Jul
18
    
Posted (admin) in harian metro online, Gossip, Personal Siti on July-18-2007

Datuk K mahu saman

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


‘Kami bahagia’PETALING JAYA: “Fitnah seperti itu tak boleh dibiarkan kerana sudah banyak kali melanda rumah tangga kami,” kata Datuk Khalid Mohd Jiwa, suami kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Berikutan itu, katanya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang bertanggungjawab menulis dan menyebar fitnah kononnya dia memukul Siti hingga cedera parah dan terlantar di hospital.Menurut Khalid, sejak berkahwin hampir setahun lalu, dia dan Siti hidup bahagia tetapi orang luar yang suka menabur pelbagai fitnah hingga menggugat kerukunan rumah tangga mereka.

“Pada mulanya saya ingin mendiamkan saja perkara itu tapi selepas difikirkan semula, saya perlu mengambil tindakan supaya ia tidak berulang.

“Pada malam tersebarnya SMS itu (13 Julai lalu), saya dan Siti menghadiri majlis perkahwinan setiausaha politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Hadir sama, Pak Lah, Datuk Seri Najib Razak dan ramai kenamaan lain.

“Kami terkejut apabila kakak ipar Siti, Rozie Razak beritahu mengenai SMS kononnya saya memukul Siti hingga cedera parah,” katanya ketika ditemui di Wisma Ali Bawal di sini, semalam.

Katanya, dia tidak mengetahui bagaimana fitnah itu boleh timbul dan tersebar dengan meluas.

Apabila tersiar dalam sebuah akhbar tabloid, kata Khalid, keluarga mereka menghubungi untuk mengetahui perkara sebenar.

“Bapa mentua saya paling marah mendengar cerita itu dan dia meminta saya menyiasat segera siapa dalang di sebalik penyebaran fitnah itu.

“Saya akan berusaha mencari siapa yang terbabit tapi sebelum mengambil sebarang tindakan, saya akan melihat dulu latar belakangnya sama ada dia kurang waras atau terencat akal,” katanya yang menganggap masalah terbaru itu perlu mendapat penjelasan sewajarnya.

Bagi Khalid, jika terus berdiam diri atau menafikannya, mungkin ada yang menyatakan dia cuba melindungi sesuatu.

“Ini bukan pertama kali orang cuba menabur fitnah terhadap rumah tangga kami tapi sudah banyak kali pihak tidak bertanggungjawab berusaha menjatuhkan maruah saya. Termasuklah pelbagai cerita yang disebarkan menerusi Internet.

“Oleh itu, saya berharap tak berlaku lagi. Saya juga minta akhbar melaporkan berita yang sahih. Sungguhpun begitu, kami tidak akan mengambil tindakan terhadap akhbar yang menyiarkan berita itu,” katanya.

Selepas berita itu tersebar, jelas Khalid, dia dan Siti pergi bercuti ke Bali untuk membuktikan kejadian itu tidak berlaku.

Sementara itu, Siti yang banyak kali ditabur fitnah, termasuk sewaktu bujang dulu, berkata dia terkejut mendengar cerita kononnya dia dipukul Khalid.

“Bagaimanapun, saya sudah lali dengan cerita seperti itu tapi apabila sudah berumah tangga ia membabitkan maruah suami dan keluarga kami berdua.

“Apa juga berita yang tersebar saya boleh terima tapi macam mana dengan keluarga dan adik-beradik saya. Bapa saya sangat marah dan kecewa apabila membacanya dalam akhbar.

“Jika sebelum ini saya hanya mendiamkan diri, kali ini saya perlu tampil menjelaskan perkara sebenar supaya masyarakat tidak memandang negatif terhadap suami saya.

“Rumah tangga kami tiada masalah tapi orang luar yang memberi masalah kepada kami. Situasi saya dulu dengan sekarang berbeza kerana saya sudah berkahwin dan banyak hati perlu dijaga terutama suami,” katanya.

Mengukuhkan kenyataan Siti, kata Khalid, sejak mereka menjadi suami isteri, baik dia mahupun Siti boleh menerima diri masing-masing seadanya.

“Kami saling memahami. Siti boleh menerima kesibukan saya dan saya juga memahami tugasnya sebagai artis. Mungkin ini kerja mereka yang tidak cukup akal. Kalau orang itu waras, dia tidak akan buat kerja macam ini,” katanya.

sumber: harian metro online



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: