May
24
    
Posted (admin) in Sitizone, Gossip, Personal Siti on May-24-2008

Written by Siti Nurhaliza
Friday, 23 May 2008
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam buat warga pekerja, warga belia, warga ibu, warga guru dan sesiapa yang menyambut hari Wesak baru-baru ini, nampaknya bulan Mei banyak hari-hari yang diraikan.

Seperti biasa Siti mendoakan agar semua yang dijalani akan dapat dilalui dengan baik. Siti juga berdoa agar hari-hari yang bererti buat setiap seorang daripada kita akan menjadi detik yang bermakna dalam hidup.

Hidup hanya sekali, itu yang memang kita tahu. Menghargainya setiap detik akan memberikan kita kelegaan kerana kita akan dapat mensyukuri apa yang telah kita miliki. Tidak kira siapa kita, apa status kita, di manakah asal kita, keturunan, bangsa , agama mahupun negara, kita harus tahu erti saling menghormati dan menghargai.

Siti kira terlalu banyak yang telah Siti lalui dan depani, ambil saja yang manis untuk jadikan kenangan terindah dan yang pahit jadikan pedoman untuk ditongkah. Tidak mudah menjadi seorang seperti Siti tetapi Siti bertanggungjawab atas apa yang telah Siti jalani sebagai insan malah Siti tidak mahu mengeluh dan melatah jika ada kata-kata tidak benar dilempar, ada umpatan dan kejian, ada rasa tidak puas hati pelbagai pihak, ada rasa kurang senang mahupun sesuatu yang sampai ke telinga pihak lain adalah sebaliknya daripada cerita atau kisah sebenarnya.

Siti tahu tanggungjawab Siti besar kerana Siti telah melalui hari Siti sebagai orang yang dikenali, pasti apa jua akan diperkatakan. Tapi dalam Siti cuba dan mencuba malah telah lama menerimanya dengan dada terbuka tapi Siti harus akui bahawa Siti juga manusia biasa. Sebagaimana orang lain punya hati dan rasa, punya pertimbangan, akhirnya harus diakui bahawa kita semua adalah sama. Bagaimana ada yang sanggup menyakiti sesama kita, menuding jari ke arah sini dan sana malah melontarkan kata-kata yang mungkin membuatkan ada yang terluka. Apakah di laman ini sudah hilang kepercayaan dan keharmonian? Sudah timbul andaian yang seolah2 menggambarkan diri Siti ini adalah sebaliknya daripada apa yang pernah dikenali?

Beradalah sekejap di tempat Siti, pasti anda tidak sanggup duduk lama. Tapi inilah yang Siti pegang selama ini, bertahan semampu mungkin. Cukuplah… jangan ada andaian lagi. Semua yang berlaku baik-baik belaka. Siti masih ada rasa dan harga. Masih ada maruah dan juga masih punya hati yang seperti dulu. Tidak berubah, tidak ada kesanggupan untuk melukai sesiapa malah tidak pula menonong mengikut telunjuk sesiapa.

Maaf catatan ini merangkumi semuanya. Cukuplah jika selama ini Siti harus berkias dan masih menghormati perasaan orang lain dan kini Siti masih berkias kerana itulah cara Siti.

Semoga masih ada kedamaian dan keceriaan.Doa Siti yang berpanjangan.

Salam mesra buat semua.
Siti Nurhaliza

sumber:sitizone.com


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: