Aug
05
    
Posted (admin) in Kosmo, Datuk K, Career on August-5-2008

Oleh FAIZAL SAHARUNI

MASA deras berlalu. Diam tak diam penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hampir melangkaui waktu dua tahun melayari bahtera nan indah perkahwinan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K.

Kalau ulang tahun pertama perkahwinan pasangan merpati dua sejoli ini diadakan penuh meriah di Hotel One World, Petaling Jaya setahun lalu, pastinya ada peminat ingin mengetahui sambutan kedua mereka.

Siti mengakui belum membuat sebarang perancangan untuk meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya dengan Datuk K yang akan muncul pada 21 Ogos ini.

“Siti masih belum menetapkan tentang sambutan itu, tetapi Insya-Allah majlis ulang tahun itu tetap akan diadakan tidak kiralah sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.

“Sambutan ulang tahun memang tengah difikirkan, cuma Siti dan suami belum duduk bersama untuk berbincang lebih lanjut tentang perkara ini,” luah Siti pantas tersenyum manis memperlihat dirinya sedang bahagia serta dilanda asmara dengan Datuk K.


KAKAK Siti, Saida turut muncul dalam program Teratak Siti Nurhaliza

Menyambung bicara, Siti selalu berdoa agar hubungan yang terjalin bersama si suami yang senantiasa menyokong karier seninya itu direstui Tuhan.

“Selalu berdoa kepada Allah supaya Siti dan suami diberikan kesihatan yang baik serta kebahagiaan berpanjangan apatah lagi kami sering menempuhi banyak dugaan dalam kehidupan,” jelasnya lagi.

Kekok nyanyi lagu tradisonal

Setelah sekian lama suara merdunya tidak melantunkan lagu berkonsepkan tradisional, wanita jelita berusia 29 tahun ini dengan rendah diri mengaku kekok tatkala mahu melagukan karya dengan genre tersebut.

Siapa sahaja yang tidak mengetahui kewibawaan Siti. Dia boleh membawa apa jua lagu dengan baik tanpa ada tolok bandingnya.

Namun, itulah sikap sebenar yang sukar terhakis di dalam diri anak jati Kuala Lipis, Pahang ini semasa berbicara. Santun kata dan masih berpijak di bumi nyata menjadikan Siti terus punya profil dan kelas tersendiri di mata umum.


SITI sudah lama tidak mendendangkan lagu-lagu tradisional.

Siti menjayakan Teratak Siti Nurhaliza, sebuah program muzikal selama satu jam untuk disiar semasa Hari Raya ini sambil berdendang dengan lagu corak tradisional bersama adik-beradiknya, Saida dan Saerah.

Siti memberitahu, dia berasa kekok semasa menjalani latihan Teratak Siti Nurhaliza disebabkan sudah lama dia tidak menyanyikan lagu-lagu berunsur tradisional.

“Siti rasa kekok sikit semasa latihan sebab sudah lama tidak nyanyi lagu tradisional. Perkara ini tidaklah teruk sangat, Siti cuma nak biasakan lentur dan lenggok suara saja.

“Alhamdulillah, suara Siti agak biasa dengan lagu tradisonal, jadi masalah itu tidaklah terlampau merisaukan saya,” ungkap Siti yang ayu mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaimi pada majlis itu.


PENUH emosi saat berduet bersama adiknya, Saerah.

Ayie tolak tawaran

Menyusun bait katanya satu persatu, Siti menjelaskan Teratak Siti Nurhaliza pada awalnya mahu mengenengahkan empat beradik iaitu Siti, Saida, Saerah dan Ayie di pentas sama.

“Ayie bagaimanapun menolak dengan baik tawaran itu. Dia kata tak apa dan tidak mahu terlibat dengan program berkenaan.

“Lantaran itu, Siti teruskan dengan dua beradik lain untuk jayakan program ini dengan menampilkan pelbagai kelainan buat tatapan audiens.

“Siti harap sangat rancangan Hari Raya dengan nyanyi lagu tradisional ini dapat membiasakan diri untuk masuk studio rakaman bagi album kontemporari dan fusion Siti kelak.

“Tak sabar rasanya Siti nak buat rakaman album baru. Kalau boleh hendak rakam awal sebelum puasa ini, tetapi Siti kena tengok dulu jadual dan tarikh kelapangan Siti.

“Siti memang harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin, kalau boleh album ini dapat dipasarkan sebelum penghujung tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti memberitahu niatnya untuk kembali ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.

“Kalau ikut perancangan, Siti akan tunaikan umrah bersama suami dan ibu mertua pada awal bulan Ramadan ini.

“Siti akan melakukan ibadah di sana selama seminggu,” ungkapnya lagi.

sumber: kosmo online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: