Jul
27
    
Posted (admin) in harian metro online, Career on July-27-2007

EPSB lamar Siti

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PASTINYA yang menjadi perhatian dalam teater My Name Is Remy (MNIR)-Perjalanan Hidup, Penciptaan dan Inspirasi adalah siapakah pelakon bakal menjayakan watak Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma?

Teater terbaru terbitan Enfiniti Production Sdn Bhd (EPSB), itu akan dipentaskan di Istana Budaya, dari 19 Oktober hingga 3 November ini, dilihat seperti kesuntukan waktu untuk mencari calon sesuai.

Justeru untuk pementasan ini, difahamkan Penerbit Eksekutif EPSB, Datin Sri Tiara Jacquelina seperti mahu menghimpunkan kalangan artis ternama di tanah air bagi melakonkan peranan utama itu.

Lalu tidaklah hairan nama-nama yang disebut termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Ning Bizura, Dayang Nur Camelia (Camelia) sementara Sean Ghazi yang berpengalaman bekerja dengan produksi ternama di Britain, West End, antara yang disebuat bakal melakonkan watak P.Ramlee dan Saloma.

Pengarah dan penulis skrip teater muzikal MNIR, Adlin Aman Ramli ketika ditemui mengakui EPSB ada menawarkan peluang kepada kalangan artis popular untuk menjayakan teater hebat itu.

“Pihak EPSB turut melamar Siti, dan dia hadir di hari terakhir sewaktu kami mengadakan bengkal pementasan teater muzikal. Melihat perkembangan itu dia nampak seperti berminat.

“Bagaimanapun kata putus belum lagi diperoleh daripada Siti mahupun artis yang lain kerana kontrak belum lagi ditandatangani,” katanya.

Bagaimanapun heboh diperkatakan watak Saloma bakal dipegang Siti atau Camelia, namun Adlin menyangkal dengan alasan pihak produksi belum menetapkan siapa memegang peranan penting itu.

“Sebagai penulis skrip dan pengarah saya belum lagi membuat sebarang keputusan kerana kalau hendak diikutkan kita belum lagi melihat kemampuan sebenar Siti memegang watak utama.

“Apatah lagi Siti tiada pengalaman dalam berlakon. Kalau ada pun kita nampak dia beraksi dalam klip video atau persembahan di Istana Budaya menjayakan konsertnya. Ia tidak boleh dijadikan penanda aras kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Dalam pada itu pihak produksi harus berkompromi dengan syarat yang ditetapkan Siti sebelum ini.

“Sebagai penulis skrip saya akan mewujudkan beberapa lagi watak yang dirasakan sesuai untuknya. Apapun saya memang mengharapkan Siti akan menerima sekali gus menjadi MNIR sebagai tapak permulaan untuknya menceburi bidang lakonan secara serius,” katanya.

Diminta penjelasannya sama ada kemungkinan besar watak Saloma diberikan kepada Camelia sementara watak Normah menjadi milik Ning, Adlin berkata buat masa sekarang pihak produksi belum lagi membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Banyak perkara yang harus diberi perhatian dan dinilai. Setakat ini beberapa pelakon disebutkan sudah pun datang untuk sesi pembacaan skrip. Dari situ kita akan lihat siapa yang sesuai memegang watak utama yang ada dalam MNIR,” katanya.

Selain Adlin, EPSB masih mengekalkan tenaga kerja yang pernah menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang seperti Pat Ibrahim (pereka tari), Dick Lee (komposer) dan Raja Malik (pereka set).

sumber: harian metro online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: