Aug
27
    
Posted (admin) in Datuk K, mStar online, Personal Siti on August-27-2007

Siti-Datuk K raikan cinta…
27-08-2007 11:48:00 AM
oleh WAHIDA ASRANI

“Kita semua dijadikan di dalam dunia ini berpasangan dan hari ini saya gembira kerana pasangan saya ada di sebelah saya,” - itulah luahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pada majlis sambutan ulangtahun pertama perkahwinannya dan suami, Datuk Khalid Mohammad Jiwa yang diadakan di Hotel One World, Bandar Utama, Jumaat lalu.

Terasa begitu pantas masa berlalu. Pastinya ramai yang masih mengingati tarikh 21 Ogos tahun lalu di mana penyanyi pujaan ramai ini selamat diijabkabulkan dengan kekasih hatinya itu dengan mendapat liputan media yang cukup hebat.

Begitu juga dengan dua buah majlis persandingan pasangan ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan di kampung halaman Siti, Kuala Lipis, Pahang di mana perkahwinan mereka turut dinobatkan oleh banyak pihak sebagai Wedding of the Year.

Mungkin bagi sesetengah pihak, usia setahun itu masih terlalu awal dan banyak lagi cabaran yang perlu ditempuhi di alam perkahwinan ini. Malah, bagi Siti sendiri, dia tidak menafikan perkara itu ada benarnya.

Namun, bagi penyanyi berusia 28 tahun ini, ulangtahun pertama di dalam sesebuah perkahwinan sebenarnya amat istimewa.


Siti dan suami, Datuk K tiba di majlis ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama (Foto The Star oleh Azhar Mahfof)

“Ramai orang cakap, ulangtahun yang pertama patut diraikan. Sebab itu kami adakan majlis ini. Kami nak buat majlis ini secara santai sahaja, tetapi tidak sangka pula jadi ‘grand’ macam ni.

“Pada 20 Ogos lalu, kami sempat juga buat kenduri kesyukuran dan majlis hari ini pula sengaja kami lakukan pada hari Jumaat, supaya lebih diberkati.

“Walau bagaimanapun, saya sedar perjalanan masih jauh dan saya akan cuba jaga hubungan ini hingga ke akhir hayat,” kata Siti yang kelihatan anggun dengan dress rekaan Datuk Bernard Chandran.

Bertemakan retro, tidak dinafikan walaupun majlis ulangtahun pertama perkahwinan pasangan ini dijalankan di dalam suasana yang sederhana, tetapi ia tetap meriah lebih-lebih lagi rata-rata tetamu hadir mengikut tema yang ditetapkan.

Majlis yang dihoskan oleh Ally Iskandar itu dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, termasuklah ibubapa Siti, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik, abang dan kakak iparnya, Ayie dan Rozie serta adik perempuannya, Siti Saerah.

Mereka juga ditemani ibu Khalid, Zainab Hanapi, tiga orang anaknya, Mohd Adib, 16, Mohd Ashraf, 14, dan Mohd Azif, 9 serta kakak Khalid sendiri, Zaiton Mohammad Jiwa yang menjadi antara ’orang penting’ majlis tersebut.

Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah kenalan pasangan tersebut, termasuklah rakan-rakan artis seperti Ning Baizura dan tunang, Chris, Linda Onn, Fahrin Ahmad, Hans Isaac, Fasha Sandha, Ezlynn, Hattan dan Juliza Adlizan.


Acara memotong kek turut disertai oleh ibubapa Siti yang juga bakal menyambut ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-39 pada 28 Ogos ini (Foto The Star oleh Azhar Mahfof)

Selain dihiburkan dengan persembahan oleh artis-artis seperti Fazli Zainal, Ning, Hattan, kumpulan Lips, Amir Sofaz dan pelajar-pelajar MyStarz LG, majlis malam itu turut bertukar kepada suasana romantis tatkala koleksi peribadi gambar pasangan ini ditayangkan di skrin besar dengan diiringi lagu-lagu yang cukup membuai jiwa.

Terbukti, masih utuh kasih sayang antara mereka walaupun alam rumahtangga pasangan ini belum lagi dilengkapi dengan cahayamata.

Begitu juga dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan buat pasangan ini sepanjang setahun usia perkahwinan mereka, tidak langsung dilihat menjejaskan rumahtangga mereka. Begitulah kuatnya ‘penangan’ cinta Siti dan Datuk K!

Pada acara memotong kek, pasangan tersebut juga disertai oleh ibubapa Siti yang juga bakal menyambut ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-39 pada 28 Ogos ini.

“Memang tidak sangka langsung majlis ulangtahun kami boleh jadi semeriah ini. Selain untuk menyambut anniversary, kami juga adakan majlis ini sebagai tanda terima kasih kami kepada semua yang terlibat pada majlis perkahwinan kami tahun lalu,” kata Khalid.

Siti sendiri turut menyanyikan beberapa buah lagu di akhir majlis tersebut, antaranya I Will Always Love You dan Mencintaimu.

“Saya ingat nak berehat saja malam ini, tetapi memang betul la kalau sudah jadi penyanyi, memang kena menyanyi juga tidak kiralah di mana pun,” ujar Siti berseloroh.

Tarudin Ismail (bapa Siti):

“Semoga panjang umur, murah rezeki dan semoga dianugerahkan tuhan dengan cahayamata.”

Zainab Hanapi (ibu Khalid):

“Semoga dipanjangkan umur dan kalau boleh, Mak nak sangat terima cucu cepat-cepat.”

sumber: mStar online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: