas hati dengan penjualan album itu yang disifatkannya sebagai memberangsangkan.

“Siti mengaku jadual Siti yang padat membuatkan Siti masih belum berkesempatan untuk mempromosikan album Siti sepenuhnya. Contohnya, menghadiri sesi temu bual di stesen radio. Pun begitu, album ini tetap mendapat sambutan dan kini dicetak untuk kali kedua, Setakat ini album Hadiah Daripada Hati sudah pun terjual lebih 25,000 unit,” kata Siti lagi.

Justeru, sebagai pengubat kerinduan peminat, Siti bakal muncul dengan klip video terbaru menerusi lagu Ku Mahu, lagu tema drama bersiri Spa Q. Sebelum ini Siti memilih lagu Melawan Kesepian sebagai klip video pertamanya daripada album terbarunya itu.

Mohon kemaafan

SETIAP kali siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 singgah di lokasi pilihan, pasti ada peminat yang tertanya-tanya di manakah kelibat penyanyi popular ini. Sebagai peminat setia, apatah lagi berada di luar Kuala Lumpur pastinya acara ini menjadi platform untuk mereka bertemu artis kesayangan mereka yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi layar kaca.

Malangnya, sehingga kini iaitu selepas empat negeri sudah pun dilalui, masih tidak nampak tanda-tanda Siti akan menyertainya.

Ketika diajukan persoalan ini kepada Siti, ada nada kekesalan yang lahir daripada suara calon kategori Penyanyi Wanita Popular ini.

“Di sini Siti ingin meminta maaf kerana sehingga kini masih belum berkesempatan untuk menyertai sesi promosi ABPBH ini. Bukannya sengaja tidak mahu menyertainya tetapi seperti yang Siti tegaskan sebelum ini, jadual Siti memang padat. Lagipun, sebagai isteri, Siti harus mendahului keperluan suami berbanding perkara lain.

“Macam sekarang ini, Siti perlu menemani suami ke mana saja dia pergi. Jadi amat sukar untuk Siti membuat komitmen lain. Siti tidak berani hendak berjanji bila Siti akan sertai acara itu. Insya-Allah, kalau Siti tak terikat dengan sebarang urusan, Siti akan muncul untuk sesi promosi penutup di Shah Alam. Tapi, Siti kena check balik dengan Kak Rozi jadual Siti hari itu,” jelas penyanyi berusia 29 tahun ini.

Diusik pertanyaan tidakkah dia gentar tidak diundi peminat dan gagal mempertahankan gelaran yang disandang hanya kerana tidak menghadiri sesi promosi, Siti berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang terlalu difikirkannya ketika ini.

“Pada Siti, menang atau kalah itu adalah adat pertandingan. Siti sudah melalui dan merasakan kesemuanya. Apa yang lebih penting sekarang adalah, Siti maintain apa yang Siti ada ketika ini, buat album yang lebih baik serta memiliki sebuah kehidupan yang bahagia,” ujar Siti penuh makna.

sumber: Berita Harian


 
Feb
29
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Brand, Career on February-29-2008

 

Oleh Nur Farhatul Aishati Azharie

SYARIKAT jualan langsung, DCHL-RZ yang terkenal dengan aktiviti kebajikan melancarkan program terbarunya menerusi kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa untuk mengadakan kempen mengumpul dana bagi mereka yang miskin dan lebih memerlukan.

DCHL banyak membantu kanak-kanak di Malaysia melalui Yayasan Sin Chew dan juga mengadakan aktiviti bagi mengumpul dana untuk menyokong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Kali ini, DCHL bekerjasama dengan Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan atas iltizam Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin bagi menolong golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim, keluarga miskin, mangsa bencana alam dan menyumbang untuk peralatan perubatan serta keperluan persekolahan.

Pengerusi DCHL, Kim Huynh, berkata kempen bertemakan ‘Towards a Better Society’ itu diharapkan dapat mengumpul dana menerusi ahli dan pengedar DCHL yang dianggarkan sekitar 80,000.

“Walaupun ini hanya kali kedua kami terbabit dengan acara berunsur kebajikan, pihak kami amat berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh setakat ini dan syarikat kami sudah pun memberikan kerjasama yang cukup memuaskan dan ingin meneruskan aktiviti seumpama ini,” katanya ketika ditemui pada acara Recognition Rally di ibu negara, baru-baru ini.

Acara kali kedua dianjurkan itu bertujuan meraikan ahli DCHL-RZ selain meraikan pengedar yang berjaya membuat pencapaian tertinggi.

Turut hadir, wakil syarikat, Mary Lim dan pengedar yang berjaya membuat jualan tertinggi iaitu Archduke Steven Yeam dan Duke Winnie Lim.

Beliau berkata, kempen yang berjalan selama dua bulan itu juga tidak hanya meminta derma ikhlas malah memberikan penderma peluang untuk memenangi hadiah menarik bernilai lebih RM100,000.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama dijalinkan dan diharap lebih banyak pihak tampil membantu yayasan yang ditubuhkan bagi membantu golongan tidak bernasib baik itu.

“Yayasan yang ditubuhkan pada tanggal 21 Ogos 2006 ini sudah pun berbakti kepada masyarakat dengan menganjurkan majlis jamuan dan konsert amal bagi mendapatkan sumbangan daripada syarikat serta individu. Melalui program amal yang akan berlangsung lebih kurang dua bulan ini, penjualan kupon kebajikan kepada ahli dan para pengedar DCHL diharapkan dapat mengumpulkan jumlah yang besar,” katanya.

Recognition Rally yang berlangsung pada hari sama itu mendapat sambutan amat memuaskan dengan lebih 10,000 pengedar dari Malaysia dan luar negara yang bersama-sama memeriahkan Stadium Putra Bukit Jalil itu.

sumber: berita harian


 
Jan
25
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on January-25-2008

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

LUPAKAN seketika cerita mengenai pengharaman kemunculan Faizal Tahir di stesen televisyen swasta, yang seterusnya tidak membolehkan penyanyi kelahiran program realiti One In A Million itu mempersembahkan dua lagu, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 22, Ahad ini.

Tumpuan bukan pada penyanyi itu, sebaliknya apabila peminat berbicara mengenai AJL, fokus seharusnya diberikan kepada ciptaan mana yang bakal diangkat sebagai karya terbaik pada anugerah yang sudah pun melepasi usia dua dekad itu. Faizal hanyalah penyanyi yang melunaskan tanggungjawab menyampaikan lagu yang diberikan kepadanya, tetapi calon sebenar yang bertanding ialah pencipta lagu terbabit.

Setiap tahun, pencarian lagu terbaik mengikut formula pertandingan Muzik Muzik dan seterusnya Anugerah Juara Lagu tidak pernah gagal diadakan. Ada kala keputusan yang dicapai menimbulkan pelbagai persoalan - rasa tidak puas hati mahupun kontroversi - dan ada ketikanya si juara bagai mendapat persetujuan ramai, apabila sebaik keputusan diumumkan, tiada lagi ketukan pahat yang berbunyi.

Edisi ke-22 ini juga diharap mampu menjelmakan sebuah lagi irama yang selayaknya ditabal sebagai karya cipta terbaik di kalangan 14 ciptaan yang bertanding.

Hadiah lumayan kini menanti setiap finalis bagi tiga kategori iaitu Balada, Etnik Kreatif, Pop Rock yang menawarkan wang tunai RM12,000, manakala penyanyi pula bersaing bagi trofi persembahan dan vokal terbaik, yang menyediakan habuan RM10,000 untuk pemenang.

Lalu, milik siapakah trofi juara mutlak AJL kali ini? Daripada tiga kategori terbabit, kategori Pop Rock dilihat paling sengit apabila enam lagu beradu pada peringkat akhir, kali ini. Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zhen dan PSSN bagaimanapun dilihat mempunyai kelebihan, berikutan elemen gabungan pop dan rock yang kuat dalam ciptaan komposer wanita ini. Rasanya, ia juga lagu berunsur rock pertama dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza.

Namun begitu, usah terperanjat sekiranya kumpulan Estranged tiba-tiba mengungguli kategori terbabit berikutan kesegaran irama yang ditonjolkan anak muda berkenaan menerusi lagu Itu Kamu.

Angan Dan Sedar, gabungan sekali lagi M Nasir, Loloq dan Mawi, walaupun seronok didengar, namun iramanya bagai sudah kedengaran sebelum ini, menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta, yang bersaing pada AJL 21. Janjiku, hasil ilham Tass dan Taja pula sedikit keindonesiaan bunyinya, yang memungkinkan juri berfikir dua kali sebelum memberikan markah lebih kepada lagu dendangan Sofaz ini. Calon lain yang turut bersaing ialah Farhana, ciptaan Denai dan Andy Rahman.

Lagu yang bertanding dalam kategori Balada sering kali dianggap pilihan untuk muncul juara keseluruhan. Kali ini, persaingan sengit tidak terkecuali dihadirkan oleh pencipta dalam kategori ini. Tetapi, entah mengapa Makaharya Cinta dirasakan begitu kuat untuk muncul pemenang. Mungkinkah ia menjadi karya Audi Mok yang pertama bakal dinobat juara pada pertandingan berprestij ini? Kemungkinan itu dirasakan tidak harus diketepikan.

Kelembutan dan kesyahduan Inzinku Pergi (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak) juga punya penangan yang hebat. Seandainya juri juga terpesona dengan irama merdu dendangan asal Kaer Azami, pastinya Azlan sekali lagi menaiki pentas AJL setelah berbuat demikian menerusi Terlalu Istimewa pada edisi sebelum ini.

Harapan dan Kasih Tercipta, walaupun sedap pada pendengaran, tetapi masih kental dengan ‘elemen’ Hazami dan Ajai. Mereka sudah pernah menghasilkan irama yang bunyinya tidak jauh beza kedengaran. Sementara Ceritera Cinta (Ross Ariffin/Habsah Hassan) pula memang bergantung harap pada kekuatan persembahan penyanyinya, Jaclyn Victor dan Lah. Namun, siapa sangka jika rezeki akhirnya menyebelahi lagu ini?

Bagi kategori Etnik Kreatif, Johan Nawawi dan Ahmad Fedtri Yahya dijangka tidak menghadapi masalah untuk menjulang trofi kerana melodi Samudera nyanyian Nora yang dikatakan cepat menangkap pendengaran. Dua calon lain, Kasihnya Balkis (Adnan Abu Hassan /Moharis Yaakup) dan Dirgahayu (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun) bagaimanapun usah disangkal kekuatan mereka. Cuma amat merugikan sekali, apabila tidak banyak lagu yang bersaing dalam kategori ini pada peringkat Muzik Muzik. Sebelum ini, kategori inilah yang paling meriah dan menyeronokkan untuk ditonton apabila tiba ke peringkat akhir.

Wang RM10,000 bagi kategori vokal pula mungkin menjadi milik Siti yang sememangnya sudah dikenali dengan kemantapan suaranya. Buktinya? Lihat saja deretan trofi Persembahan Vokal Terbaik Wanita Di Dalam Album yang menjadi miliknya sejak bertahun lama. Jika ada saingan pun, ia mungkin datang daripada penyanyi senior seperti Ramlah Ram dan Nora.

Bagi persembahan terbaik, nampaknya terpaksalah kita semua sama-sama menjadi juri apabila kesemua artis tampil mengadakan persembahan mereka di Stadium Putra Bukit Jalil, 27 Januari ini.

Jauh di sudut hati, teringin sekali melihat Fazli Zainal mencipta kejutan ketika menyampaikan lagu Harapan. Apakah dia juga bisa mengikut jejak langkah penciptanya, Hazami, ketika dia mengalunkan lagu Mungkir Bahagia dan akhirnya memenangi kategori persembahan, tahun lalu. Tentu menarik sekali jika persembahan Fazli diiringi kumpulan koir. Pasti ada bulu roma yang berdiri nanti.

sumber: berita harian online


 
Jan
22
    
Posted (admin) in calmille.free.fr, berita harian online, Career on January-22-2008

Siti Nurhaliza is once again nominated in ABPBH for Most Famous Female Singer. Here is the list:

Penyanyi Wanita Popular

1. Adibah Noor

2. Jaclyn Victor

3. Mila

4. Misha Omar

5. Siti Nurhaliza

Make sure you get the form, and vote for Siti Nurhaliza.


 
Jan
22
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on January-22-2008
Oleh Rudy Imran Shamsudin

Rap

MUZIK tradisi tempatan seperti asli, ghazal danjoget kini terpinggir. Sebagai bukti tidak banyak penyanyi mahupunkomposer berminat menghasilkan lagu sedemikian.

Perkara ini turut disedari penganjur Anugerah Juara Lagu Ke-22.Pada sidang akhbar diadakan sebelum ini, TV3 mengumumkan kemungkinanmemansuhkan kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia apabila kurangpenyertaan diterima.

Ketandusan penyertaan lagu dalamkategori itu secara tidak langsung menggambarkan kewujudan iramatradisional dalam industri muzik tempatan semakin tenat danmenyedihkan.

Memastikan perkembangan ini tidak berpanjanganMusic Authors Copyright Protection (MACP) baru-baru ini, mengambilinisiatif menganjurkan bengkel menghasilkan lagu Berirama Malaysia,Cipta Ekspres 2008, yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ia membabitkan komposer berpengalaman seperti M Nasir, Adnan AbuHassan, Fauzi Marzuki, Johan Nawawi, S Atan, Johari Teh, Keon, AlfaBooty, Profesor Madya Khairil Johary Johar, Zubir Ali, Ad Samad, S AminShahab, Zul Mahat, Amran Omar, Ramlan Iman, Aidit Alfian dan AzamDungun.

Ia dipengerusikan Presiden MACP, Habsah Hassansementara penyanyi alternatif, Abot menjadi peserta wanita tunggal.Mereka berkampung selama empat hari bermula 14 Januari hingga 17Januari lalu.

Tambah menarik apabila penyanyi popular, DatinSeri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, bersama suami, Datuk Seri KhalidMohamed Jiwa turut dijemput bagi mendengar dan memilih lagu yangdihasilkan untuk dimuatkan dalam album tradisionalnya yang dalamperancangan.

Selain hadiah daripada MACP sempena ulang tahunhari jadi Siti ke-29, penghormatan diberikan kepada penyanyi itumemilih lagu dihasilkan kerana sebelum ini penyanyi berasal dari KualaLipis, Pahang itu berjaya mengangkat lagu Irama Malaysia sehinggadiminati ramai.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkembangan Seni Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KeKKWa), Mohd Adnan Hamzah.

Habsah ditemui selepas majlis selesai mengakui Cipta Ekspres 2008 yangdiadakan buat kali keempat, memberikan penekanan terhadap lagu beriramaMalaysia kerana ia semakin kurang dihasilkan.

“Siti sendiri sebelum ini menyatakan menghadapi masalah untukmencari lagu sesuai bagi menerbitkan album tradisional sehingga diaterpaksa mendahulukan pembikinan album pop, Hadiah Daripada Hati.

 

“Kami menjemput Siti untuk mendengar sendiri dan memilih lagu manayang dirasakan sesuai dimuatkan dalam album yang sedang diusahakan.

Sepanjangempat hari berkampung, MACP mensasarkan 10 lagu dapat dicipta.Bagaimanapun kami berjaya menghasilkan 13 lagu melebihi sasaran awal.

“Komposer yang hadir juga kami pilih mengikut kecenderungan. Kalau kitaperhatikan kebanyakan mereka punya nama besar dalam industri muziktempatan.

“Begitupun kita turut menjemput beberapa penciptamuda seperti Radhi daripada kumpulan OAG dan Abot bagi melihatbagaimana pencipta dari latar muzik berbeza dapat bergabung danmenghasilkan sesuatu yang menarik,” katanya.

Tidak dinafikanapabila orang lama dan baru bergabung pelbagai irama dan muzik tradisidapat dihasilkan. Walaupun ia dibuat dalam masa singkat tetapi tetapmenarik kerana pertukaran idea dan perbincangan dilakukan komposerterbabit berjaya melahirkan karya lebih terkini.

Siti sendirimengakui karya dihasilkan semua komposer yang menyertai Cipta Ekspres2008 menarik walaupun masa diperuntukkan untuk mereka berkarya terlalusingkat.

“Saya sendiri pernah mencipta lagu dan kerana itu sayatahu bukan mudah menghasilkan karya dalam masa cukup singkat. Hanyamereka yang benar-benar profesional mampu melakukannya dengan baik.

“Sebelumini ada komposer memberikan lagu kepada saya hanya menyerahkanmelodinya. Namun hari ini bayangkan dalam masa empat hari komposerterpilih mampu menghasilkan lagu hampir siap dengan susunan daninstrumen muziknya,” katanya.

Sementaraitu Mohd Adnan berkata, sekiranya ada karya tidak digunakan Siti, pihakKeKKwa berminat mengambilnya dan merakamkan lagu terbabit dalam albumkhas seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Lebih menggembirakan apabila penyanyi yang kini sedang popular denganlagu Ku Mahu, akui akan memilih beberapa lagu dirasakan sesuai untukdimuatkan dalam album tradisional. Kerja rakaman untuk album itu akandimulakan sebaik urusan promosi Hadiah Daripada Hati selesai.

“Iasesuatu yang amat mengkagumkan. Saya terharu apabila diberikanpenghormatan untuk memilih semua lagu dihasilkan bagi dimuatkan dalamalbum yang bakal saya usahakan.

“Tidak dinafikan ada beberapalagu pada pandangan saya cukup menarik. Mengambil contoh ada lagukedengaran agak terkini tetapi berikan sentuhan nyanyian tradisional.Begitulah juga sebaliknya. Begitupun saya merasakan lagu ciptaan Radhisangat unik.

“Mungkin kerana dia menghasilkan lagu alternatifdengan diberikan sedikit sentuhan irama tradisional, ia secara tidaklangsung menjadikan karya dihasilkan kedengaran baru dan segar,”katanya.

Sementara itu Mohd Adnan berkata, sekiranya ada karyatidak digunakan Siti, pihak KeKKwa berminat mengambilnya dan merakamkanlagu terbabit dalam album khas seperti yang pernah dilakukan sebelumini.

“Seperti apa yang pernah dilakukan duta lagu rakyat yangdilantik KeKKwa iaitu Zainal Abidin, lagu ini sayang sekiranyadibiarkan begitu saja.

“Kita akan mengambilnya dan menjadikania produk KeKKwa. Bagaimanapun lagu dipilih harus diberikan susunanbaru dengan memberikan lebih penekanan kepada instrumen mahupun iramaMelayu asli agar pengaruh tradisi lebih kuat,” katanya.

Bagimenjadikan sesi pra dengar lagu dihasilkan menghiburkan, beberapa artismuda seperti Zila Seeron, Rosma, Azfar dan Juara Bintang Klasik FM,Mohaizam Ahmad dijemput mendendangkan lagu dihasilkan.

Tidak ketinggalan ada antara komposer terbabit menyanyikan sendiri lagu dicipta.

Mengambil contoh Khairil Johari Johar bergabung dengan Zubir Alimenghasilkan lagu Bulan Yang Mesra tampil menyanyikan sendiri lagudihasilkan. Sementara Radhi menghasilkan lagu Langit Masih Cerah tampilmenyanyi lagu dicipta bersama Abot.

sumber: berita harian online


 
Jan
22
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Career on January-22-2008


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

ImageShack
Album Inggeris bawa Datin Seri Siti Nurhaliza ke peringkat global

SAAT imej baru Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang berselendang mengundang pelbagai reaksi peminat hiburan tanah air, suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa memilih untuk mengembangkan lagi kerjaya seni isterinya ke peringkat yang lebih tinggi dengan menerbitkan sebuah album Inggeris.

Ketika ditemui selepas majlis meraikan ulang tahun ke-29 Siti di Hotel Le Meridien, Khamis lalu yang dihadiri beberapa orang kenamaan, selebriti dan rakan media yang dekat dengan pasangan ini, Khalid bagaimanapun berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan.

Usahawan popular yang lebih dikenali dengan gelaran Datuk K itu berkata, beliau akan cuba untuk mendapatkan komposer terbaik untuk menghasilkan lagu yang terbaik buat isterinya.

Beliau juga berharap album itu akan membawa isterinya ke peringkat yang lebih tinggi dan boleh diterima di negara luar. Selain mendapatkan komposer terbaik, album itu juga nanti akan disuntik dengan elemen Arab dan Sepanyol supaya lebih ramai orang dapat menerimanya.

Bukan itu saja, kata Khalid, ia juga secara tidak langsung dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris isterinya.

ImageShack
PANJANG UMUR: Siti memotong kek hari lahir sambil diperhatikan ibu bapanya, ibu mentua anak Khalid.

Ditanya pada Siti pula, apakah perasaannya apabila suami tercinta mempunyai perancangan setinggi itu, katanya dia cukup gembira kerana dapat mengembangkan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

“Siti lagilah seronok, lagi pun sebelum ini Siti banyak menyanyikan lagu Inggeris pada majlis makan malam. Ramai yang bertanya bila Siti ingin lahirkan album Inggeris. Jadi, Siti rasa kini sudah tiba masanya dan Siti akan belajar dan mencari orang yang boleh bimbing Siti untuk merealisasikan impian suami,” katanya.

Ketika ditanya mengenai reaksi negatif mengenai imej barunya itu, Siti sebagai anak seni yang berpengalaman berkata, terpulanglah kepada pendapat masing-masing.

Baginya, dia kini lebih selesa dengan imej berselendang dan dia tidak mahu terlalu drastik mengubah imejnya. Barangkali, Siti mengambil iktibar yang berlaku kepada beberapa artis yang drastik mengubah imej tetapi mereka kembali kepada imej lama dan seterusnya dicemuh masyarakat.

“Siti ingin tegaskan di sini yang Siti memerlukan masa perlahan-lahan untuk membuat perubahan. Memang Siti pernah berangan-angan untuk pakai tudung dan duduk berehat saja di rumah. Tetapi apabila sudah melaluinya, ternyata bukan mudah. Biarlah Siti bermula dengan perlahan-lahan dulu. Tahun depan Siti cuba perbaiki lagi .

“Orang boleh berkata apa saja, itu sudah lumrah. Orang akan menjadi hakim, kita buat sikit pun orang kata, buat banyak pun akan dikata. Jadi lebih baik Siti berdiam diri,” katanya yang belum lagi terfikir untuk meninggalkan dunia seni kerana minatnya pada dunia nyanyian masih lagi menebal.

Sementara itu, Datuk K apabila diminta mengulas mengenai imej baru isterinya berkata, dia tidak kisah mengenai penampilan isterinya. Terpulang kepada Siti untuk menentukan penampilannya kerana baginya bertudung atau tidak, isterinya tetap kelihatan manis.

“Saya ada mendapat maklum balas rakan rapat. Ada yang suka dan ada juga yang kurang setuju dengan gaya baru Siti. Bagi mereka, Siti masih muda. Saya tidak suruh dan juga tidak melarang, saya setuju apabila Siti kata dia mahu berubah perlahan-lahan.

“Bagi saya yang penting niat dia, hati mesti baik dan iman mesti kuat. Iman bukan terletak pada penampilan. Saya suka lihat Siti berselendang saja, kerana ia lebih manis dan dia nampak selesa mengenakan selendang daripada tudung,” kata Khalid.

Jika ada yang berkata, penampilan bertudung akan menyukarkan Siti menerima undangan nyanyian, telahan itu ternyata silap kerana sejak pulang dari menunaikan haji, dia ada menerima tawaran tetapi terpaksa ditolak kerana ingin berehat. Selain itu, Siti juga mahu menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi Anugerah Juara Lagu ke-22 nanti.

Detik cecah usia 29 tahun paling bermakna

KALI ini sambutan ulang tahun Siti diadakan sehari lebih awal mengambil keberkatan Awal Muharam iaitu pada Khamis lalu. Jika tahun lalu, Khalid memilih restoran terkemuka di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, kali ini hotel terkemuka pula menjadi pilihannya bagi meraikan ulang tahun ke-29 isteri tersayang.

Ramai orang kenamaan dan selebriti yang diundang seperti Datin Norjuma Habib Mohamad dan suami, Syafinaz, Diddy, Fazli Zainal, Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira, keluarga Fatimah Abu Bakar, Faradhiya dan Hattan serta rakan media yang rapat dengan pasangan ini.

Bagi penyanyi manis itu, rancangan suami mengadakan majlis hari lahirnya itulah hadiah yang bermakna. Jadi, tidak perlu dia mendedahkan apakah hadiah istimewa lain diberikan suami. Lebih penting lagi kata penyanyi yang tampil dengan imej sopan berselendang sejak pulang daripada mengerjakan haji, kasih sayang serta perhatian yang diberikan suaminya sepanjang hampir dua tahun bergelar suami isteri juga satu hadiah yang tak ternilai.

Manja di sisi suami, Siti dilihat tidak pernah lekang menggenggam erat tangan suaminya apabila bersama. Mereka bagaikan pasangan pengantin baru yang sedang asyik menikmati saat bulan madu. Hatta ketika sidang media sekali pun jarang sekali genggaman tangan mereka terlepas. Ia sudah cukup membuktikan betapa Siti kini cukup bahagia menikmati alam rumah tangga.

“Hadiah biarlah antara kami berdua saja yang tahu. Kebendaan bukan perkara utama, kasih sayang suami, perhatian dan keikhlasan suami menjaga Siti dengan baik dari hujung rambut hingga hujung kaki sudah memadai,” katanya sambil merenung tajam suami di sisi.

Lazimnya apabila tiba tahun baru, pasti ada saja azam yang dipasang setiap individu. Begitu juga apabila usia menginjak setahun lagi, tentu ada impian yang terpahat di sanubari setiap umat manusia. Soalan mengenai impian dengan pertambahan usianya tidak lupa diajukan.

Ujar penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu dia mengharapkan kehidupannya yang akan dilalui pada hari mendatang menjadi lebih baik dari pelbagai aspek. Dilimpahi kebahagiaan, kegembiraan bukan saja buat dirinya tetapi juga keluarga dan kerjaya.

Ditanya mengenai impian lain selain yang disebutnya, Siti bagaikan sudah mengerti bukan jawapan itu yang dimahukan media.

“Siti sudah agak soalan itu mesti ada. Impian Siti tentulah untuk menambahkan lagi bilangan ahli keluarga dan Siti berharap tahun ini impian itu dimakbulkan,” katanya.

sumber: berita harian online