Aug
02
    
Posted (admin) in mStar online, Career on August-2-2007

‘Azizah’ takkan tenggelamkan watak Saloma
02-08-2007 01:38:48 PM
Oleh WAHIDA ASRANIBUKAN mudah untuk mana-mana penerbit filem mahupun teater untuk ‘melamar’ penyanyi nombor satu negara ini untuk membintangi produksi terbitan mereka.

Satu demi satu tawaran berlakon diterima oleh Datuk Siti Nurhaliza sepanjang 12 tahun bergelar penyanyi, tetapi amat payah untuk beliau menerima ‘lamaran’ itu - antara sebabnya kerana Siti belum bersedia dan hanya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya utamanya iaitu bidang nyanyian.

Tidak lupa juga faktor lain iaitu pendirian Siti yang enggan mempunyai sebarang ‘physical contact’ andai kata dia bersetuju untuk berlakon di dalam mana-mana produksi.

Siti pegang watak Azizah, wanita yang amat dipujai oleh P.Ramlee

Namun, akhirnya, penyanyi tersohor itu melangkah jua ke bidang lakonan apabila buat pertama kalinya Siti bersetuju untuk membintangi teater muzikal terbitan Enfiniti Productions, Remy…Kisah P.Ramlee.Perkara tersebut telah diumumkan oleh Penerbit Eksekutif teater muzikal tersebut Datin Seri Tiara Jacquelina di Borneo Rainforest Cafe, di sini, malam tadi pada satu sidang media pengumuman barisan pelakon teater muzikal yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 19 Oktober hingga 3 November depan.

Spekulasi tentang penglibatan Siti di dalam teater yang memaparkan perjalanan hidup, cinta serta inspirasi Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee itu hangat diperkatakan sepanjang minggu lalu dan ramai yang beranggapan watak Saloma di dalam teater itu akan menjadi milik Siti.

Namun, seperti yang diumumkan, watak Saloma sebaliknya akan dijayakan oleh penyanyi terkenal Liza Hanim, manakala Siti pula bakal memegang watak Azizah, seorang wanita yang amat dipujai oleh P.Ramlee, yang akan dilakonkan oleh Sean Ghazi.

Turut menjayakan teater muzikal ini ialah Melissa Saila (watak Junaidah, isteri pertama P.Ramlee), Chedd Yusuf (Sukardi, rakan baik P.Ramlee) dan kumpulan Infinatez (paparazzi) manakala watak Noorizan yang merupakan isteri kedua Seniman Agung itu masih belum diisi oleh mana-mana pelakon.

“Semua pelakon yang terpilih untuk teater ini datang ke sesi ujibakat terlebih dahulu, dan Siti juga tidak terkecuali. Tetapi, memang susah untuk mendapatkan Siti, sebab dia pun tidak pernah berlakon sebarang filem atau teater.

“Siti baru saja memberi persetujuan hari ini. Walaupun wataknya tidak sebanyak Saloma, tetapi dia apa yang saya boleh katakan setiap karektor yang ada di dalam teater ini mempunyai kekuatan tersendiri,” kata Tiara, pada sidang media itu, semalam.

Remy…Kisah P.Ramlee adalah teater muzikal kedua Enfiniti Productions setelah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).

Teater muzikal terbaru ini masih membariskan tenaga kerja yang sama di dalam PGLM seperti Zahim Al-Bakri (pengarah bersama), Adlin Aman Ramlie (pengarah), Dick Lee (komposer), Pat Ibrahim (pereka tari) dan Raja Malek (pereka produksi).

Menurut Adlin, kerana merasakan watak Azizah amat sesuai dengan penyanyi itu, pihaknya banyak berkompromi dengan Siti untuk memastikan dia bersetuju untuk menjayakan teater tersebut.

“Pada mulanya Siti cakap dia tidak pernah berlakon dan kalau dia ingin berlakon pun, dia ada letakkan syarat. Dan memang antara syarat itu ialah dia tidak mahu sebarang adegan bersentuhan atau physical contact.

“Kita hormati pendiriannya sebab kita tidak mahu dia rasa tidak selesa. Lagipun, memang kami sebulat suara rasakan watak Azizah memang bersesuai dengan personaliti Siti,” kata Adlin.

Jelas Adlin lagi, dia tidak merasakan watak Azizah nanti akan overshadow watak Saloma yang dipegang oleh Liza Hanim, hanya kerana ia dijayakan oleh nama besar seperti Siti.

“Azizah tidak akan ‘tenggelamkan’ Saloma. Kita tidak bergantung kepada kekuatan nama artis itu. Setiap artis yang terlibat akan ada bahagian-bahagian yang seimbang untuk mereka.

“Setiap empat wanita yang ada di dalam hidup P.Ramlee ini memang mempunyai kekuatan tersendiri dan kita akan perkembangkan setiap watak mereka dengan baik,” kata Adlin.

Mengulas mengenai pemilihan pelakon untuk watak P.Ramlee dan Saloma pula, kata Tiara, Sean Ghazi dan Liza Hanim menepati kriteria yang ditentukan oleh pihak produksinya.

“Kami tidak mahu mempertaruhkan nama besar semata-mata. Yang penting, kebolehan dan bakat mereka, bukan nama. Apa yang kami lihat, kekuatan Liza terletak pada suaranya.

“Bukan mudah untuk penyanyi lain menjiwai lagu-lagu Saloma ini. Malah lakonan Liza juga amat berkesan sewaktu hadir ke sesi uji bakat tidak lama dulu.

“Begitu juga dengan Sean Ghazi. Bukan mudah untuk cari orang yang sesuai pegang watak P.Ramlee. Kami menghadapi kesukaran untuk memilih orang yang sesuai untuk pegang semua watak di dalam teater ini.

Sean Ghazi diberi peluang bawa peranan P.Ramlee

“Sean ada pengalaman, terutamanya ketika dia membintangi teater West End dulu. Dia boleh menyanyi serta berlakon pada masa yang sama. Itu kelebihan yang ada pada Sean,” kata Tiara.

Sesi latihan teater ini telah pun bermula sejak dua bulan lalu di mana pihak produksi turut mengadakan bootcamp bagi pelakon-pelakon yang terlibat.

Bercerita dengan lebih lanjut tentang teater muzikal ini, kata Adlin, Remy…Kisah P.Ramlee amat mencabar, berbanding pembikinan PGLM tidak lama dulu.

“Ia mencabar sebab ini melibatkan biografi. Agak tricky sebab kita akan paparkan perjalanan hidup beliau selama lebih 40 tahun.

“Apa yang kita akan tunjukkan bukanlah rekaan bulat-bulat, kita ada fakta, desas-desus dan gosip yang kita akan kembangkan di dalam teater ini.

“Saya sudah bergelumang dengan naskhah ini hampir setahun dan banyak merujuk pada individu yang sezaman dengan P.Ramlee.

“Selama ini orang mengenali P.Ramlee melalui persembahan dan lakonannya saja, tapi kita akan cuba bawa penonton menyingkap kehidupannya di sebalik itu,” kata Adlin.

Sean upah ‘dialect coach’ demi Remy

Memegang watak P.Ramlee bukanlah calang-calang pelakon boleh membawanya dan ternyata, Sean Ghazi adalah yang bertuah kerana terpilih.

Satu cabaran besar yang pasti perlu dipikul oleh Sean, memandangkan seniman agung itu bukanlah sebarangan individu.

“Tiada siapa yang boleh menjadi P.Ramlee, termasuklah saya. Saya perlu mencari ’sesuatu’ mengenai beliau sebab kalau saya nak cuba jadi P.Ramlee, memang tidak boleh.

Watak Saloma akhirnya jadi milik Liza Hanim

“Saya sekarang ini sudah mula belajar main biola dan saya juga ada dialect coach untuk cuba hilangkan pelat Inggeris saya. Inilah cabaran terbesar saya sebenarnya.”Tetapi kalau Stephen Rahman boleh bawa watak Hang Tuah, saya rasa saya juga boleh buat,” kata Sean.

Liza cuma risau mutu lakonan

Pertama kali menceburi bidang teater, Liza sendiri tidak menyangka dapat memegang peranan antara peranan utama di dalam teater tersebut. Membawakan watak Saloma, pastinya satu tanggungjawab besar buat dirinya.

“Bila tengok pelakon lain, saya rasa saya adalah antara yang tidak pernah ada pengalaman berlakon teater lagi. Memang saya perlu banyak minta tunjuk ajar daripada pihak produksi dan kena banyak buat rujukan.

“Tetapi, saya tidak nafikan sewaktu hadir ke sesi ujibakat memang saya berharap sangat agar dapat watak ini. Dari segi nyanyian, insyaAllah saya rasa tiada masalah. Lagipun saya pernah merakamkan album penuh yang mengandungi semua lagu Saloma.

“Cuma dari segi lakonan, memang saya perlu banyak belajar lagi,” kata Liza yang menghadiri ujibakat itu pada pertengahahan Julai lalu.

Ditanya sama ada penglibatan Siti di dalam teater yang sama akan menenggelamkan dirinya nanti, kata Liza, dia tidak kisah tentang perkara tersebut kerana yakin setiap karektor mempunyai kekuatan masing-masing.

“Memang ramai yang menantikan kemunculan Siti, sebab dia tidak pernah berlakon sebelum ini. Saya cuma berharap agar dapat buat yang terbaik supaya orang boleh ingat sampai bila-bila lakonan saya itu,” ujar Liza.

sumber: mStar online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: