Aug
20
    
Posted (admin) in Datuk K, utusan malaysia online, Brand on August-20-2007

Barangan mewah untuk kepuasan diri - Siti Nurhaliza

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

SITI Nurhaliza bersama dompet jenis M. Vernis Viennois.

APABILA sebut sahaja barangan mewah, pasti ramai yang mengetahui ia merupakan produk yang mampu dimiliki oleh mereka yang berada sahaja.

Bagaimanapun, perkembangan bidang seni tanah air telah membolehkan golongan artis juga memiliki barangan mewah kerana pendapatan mereka yang semakin lumayan.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin misalnya merupakan antara mereka yang meminati barangan berjenama mewah dan antara jenama pilihannya ialah Louis Vuitton (LV).

Siti dan LV dilihat seperti tidak dapat dipisahkan. Mengapa dikatakan demikian? Jenama mewah itu sering kali dikaitkan dengan Siti Nurhaliza kerana beliau merupakan antara selebriti tempatan yang kerap menggunakan barangan daripada jenama berkenaan.

Dengan statusnya kini dan menjadi anak seni selama hampir 11 tahun, tidak mustahil dia mampu untuk memiliki barangan berjenama mewah. Hati sering juga tertanya, berapa jumlah yang Siti habiskan untuk membeli sebuah beg? Berapa koleksi barangan LV yang Siti ada? Atau adakah barangan jenama mewah lain yang Siti miliki selain daripada LV?

Dalam satu pertemuan eksklusif yang diatur oleh Key Message Public Relations Sdn. Bhd., yang mewakili pihak Olay di butik LV yang terletak di Starhill Gallery, Kuala Lumpur, segala persoalan yang bermain di fikiran akhirnya terlerai apabila Siti membuka rahsia tentang cintanya terhadap barangan LV.

Kata Siti, orang pertama yang memperkenalkan jenama LV kepadanya adalah penyanyi bersuara lantang iaitu Ziana Zain.

“Saya masih ingat lagi kata-kata Kak Ziana yang mengatakan kita sebagai artis, bekerja keras untuk menghiburkan peminat. Jadi, apa salahnya, korbankan sikit wang ringgit untuk memiliki barangan berjenama mewah ini. Bukan untuk siapa pun tetapi untuk kepuasan diri sendiri,” kata Siti mengimbas kembali memorinya.

Tambahnya lagi, dia hanya mampu memiliki barangan LV selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang seni.

“Kalau tidak salah saya, barangan LV pertama yang saya beli pada tahun 2002 adalah sebuah beg tangan yang masih lagi saya gunakan dan simpan sampai sekarang.

“Memang, apabila dilihat pada harganya, pasti ramai yang akan mengatakan dan mengandaikan ia merupakan satu kerugian besar tetapi tidak pada saya. Ia memberi satu kepuasan dan semuanya untuk pelaburan jangka masa panjang,” jelas penyanyi yang kini popular dengan lagu Menanti Pasti, salah sebuah lagu di dalam album runut bunyi, Kayangan The Soundtrack.

Jelas duta produk Olay dan Pantene ini lagi, pada awal dia membeli barangan LV, dia turut merasa keperitannya apabila mengeluarkan sejumlah wang yang begitu besar hanya untuk memiliki sebuah beg tangan, namun demi minatnya terhadap LV, dia sanggup bekerja keras untuk memilikinya.

“Apabila sejumlah wang yang agak besar dikeluarkan, saya terpaksa bekerja keras bagi menampung balik jumlah yang telah saya gunakan untuk membeli barangan LV itu.

“Saya gunakan LV atau barangan jenama mewah yang lain bukan untuk menunjuk atau riak, tetapi saya rasa, itu merupakan satu penghargaan untuk diri saya setelah bekerja keras. Malah, saya mementingkan pada kualiti dan saya berbangga memiliki barangan mewah atas usaha saya sendiri,” ujar penyanyi kelahiran Kampung Awah, Pahang, itu lagi.

Sehingga kini, kata Siti, dia mempunyai barangan LV lebih daripada 20 jenis termasuk beg tangan, dompet dan beg pakaian. Jika dihitung nilai kesemuanya itu, tidak mustahil koleksi Siti itu mencecah ratusan ribu ringgit!

“Kalau sekali belanja di butik LV, sekurang-kurangnya RM10,000 saya belanjakan. Itu semua bergantung kepada jenis barangan yang saya beli,” akui Siti.

Antara barangan LV milik Siti adalah kasut sebanyak 10 pasang serta enam utas jam tangan. Malah, kalau ada yang masih ingat lagi, salah sebuah hantaran yang diterima Siti pada majlis pernikahannya 21 Ogos tahun lalu juga merupakan sebuah tas tangan edisi terhad berjenama LV. Siti pernah menggayakan tas tangan tersebut sewaktu menghadiri Anugerah Planet Muzik di Singapura, Mei lalu.

Menghargai barang

“Kalau orang kata rugi apabila memiliki barangan jenama mewah ini, sebenarnya ada cara untuk kita menghargainya. Cara saya menghargai barangan jenama mewah adalah sentiasa menggunakannya. Bak kata pepatah, ‘Alah membeli, menang memakai.’

“Apabila kita sering menggunakannya, tidaklah rasa rugi. Pada hemat saya, ia merupakan satu kerugian yang besar jika kita beli tetapi sekali sahaja menggunakannya atau tidak langsung menggunakannya.

“Namun, kita juga perlu tahu sesesuaikan barangan tersebut untuk sesuatu majlis yang kita hadiri,” kata Siti yang turut tercalon dalam Anugerah ERA 2007 yang bakal berlangsung 8 September ini bagi kategori Vokal Wanita Pilihan dan Lagu Pop Pilihan menerusi lagu Pastikan.

Tambahnya, selain LV, antara barangan berjenama mewah lain yang dimilikinya adalah Prada, Hermes, Bally, Chanel, Yves Saint Laurent (YSL) dan Salvatore Ferragamo.

Bercuti ke luar negara juga memberi peluang kepada Siti untuk membeli barangan mewah yang tidak terdapat di butik tempatan.

“Setakat ini, antara butik LV yang sudah saya kunjungi adalah di Indonesia, Paris, Jerman, London dan Hawaii. Biasalah, nama pun perempuan.

“Tidak sah kalau tak beli satu jika menjejakkan kaki ke butik LV di luar negara walaupun saya sudah berazam tidak mahu membeli apa-apa,” kata Siti yang genap setahun melayari perkahwinannya hari ini (21 Ogos).

Cita rasa Siti terhadap barangan mewah sebenarnya dipengaruhi oleh suami tercinta, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.

“Sebelum berkahwin, saya tidaklah terlalu pandai dan bijak apabila hendak membeli sesuatu barangan. Asal pada mata saya cantik dan saya rasa praktikal, saya akan beli.

“Tetapi, selepas berkahwin, suami saya banyak mempengaruhi cita rasa saya dan memberikan pendapatnya. Dia lebih tahu dan berpengalaman tentang barangan jenama mewah ini. Apabila melihat katalog, kami akan berbincang dan memberikan pendapat masing-masing jika hendak membeli sesuatu barangan itu.” kata Siti tersenyum.
sumber: utusan malaysia online


Comments:

[…] the recent article about Siti’s luxurious lifestyle, we think that Siti should be the next face of LV! well, she’s already the face of a few top […]

Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: