Jun
16
    
Posted (admin) in Sitizone, Personal Siti on June-16-2008

Written by Siti Nurhaliza
Monday, 16 June 2008
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam penuh keceriaan buat semua dan harapan Siti agar semuanya akan mendapat apa yang dihajatkan dalam hidup.

Tidak sangka pula mesej Siti yang sebelum ini menimbulkan banyak persoalan dan juga jadi bualan walaupun sewaktu menghantar mesej tersebut Siti memang tidak memikirkan apa-apa kerana merasakan ia satu mesej yang biasa dihantar. Nampaknya peminat Siti amat prihatin dan Siti juga tidak mahu lagi ada tanda tanya cuma adakala dengan satu mesej, suasana akan bertukar menjadi lebih baik dan juga yang sebaliknya. Harapan Siti agar semuanya akan jadi baik-baik sahaja.

Jangan bimbangkan Siti kerana memang Siti akui sebagai manusia biasa adakala kita juga rasa untuk berkongsi sesuatu dengan orang lain tapi kita tidak boleh mengharapkan orang memahami kita. Namun buat anda semua, Siti tahu bagaimana sokongan anda kepada Siti selama ini dan Siti amat menghargainya.

Masa terus berlalu, memang banyak rancangan yang mahu dilaksanakan. Bukan untuk diri Siti sahaja tetapi syarikat Siti juga. InsyaAllah, Siti juga tidak lama lagi akan memulakan produksi album tradisional kontemporari dan InsyaAllah akan merakamkan vokal bila semuanya sudah sedia. Begitu juga dengan artis SNP yang lain, akan ada produk yang akan dikeluarkan di samping rancangan-rancangan lain. Maklumlah, tahun ini SNP sudah genap 10 tahun. InsyaAllah berkat sokongan semua kami akan melakukan apa yang terbaik untuk industri. Segalanya perlu perancangan yang betul kerana industri hiburan sekarang tidaklah sehebat zaman 90-an dulu. Siti harap dengan usaha yang kami taburkan selama ini akan dapat sentiasa memuaskan dan menghiburkan hati anda semua.

InsyaAllah seperti biasa, jika segalanya sudah pasti Siti akan umumkan kepada semua. Doakan agar semuanya berjalan dengan baik.

Terima kasih atas semua yang telah anda lakukan di belakang Siti, menjalinkan hubungan yang baik, mengadakan pertemuan dan juga memanjangkan silratulrahim. Itulah matlamat SZ kerana ia bukan hanya menghubungkan Siti dengan anda tetapi di antara anda juga. Maaf jika ada pelawaan yang tidak dapat ditunaikanm, tidak banyak masa dapat diluangkan tapi adakala penghargaan tak dapat diluahkan dengan perbuatan dan perkataan kerana hati yang boleh menyampaikan kebenaran dan kenyataan.

Salam sayang buat semua. Jumpa lagi.
Siti Nurhaliza

sumber: sitzone.com


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: