Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SELAMA hampir 12 tahun menjadi anak seni, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mungkin telah mengecapi kejayaan yang diidamkannya.
Malah, dia juga pernah berkata, adalah menjadi satu kelengkapan dalam perjalanan seninya jika dia melahirkan sebuah album Inggeris bagi peminat setianya yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepadanya.
Kepada peminat setia Siti Nurhaliza, ini merupakan satu berita baik buat anda kerana kini, penyanyi jelita itu sedang merangka perancangan untuk melahirkan sebuah album Inggeris yang bakal mendapat sentuhan komposer tempatan dan juga luar negara.
Ini diakui sendiri oleh suami tercintanya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mahu melihat isterinya itu mengorak setapak lagi langkah dalam kariernya untuk menembusi peringkat antarabangsa.
“Kami masih dalam perancangan untuk menerbitkan album Inggeris pertama Siti. Saya juga sedang cuba menghubungi beberapa pihak yang boleh merealisasikan impian Siti ini. Kami juga tidak mahu terlalu terburu-buru namun saya akan usahakan demi yang terbaik untuk Siti,” jelas Khalid.
Khalid dan Siti Nurhaliza ditemui pada majlis sambutan hari lahir ke-29 penyanyi itu yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, malam Khamis lalu.
Tambahnya, dengan lahirnya album itu kelak, setidak-tidaknya ia mampu untuk membawa Siti ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Bagi diri Siti sendiri, dia juga begitu teruja dengan perancangan album tersebut kerana selain mahu melengkapkan portfolio seninya, ia juga sebagai memenuhi permintaan peminatnya yang sering bertanyakan kelahiran album Inggerisnya.
“Sudah pasti, sebelum merakamkan album itu, saya akan membuat persediaan rapi terlebih dahulu dan meminta bantuan dari mereka yang arif untuk memastikan album ini berjalan dengan lancar,” jelas penyanyi yang kini semakin popular dengan lagu Melawan Kesepian itu.
Penghijrahan Siti
Ramai yang sudah mengetahui perubahan yang berlaku ke atas penyanyi nombor satu negara itu sebaik sahaja pulang dari menunaikan haji pada 27 Disember lalu.
Sudah pun namanya Siti Nurhaliza, pasti dirinya tidak terlepas dengan kritikan dan kata-kata yang tidak menyenangkan tentang penampilan terbarunya itu.
“Saya tahu mungkin ramai yang mahu saya menunaikan janji saya dahulu iaitu akan bertudung selepas berkahwin. Saya masih pegang pada janji. Namun, setelah saya berkahwin, barulah saya sedar bukan mudah untuk melakukan sesuatu perkara itu secara mendadak.
“Biarlah saya berhijrah secara perlahan-lahan dengan bermula imej sebegini. Lagipun, suami saya memberikan sokongan padu buat saya. Lebih baik saya dengan cara begini dahulu daripada memakai tudung atas desakan orang tanpa lahir keikhlasan daripada hati. Satu hari nanti, saya akan tetap bertudung,” jelasnya yang semakin berseri dan jelita.
Saat diajukan soalan kepada suaminya, Khalid hanya memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penampilan terbaru isterinya itu.
“Saya juga menerima maklum balas dari rakan-rakan saya sendiri. Ada yang setuju dan ada juga yang mengatakan Siti masih muda untuk berpakaian demikian. Saya tidak kisah asalkan niat dan keikhlasan hatinya. Itu yang paling penting,” katanya sambil memandang isteri tercintanya.
Reda dengan keputusan AJL
Penyanyi yang baru sahaja melahirkan album solonya yang ke-12, Hadiah Daripada Hati itu kini giat menjalani latihan dan memikirkan corak persembahan untuk lagu Destinasi Cinta yang akan dipersembahkannya pada malam Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) pada 27 Januari nanti.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk malam itu nanti. Segala keputusan yang akan diumumkan pada malam itu nanti, saya terima dengan reda kerana percaya dengan rezeki Allah. Saya tidak kisah seandainya saya pulang dengan tangan kosong kelak,” katanya.
Untuk kategori Pop Rock, Destinasi Cinta akan bersaing hebat dengan lima buah lagu lain iaitu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dendangan Jinbara, Itu Kamu (Estranged), Janjiku (Sofaz), Angan dan Sedar (Mawi) serta Sembunyi (Misha Omar dan Andy).
Siti turut menjelaskan, Destinasi Cinta mempunyai keunikan tersendiri dan ia juga merupakan antara lagu berentak rancak kegemarannya sepanjang menjadi anak seni.
“Bagi saya, meskipun Destinasi Cinta adalah catchy tetapi ia bukanlah lagu yang mudah dibawa. Ia begitu mencabar vokal saya kerana lagu tersebut mempunyai momentum dari nada rendah sehingga ke tahap tinggi,” ujarnya.
sumber: utusan malaysia online