May
08
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on May-8-2008

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

DAYANG NURFAIZAH,Siti Nurhaliza dan Atilia membuktikan keistimewaan vokal masing-masing sebagai aset negara.

SUDAH memasuki usia 15 tahun, penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM15) sememangnya sudah dewasa.

Gabungan pelbagai kepakaran daripada segenap aspek dari sudut pandang perniagaan seni sekali gus memperlihatkan AIM boleh dianjur dengan mudah.

Masakan tidak, sesiapa saja yang bergelar karyawan muzik mahu turut serta dalam acara prestij yang mengiktiraf kerja-kerja muzik anak tempatan.

Lalu, penganjuran AIM15 tempoh hari membariskan wajah-wajah yang lazimnya beraksi di pentas (barangkali juga, Malaysia kekurangan penyanyi) acara-acara besar seperti itu.

Formula yang diperkenalkan dalam AIM kali ini menyaksikan elemen perpaduan sebagai teras utama persembahan.

Semua itu diterjemahkan oleh penganjur berpaksikan rasa tanggungjawab terhadap usaha memupuk perpaduan yang berterusan di kalangan rakyat Malaysia.

Dan AIM merupakan platform paling tepat lantaran kolaborasi karyawan muzik tidak hanya terbatas pada satu kelompok kaum sahaja.

Lalu, muncullah Boomerangx dan Karen Kong mewakili kaum masing-masing memberikan persembahan mengikut budaya dan acuan mereka sendiri.

Jarang sekali pendekatan sedemikian diambil oleh AIM kerana lazimnya kita merujuk AIM kepada ‘Anugerah Industri Muzik Melayu’ sahaja sedangkan penyertaan kaum Cina dan India juga sangat besar dalam industri hiburan ini.

Boomerangx pastinya mengambil kesempatan di pentas eksklusif AIM untuk memberitahu orang ramai mereka juga boleh memberikan persaingan kepada artis-artis arus perdana sedia ada.

Gabungan pelbagai genre muzik dari irama balada yang cukup dekat dengan budaya dan selera pendengar Malaysia sehinggalah kepada rock dan hip hop yang menjadi kegilaan anak-anak muda menjadi pertaruhan AIM.

“Sewajarnya, kesemua elemen penting dalam perpaduan muzik perlu diambil kira dalam AIM.

“Kami sengaja menyuntik elemen yang jarang dipersembahkan dalam AIM sebelum ini untuk acara kali ke-15 kerana kita harus memberi kredit kepada semua karyawan muzik tanpa sebarang prejudis, tanpa mengambil kira bangsa dan bahasa,” kata penerbit AIM15 yang juga Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Jennifer Thompson.

Dan seperkara lagi, Jennifer juga memberanikan diri mempertaruhkan bintang-bintang kelahiran program realiti dalam acara ini.

Paling menonjol pastinya, Superhero Faizal Tahir yang diletakkan oleh Jennifer sebagai pembuka acara.

Anak muda berjiwa besar itu, ‘diterbangkan’ dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dengan penuh ketelitian.

Realitinya

Idea itu kata Jennifer, sudah lebih tiga bulan disimpan rapi dalam fikirannya.

Nah, hasrat itu direalisasikan akhirnya dan persembahan Faizal itu seperti mahu menterjemahkan pendiriannya, dia mahu bebas berkarya tanpa sebarang sekatan atau birokrasi.

Menerusi lagu Batu dan Golek dan La Da Di Dum, dinamik Faizal diperkatakan ramai.

Tiga lagi bintang realiti, Fiq, Dafi dan Suki juga memberikan warna baru pada pentas AIM.

Pada masa yang sama, ia juga secara tidak langsung memberi signal bahawa realitinya industri muzik kita kini cukup banyak dibanjiri dengan kelahiran artis-artis baru dari program realiti televisyen.

Tumpuan acara pada malam itu juga diberikan kepada tiga penyanyi terbaik tanah air, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Atilia yang berganding mahu menyampaikan lagu yang mempunyai nilai seni yang sangat tinggi iaitu Warisan, Suatu Masa dan Gelombang.

Gabungan yang sedemikian juga memperlihatkan ia merupakan suara penyambung warisan seni Malaysia.

AIM kali ini juga cukup bijak mengambil hati penonton dengan menghadiahkan mereka persembahan bertenaga daripada kumpulan Estranged.

Persembahan Hazami bersama-sama 15 orang penyanyi latarnya cukup relaks dan bersahaja menerusi lagu Kiblatku.

Namun sayang seribu kali sayang apabila kolaborasi tiga jejaka dari tiga dimensi umur iaitu Rahim Maarof, Anuar Zain dan Mawi seperti tidak memberikan impak yang besar pada sebuah lagu yang memiliki nilai sentimental yang cukup tinggi iaitu, Kau Ilhamku.

Apa lagi, lagu berkenaan didedikasikan khusus buat insan-insan seni yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Namun, duka Kau Ilhamku terubat apabila kemunculan pemenang Anugerah Kembara, Pop Shuvit menerusi dua buah lagu antaranya Mara Bahaya yang cukup memukau.

Persembahan mereka di pentas sudah cukup membuktikan bahawa mereka sememangnya layak diberi pengiktirafan tersebut.

Sudah tentu juga, tumpuan audiens pada malam itu tidak lekang kepada dua pengacara ‘big size’ Adflin Shauki dan Adibah Noor.

Lawak jenaka dan lawak sinis mereka berjaya menghiburkan khalayak di sepanjang durasi dua jam setengah AIM 15.

Kali ini, gabungan dua A itu juga, sungguh spontan, menghiburkan dan sarat dengan informasi serta sindiran-sindiran tajam.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: