Paris,15 November 2007 - Menghitung beberapa hari menjelang 18 November, penyanyi Datin Sri Siti Nurhaliza kini sibuk dengan persiapan dan latihan bagi mempersembahkan lagu Bisakah di pentas Muzik-Muzik : Separuh Akhir Balada. Beliau yang pernah mendominasi arena Juara Lagu itu memberikan sepenuh perhatian kepada persembahan, terutama dari sudut vokal, memandangkan Bisakah merupakan lagu yang sukar dinyanyikan.
Jadual bulan ini padat dengan rakaman album baru di studio dan Siti memperuntukkan tiga hari untuk membuat persiapan bagi lagu Bisakah. Menurut satu sumber, Siti dikatakan bakal memberi elemen ‘kejutan’ ketika persembahan beliau, dan ketika ditanya apakah yang digambarkan dengan ‘kejutan’, beliau menyatakan bahawa elemen kejutan itu lebih kepada lontaran vokal dan rentak. Mungkinkah Siti akan mengubah rentak Bisakah sepertimana yang dilakukan dalam Ku Milikmu beberapa tahun yang lalu?
Laman web Siti, sitizone.com kini dipenuhi dengan catatan mesej positif berkenaan malam Separuh Akhir Balada. Kebanyakan mereka menyatakan harapan dan mendoakan penyanyi berwajah manis itu agar terus memberikan yang terbaik untuk lagu Bisakah.
Antara lagu yang bakal merebut lima posisi teratas adalah Harapan, Izinku Pergi, Andainya, Mahakarya Cinta, Kasih Tercipta, Hilang, Paluan Rindu Mu, Sejuta Nafas Cinta, Ceritera Cinta dan Bisakah.