Jan
09
    
Posted (admin) in Datuk K, harian metro online, Career on January-9-2008

KEMUNCULAN kali pertama Datin Seri Siti Nurhaliza selepas pulang dari menunaikan haji di Makkah pastinya dinanti-nantikan peminat untuk melihat perubahannya selepas bergelar hajah.

Apakah penyanyi yang terkenal dengan lagu Biarlah Rahsia itu kini bertudung? Lebih-lebih lagi ketika pelancaran album terbarunya, Hadiah Daripada Hati beberapa hari sebelum pemergiannya ke Tanah Suci pada 13 Disember lalu, mengenakan skaf menutupi sebahagian rambutnya.

Penampilannya itu, secara tidak langsung menguatkan lagi khabar angin kononnya Siti mahu memakai tudung selepas pulang dari Makkah.

Namun harapan peminat dan wakil media untuk melihat penampilan terbaru Siti tidak kesampaian ketika majlis sidang media dan showcase Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) di Jusco 1 Utama, Bandar Utama Damansara, Sabtu lalu.

Penyanyi tersohor itu dijangka hadir kerana turut berentap dalam kategori pop rock menerusi lagu Destinasi Cinta tetapi tidak tampil pada hari itu, hanya menyaksikan fi nalis lain, Ramlah Ram, Aishah, Nora, Fazli Zainal, Faizal Tahir, Sahri dan Andy Flop Poppy.

Siti dikatakan tidak hadir kerana mahu buat kejutan pada hari kemuncak AJL22 pada 27 Januari nanti dan hanya diwakili kakak iparnya, Rozie Abdul Razak petang itu.

Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan, berkata dia hanya dimaklumkan Siti sedang berehat dan tidak pasti apakah benar dakwaan kononnya Siti tidak menghadiri majlis itu kerana mahu membuat kejutan berhubung penampilan terbarunya pada 27 Januari nanti.

“Memang benar Siti sudah pulang dari Makkah tetapi saya hanya dimaklumkan Siti tidak dapat hadir kerana dia mempunyai hal lain selain sedang berehat. Maklumlah Siti baru pulang dari menunaikan haji. Barangkali beliau masih kepenatan.

“Jika ditanya soal persiapannya untuk menghadapi AJL-22, mungkin kami sudah mendapat sedikit gambaran mengenai persembahannya. Tapi kalau penampilan beliau, kami sendiri ternanti-nanti apakah perubahan yang dialaminya, adakah beliau sekarang sudah bertudung,” katanya.

Mengenai kegagalan penyanyi asal lagu Izinku Pergi, Kaer yang disahkan tidak akan bertanding di peringkat akhir nanti dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada rakan seperjuangannya, Shari, Azhar berkata, penyanyi itu masih berada di Jakarta melanjutkan pelajarannya.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Kaer melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Jakarta dan begitu sibuk dengan pengajiannya. Sebab itulah pada peringkat separuh akhir lalu, dia meminta rakan baiknya, Sahri menggantikan tempatnya.

“Kebetulan pihak pengurusan Kaer, pencipta lagu itu, Azlan Abu Hassan dan TV3 sudah mempersetujui jika lagu itu layak ke fi nal, tanggungjawab itu tetap akan dilaksanakan Sahri,” katanya.

AJL22 kali ini membawakan tema unik ‘Music Magic’ sebagai satu kelainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Acara berprestij itu akan dilangsungkan di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Januari, jam 8.30 malam.

Lebih istimewa, penonton boleh menyaksikan detik-detik terakhir persiapan AJL22 selain melihat aksi selebriti popular dengan gaya dan busana mewah di ‘hamparan permaidani merah’ melalui rancangan khas ‘AJL X-klusif’ jam 7.30 malam.

“Tema ‘Music Magic’, saya kira amat bertepatan kerana muzik mampu mempengaruhi kehidupan kita. Bahkan muzik yang dihasilkan datangnya dari sebuah imaginasi dan khayalan penggubah lagu lalu diterjemahkan ke dalam bentuk lagu,” kata Azhar.

Tidak hanya tema yang meriah, AJL22 juga menggandingkan empat pengacara berbakat besar iaitu dua pengacara program Muzik Muzik, Cheryl Samad dan Faizal Ismail serta Ally Iskandar dan Fara Fauzana.

Pun begitu, ada yang menyifatkan pembabitan pengacara yang terlalu ramai memungkinkan tumpuan program yang pada asalnya ringkas dan padat menjadi meleret-leret sekali gus mengundang lebih banyak kesilapan.

Bagi Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawanteh, gandingan ramai pengacara bukanlah kali pertama dilakukan kerana ia dilakukan pihaknya dalam pelbagai program besar sebelum ini tanpa sebarang masalah.

“Mereka yang terbabit dengan AJL22 semuanya berpengalaman dan berbakat maka kami yakin mereka mampu melaksanakan tugas ini dengan baik.

Yang penting, kami mahukan suasana yang lebih meriah.

“Pihak penerbitan juga semestinya memainkan peranan mereka untuk membahagikan tugas pengacara sebalik mungkin sepanjang siaran langsung yang mengambil masa dua setengah jam itu,” katanya.

Majlis petang itu turut diserikan dengan persembahan daripada fi nalis AJL22, Fazli Zainal dengan lagu Harapan, Jinbara (Farhana Bumi Kenyalang), Sofaz (Janjiku), Faizal Tahir (Mahakarya Cinta) dan Nora (Samudera). Turut diadakan acara cabutan nombor giliran peserta pada malam kemuncak nanti.

Jinbara yang mempertaruhkan lagu Farhana Bumi Kenyalang ciptaan Denai dan lirik Andy Rahman menjadi peserta pertama diikuti Nora lagu Samudera (Johan Nawawi/ Ahmad Fedtri Yahya), Fazli (Harapan-Hazami), Siti Nurhaliza (Destinasi Cinta-Lin Li Zen/PSSN), Faizal (Mahakarya Cinta-Audi Mok/Mohd Shariza Shamsiri), Aishah (Kasihnya Balqis-Adnan Abu Hassan/Moharis Yaakup), Misha Omar dan Andy Flop Poppy (Sembunyi- Aidit Alfi an/Loloq) dan Sofaz (Janjiku-Taja/Tass) kelapan.

Sahri (Izinku Pergi- Azlan Abu Hassan/SuluSarawak) mendapat giliran tempat kesembilan, diikuti Mawi (Angan dan Sedar- M. Nasir/Loloq), Jaclyn Victor dan Lah (Ceritera Cinta-Ross Ariffi n/Habsah Hassan), Estranged (Itu Kamu-Estranged/ Rachael Lawrence), Ramlah Ram (Dirgahayu-Radeen Sri/ Hairul Anuar Harun) dan Faizal (Kasih Tercipta-Ajai/Shuhaimi Baba) sebagai peserta terakhir.

Beberapa peserta turut ditemu bual mengenai persiapan mereka menjelang AJL22.

sumber: harian metro online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: