Aug
05
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on August-5-2008

 



KALAU benarlah apa yang dilaporkan dalam laman web rasmi 2008 MTV Asia Awards (Anugerah MTV Asia), Papalah orang paling gembira sekali mendengar berita artis popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza memiliki aset bernilai RM50 juta.

Masakan tidak, Papa merupakan antara orang yang melihat bagaimana Siti ‘membesar’ dalam industri hiburan.

Siti mendaki satu persatu anak tangga untuk berada di kedudukannya hari ini.

Dan kini, penghibur kesayangan ramai itu dilaporkan sudah mengumpul aset kekayaan RM50 juta sepanjang tempoh 13 tahun menjadi anak seni.

Kedua-dua pencapaian Siti dipetik daripada laman web rasmi 2008 MTV Asia Awards dalam nota pengenalan mengenai latar belakang penghibur yang baru-baru ini disenaraikan sebagai calon Artis Wanita Popular (Malaysia).

Laman web berkenaan juga menamakan penghibur yang juga isteri kepada usahawan ternama, Datuk Khalid Mohammad Jiwa sebagai antara tiga artis terkaya di Asia Tenggara.

Dengan kekayaan sedemikian yang dimiliki, Siti membuktikan dunia hiburan merupakan cabang kerjaya yang boleh menjanjikan masa depan yang gemilang.

Papa percaya laman web itu tidak akan menulis sembarangan tentang berita ini melainkan ia datangnya dari sumber yang begitu sahih.

Sepanjang menjadi artis, Siti memang bijak merencana karier seninya dan pendapatan yang diperolehinya tidak dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Papa dapat tahu juga Siti juga bijak melaburkan wangnya menerusi saluran yang betul.

Jadi, tidak mustahil seandainya Siti mempunyai aset dalam jumlah begitu besar.

Apa pun, Papa akan sentiasa menunggu kelahiran album terbaru Siti yang khabarnya juga banyak lagu-lagu sedap.

Kepingin sekali Siti mengalunkan lagu Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah. Lagipun, dah lama Siti tak nyanyi lagu Pak Ngah.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: