Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
SUAMI penyanyi terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau popular dengan panggilan Datuk K, menafikan akan berpindah ke kediaman lama yang masih diduduki bekas isterinya, Tengku Zawiyah Tengku Izham.
Khalid berkata demikian mengulas artikel yang disiarkan Harian Metro menerusi ruangan Soseh-Soseh Jumaat lalu mengenai Siti dikatakan akan berpindah ke rumah yang diduduki bekas isteri Datuk K.
Katanya, apa yang ditulis dalam artikel bertajuk Siti pindah rumah bekas isteri Datuk K? Tidak benar dan bimbang akan menimbulkan salah faham kepada khalayak terutama peminat Siti.
“Saya kasihankan isteri saya kerana dia menjadi mangsa fitnah. Apa yang disiarkan itu menjadi bahan apabila diperkatakan di kebanyakan laman web.
“Ramai pihak membuat andaian dengan mengatakan kami kejam kerana menghalau bekas isteri daripada rumah itu. Sedangkan, perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya.
Menjelaskan keadaan sebenar kata Khalid, rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang itu kini sudah tidak ramai penghuni.
“Bayangkanlah anak sulung, Muhammad Anas Zawawi yang kini melanjutkan pelajaran ke luar negara dan anak kedua, Muhamad Adib kini duduk berdekatan dengan kolejnya. Kini tinggal bekas isteri dan dua lagi anak saya, Mohd Asyraf dan Muhammad Aazief di rumah itu.
“Sebenarnya anak sulung saya mencadangkan agar ibu mereka tinggal di rumah yang lebih sederhana tetapi cukup selesa.
“Sebagai ayah, saya hanya mengikut apa saja kehendak mereka. Tetapi, apabila ada yang kata saya menghalau mereka semata-mata mahu isteri tinggal di situ, secara tidak langsung memberikan implikasi buruk.
“Tambahan pula saya sedang membina rumah di atas sebidang tanah untuk isteri saya. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk tinggal di sana sehingga anak saya memberi cadangan mengenai perkara itu,” katanya.
Menurut Khalid, begitupun Siti sejak awal lagi memberitahu tidak mahu tinggal di rumah di Bukit Antarabangsa itu kerana selesa dengan kediaman sekarang.
“Saya mahupun Siti bersyukur dengan apa yang kami ada. Hendak diikutkan, rumah yang kami diami sekarang ini cukup selesa. Kami pun tidak mempunyai cahaya mata. Buat apalah kami hendak duduk di rumah besar begitu,” katanya.
sumber: harian metro