Apr
22
    
Posted (admin) in Family, mStar online on April-22-2008

22-04-2008 01:36:51 PM
oleh WAHIDA ASRANIDI antara 14 peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6), tidak dinafikan Saida atau nama sebenarnya Siti Norsaida Tarudin memang mendapat perhatian ramai ekoran statusnya sebagai kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Sejak awal lagi, ramai yang meletakkan expectation cukup tinggi terhadap peserta berusia 32 tahun ini dengan harapan bakat yang dimiliki oleh Saida juga mampu setaraf dengan adiknya.

Namun begitu, lima minggu berada di Akademi, prestasi yang ditunjukkan oleh ibu kepada empat orang anak ini agak menghampakan!

Sifat pemalu Saida berbeza dengan Siti (Foto Utusan)

Saban minggu, Saida bukan sahaja dilihat terlalu ‘pemalu’, tetapi dia juga gagal menyerlahkan bakat sebenarnya sehinggakan ramai yang mula membandingkan dirinya yang dikatakan tidak ’sehebat’ Siti.Malah, tidak kurang juga yang merasakan peserta berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini sebenarnya tidak melihat pertandingan tersebut secara serius.

Lantaran itu, apabila Saida diumumkan menjadi peserta seterusnya yang tersingkir Sabtu lalu, ia dianggap bukan satu keputusan yang memeranjatkan.

“Terus-terang saya katakan, sifat pemalu dalam diri saya memang kuat. Berbeza sekali dengan Siti, dia memang cukup berani. Itulah perbezaan antara saya dan dia.

“Memang adakalanya terasa hati juga bila dibandingkan seperti itu, tetapi saya sedar di mana kekurangan saya. Tidak bermaksud saya sebenarnya tidak serius untuk sertai AF6.

“Kalau diikutkan, memang saya minat menyanyi. Sejak sekolah lagi saya selalu sertai pertandingan nyanyian. Tetapi ketika sekolah keadaannya lain, manakala AF ini lebih besar pertandingannya.

“Saya sedar perasaan gementar adalah masalah utama saya di pentas. Saya sendiri tidak tahu nak buat macam mana sebab selalunya ketika latihan saya mampu buat dengan baik, tetapi bila berdepan dengan orang ramai kemudiannya, ‘badi pentas’ itu memang akan ada,” kata Saida yang ditemui pada satu sidang media, semalam.

Menurut Saida, tidak mungkin peluang yang diberikan kepadanya untuk menyertai AF6 diambil sambil lewa meskipun penyertaannya di dalam program ini sama sekali tidak dirancang olehnya.

Namun, peserta yang bertugas sebagai Pengurus Kewangan di syarikat milik adiknya sendiri, Siti Nurhaliza Productions ini tidak menolak salah satu faktor kurangnya keyakinan di dalam dirinya adalah berpunca kerana kurang persediaan.

“Penyertaan saya ini memang saya sendiri tidak jangka. Pada awalnya, saya hanya teman Saerah ketika sesi ujibakat. Atas desakan dia yang berkali-kali mengajak saya turut cuba nasib, saya akhirnya beranikan diri mencuba.

“Memang tidak sangka nasib menyebelahi saya. Susah juga untuk tidur lena selepas itu asyik fikirkan tentang perkara tersebut. Tak sangka pula suami saya beri keizinan untuk cuba dan dia sendiri mahukan saya lakukan yang terbaik di dalam AF.

“Saya hanya beritahu Siti sebaik saya sudah diterima masuk di dalam AF. Dia tahu saya

‘Apa yang disampaikan oleh pengkritik saya rasa memang kena’

memang seorang yang sangat pemalu tetapi dia sentiasa nasihatkan saya supaya kuatkan hati,” kata ibu kepada Siti Nurunnyssa, 11, Anas, 9, Khalid, 5 dan Siti Nurul Mashita, 2.Namun, tambah Saida, dia akui, perasaan malu itu sudah mula dikikisnya sedikit demi sedikit dan semakin berkeyakinan untuk berdepan dengan khalayak, semuanya kerana pembelajaran yang diperolehnya sepanjang berada di Akademi.

“Banyak perkara yang saya belajar ketika di dalam Akademi dan memang sedih sangat sebab tidak berpeluang tamatkan pelajaran dengan semua tenaga pengajar.

“Apa yang disampaikan oleh pengkritik juga saya rasa memang kena. Abang Adlin terutamanya saya lihat memang memberikan komen yang tepat untuk kami semua.

“Begitu juga dengan semua pelajar yang bagi saya secara peribadi cukup bertungkus-lumus. Mungkin di dalam kamera, mereka nampak macam main-main, tetapi sebenarnya tidak begitu.

“Biarpun tersingkir awal, at least saya tetap gembira kerana dapat berjumpa semula dengan keluarga dan selepas ini, saya harap dapat belajar lebih banyak daripada Siti pula kerana dia juga berpengalaman di dalam bidang ini,” kata wanita yang aktif bermain futsal ini.

Ditanya mengenai perancangannya kelak, kata Saida, dia tidak menolak andai kata dirinya ditawarkan untuk merakamkan album nanti.

“Apa yang penting, saya dah dapatkan keizinan suami. Jadi, jika ada tawaran, apa salahnya. Apapun, saya memang sudah bersiap sedia untuk menghadapi dunia hiburan ini.

“Insyallah, dengan apa yang pernah dilalui oleh Siti, sedikit sebanyak saya harap dapat belajar untuk memperlengkapkan lagi diri saya di dalam bidang ini,” jelas Saida yang enggan mengulas lanjut sama ada dia bakal menjadi artis di bawah naungan Siti Nurhaliza Productions.

sumber: mStar online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: