Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Siti Nurhaliza bersama Faizal Tahir memegang anugerah yang diperoleh semasa Majlis Penganugerahan AIM 15, di PWTC, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Meiá¿– Faizal Tahir malam ini merangkul empat anugerah utama pada Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Anugerah yang digondol beliau adalah Album Terbaik, Album Rock Terbaik, Artis Terbaik Lelaki dan Persembahan Vokal Terbaik melalui album Aku.Muzik.Kamu.
Penerbit yang terlibat dalam menghasilkan album itu ialah Ahmad Izham Omar, Faizal Tahir, Aubrey Suwito, Audi Mok dan Kunci Demak.
Album tersebut dipilih dari empat album lain yang bertanding dalam kategori itu iaitu Hadiah Daripada Hati (Datuk Siti Nurhaliza), Melodi Ahlaan (Waheeda), Maulana (Rabbani) dan Eclecticism (Melissa Indot).
Sementara itu, Persembahan Vokal Terbaik Wanita pula menyaksikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza merampas kembali gelaran itu setelah tewas pada tahun lalu.
Dengan kemenangan itu juga, Siti Nurhaliza berjaya mencipta sejarah apabila berjaya memenangi gelaran tersebut buat kali kesembilan sekali gus menghampakan empat calon lain iaitu Elyana (Jadi Diriku), Atilia (Sangkar), Dayang Nurfaizah (Dayang 2007) dan Karen Kong (Mulakan).
Bukan itu sahaja, penyanyi tersohor itu juga memenangi Album Pop Terbaik menerusi album Hadiah Daripada Hati.
Acara anugerah muzik berprestij itu juga memilih lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan dan Sulu Sarawak yang dinyanyikan oleh Kaer Azami sebagai Lagu Terbaik dengan menewaskan empat buah lagu lain iaitu Menanti Pasti, Mahakarya Cinta, Itu Kamu dan Sekian Lama.
sumber: utusan malaysia online