Mar
04
    
Posted (admin) in Kosmo, Career on March-4-2008

Oleh FAIZAL SAHARUNI

MENGALUNKAN lagu Destinasi Cinta sebagai pembuka acara.

HAMPIR 13 tahun lalu, dia menjuarai pertandingan Bintang HMI 1995, kini di pentas sama, Datuk Siti Nurhaliza muncul sekali lagi menjayakan Zoom In di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur hujung minggu lepas.

Tiada lagi gaya kampung persis awal penglibatannya dalam dunia seni, sebaliknya kehadiran Siti dengan penampilan baru begitu dinanti si pemujanya yang terdiri daripada pelbagai kalangan umur dan masyarakat.

Istilah Siti menghadapi zaman kejatuhan apabila dia mengambil keputusan mengenakan tudung setelah pulang menunaikan ibadah Haji dua bulan lalu, ternyata meleset.

Dan tiada stigma atau skeptikal peminat yang rata-ratanya begitu menyokong niat murni anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu untuk menutup aurat.

Berbalik pada Zoom In Bersama Siti Nurhaliza, seawal pukul 7.30 malam orang ramai mula membanjiri perkarangan auditorium walaupun program itu hanya bermula pada pukul 9 malam.

Begitulah kehebatan Siti. Dia begitu digilai sepenuh jiwa walau apa juga cubaan dan rintangan mendatang pada dirinya.

Kelihatan hebat serta bergaya dengan rona hitam dan putih, Siti menyampaikan lagu Destinasi Cinta pada awal persembahan sambil diiringi penari latar.

“Saya rasa gembira kerana sudah lama tidak muncul dalam rancangan Zoom In.

“Kali terakhir saya muncul di pentas ini sewaktu mengadakan Konsert Fenomena sebelum saya mendirikan rumahtangga.

“Inilah kali pertama saya nyanyi di sini setelah berkahwin,” ujar Siti sambil disahut sorakan audiens.

Lebih sedekad menjalani kehidupan sebagai anak seni, Siti semakin bijak berinteraksi dan berceloteh dengan khalayak.

Dan tiada lagi riak malu-malu daripada insan bernama Siti yang sudah berkeyakinan tinggi untuk berbual dengan peminatnya.

“Destinasi telah bermula dari tempatnya dan RTM menjadi destinasinya, jadi kita mula dengan lagu Mulanya Cinta.

“Masih ingat lakonan saya sebagai Azizah dalam Teater Muzikal P. Ramlee?” soal Siti kepada penonton sambil menguntum senyuman manis dan memikat kalbu.

LOUISA CHONG dan Shamsul Ghau Ghau memeriahkan lagi persembahan Siti kali ini.

Siti pantas mengakui, melibatkan diri dalam teater itu memberi pengalaman cukup manis sepanjang hidupnya.

“Saya tidak pernah berlakon, tiba-tiba saya terjun ke bidang teater.

“Kenangan itu masih segar dalam ingatan. Setiap kali nyanyi lagu Mulanya Cinta, saya akan teringat babak dengan P. Ramlee.

“Saya percaya anda dapat rasakan dengan indah terhadap lagu yang akan saya nyanyikan ini.

“Keindahan itu memperlihatkan kasih-sayang yang wujud antara saya dan peminat,” tutur Siti lembut.

Tidak ketinggalan, Siti menyampaikan lagu Biarlah Rahsia yang memberi banyak kenangan sewaktu zaman daranya sebelum menjadi isteri lelaki yang disayanginya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

KUMPULAN Coda menjadi artis jemputan Siti.

Sambil mengimbas kembali kotak fikirannya, Siti menjelaskan, adakalanya manusia lebih suka mengambil langkah berahsia terhadap sesuatu perkara.

“Kalau boleh biarlah benda itu menjadi rahsia. Ada sebab tertentu kita merahsiakan sesuatu hal.

“Ia bukan hanya melibatkan soal cinta,” tingkah Siti lebih lanjut tentang ‘rahsia’ yang mencakupi pelbagai aspek dan perkara.

Zoom In Siti turut dimeriahkan dengan sketsa dari pelawak Shamsul Ghau Ghau dan Louisa Chong yang menggeletek hati khalayak dengan telatah dan humor mereka.

Dalam pada itu, Siti sempat mempamerkan kebolehannya menari jaipong sewaktu mendendangkan lagu Es Lilin.

“Lagu ini diselitkan dalam album tradisional Siti sebelum ini. Ia dari seberang dan Siti memang suka liriknya,” jawab Siti ringkas.

Sementara itu, kumpulan Coda yang menjadi artis naungan pertama Siti Nurhaliza Productions (SNP) turut menghangatkan suasana dengan menyampaikan lagu Menanti Sebuah Jawaban dan Buai.

Dan kalau penyanyi nombor satu negara bergabung dengan pengacara nombor satu negara di pentas sama sudah semestinya menjadi ‘panas’.

Siti dan Aznil Nawawi berduet menyanyikan lagu Horey-Horey bagi memberi penghargaan kepada Allahyarham Sudirman Arshad.

APABILA Aznil dan Siti berduet. Lagu popular Sudirman, Horey-Horey mengabungkan vokal Siti dan Aznil.

Selain itu, antara lagu yang disampaikan Siti pada malam itu ialah Love You Inside And Out, Tunggu Sekejap, Sejakku Bertemu Padamu, Cintamu dan Melawan Kesepian.

Lagu Ku Mahu yang menjadi lagu tema drama bersiri terkenal, Spa Q menjadi hidangan terakhir dari Siti buat peminat.

Apa yang pasti, hadiah Zoom In daripada Siti menjadi kenangan terindah yang akan dikenang peminatnya terutama kelompok peminat fanatik Siti yang dikenali sebagai SitiZone.

Persembahan kali ini meneruskan kesinambungan kehebatan seorang yang bernama Siti Nurhaliza. Walau apa pun yang diperkatakan mengenainya, Siti tetap berada di liga tersendiri dan terus kekal sebagai penyanyi nombor satu Malaysia yang tiada gantinya.

sumber: Kosmo


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: