Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)
DIARI HATI menyaksikan persembahan berbeza daripada Siti Nurhaliza apabila konsert berkonsep akustik itu akan berkumandang di Esplanade Theater On The Bay, Singapura pada 21 Mac ini.
PENANTIAN peminat Singapura yang dahagakan sebuah konsert dari penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza akhirnya berakhir apabila biduanita muda negara itu akan beraksi di dalam sebuah konsert akustik yang berlangsung selama satu malam sahaja pada 21 Mac ini.
Lebih manis lagi, buat julung kalinya, Siti Nurhaliza diberi peluang untuk membuat konsert solo di pentas bertaraf dunia iaitu Esplanade Theater On The Bay yang terletak di tebing Sungai Singapura itu.
Berpeluang bertemu dengan Siti sewaktu sidang akhbar sempena Anugerah Bintang Popular 2007 (ABP2007) baru-baru ini, wanita jelita ini tidak menyembunyikan perasaan gembiranya untuk beraksi dalam konsert yang diberi nama Diari Hati di kota Singa itu.
“Ini merupakan konsert saya di Singapura selepas kali terakhir menghiburkan peminat di sana pada tahun 2005. Malah, ramai peminat saya di sana bertanyakan bila lagi saya akan beraksi di sana. Diari Hati bukan seperti konsert yang pernah saya lakukan dan menariknya konsert ini adalah ia merupakan sebuah konsert akustik.
“Sebenarnya, sudah lama pihak Esplanade menawarkan kepada saya untuk buat beraksi di sana tetapi memandangkan saya terikat dengan komitmen dan jadual yang begitu padat, terpaksa saya menolaknya.
“Saya berasakan ini sebagai satu penghormatan buat saya untuk beraksi di tempat yang cukup berprestij itu.
“Apa yang saya harapkan, semua peminat saya akan hadir menyaksikan konsert ini kerana persembahan saya kali ini cukup berbeza. Saya akan menyanyikan sebanyak 15 buah lagu penuh yang sesuai dari album lama sehinggalah ke album Hadiah Daripada Hati (HDH),” kata Siti yang kini mula popular dengan lagu Melawan Kesepian.
Diari Hati akan menampilkan barisan pemuzik handalan dari Malaysia yang akan diketuai oleh Aubrey Suwito dan sudah pasti lagu-lagu seperti Biarlah Rahsia, Mulanya Cinta, Ku Mahu, Cindai dan Kau Kekasihku akan berkumandang di bangunan yang bernilai S$600 juta (RM1.38 billion) itu.
Tambah Siti lagi, dia gembira kerana tiket-tiket yang bernilai dari S$60 hingga S$300 (RM138 hingga RM690) itu sudah terjual sebanyak 50 peratus dan kini sedang giat menjalani latihan di ibu negara.
Ditanya bilakah lagi peminat di negara sendiri akan dapat menikmati persembahannya dalam sebuah konsert berskala besar, kata Siti: “Saya belum memikirkan lagi tentang hal itu. Untuk membuat konsert bukan satu kerja yang mudah. Ia menuntut komitmen yang besar selain perlu menampilkan perubahan agar penonton tidak bosan dengan persem bahan kita. Insya-Allah, saya akan buat satu konsert bila sudah tiba masanya kelak. ”
Cerita perihal Saida
Umum sudah mengetahui kakak penyanyi berdagu lekuk ini iaitu Siti Norsaida Tarudin, 32, merupakan antara 25 orang calon awal pelajar AF6 yang diumumkan baru-baru ini.
“Sebenarnya, saya gembira bila dapat tahu Kak Saida terpilih. Saya tahu kemasukannya ke dalam AF6 bukanlah dirancang sebaliknya dia hanya menemani adik kami, Saerah. Mungkin sudah menjadi rezekinya, dia yang terpilih.
“Sebenarnya, dia seorang yang pemalu dan sewaktu di kampung dulu pun, saya yang akan jadi bidan terjun untuknya selepas dia mengalami pecah suara sewaktu pertandingan nyanyian. Jadi, selepas daripada itu, dia memang serik dan tidak mahu lagi menyertai mana-mana pertandingan.
“Sudah pasti saya dan keluarga akan memberikan sokongan kepadanya. Malah, anak-anaknya juga tahu dan faham dengan keadaan ibu mereka yang kini tiada di samping mereka kerana terlibat dengan AF6,” katanya yang bergilir mengambil alih tugas menjaga anak-anak Saida seramai empat orang itu.
Album tradisional akhir tahun
Kali terakhir pemenang Vokal Wanita Terbaik AIM selama lapan tahun berturut-turut ini merakamkan album tradisional adalah pada tahun 2002 menerusi album Sanggar Mustika.
Ramai yang terlalu merindui untuk mendengarkan suara lunak anak kelahiran Temerloh, Pahang ini mendendangkan lagu-lagu sedemikian yang begitu cocok dengan dirinya.
“Alhamdulillah, material untuk album tradisional terbaru ini semuanya sudah ada. Saya bersyukur kerana semuanya adalah daripada ciptaan komposer yang mencipta lagu untuk saya sewaktu Bengkel Cipta Ekspres yang dianjurkan Badan Perlindungan Hakcipta Malaysia (MACP) tempoh hari.
“Saya sudah pun mendengar kesemua 13 buah lagu dan akan memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dimuatkan kelak. Insya-Allah, album ini akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini. Malah, saya juga ada meminta lagu daripada Pak Ngah kerana tanpa lagu Pak Ngah, tidak lengkap rasanya album tradisional saya,” kata Siti sambil ketawa kecil.
Bukan itu sahaja, tambah penyanyi berusia 29 tahun ini, lagu ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara juga akan dimuatkan memandangkan lagu tersebut sudah lama disimpan.
Bercerita tentang album HDH yang memuatkan lagu hits Ku Mahu dan terkini, Melawan Kesepian, Siti berasa gembira kerana selepas empat bulan berada di pasaran, jualannya sudah mencecah 35,000 unit.
“Tetapi, apa yang saya ingin tegaskan di sini adalah HDH bukanlah album tangkap muat atau penerbitan yang dibuat sambil lewa seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Untuk pengetahuan semua, komposisi lagu dan susunan muzik telah dibuat lama terlebih dahulu. Kemudian, barulah saya masukkan vokal sebelum saya berangkat menunaikan haji.
“Saya faham mungkin ramai yang mahu melihat saya menerbitkan album sama seperti Transkripsi. Saya mahu mengambil pendekatan yang berbeza dan maka itu, lahirlah HDH.
“Sebagai penghibur dan penyanyi, saya mahu mencuba sesuatu yang baru untuk setiap album saya,” katanya yang akan menyampaikan lagu Ku Mahu di malam ABP2007 pada 30 Mac depan.
sumber: utusan malaysia online