Sep
25
    
Posted (admin) in Career on September-25-2007

Joget Lambak Bersama Fara
25-09-2007 11:14:35 AM
oleh WAHIDA ASRANI KEBIASAANNYA, program-program bersempena Hari Raya yang bercorak hiburan pasti tidak terlepas dengan selitan lagu-lagu raya yang akan menghiasi program tersebut.

Namun, berbeza dengan salah satu program raya terbitan TV3 ini yang akan disiarkan selama sejam setengah pada Hari Raya pertama nanti bermula 5 petang.

Joget Lambak Bersama Fara, memperkenalkan konsep program muzikal raya yang berbeza kerana ia menampilkan lagu-lagu joget dan zapin sebagai tema pengisiannya dan penonton hanya akan disajikan sebuah saja lagu raya di penghujung rancangan.

Fara Fauzana, selaku hos Joget Lambak Bersama Fara (Foto The Star oleh Darran Tan)

Satu kelainan yang memang menarik tatkala rata-rata program lebih memfokuskan kepada sajian lagu-lagu raya saja, tetapi timbul persoalan juga adakah konsep ‘joget lambak’ ini sesuai diadakan pada hari lebaran kelak?

“Kita sendiri sedia maklum, begitu banyak program raya yang bakal ditayangkan nanti dengan pelbagai konsep. Saya tidak mahu terbitkan program dengan tampilkan benda-benda yang sama.

“Sebab itu, saya ‘lari’ sedikit dengan memberi fokus kepada konsep joget lambak. Saya rasa tidak perlu timbul isu mengapa joget lambak dibuat pada Hari Raya. Bagi saya, lagu-lagu joget masih ada kena-mengena dengan masyarakat Melayu.

“Kita tampilkan variasi pada Hari Raya. Saya percaya, selain lagu-lagu raya, lagu-lagu joget seperti ini juga masih ada ‘mood’ Melayu,” ujar penerbit dan pengarah program, Ahmad Shaifullizam Hassan atau lebih dikenali dengan nama G-Bam, pada rakaman program itu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral baru-baru ini.

Menampilkan Fara Fauzana sebagai pengacara dengan dibantu oleh dua pelakon lain di dalam sitkom Fara iaitu Danny dan Yanie, program ini bakal mengimbas kembali nostalgia lagu-lagu joget lambak dan zapin dari dulu hingga sekarang.

Program ini juga turut menampilkan persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M.Daud Kilau, Adibah Noor, Jay Jay, Senario, Fabulous Cats dan Fahmi Mentor, selain membicarakan tentang genre joget, muzik joget dan tarian joget.

Menurut G-Bam lagi, pemilihan Fara untuk mengendalikan program ini dirasakan tepat berdasarkan populariti dan bakat yang dimiliki oleh pengacara dan DJ terkenal itu.

“Apa yang menariknya, Fara bukan saja akan menjadi hos, dia juga telah dikehendaki untuk belajar tarian joget di mana pada penghujung rancangan, dia akan menunjukkan bakatnya menari joget bersama-sama artis lain,” kata G-Bam.

Ujar Fara pula, tugasan yang diserahkan kepadanya pada ’saat-saat akhir’ itu adalah satu cabaran yang cukup menyeronokkan dan pastinya memberikan kelainan kepada program tersebut apabila ditayangkan kelak.


Comments:
Amar on September 28th, 2007 at 9:16 am #

Siti looks so classic in that dress! Very retro yet modest & pure..=)

Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: