Dec
11
    
Posted (admin) in Datuk K, mStar online, Personal Siti, Career on December-11-2007

11-12-2007 01:15:18 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZBERGELAR anak seni selama lebih dari 10 tahun, populariti Datin Sri Siti Nurhaliza tetap ‘maintain’ seperti dulu.

Walaupun telah banyak menempuhi onak dan duri penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini sentiasa tabah, cekal dan terus berharap peminat menerima dirinya seadanya.

Siti anggun dengan fesyen lilitan selendang dikepala (Foto The Star oleh Abdul Rahman Senin)

“Setakat ini Alhamdulillah, peminat menerima Siti seadanya. Sokongan daripada mereka tetap ada di mana ada peminat-peminat yang menghantar mesej melalui laman web rasmi Siti iaitu Sitizone.com.“Dari situ Siti memberi peluang kepada mereka untuk melontarkan pendapat dalam forum seperti apa yang mereka ingin dengar dan Siti akan cuba buat segera.

“Ada juga yang ingin Siti keluarkan album baru secepat mungkin. Atas permintaan mereka maka terlahirlah “Hadiah Daripada Hati” khas untuk semua peminat yang menyokong Siti dan juga kepada sesiapa yang baru ingin cuba-cuba mendengar lagu-lagu nyanyian Siti,” kata Siti dalam majlis pelancaran album solonya yang ke 12 “Hadiah Daripada Hati” di Hotel Legend semalam.

Majlis pelancaran album tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Media Prima Berhad Dato’ Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak.

Album yang berkonsep pop ini mengandungi 11 buah lagu pelbagai rentak sesuai dengan peminat yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Lagu-lagu tersebut termasuklah “Ku Mahu” yang merupakan lagu tema drama bersiri Spa Q dan single pertama Siti yang sedang popular di corong-corong radio tempatan sekarang, tidak ketinggalan lagu “Hati” yang lebih dikenali sebagai lagu tema filem “1957 Hati Malaya” dan dijadikan sebagai lagu bonus serta lagu “Mulanya Cinta” yang Siti nyanyikan semasa berlakon teater “Muzikal P.Ramlee”.


Pelancaran album “Hadiah Daripada Hati” Siti

Lagu lain yang turut tidak kurang hebatnya adalah “Melawan Kesepian”, “Tanpa Kalian”, “Biarkan”, “Kerana Dirimu”, “Wanita”, “Cintamu”, “Sutramaya” dan “Sekian Lama”.

Masih kekal dengan komposer dan penulis lirik yang pernah bekerjasama sebelum ini, Siti tidak terkecuali untuk menerima lagu dari mereka yang baru pertama kali menyumbang karya.

“Gabungan lama dan baru ini dilihat sebagai satu kerjasama yang baik memandangkan peminat muzik ada citarasa berbeza-beza.

“Siti masih kekalkan kerjasama dengan komposer Malaysia dan Indonesia malah Dick Lee, komposer hebat dari Singapura ada menyumbangkan lagu dalam album.

“Siti pernah jumpa Dick Lee semasa konsert di Shanghai dahulu tapi ini adalah pertama kali Siti dapat membawakan lagu Dick Lee semasa berlakon teater “Muzikal P.Ramlee” iaitu “Mulanya Cinta” manakala liriknya oleh Adlin Aman Ramli,” ujar Siti yang turut menerima lirik daripada pelakon, produser filem dan penyampai televisyen.


Siti dikurniakan Anugerah 40 Platinum bagi kejayaan album Royal Albert Hall London dan Transkripsi

Antaranya adalah pelakon Rina Khan yang menulis lirik lagu “Ku Mahu”, produser filem Shuhaimi Baba melalui lagu “Hati” dan penyampai TV3 Fedtri Yahya yang Siti katakan bukan sahaja pandai menghasilkan lirik lagu Irama Malaysia malah boleh membuat lirik yang cantik dalam lagu “Cintamu” dan sekaligus terpilih sebagai lagu tema antara Siti dan suaminya, Dato’ Sri Khalid Mohd Jiwa.

Album “Hadiah Daripada Hati” ini diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) dan diedarkan oleh Suria Records Sdn. Bhd.

Majlis yang turut melancarkan kod ringkas 33777 itu dihadiri oleh suami Siti, abangnya yang juga Penerbit Eksekutif SNP Saiful Bahri Tarudin (Ayie), kakak iparnya Zaiton Mohd Jiwa dan Rozi Abdul Razak yang juga Penyelaras Produksi Album, Pengurus Promosi SRC Rizweinta Irman Ridzwan komposer, penulis lirik dan penerbit album yang disiapkan selepas setahun setengah lalu.

Mereka adalah Rina Khan, Shuhaimi Baba, komposer Sharon Paul, Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan dan penerbit album Greg Anderson.


Antara tenaga produksi album ke 12 Siti

Penyempurnaan pelancaran kod ringkas itu dilakukan oleh Siti dan Ayie.

Kod ringkas 33777 membolehkan peminat Siti memuat turun banyak bahan menarik menerusi Syarikat SN Mobile Digital Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak setahun lalu.

Antara bahan yang boleh dimuat turun dengan menaip ‘SN’ dan hantar sms ke 33777 adalah lagu, nada dering, gambar berwarna, muzik video, aktiviti, madah, rahsia dan diari Siti serta interaktif menerusi sms.

Menurut Siti, antara rahsia yang dikongsi bersama peminat adalah beliau tidak pernah naik LRT.

Dalam majlis tersebut, Siti turut dikurniakan Anugerah 40 Platinum atas kejayaan album “Konsert Royal Albert Hall London” dan “Transkripsi”.


Siti bakal berangkat ke Mekah pada 13 Disember ini bagi menunaikan haji bersama suami dan keluarganya

Siti yang tampil dengan fesyen memakai selendang lace yang dililit di kepala, begitu anggun dalam pakaian rekaan Riezman Ruzaini.

“Siti mementingkan kelainan dalam berfesyen. Sebenarnya idea pakai selendang ni baru muncul tadi semasa Siti membelek sebuah majalah dan rasa sesuai juga bergaya seperti ini,” ulas Siti yang memilih warna hitam dan emas dalam konsep album terbaru ini.

Kata Siti, konsep album ini bermaksud merenung jauh ke depan dan pemilihan warna tersebut dilakukan kerana Siti belum pernah menjadikan warna gelap dalam album sebelum ini dan hitam itu menawan manakala wajah Siti lebih serius berbanding dulu yang kelihatan riang.

Siti turut mengumumkan pemergiannya ke Mekah untuk menunaikan haji bermula 13 Disember ini selama dua minggu bersama empat orang muhrimnya iaitu keluarga dan suaminya dan mengikuti pakej Tabung Haji bersama lebih 20 orang bakal haji lain.

“Siti ingin memohon maaf kalau ada terkasar bahasa dan minta semua orang doakan keselamatan kami di sana,” akhiri Siti yang mengatakan beliau kelihatan seksi kerana badannya yang sedang ‘naik’.

Siti berkata beliau tidak memikirkan untuk terlalu berdiet tetapi biarlah badannya sentiasa sihat.

Dapatkan album “Hadiah Daripada Hati” yang berada dipasaran mulai semalam, 10 Disember 2007.

sumber: mStar online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: