Written by Siti Nurhaliza | |
Wednesday, 06 February 2008 | |
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Moga sentiasa ceria dan diberkati Allah perjalanan hidup sehari-hari kita.
Siti juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada peminat Siti yang berbangsa Cina dan hendaknya anda semua gembira bersama keluarga tersayang. Siti ingin melahirkan rasa gembira dan terharu dengan komen-komen anda mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini dan ia melambangkan kesungguhan kita semua kerana tidak mudah mahu melakukan yang terbaik serta memuaskan hati semua pihak. Justeru Siti sejak awal berjanji untuk memberikan yang terbaik semampu Siti dan Alhamdulillah Siti menerima maklumbalas yang baik daripada media dan juga peminat. Bagi Siti bukan anugerah yang dikejar tapi bagaimana kita mahu mempersembahkan tanggungjawab yang diberi sebaik mungkin. Mungkin bukan rezeki Siti tahun ini tetapi Siti yakin setiap seorang daripada anda juga dapat menerima keputusan AJL dengan hati yang terbuka. Sekarang ini Siti baca mesej anda semua sedang berusaha keras untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Siti tahu tanggungjawab anda sebagai peminat dan Siti hanya doakan yang terbaik sahaja. Siti terharu dengan sokongan anda dan usaha yang anda buat ini pasti mengkagumkan Siti walaupun akhirnya nanti kita akur bahawa rezeki itu adalah ketentuanNya. Tidak salah berusaha kerana kita akan berasa puas jika kita telah memberikan sebaik mungkin dan sedaya upaya kita. Gelaran popular dan sebagainya mungkin pernah Siti raih selama ini tetapi apa yang penting Siti mahu terus memberi bakti yang terbaik dalam industri walaupun status Siti sekarang sudah berubaha. Perjalanan seni Siti harus diatur dengan baik dan InsyaAllah Siti akan tetap berusaha ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa. Pertengahan bulan ini Siti akan ke Jakarta, Indonesia untuk promosi album Hadiah Daripada Hati. Tentunya jadual 3 hari Siti di sana akan padat dengan pelbagai acara yang diatur oleh pihak Universal Indonesia. Siti gembira kerana album Siti sudah menemui peminat di Indonesia, harapan Siti agar peminat di sana dapat menerima album ini. Siti juga ada berita gembira buat peminat Siti di Singapura Mac ini tapi belum mahu mengumumkannya kerana masih dalam perbincangan. Bila sudah jadi kenyataan nanti Siti akan khabarkan kepada anda. InsyaAllah. Sekian dahulu coretan kali ini, terima kasih atas sokongan selama ini. Jumpa lagi. source: sitizone.com |