Mar
11
    
Posted (admin) in Family, utusan malaysia online on March-11-2008

KUALA LUMPUR 10 Mac - Siti Norsaida Tarudin, 32, yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpilih antara 25 orang calon pelajar Akademi Fantasia 6 (AF6) yang akan mula siarannya 17 Mac ini.

Bukan itu sahaja, percubaan seorang ibu tunggal dan nenek kepada dua orang cucu, Hairina Abd. Halim, 44, juga membuahkan hasil apabila turut terpilih dan dikatakan bakal memberi saingan hebat untuk musim ini.

Penyertaan Hairina atau Rina yang mempunyai pengalaman 25 tahun menyanyi di kelab malam itu membuktikan langkah Astro membenarkan had umur 45 tahun untuk menyertai program realiti TV itu dipandang positif.

Pengumuman kesemua calon pelajar tersebut dilakukan di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Pada majlis yang sama juga, Astro turut mengumumkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan penyanyi terkenal, Ning Baizura sebagai pengkritik tetap yang akan menilai persembahan para peserta pada konsert mingguan yang akan bermula 22 Mac depan.

Namun begitu, kesemua 25 calon pelajar itu akan disaring selama tiga hari bermula esok oleh pengetuanya, Ramli MS dan barisan tenaga pengajar yang lain dalam memilih pelajar yang terbaik.

“Saringan tersebut merangkumi penyertaan calon-calon berkenaan dalam sesi orientasi dan kelas-kelas tertentu sepanjang tiga hari tersebut di satu tempat yang dirahsiakan.

“Di peringkat ini jugalah, Ramli MS dan jenteranya akan menilai peserta yang memang layak dan terbaik sebelum diserapkan menjadi pelajar AF6,” jelas Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Amirullah.

Tambahnya, penonton dan peminat AF akan dapat mengetahui senarai akhir yang akan diumumkan oleh pengacara, Sarimah Ibrahim menerusi Tirai Akademi Fantasia Episod 3 yang akan disiarkan 16 Mac ini di saluran Astro Ria bermula pukul 8.30 malam.

Zainir turut memberitahu penyertaan bagi AF6 merupakan antara yang tertinggi berbanding lima musim lalu apabila pihaknya menerima lebih daripada 6,000 penyertaan di lima buah lokasi sesi uji bakat.

AF6 akan dimulakan dengan Diari Akademi Fantasia yang bermula pada 17 Mac depan manakala konsert mingguan yang akan dihoskan oleh AC Mizal pula akan diadakan setiap malam Sabtu bermula 22 Mac ini.

source: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: