May
01
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on May-1-2008

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

KEUNGGULAN Siti Nurhaliza sebagai penyanyi nombor satu negara masih menyerlah apabila menerima lapan pencalonan dalam AIM15 yang akan berlangsung Sabtu ini (3 Mei).

SEJAK penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memasuki gelanggang Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1997, namanya tidak pernah tercicir daripada dicalonkan untuk mana-mana kategori yang dipertandingkan.

Cuma, pada tahun 1998 sahaja, buat pertama kalinya memperlihatkan Siti gagal membawa pulang sebarang anugerah AIM dalam tiga kategori yang dicalonkan.

Jika dihitung dari tahun 1997 sehinggalah tahun 2007, penyanyi jelita ini sudah pun memiliki 22 buah trofi AIM termasuklah Vokal Wanita Terbaik yang berjaya berada di dalam genggamannya selama lapan tahun berturut-turut, Anugerah Kembara (tiga), Album Terbaik (empat), Album Pop Terbaik (tiga) dan Album Pop Etnik Terbaik (dua).

Itu belum dikira lagi tiga lagu nyanyiannya yang diiktiraf menerusi kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu iaitu Merisik Khabar, Bukan Cinta Biasa dan Seindah Biasa.
Tahun ini, Siti merupakan satu-satunya artis yang berjaya mendapat pencalonan terbanyak iaitu lapan pencalonan dalam lima kategori menerusi albumnya, Hadiah Daripada Hati (HDH).

Pencalonan yang diterimanya adalah Persembahan Vokal Wanita Terbaik, Album Pop Terbaik, Kulit Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia) dan Lagu Terbaik.

“Pencalonan ini menunjukkan bahawa HDH merupakan karya yang berkualiti sekali gus menafikan kata-kata sesetengah orang yang mendakwa HDH tidak berkualiti dan dibuat sambil lewa. Dalam erti kata lain, mereka mengatakan HDH adalah sebuah album cincai.

“Konsep HDH juga berbeza dengan apa yang telah saya lakukan sebelum ini. Sebenarnya, HDH pada pandangan saya, juga merupakan salah sebuah album terbaik yang pernah saya lahirkan. Saya telah memberikan sepenuh hati dalam memastikan HDH menjadi sebuah album yang berkualiti,” jelasnya sewaktu ditemui di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi kategori Album Pop Terbaik, HDH perlu berdepan dengan empat buah album hebat lain iaitu Dayang 2007 (Dayang Nurfaizah), Imagin (Liza Hanim), Menjelma (Kaer Azami) dan Semuanya Ada Di Sini (Farawahida).

Untuk kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia), sebanyak tiga buah lagu dari album HDH dicalonkan iaitu Sekian Lama, Cintamu dan Hati.

Dua buah lagu dendangan Siti iaitu Sekian Lama dan Menanti Pasti pula menerima pencalonan bagi kategori Lagu Terbaik.
Diajak berbicara tentang pencalonan Lagu Terbaik, Siti memberitahu kedua-dua lagu Menanti Pasti dan Sekian Lama mempunyai kekuatan yang tersendiri serta berdiri dalam jalur muzik yang cukup berbeza.

Mungkin ramai yang tidak tahu, lagu Menanti Pasti merupakan salah sebuah lagu yang dimuatkan dalam album runut bunyi, Kayangan yang diterbitkan oleh Raden Pictures Sdn. Bhd. pada tahun lalu.

Malah, Menanti Pasti juga dicalonkan dalam kategori Lagu Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2008 baru-baru ini namun tewas ditangan lagu Nakal dendangan kumpulan Gigi.

“Menanti Pasti memberikan satu pengalaman baru dan cukup berbeza buat saya kerana itulah pertama kalinya saya menyanyikan lagu yang berentak waltz. Malah, ia juga cukup berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini serta memberikan dimensi baru pada teknik nyanyian saya.

“Menyampaikan lagu Menanti Pasti ini sebenarnya mencabar saya sebagai seorang penyanyi kerana rentaknya yang perlahan itu tidak memerlukan saya melontarkan vokal saya pada tahap maksimum.

Beliau mengakui Menanti Pasti memerlukannya menggunakan teknik vokal rendah dan kebetulan sewaktu merakamkan lagu tersebut, keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan.

“Namun, segalanya berjalan lancar dan saya merakamkan lagu tersebut dalam tempoh 20 minit sahaja,” cerita Siti tentang lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Abie Abdullah itu lagi.

Mengenai lagu Sekian Lama pula, Siti memberitahu kali pertama mendengarkannya, dia jatuh cinta dengan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Azlan Abu Hassan dan liriknya oleh Azalea itu.

“Azlan memberikan saya tiga buah lagu untuk dimuatkan dalam album HDH. Antara tiga buah lagu itu, Sekian Lama yang berjaya mencuri hati saya kerana melodi lagu itu sungguh indah dan romantik (ketawa kecil). Tambahan pula dengan liriknya yang cukup puitis, sudah cukup menjadikan Sekian Lama sebuah lagu yang membuai jiwa.

“Azlan memang cukup terkenal dengan kreativitinya dan lagu-lagunya juga pernah diiktiraf oleh AIM. Jadi, saya berasa bertuah kerana berpeluang menyanyikan lagu ciptaan Azlan,” jelasnya panjang lebar tentang lagu tersebut.

Selain dua buah lagu dendangan Siti itu, tiga lagu lain yang tercalon dalam kategori Lagu Terbaik adalah Itu Kamu (Estranged), Izinku Pergi (Kaer Azami) dan Mahakarya Cinta (Faizal Tahir).

Dalam pada itu, Siti menghadapi saingan sengit dari Atilia yang mempertaruhkan album Sangkar, Dayang Nurfaizah (Dayang 2007), Elyana (Jadi Diriku) dan Karen Kong (Mulakan) bagi merebut gelaran Persembahan Vokal Wanita Terbaik.

Menceritakan tentang peluangnya untuk merangkul kembali anugerah tersebut setelah tewas di tangan Jaclyn Victor tahun lalu, dengan sekuntum senyum, wanita berusia 29 tahun ini memberitahu, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak juri untuk menilai calon yang dirasakan terbaik untuk menerima gelaran itu.

“Malah, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang pada malam itu nanti. Kalah atau menang semuanya bergantung kepada juri. Apa yang penting adalah AIM merupakan anugerah yang cukup berprestij dalam mengiktiraf hasil kerja karyawan seni tempatan.

“Apa yang pasti, saya akan meneruskan perjuangan saya dalam bidang seni dan sentiasa akan melahirkan produk yang terbaik buat peminat saya yang tidak pernah henti menyokong,” ujarnya penuh optimis.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: