Mar
06
    
Posted (admin) in Datuk K, berita harian online, Career on March-6-2008

Oleh Farihad Shalla Mahmud


KENA SERBU: Peminat bersalam dengan Siti pada Karnival Keluarga Bahagia di Dataran Senawang, Seremban.

Turun padang bantu teman suami berkempen pilihan raya

TERPAMPANG di setiap akhbar arus perdana menyiarkan berita dirinya yang turut membantu calon bertanding berkempen untuk pilihan raya yang bakal menjelang Sabtu ini. Dengan berbaju kurung serta berselendang, Datuk Siti Nurhaliza kelihatan tidak kekok untuk bersama-sama menjayakan kempen serta bertemu orang ramai yang nyata teruja melihat kehadirannya.

Senyuman manis yang sentiasa terukir di wajahnya kala bertemu pengundi serta keramahannya membuatkan kehadiran Siti disenangi. Malah, jika ada yang tidak tahu perkara sebenar pasti menyangkakan yang si pelantun Biarlah Rahsia ini persis calon yang bertanding.

Tetapi bagi Siti kehadirannya dalam acara sebegini adalah sekadar membantu teman-teman suaminya yang dicalonkan, bukannya kerana dia ingin bergiat serius dalam bidang politik.

“Tidak, Siti tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang politik. Sebaliknya Siti hanya membantu menjayakan kempen terbabit. Maklumlah, kebanyakan kawasan yang Siti pergi itu semuanya adalah kawasan sahabat suami Siti.

“Jadi apalah salahnya jika Siti turut turun padang menemani suami. Bukan Siti yang berkempen sebenarnya tetapi sekadar membantu dan menyatakan sokongan moral. Itu saja,” ujar Siti ketika dihubungi Hip kelmarin.

MESRA: Siti bersalam dengan anak Orang Asli di Paloh Hinai, Pekan, Pahang.

Sambil menyifatkan apa yang dilaluinya itu sebagai pengalaman baru, Siti juga mengakui dirinya cukup teruja dengan apa yang dilakukannya ketika ini.

“Memang seronok kerana Siti dapat bertemu dengan ramai orang dari seluruh pelusuk kawasan. Setakat ini Siti sudah pun pergi ke kawasan Tampin, Rembau, Gemas dan sekarang ini Siti berada di Pulau Pinang. Boleh dikatakan ini pengalaman baru buat Siti kerana biasanya Siti jumpa peminat kerana menyanyi, tapi yang ini lain.

“Masa jumpa mereka ini ada juga yang meminta Siti menyanyi tapi Siti minta maaf kerana majlis tidak sesuai. Bagaimanapun, untuk tidak menghampakan mereka, Siti tampil juga walaupun sekadar memberi ucapan.

“Namun jika ada acara yang memerlukan Siti menyanyi, Siti tidak keberatan. Contohnya, Siti baru saja selesai mengadakan persembahan anjuran Yayasan Budi Penyayang di Negeri Sembilan, baru-baru ini,” cerita Siti panjang lebar.

 

Dijolok pertanyaan apakah dia tidak risau tindakannya membantu menjayakan kempen itu boleh disalahertikan sesetengah pihak, Siti berkata perkara itu ibarat alah bisa, tegal biasa buatnya.

“Dalam hidup ini, apa jua yang kita lakukan ada pro dan kontranya. Buat baik pun dikata, buat buruk pun dikata juga. Jadi Siti tidak kisah itu semua dan sememangnya sudah bersedia untuk berdepan dengan semua ini,” tutur Siti positif.

Mengulas mengenai album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang didakwa agak ’senyap’ berbanding album Transkripsi, Siti menafikan kebenaran perkara itu. Walaupun mengakui masih belum berkesempatan untuk mengadakan promosi secara meluas, namun Siti berpuas hati dengan penjualan album itu yang disifatkannya sebagai memberangsangkan.

“Siti mengaku jadual Siti yang padat membuatkan Siti masih belum berkesempatan untuk mempromosikan album Siti sepenuhnya. Contohnya, menghadiri sesi temu bual di stesen radio. Pun begitu, album ini tetap mendapat sambutan dan kini dicetak untuk kali kedua, Setakat ini album Hadiah Daripada Hati sudah pun terjual lebih 25,000 unit,” kata Siti lagi.

Justeru, sebagai pengubat kerinduan peminat, Siti bakal muncul dengan klip video terbaru menerusi lagu Ku Mahu, lagu tema drama bersiri Spa Q. Sebelum ini Siti memilih lagu Melawan Kesepian sebagai klip video pertamanya daripada album terbarunya itu.

Mohon kemaafan

SETIAP kali siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 singgah di lokasi pilihan, pasti ada peminat yang tertanya-tanya di manakah kelibat penyanyi popular ini. Sebagai peminat setia, apatah lagi berada di luar Kuala Lumpur pastinya acara ini menjadi platform untuk mereka bertemu artis kesayangan mereka yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi layar kaca.

Malangnya, sehingga kini iaitu selepas empat negeri sudah pun dilalui, masih tidak nampak tanda-tanda Siti akan menyertainya.

Ketika diajukan persoalan ini kepada Siti, ada nada kekesalan yang lahir daripada suara calon kategori Penyanyi Wanita Popular ini.

“Di sini Siti ingin meminta maaf kerana sehingga kini masih belum berkesempatan untuk menyertai sesi promosi ABPBH ini. Bukannya sengaja tidak mahu menyertainya tetapi seperti yang Siti tegaskan sebelum ini, jadual Siti memang padat. Lagipun, sebagai isteri, Siti harus mendahului keperluan suami berbanding perkara lain.

“Macam sekarang ini, Siti perlu menemani suami ke mana saja dia pergi. Jadi amat sukar untuk Siti membuat komitmen lain. Siti tidak berani hendak berjanji bila Siti akan sertai acara itu. Insya-Allah, kalau Siti tak terikat dengan sebarang urusan, Siti akan muncul untuk sesi promosi penutup di Shah Alam. Tapi, Siti kena check balik dengan Kak Rozi jadual Siti hari itu,” jelas penyanyi berusia 29 tahun ini.

Diusik pertanyaan tidakkah dia gentar tidak diundi peminat dan gagal mempertahankan gelaran yang disandang hanya kerana tidak menghadiri sesi promosi, Siti berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang terlalu difikirkannya ketika ini.

“Pada Siti, menang atau kalah itu adalah adat pertandingan. Siti sudah melalui dan merasakan kesemuanya. Apa yang lebih penting sekarang adalah, Siti maintain apa yang Siti ada ketika ini, buat album yang lebih baik serta memiliki sebuah kehidupan yang bahagia,” ujar Siti penuh makna.

sumber: Berita Harian


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: