Jan
25
    
Posted (admin) in berita harian online, Career on January-25-2008

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

LUPAKAN seketika cerita mengenai pengharaman kemunculan Faizal Tahir di stesen televisyen swasta, yang seterusnya tidak membolehkan penyanyi kelahiran program realiti One In A Million itu mempersembahkan dua lagu, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 22, Ahad ini.

Tumpuan bukan pada penyanyi itu, sebaliknya apabila peminat berbicara mengenai AJL, fokus seharusnya diberikan kepada ciptaan mana yang bakal diangkat sebagai karya terbaik pada anugerah yang sudah pun melepasi usia dua dekad itu. Faizal hanyalah penyanyi yang melunaskan tanggungjawab menyampaikan lagu yang diberikan kepadanya, tetapi calon sebenar yang bertanding ialah pencipta lagu terbabit.

Setiap tahun, pencarian lagu terbaik mengikut formula pertandingan Muzik Muzik dan seterusnya Anugerah Juara Lagu tidak pernah gagal diadakan. Ada kala keputusan yang dicapai menimbulkan pelbagai persoalan - rasa tidak puas hati mahupun kontroversi - dan ada ketikanya si juara bagai mendapat persetujuan ramai, apabila sebaik keputusan diumumkan, tiada lagi ketukan pahat yang berbunyi.

Edisi ke-22 ini juga diharap mampu menjelmakan sebuah lagi irama yang selayaknya ditabal sebagai karya cipta terbaik di kalangan 14 ciptaan yang bertanding.

Hadiah lumayan kini menanti setiap finalis bagi tiga kategori iaitu Balada, Etnik Kreatif, Pop Rock yang menawarkan wang tunai RM12,000, manakala penyanyi pula bersaing bagi trofi persembahan dan vokal terbaik, yang menyediakan habuan RM10,000 untuk pemenang.

Lalu, milik siapakah trofi juara mutlak AJL kali ini? Daripada tiga kategori terbabit, kategori Pop Rock dilihat paling sengit apabila enam lagu beradu pada peringkat akhir, kali ini. Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zhen dan PSSN bagaimanapun dilihat mempunyai kelebihan, berikutan elemen gabungan pop dan rock yang kuat dalam ciptaan komposer wanita ini. Rasanya, ia juga lagu berunsur rock pertama dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza.

Namun begitu, usah terperanjat sekiranya kumpulan Estranged tiba-tiba mengungguli kategori terbabit berikutan kesegaran irama yang ditonjolkan anak muda berkenaan menerusi lagu Itu Kamu.

Angan Dan Sedar, gabungan sekali lagi M Nasir, Loloq dan Mawi, walaupun seronok didengar, namun iramanya bagai sudah kedengaran sebelum ini, menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta, yang bersaing pada AJL 21. Janjiku, hasil ilham Tass dan Taja pula sedikit keindonesiaan bunyinya, yang memungkinkan juri berfikir dua kali sebelum memberikan markah lebih kepada lagu dendangan Sofaz ini. Calon lain yang turut bersaing ialah Farhana, ciptaan Denai dan Andy Rahman.

Lagu yang bertanding dalam kategori Balada sering kali dianggap pilihan untuk muncul juara keseluruhan. Kali ini, persaingan sengit tidak terkecuali dihadirkan oleh pencipta dalam kategori ini. Tetapi, entah mengapa Makaharya Cinta dirasakan begitu kuat untuk muncul pemenang. Mungkinkah ia menjadi karya Audi Mok yang pertama bakal dinobat juara pada pertandingan berprestij ini? Kemungkinan itu dirasakan tidak harus diketepikan.

Kelembutan dan kesyahduan Inzinku Pergi (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak) juga punya penangan yang hebat. Seandainya juri juga terpesona dengan irama merdu dendangan asal Kaer Azami, pastinya Azlan sekali lagi menaiki pentas AJL setelah berbuat demikian menerusi Terlalu Istimewa pada edisi sebelum ini.

Harapan dan Kasih Tercipta, walaupun sedap pada pendengaran, tetapi masih kental dengan ‘elemen’ Hazami dan Ajai. Mereka sudah pernah menghasilkan irama yang bunyinya tidak jauh beza kedengaran. Sementara Ceritera Cinta (Ross Ariffin/Habsah Hassan) pula memang bergantung harap pada kekuatan persembahan penyanyinya, Jaclyn Victor dan Lah. Namun, siapa sangka jika rezeki akhirnya menyebelahi lagu ini?

Bagi kategori Etnik Kreatif, Johan Nawawi dan Ahmad Fedtri Yahya dijangka tidak menghadapi masalah untuk menjulang trofi kerana melodi Samudera nyanyian Nora yang dikatakan cepat menangkap pendengaran. Dua calon lain, Kasihnya Balkis (Adnan Abu Hassan /Moharis Yaakup) dan Dirgahayu (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun) bagaimanapun usah disangkal kekuatan mereka. Cuma amat merugikan sekali, apabila tidak banyak lagu yang bersaing dalam kategori ini pada peringkat Muzik Muzik. Sebelum ini, kategori inilah yang paling meriah dan menyeronokkan untuk ditonton apabila tiba ke peringkat akhir.

Wang RM10,000 bagi kategori vokal pula mungkin menjadi milik Siti yang sememangnya sudah dikenali dengan kemantapan suaranya. Buktinya? Lihat saja deretan trofi Persembahan Vokal Terbaik Wanita Di Dalam Album yang menjadi miliknya sejak bertahun lama. Jika ada saingan pun, ia mungkin datang daripada penyanyi senior seperti Ramlah Ram dan Nora.

Bagi persembahan terbaik, nampaknya terpaksalah kita semua sama-sama menjadi juri apabila kesemua artis tampil mengadakan persembahan mereka di Stadium Putra Bukit Jalil, 27 Januari ini.

Jauh di sudut hati, teringin sekali melihat Fazli Zainal mencipta kejutan ketika menyampaikan lagu Harapan. Apakah dia juga bisa mengikut jejak langkah penciptanya, Hazami, ketika dia mengalunkan lagu Mungkir Bahagia dan akhirnya memenangi kategori persembahan, tahun lalu. Tentu menarik sekali jika persembahan Fazli diiringi kumpulan koir. Pasti ada bulu roma yang berdiri nanti.

sumber: berita harian online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: