![]() |
Selain memberi perhatian pada aspek persembahan sempena program Zoom In, Siti Nurhaliza juga tidak ketinggalan memastikan personalitinya dipelihara dengan mengenakan fesyen yang cantik pada pandangan masyarakat. |
SENIWATI muda berjiwa besar ini tidak pernah menghampakan peminat-peminatnya setiap kali muncul mengadakan persembahan. Sudah hampir 12 tahun dia menyanyi dan kualiti persembahannya tidak pernah sama sekali menghampakan.
Berilah apa saja lagu padanya, semuanya akan menjadi di tangan Datuk Siti Nurhaliza.
Justeru, apabila penghibur yang juga anak jati Pahang ini bersetuju untuk mengadakan persembahan sempena Zoom In @ RTM Bersama Siti Nurhaliza terbitan RTM malam kelmarin, ramai yang memilih untuk menontonnya.
Sesetengah peminat setia Siti di Lembah Kelang memilih untuk menontonnya di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Dan sudah lebih sejuta penonton atau mungkin lebih akan setia melekat di depan televisyen menonton program yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 itu.
Kalau sudah namanya artis senior dengan beratus trofi pengiktirafan sudah berada dalam genggamannya, tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai persembahan Siti.
Sememangnya Siti memang cukup bertuah dan beruntung kerana mempunyai kelompok peminat yang cukup menyayangi dan sentiasa menyokongnya meskipun dia sudah berumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K pada 21 Ogos 2006.
Dari zaman anak dara sehinggalah menjadi seorang isteri, setiap kali Siti mengadakan persembahan di pentas keramat yang menjulang namanya pada tahun 1995 itu, sambutan yang diberikan sememangnya cukup luar biasa dan di luar dugaan.
Itulah pesona dan aura Siti yang masih belum pudar meskipun ada yang mendakwa popularitinya semakin hilang sejak bergelar isteri dan juga selepas pulang dari menunaikan haji Disember lalu.
Zoom In @ RTM Bersama Siti Nurhaliza terbitan Mohd. Yusni Mohamed Ali merupakan persembahan pertama Siti sejak mendirikan rumah tangga dan pastinya, persembahannya itu dinantikan oleh peminat setianya yang sudah lama dahagakan suara lunaknya itu.
“Akhirnya saya dapat juga membuat persembahan di RTM selepas dua tahun menyepi dari sebarang persembahan seperti ini. Kali terakhir saya muncul ialah sebelum berkahwin dulu juga untuk rancangan Zoom In dan Konsert Fenomena.
“Terima kasih kepada RTM atas undangan ini dan untuk semua peminat saya yang sanggup hadir pada malam ini,” jelasnya yang semakin jelita.
Memulakan persembahan dengan lagu Destinasi Cinta yang diangkat dari album terbaiknya, Transkripsi, Siti bersama penari latarnya mempamerkan persembahan yang cukup menarik.
Memori
Tiada apa yang perlu dipertikaikan mengenai vokal anak kelahiran Temerloh, Pahang ini kerana dia bisa memukau hadirin dengan keunggulan vokalnya waima dalam apa jua rentak sekali pun.
Tampil dengan busana berona hitam dan putih serta imej bertopi, Siti jelas memperlihatkan kematangannya dalam pemilihan pemakaiannya.
Meskipun sudah bergelar hajah, itu bukan penghalang bagi Siti untuk menampilkan imej yang sesuai dengan dirinya.
Mahu terus peminat dan hadirin terus dibuai dengan lagu cinta, pemenang Vokal Wanita Terbaik AIM selama lapan tahun berturut-turut ini meneruskan persembahannya dengan lagu Mulanya Cinta yang dimuatkan dalam album terbarunya, Hadiah Daripada Hati (HDH).
“Bila menyanyikan lagu ini, saya teringat kembali memori dan kenangan manis sewaktu saya berlakon dalam teater muzikal P. Ramlee terutama sekali sewaktu babak bersama Ramlee,” katanya mengimbau kenangan manis yang dilakar di pentas Istana Budaya.
Sebelum menyampaikan lagu Biarlah Rahsia, Siti seolah-olah membuka rahsia percintaannya apabila dia memberitahu: “Ada sebab-sebab mengapa kadang kala kita perlu berahsia. Bukan apa, takut antara jadi atau tidak sahaja.”
Apabila ada peminat yang mengusiknya sambil mengaitkan dengan kisah cintanya, Siti berseloroh dengan mengatakan: “Alamak, saya pula yang terkena balik.”
Bertukar pula kepada busana merah hati yang menyerlahkan lagi keanggunannya, Siti menyampaikan lagu klasik tahun 1979 dendangan kumpulan Bee Gees, Love You Inside Out.
Mungkin lagu ini ada kaitannya dengan Siti bersama suami tercinta dan ia bagaikan lagu wajib yang disampaikan Siti dalam setiap persembahannya.
Siti seterusnya menyampaikan lagu medley Tunggu Sekejap dan Sejakku Bertemu Padamu bersama empat peminat bertuahnya dan sudah pasti peminatnya itu menjadikan malam tersebut sebagai kenangan manis yang tidak akan dilupakan.
Mengimbau nostalgia, Siti menyampaikan lagu popular dari seberang, Es Lilin yang pernah dimuatkan dalam album tradisional pertamanya, Cindai pada tahun 1997.
“Salah sebuah lagu yang memang cukup saya suka kerana keunikan melodi dan liriknya. Bukan itu sahaja, ia juga membuatkan saya terkenang sewaktu masuk studio merakamkan lagu ini dahulu,” kata Siti memberikan persembahan menarik menerusi lagu tersebut yang digubah oleh pengarah muzik pada malam itu, Helen Yap.
Bukan itu sahaja, Siti turut sempat memperkenalkan artis pertama di bawah syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. yang terdiri daripada lima orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Coda dan menyampaikan dua buah lagu iaitu Menanti Sebuah Jawaban dan Buai.
Masih lagi mempromosikan lagu dari album HDH, Siti seterusnya menyampaikan lagu Cintamu ciptaan Sharon Paul manakala liriknya pula oleh Ahmad Fedtri Yahya sebelum pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi naik ke pentas bersama Siti.
“Inilah pertama kali orang menjemput saya menyanyi dan saya sememangnya mempunyai ramai idola sepanjang saya menjadi anak seni,” kata Aznil.
Lalu, Aznil pun menyanyikan lagu Dua Insan Bercinta sebagaimana gaya Ella menyampaikan lagu tersebut. Dan, gaya Aznil itu telah mengundang hilai tawa di dalam dewan dengan diiringi tepukan gemuruh penonton.
“Ada lagi seorang yang menjadi idola kita berdua,” kata Aznil.
Lalu Siti dengan wajah selamba menamakan seorang personaliti tanah air yang mengundang derai ketawa dan pekikan penonton yang benar-benar terhibur dengan gandingan Siti dan Aznil tempoh hari.
Cocok
Dalam waktu yang sangat singkat, Aznil berjaya memperlihatkan betapa dia masih berpengaruh dan tidak mustahil untuk pengacara nombor satu itu mengekalkan trofi Pengacara Paling Popular bagi Anugerah Bintang Popular yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Menyampaikan lagu Hore Hore yang pernah dipopularkan oleh idola mereka berdua, Sudirman Haji Arshad, gandingan Siti dan Aznil dilihat begitu cocok sekali dalam menyampaikan lagu-lagu bercorak sedemikian.
Aznil yang sememangnya terkenal dengan aksi spontan dan lucunya turut meniru gaya artis-artis yang pernah menyertai pertandingan nyanyian RTM seperti Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Sarah Raisuddin dan Azharina Azhar sewaktu menyampaikan petikan lagu Aku Cinta Padamu sebelum meneruskan persembahannya dengan lagu Profesor Klon.
Menyampaikan lagu Melawan Kesepian ciptaan sepenuhnya komposer dari seberang, Pongky Barata, vokal Siti cukup mempesonakan dan menusuk kalbu. Sememangnya vokal emas Siti masih lagi ampuh dan berada di kelasnya yang tersendiri.
Mengakhiri persembahan dengan lagu Ku Mahu, Siti membuktikan bahawa dia masih lagi diperlukan oleh industri hiburan kerana dia sudah menjadi salah seorang legenda seni suara yang tiada tandingan.
Zoom In @ RTM Bersama Siti Nurhaliza tempoh hari sudah tentu mengubat rindu peminat-peminat setia Siti yang sudah lama menanti kemunculannya di stesen televisyen paling keramat di negara ini.
sumber: utusan malaysia online