19-11-2007 12:51:07 AM
oleh WAHIDA ASRANI
SHAH ALAM: Setelah dua tahun tidak bertanding, kemunculan semula Datin Seri Siti Nurhaliza di dalam Muzik-Muzik tidak ‘menjadi’ apabila beliau gagal terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) bagi kategori Balada.
Siti yang kembali beraksi pada pertandingan berprestij ini mempertaruhkan lagu Bisakah ciptaan Aubrey Suwito dan liriknya hasil nukilan Tessh RS pada peringkat separuh akhir kategori tersebut yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam ini.
Lima buah lagu yang layak ke AJL22 yang bakal berlangsung awal Januari depan menyaksikan dua daripadanya didominasikan oleh bintang baru, Faizal Tahir menerusi lagu Mahakarya Cinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Shah Shamshiri dan Kasih Tercipta, ciptaan Ajai dan lirik oleh Shuhaimi Baba yang merupakan lagu tema filem Waris Jari Hantu.
Turut layak ke peringkat akhir bagi kategori ini adalah lagu Harapan, nyanyian Fazli Zainal, ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Hazami dan Izinkan Ku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Sulu Sarawak yang dipersembahkan oleh Sahri, menggantikan penyanyi asalnya, Kaer.
Jaclyn Victor dan Lah Ahmad yang membawakan lagu Ceritera Cinta, ciptaan Ross Ariffin dan lirik oleh Habsah Hassan turut membawa tuah apabila layak ke AJL22 kelak.
Lagu-lagu lain turut dipertandingkan pada malam itu ialah Andainya ciptaan Hadi Hassan dendangkan Nieyl, Hilang ciptaan Audi Mok dan lirik ditulis oleh Bash, dipersembahkan oleh Diddy, Paluan Rindu Mu nyanyian Idayu dan ciptaan oleh M.Nasir dan lirik oleh Keon serta Sejuta Nafas Cinta ciptaan Hazami dan lirik oleh Loloq, yang dinyanyikan oleh Fazli Zainal.
Kesemua lagu tersebut telah diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada penulis lirik Amran Omar, komposer Iman Wan, Khairil Johary Johar, Edry KRU, Pengarang Hiburan Harian Metro Adam Salleh dan Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3Azhar Borhan.
sumber: mStar online