May
08
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on May-8-2008

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

ORANG lama seperti Siti Nurhaliza ternyata perlu meneruskan kesinambungan yang telah dilakukan untuk terus melahirkan produk berkualiti selagi hayat dikandung badan.

BARANGKALI, tiada apa yang perlu dipertikaikan sebaik sahaja semua keputusan diumumkan pada Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) yang berlangsung dalam suasana yang cukup meriah malam kelmarin.

Empat anugerah yang berjaya digondol oleh penyanyi berbakat besar, Faizal Tahir menerusi album sulungnya, Aku.Muzik.Kamu dirumuskan sebagai keputusan bijak dan menepati kriteria dan kualiti yang amat diperlukan oleh industri muzik tempatan masa ini.

Bahkan, kemenangan naib juara pertandingan realiti TV, One In A Million musim pertama itu juga dianggap sebagai kemenangan yang bermaruah setelah pelbagai musibah dan kontroversi yang dilalui oleh anak muda itu sepanjang tahun ini.

Menariknya untuk diperkatakan tentang AIM15 ialah kebangkitan muka-muka baru yang selama ini mungkin tidak diketahui orang mengenai bakat-bakat mereka yang bersaing secara sihat dengan muka lama yang masih kebal auranya.

Ternyata, malam AIM15 memperlihatkan gandingan baru dan lama mendominasi anugerah utama dan sudah pasti apabila penyanyi baru diangkat sebagai yang terbaik, itu bermakna yang lama perlu meningkatkan usaha dalam terus menghasilkan produk yang berkualiti untuk terus menyinari industri hiburan yang kini semakin suram.

Justeru itu, apa yang perlu industri lakukan daripada kemenangan Faizal dan juga muka baru lain yang berjaya dinobatkan dengan trofi AIM?

Adakah terus membiarkan mereka hanyut dengan gelaran itu tanpa memikirkan langkah seterusnya yang perlu dilakukan dalam memastikan mereka terus mengukuhkan kedudukan mereka di persada seni tanah air?

Kemenangan Faizal dilihat begitu kena dan tepat sekali kerana dia berjaya memberikan nafas dan muzik segar menerusi album sulungnya, Aku.Muzik.Kamu yang ternyata membawa dimensi baru dalam perkembangan muzik tempatan.

Usah diperkatakan tentang Datuk Siti Nurhaliza yang berjaya menerima dua anugerah pada malam tersebut kerana dia sudah lama bertapak dan kedudukannya juga sudah kukuh.

Namun, kemenangan itu juga mungkin menjadi satu tekanan buat penyanyi jelita itu kerana saban tahun, dia menghasilkan album, peminat dan pemerhati industri mahu melihat dirinya terus menghasilkan album yang berkualiti setanding dengan kedudukannya sebagai penyanyi nombor satu negara.

Sudah tiba masanya, industri hiburan secara keseluruhannya berganding baru antara satu sama lain serta memberikan kerjasama yang sewajarnya dalam terus mengembalikan kegemilangan industri muzik tempatan.

Sepanjang 15 tahun AIM berlangsung, kita dapat melihat ada di antara mereka yang berjaya menerima gelaran terbaik entah hilang ke mana dan seolah-olah kemenangan mereka di AIM membawa badi kepada mereka.

Bukan itu sahaja, malah ada juga yang kerjaya seni mereka tidak menjadi dan lama-kelamaan mereka mengambil keputusan untuk terus menghilangkan diri dari persada seni tanah air dengan alasan mereka sukar untuk diterima.

Hanya segelintir sahaja yang bernasib baik mampu mengukuhkan kedudukan mereka di persada seni tanah air seperti Siti Nurhaliza, Raihan dan M. Nasir (sekadar menyebut beberapa nama sahaja).

Memetik kata-kata Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson sebelum ini yang mengatakan AIM merupakan platform terbaik untuk memberi ruang kepada muka baru memperkenalkan diri dan produk mereka kepada khalayak.

Tetapi, wanita besi itu tidak mampu untuk memberikan sebarang jaminan bahawa AIM akan terus mampu untuk mengukuhkan nama seseorang artis yang telah dinobatkan dengan gelaran terbaik di AIM di persada seni tanah air.

Jadi, daripada situ, semua pihak harus melihatnya sebagai satu cabaran dalam terus menyokong artis-artis yang berbakat besar ini tanpa terselit rasa birokrasi yang kadang-kala agak memualkan apabila memikirkan tentangnya.

Syarikat rakaman merupakan pihak yang paling bertanggungjawab untuk terus mengangkat nama artis yang telah menerima anugerah.

Gandakan promosi dan memikirkan single terbaik seterusnya untuk diperdengarkan di corong-corong radio.

Mungkin juga mereka boleh mengadakan persembahan khas untuk peminat mereka dalam terus memastikan nama artis tersebut tidak terus menjadi suam dan lebur begitu sahaja.

Sebenarnya, kesemua ini tidak perlu tunggu lama untuk berbuat demikian kerana mereka seharusnya sudah tahu strategi terbaik yang perlu dilakukan daripada kelangsungan kemenangan di pentas berprestij seperti AIM.

Sudah dijulang dengan gelaran terbaik, sudah pasti peminat hiburan tanah air mahu melihat apakah keistimewaan album, lagu mahupun diri penyanyi itu sendiri sehingga mendapat tempat di AIM.

Seperti yang kita semua sedia maklum, untuk menempatkan diri dalam pencalonan AIM juga bukanlah mudah kerana pelbagai tapisan perlu diharungi untuk menempatkan diri dalam peringkat lima yang terbaik.

Sebenarnya, bantuan dari pihak lain juga mampu untuk membantu menaikkan nama artis yang memenangi AIM.

Stesen-stesen radio terutamanya stesen radio swasta juga harus mengubah persepsi lapuk yang sering mereka laungkan. Alasan seperti lagu sukar diterima mahupun konsep yang dibawakan oleh sesetengah artis yang dikatakan tidak kena dengan moto stesen radio rasanya perlu diubah.

Sampai bila kita mahu melihat anak tempatan dilayan bagai ‘anak tiri’ sehingga sukar untuk mendengarkan lagu-lagu mereka di stesen radio.

Mungkin disebabkan itu juga, ramai artis yang sebelum ini mempertahankan genre muzik yang mereka bawakan terpaksa mengubah dan menjadi hipokrit semata-mata untuk mengikut selera mereka dan juga pendengar.

Malah, sungguh menyedihkan apabila melihat kategori Album Pop Etnik Terbaik dan Album Nasyid Terbaik hanya memperlihatkan dua dan tiga calon sahaja.

Bukan itu sahaja, berilah juga peluang kepada artis lain untuk menonjolkan karya mereka agar pendengar sendiri tidak muak dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh artis yang sama sepanjang hari.

AIM15 juga mengambil tema perpaduan sebagai salah satu langkah untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini untuk menikmati muzik tanpa langsung perasaan perjudis tersemat di hati.

Satu langkah yang sungguh bijak dan seharusnya ini mampu membuka mata semua pihak bahawa kita perlu mengekalkan imej muzik Malaysia dan bukannya terletak pada satu-satu kaum sahaja.

Ini juga satu cabaran yang perlu dilihat dari sudut yang sungguh positif.

Pentas AIM15 tempoh hari sungguh menarik apabila melihat persembahan dari artis dari kaum lain yang ternyata tidak kurang juga hebatnya.

Barangkali juga, sudah tiba masanya satu pendekatan diambil dalam memastikan semua lagu tidak kira apa bangsa dan kaum sekalipun dimainkan di semua corong-corong radio di negara ini.

Bukankah muzik itu universal? Sebelum kita mahu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, kita perlu mengubahkan dari peringkat akar umbi terlebih dahulu.

Mungkin stesen radio Cina dan India, boleh memainkan lagu-lagu Melayu dalam memikat pendengar mereka.

Dan begitu juga dengan, stesen radio Melayu dan Inggeris yang boleh membantu melebarkan karya artis dari kaum lain di stesen radio masing-masing.

Jika pendekatan ini diambil dan diaplikasi, kita mampu melahirkan pendengar muzik majmuk dan muhibbah tanpa rasa prejudis mahupun skeptikal terhadap muzik masing-masing.

AIM15 yang berlangsung tempoh hari juga berjaya meloloskan diri daripada cengkaman kontroversi memualkan yang sering dibangkitkan setiap tahun.

Ternyata, industri muzik kita semakin menunjukkan kematangan dan peningkatan yang boleh dibanggakan.

Baik artis mahupun yang lama, sama ada yang menang ataupun tewas, jadikan AIM sebagai satu pemangkin untuk anak seni melahirkan karya yang berkualiti.

Teruskan bekerjasama dan buangkan sifat ego yang ada dalam diri masing-masing untuk memastikan industri muzik kita berada di tahap yang paling gemilang.

Jika karyawan muzik di Indonesia boleh bersatu hati untuk terus melihat kegemilangan industri muzik mereka, mengapa tidak kita?

Kita seharusnya rasa bertuah kerana kita mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri yang mampu untuk kita bawa jauh melangkah dari gelanggang sendiri.

Tetapi, walau apa pun, ia semua terletak dalam diri sendiri untuk melihat sejauh mana kita mahu melihat kecemerlangan industri muzik kita.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: