Jun
23
    
Posted (admin) in Datuk K, mStar online, Personal Siti, Career on June-23-2008

23-06-2008 04:48:15 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZKETIKA pelancaran Hari Seniman pada 29 Mei lalu, majlis yang julung kali diraikan pada tahun ini sepi dengan kehadiran artis muda.

Antara mereka yang hadir adalah Farid Kamil, Serina Red zuawan, Jaclyn Victor, Ahmad Idham, Zuhairi Ibrahim, Noraniza Idris, Norman KRU dan bintang Akademi Fantasia 4, Haziq.

Di dalam kemeriahan sambutan hari menghargai seniman tanah air itu, ada pihak yang meluahkan rasa kecewa mereka apabila ramai artis muda tidak sama-sama ‘turun padang’ sebagai tanda sokongan kepada seniman.

Siti masih menantikan cahaya mata bersama Datuk K (Foto Utusan)

Tempias tersebut turut terkena kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana beliau juga merupakan antara artis yang gagal menunjukkan muka semasa majlis tersebut berlangsung.Walaupun begitu, aktiviti yang diatur sempena Hari Seniman Kebangsaan itu tetap dijalankan seperti yang dirancang.

Baru-baru ini, program Gema Suara Seniman telah diadakan di Laman Santai, perkarangan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Yang pasti, program yang dikendalikan oleh dua pengacara ‘Gedik Santai’ iaitu Raja Azura dan Sharifah Shahira itu menampilkan Datuk Siti Nurhaliza sebagai salah seorang penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu.

Mengenai kemunculan Siti, beliau berkata jemputan pada malam itu sudah dimaklumkan terlebih awal sebelum Hari Seniman berlangsung.

Katanya, kehadiran beliau pada malam itu juga bukan bermakna hendak ‘membayar ketidakhadirannya’ dan ‘menebus kekecewaan’ pada 29 Mei lalu.

“Saya tidak hadir semasa majlis Hari Seniman lepas sebab tidak menerima sebarang undangan. Saya tidak dipanggil pada hari itu mungkin disebabkan ada masalah ‘miscommunication’.

“Walau tidak dijemput, hal tersebut tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada saya,” kata Siti sebelum membuat persembahan empat buah lagu di majlis tersebut.

Siti telah menghiburkan kira-kira 500 orang penonton dengan nyanyian empat buah lagu yang antaranya adalah Joget Pahang dan Ku Mahu.

Selain Siti, artis lain yang turut menjayakan Gema Suara Seniman adalah band Coda, R.Ismail, Rokiah, Sara Loo, Datuk Aziz Sattar, Amy Search, Jaclyn Victor.

Turut serta adalah persembahan bacaan sajak oleh Rahimidin Zahari dan Sutung Umar RS. Tidak ketinggalan juga persembahan tarian seperti Mak Yung, Joget Malaysia dan tarian Igai-Igai Sabah oleh artis tari Istana Budaya.

Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) Datuk Mohd. Shafie Apdal, Ketua Setiausaha KPKKW Dr. Muzahet Masuri, Presiden Persatuan Seniman Malaysia Datuk Mustapha Maarof, dan Presiden Finas Senator Tan Sri Jins Shamsudin.

Antara artis yang hadir adalah S. Shamsudin, Neng Yatimah, Hashimah Yon, Kassim Masdor dan ramai lagi.

Masuk studio rakam lagu kontemporari

Siti bakal tampil dengan album Melayu Kontemporari pada akhir tahun ini.

Album tersebut merupakan projek khas Siti dengan komposer pilihan yang diinspirasikan melalui Kem Cipta Ekspress anjuran MACP pada Januari lalu.

“Siti dalam proses untuk merakamkan lagu kontemporari bermula bulan depan. Antara komposer yang berkerjasama untuk album ini adalah Zubir Ali, Adnan Abu Hassan, M. Nasir, S. Atan, Pak Ngah dan ramai lagi.

“Siti juga dah terima 10 buah lagu terbaik. Siti juga akan memuatkan lagu dari komposer lain yang Siti suka dan lagu dalam album itu mungkin akan melebihi dari 10 buah lagu. Lebih kurang sama dengan jumlah lagu yang dimuatkan dalam album Transkripsi dan Hadiah Daripada Hati,” kata Siti.

Setelah lama tidak bekerjasama dengan Adnan Abu Hassan, kali ini Siti kembali bekerja dengan komposer yang mesra dengan panggilan Abang D dan pertama kali membawanya masuk ke industri ini melalui lagu Jerat Percintaan kira-kira 11 tahun lalu.

“Saya masih hormati dan akui Abang D merupakan seorang komposer yang hebat di Malaysia. Saya perlukan perubahan konsep album jadi sebab itu saya dah lama tak mengambil lagu-lagu beliau.

“Tetapi tak bermakna saya ketepikan. Kami tiada masalah antara satu sama lain,” tutur Siti yang turut merancang untuk membuat konsert sebelum bulan puasa depan.

Habiskan masa di spa

Tambah Siti, sepanjang beliau menyepi dalam industri ini, beliau banyak menghabiskan masa dengan memanjakan diri di spa.

“Kalau dulu saya tiada masa untuk melakukan semua aktiviti ini tetapi sekarang saya sudah boleh melakukannya di waktu lapang.

“Kehidupan saya juga lebih seimbang sekarang kerana mempunyai kehidupan peribadi dan karier. Sejak berkahwin, saya juga perlu memberikan keutamaan kepada rumahtangga dan lebih senang low profile.

“Saya perlu terima hakikat yang masa dah berubah. Sebagai insan, saya inginkan kehidupan yang seimbang. Saya tidak terkilan apabila jarang mendapat jemputan menyanyi.

“Tetapi apabila dipanggil untuk membuat persembahan, saya kena bertungkus-lumus semula dengan membuat praktis nyanyian di rumah,” jelas Siti yang akui bahagia dengan kehidupannya sekarang.

Siti juga berkata beliau perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang di mana beliau perlu bersikap lebih dewasa dan matang agar tidak kekok menghadapi masa akan datang lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai anak.

Namun, apabila disoal tentang anak, Siti hanya tersenyum dan menggeleng kepala menandakan belum mempunyai apa-apa tanda lagi.

Siti dan suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa berkahwin sejak dua tahun lalu namun sehingga kini mereka berdua masih belum dikurniakan cahaya mata.

sumber: mStar online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: